Pembancuh Atau Pelayan Arak (Bartender)
Soalan: Apakah pandangan Pehin mengenai orang Islam bekerja sebagai ‘Bartender’ (pembancuh arak)?
Jawapan: Pengharaman Arak Haramnya arak dan benda yang memabukkan adalah berdasarkan kepada dalil al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya: Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219) Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma, Baginda bersabda:
Maksudnya: Tiap-tiap yang memabukkan (itu) arak, dan tiap-tiap yang memabukkan (itu) haram. (Hadits riwayat Muslim) Dalam hadits yang lain, diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiap-tiap minuman yang memabukkan, maka ia (adalah) haram. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Arak Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya
Arak dan segala macam perbuatan yang berkaitan dengannya adalah dilaknat (dikutuk) oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ini jelas diterangkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya (pelayan arak), pembelinya, penjualnya, pemerahnya, orang yang minta perahkan arak, pembawanya dan orang yang dibawakan kepadanya arak.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits yang lain, daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat dalam (perkara) arak sepuluh (orang): Pemerahnya, orang yang minta diperahkan arak, peminumnya, pembawanya, orang yang dibawakan kepadanya arak, penghidangnya (pelayan arak), penjualnya, orang yang makan harga arak (duit hasil pendapatan arak), orang yang membeli arak dan orang yang membelikan arak bagi orang lain. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Adapun erti laknat itu ialah jauh daripada rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau dikutuk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan orang yang dikutuk atau dilaknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu sentiasa dalam dosa besar dan menjadi fâsiq. (Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam: 30/1980)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar:
(i) Minum arak sama ada banyak atau sedikit. (ii) Minum air yang memabukkan sekalipun satu titik.
(iii) Pemerah arak dan air yang memabukkan. (iv) Minta perahkan arak dan air yang memabukkan. (v) Membawa arak. (vi) Minta bawakan arak untuk diminum. (vii) Menghidangkan arak untuk orang lain minum. (viii) Minta hidangkan arak untuk diminum. (ix) Menjual dan membeli arak. (x) Minta jualkan dan minta belikan arak. (xi) Makan harga (hasil pendapatan) arak. (xii) Memegang (menyimpan) arak dan air yang memabukkan. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al- Kabâ’ir: 2/242)
Berdasarkan kepada dalil-dalil al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam serta keterangan ulama, maka orang-orang Islam adalah haram dan berdosa besar meminum dan berurusan dengan semua hal yang berkaitan dengan arak dan seumpamanya yang memabukkan selain arak.
Bekerja Sebagai Bartender
Seperti yang telah diterangkan, segala apa yang berkaitan dengan arak adalah haram dan berdosa besar. Oleh itu, bekerja sebagai bartender yang menjadi pembancuh, penghidang atau pelayan arak pada tempat seperti kelab malam atau restauran, hukumnya juga adalah haram dan berdosa besar. Apabila melakukan sesuatu pekerjaan yang haram, maka pendapatan (gaji) yang diperolehi juga adalah haram.
Akibatnya, kehidupan orang yang berkaitan dengan arak dan seumpamanya itu akan sentiasalah dalam kemurkaan dan laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Di samping itu, balasan yang akan diterima oleh orang yang memakan daripada hasil yang haram adalah neraka. Hal ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ka‘b bin ‘Ujrah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai Ka‘b bin ‘Ujrah! Sesungguhnya tidak berkembang daging yang tumbuh daripada yang haram melainkan neraka lebih utama baginya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Tuntutan Mencari Pekerjaan Yang Baik
Islam menghendaki umatnya untuk mencari pekerjaan yang baik dan mulia. Setiap pekerjaan yang dijalankan hendaklah dengan niat untuk beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, supaya setiap apa yang dikerjakan itu dikurniakan pahala dan sentiasa dalam lindunganNya jua.
Di samping itu, kita juga dituntut untuk mencari dan memakan rezeki daripada sumber yang halal. Perkara ini ada dijelaskan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik. (Surah al-Mâ’idah: 88)
Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mencari (yang) halal adalah wajib atas setiap Muslim. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Sememangnya hasil daripada pekerjaan yang baik dan halal itu akan menjanjikan pendapatan atau gaji daripada sumber yang halal. Dari situlah, datangnya keberkatan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya yang sentiasa mencari keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dunia semakin canggih dengan teknologi dan pemikiran yang kian maju. Namun dalam kecanggihan itu, hukum-hakam Islam hendaklah sentiasa dipatuhi dan dipelihara kesuciannya. Oleh itu, umat Islam wajiblah sentiasa memelihara keimanan dan ketaqwaan dengan menjalankan segala kewajipan dan meninggalkan segala perkara yang syubhah lebih-lebih lagi yang haram.
Dalam hal mencari pekerjaan, umat Islam hendaklah mencari pekerjaan yang halal kerana ia menjadi satu kewajipan ke atas setiap Muslim. Maka dalam hal bartender ini, sepatutnya orang-orang Islam tidak melibatkan diri dengannya. Pekerjaan seperti ini wajib ditinggalkan kerana banyak lagi pilihan pekerjaan yang halal yang boleh dipilih untuk dijadikan sebagai mata pencarian pada zaman sekarang. Umpamanya, dia boleh memilih restoran Islam untuk menjadi pelayan restoran dan sebagainya.
Dengan melakukan pekerjaan yang halal, pendapatan yang diperolehi juga halal dan yang pastinya kehidupan yang bersumber daripada duit yang halal akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11186
