Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Pembedahan Plastik

Soalan: Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementarian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Kesihatan dan Jerudong Park Medical Center bagi membincangkan cadangan untuk mempromosikan ‘Medical Tourism’ ke pasaran dalam dan luar Negara.

Semasa perjumpaan tersebut, wakil daripada Kementerian Kesihatan telah menyatakan bahawa Jabatan Mufti telah mengeluarkan fatwa yang mana pembedahan plastik/kosmetik adalah ditegah bagi orang yang beragama Islam di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Jabatan ini sukacita memohon penjelasan dan nasihat berkaitan dengan perkara-perkara berikut:

1. Adakah pembedahan plastik/kosmetik ini juga tidak dibenarkan bagi orang-orang yang bukan beragama Islam yang menetap di negara ini. 2. Apa hukumnya bagi orang asing yang beragama Islam yang berkeinginan untuk membuat pembedahan sedemikian di negara ini. Adakah juga tidak dibenarkan?

Jawapan: Prosedur pembedahan plastik terbahagi kepada dua bahagian utama:

1. Membentuk semula. 2. Kosmetik.

Pembedahan Bagi Tujuan Membentuk Semula

Prosedur membentuk semula ialah pembedahan untuk memulihkan bentuk. Iaitu memulihkan bentuk bahagian badan yang tidak normal disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau kecacatan kongenital (sejak lahir). Membaik pulih luka, melecet yang teruk dan patah tulang muka ialah prosedur yang biasa berlaku. Penggunaan tarik, flap (siat) dan graf (cantuman) tisu badan untuk memulihkan kehilangan bentuk kerana terbakar dan pindah otot belakang ke kaki dan tangan yang cedera ialah contoh-contoh biasa prosedur membentuk semula yang dilakukan oleh doktor pembedahan plastik. Membuang kanser kulit dan membaik pulih belahan bibir dan lelangit juga biasa dibuat oleh ramai doktor pembedahan plastik.

Pembedahan membentuk semula bolehlah diertikan sebagai prosedur pembedahan yang dilakukan ke atas bahagian tubuh yang tidak normal bagi mendapatkan bentuk yang normal dan membetulkan fungsinya. Yang dipentingkan di sini ialah bahawa prosedur itu dilakukan ke atas bahagian-bahagian tisu badan. (Plastic Surgery, Department of Surgery University of Iowa Hospital and Clinic Iowa City, Iowa)

Adapun membentuk semula anggota yang dikendalikan oleh pakar di hospital dan klinik, seperti yang disebutkan di atas tidaklah didapati bercanggah dengan hukum syara‘. Bahkan terdapat nash-nash syara‘ secara umumnya menghendaki demikian, seperti membetul atau membaik pulih tulang yang retak atau patah atau menjahit luka yang membahayakan atau menampal kulit yang terbakar. Semua ini adalah dibenarkan kerana ia bersifat rawatan untuk kesembuhan dan keselamatan.

Pembedahan pembentukan semula ini hanyalah untuk menghilangkan kecacatan yang baru mendatang terhadap kejadian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antara nash syara‘ itu ada menyebutkan bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menggantikan hidungnya itu dengan emas.

Tujuan penggantian hidung itu bukanlah semata-mata untuk kecantikan bahkan untuk mengelak kemudharatan. Menurut Islam, kemudharatan itu wajib dihindarkan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Daripada hadits ini, para ulama fiqh telah menetapkan kaedah:

Ertinya:َ Kemudharatan itu dihindarkan.

Kesimpulannya, daripada penjelasan di atas mana-mana pembedahan plastik bagi tujuan prosedur membentuk semula, umpamanya untuk menghilangkan kecacatan atau menolak penyakit seperti mengembalikan atau memulihkan anggota badan yang rosak, hukumnya adalah harus menurut syara‘.

Pembedahan Bagi Tujuan Kosmetik

Prosedur pembedahan bagi tujuan kosmetik pula ialah pembedahan yang bertujuan semata-mata untuk mencantikkan bahagian badan mengikut sukat-sukat rupa dan fungsi badan yang normal. Di antara contohnya ialah seperti prosedur menegang muka, mengubah suai hidung dan membuang lemak untuk kecantikan. (Plastic Surgery, Department of Surgery University of Iowa Hospital and Clinic Iowa City, Iowa)

Ia juga bererti atau bertujuan untuk mengubah bentuk rupa asal kepada bentuk yang lain dengan maksud supaya kelihatan lebih cantik.

Perbuatan yang sedemikian adalah dilarang kerana dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata untuk kecantikan, selain membawa makna tidak bersyukur terhadap ciptaanNya, juga dianggap mengikut petunjuk syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Surah an-Nisâ’: 119)

Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu menggambarkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melaknat orang-orang yang mengubah ciptaanNya sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Allah melaknat orang-orang yang mentatu dan yang minta ditatu, orang-orang yang mencabut bulu (di wajah), orang-orang yang minta dicabut bulu (di wajah) dan orang-orang yang merenggangkan giginya untuk tujuan kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ, maksud mencabut bulu di wajah itu ialah dikhususkan kepada mencabut bulu kedua-dua kening sahaja bagi tujuan untuk menghaluskan atau menyamakannya. Dengan demikian, mencabut bulu selain daripada bulu kening di muka adalah tidak termasuk dalam pengertian hadits di atas. (Fath al-Bâri bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 11/ 574-575)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, maksud merenggangkan gigi ialah mengikir gigi dengan alat pengikir atau seumpamanya bagi memperelokkan atau menghaluskan gigi dengan tujuan untuk kelihatan cantik dan muda. Perbuatan ini sering dilakukan oleh golongan tua kerana dengan mempunyai gigi yang halus seolah-olah menggambarkan seperti gigi kanak-kanak dan dengan demikian mereka pun disangka masih lagi muda. (Kitab Shahîh Muslim: 9/ 5770-5771)

Maka berdasarkan hadits di atas, hukum ke atas orang-orang yang melakukan dan yang minta dilakukan perbuatan-perbuatan seperti tatu, mencabut bulu kening dan merenggangkan gigi adalah haram.

Menyediakan Pusat Pembedahan Plastik Bagi Tujuan Kosmetik

Yang menjadi fokus kita di sini ialah adakah selaras dengan tuntutan syara‘ jika kita mempromosikan pembedahan plastik bagi tujuan kecantikan semata-mata walaupun ia disediakan khusus bagi orang bukan Islam?

Tidak! Tidak wajar mempromosikan pembedahan plastik/kosmetik semata-mata untuk tarikan pelancongan, kerana aktiviti berkenaan tidak selaras dengan hukum syara‘.

Apabila kita menyediakan tempat seperti itu, bermakna kita membenarkan perbuatan tersebut, iaitu mengubah kejadian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sedangkan hukumnya adalah haram menurut syara‘.

Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menegah kita menyokong atau menolong membuat kemungkaran atau maksiat terhadapNya. Maka dalam konteks ini, kita selaku orang Islam dan kerajaan Islam adalah ditegah menyediakan kemudahan seperti itu untuk mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata bagi kecantikan. Jika ini dibuat, bererti kita mempersetujui atau menolong menyediakan kemudahan bagi perkara mungkar tersebut berlaku di negara ini. Habiskah cara lain untuk menarik pelancong? Dan tidakkah juga terfikir kepada kita, bilamana pusat seperti ini wujud di negara ini, maka orang Islam selaku majoriti, tidak mustahil akan terikut-ikut menjadi pelanggannya? Siapakah boleh menjamin ini tidak akan berlaku? Oleh itu, adalah wajib bagi kita mengambil langkah berhati-hati dengan mengamalkan sikap tolong-menolong untuk kebajikan, serta memilih ma‘rûf dan meninggalkan mungkar.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat mungkar (kejahatan). (Surah at-Taubah: 71)

Dalam ayat lain, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman lagi:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu amat berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.

(Surah al-Mâ’idah: 2) Begitulah kedudukan perkara pembedahan plastik, kita hanya diharuskan melakukannya untuk tujuan perubatan sahaja.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11193