Pemujaan Roh, Jin Dan Permainan Spirit Of The Coins
Soalan: Saya memohon pandangan dan fatwa Pehin mengenai pemujaan roh, jin dan permainan spirit of the coins yang dilakukan oleh sebahagian kecil remaja Muslim dewasa ini.
Jawapan: Ritual (tatacara upacara keagamaan) pemujaan roh dan jin sering dilakukan oleh sebilangan masyarakat kita dan sudah dicuba-cuba oleh sebilangan remaja. Seperti yang difahami ritual ini kebiasaannya akan disulami dengan mantera-mantera yang melibatkan seruan atau pemujaan jin-jin dengan menggunakan benda-benda seperti patung, darah, keris dan sebagainya bagi menghadirkan makhluk ghaib.
Adapun instrumen yang sering digunakan dalam ritual pemujaan ialah aroma daripada asap kemenyan yang berkepul-kepul sehingga memenuhi ruang pemujaan sepertimana yang sering dilakukan para dukun dan bomoh. Penggunaan asap kemenyan ini adalah bertujuan memanggil makhluk halus untuk berdamping dengan si pemuja.
Ritual pemujaan ini dilakukan untuk mendapatkan khidmat dan pertolongan jin bagi memenuhi impian seperti mendapat kekayaan, kecantikan, pengasih, perlindungan dan sebagainya. Malah ada yang menjadikan ritual ini sebagai sumber mata pencarian. Sebahagian besar jampi mantera yang dibaca atau dilagukan ialah untuk memohon perlindungan. Misalnya dalam persembahan teater tradisional yang melibatkan seruan atau pemujaan jin-jin bagi mendapatkan pertolongan mereka dalam menjayakan persembahan seperti mantera dalam tarian Bubu, akan disebut nama-nama jin tanah, jembalang tanah, pelesit bumi dan lain-lain.
Namun demikian, kebanyakan jampi mantera Melayu lebih banyak menukarkan nama-nama jin itu kepada nama yang lebih elok, menyebabkan timbulnya kekeliruan. Harapan pemuja kepada jin-jin dalam persembahan ini sangat tinggi kerana kejayaan dan kegagalan sesebuah persembahan itu tertakluk kepada kehadiran dan pertolongan jin-jin yang dipuja. (Kertas kerja; Kefahaman Mengenai Ta‘awwudz (perlindungan): 17)
Adapun pemujaan yang melibatkan roh seperti dalam permainan ‘spirit of the coins’, adalah pemujaan yang menggunakan syiling lama dan papan yang mengandungi huruf-huruf abjad dengan membacakan mantera-mantera tertentu. Dalam permainan tersebut pemuja akan memanggil roh-roh orang mati dengan tujuan seperti untuk meminta bantuan daripada mereka, ingin mengenali roh tersebut dan bertanyakan siapa dan bagaimana jasad roh berkenaan mati dan juga hal-hal yang berkaitan dengan perkara ghaibiyyat.
Walau apa pun alasan dan bentuk tujuan ritual itu dilakukan, perbuatan memohon pertolongan dengan cara pemujaan jin seperti di atas tetaplah salah (haram), bertentangan dengan aqidah dan hukum syara‘, kerana meminta bantuan jin atau syaitan bererti pemuja mempercayai wujudnya satu kuasa lain selain kuasa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mampu memberi pertolongan dan menolak kemudharatan. Perbuatan sedemikian menjerumuskannya kepada syirik. Syirik itu bererti menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada kalangan manusia, menjaga dan melindungi diri mereka dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (Surah al-Jinn: 6)
Memuja roh orang mati; seperti yang dilakukan oleh dukun dan bomoh juga merupakan perkara yang bertentangan dengan kehendak hukum syara‘ kerana dengan berbuat demikian itu bererti seseorang itu mempercayai penjelamaan semula roh si mati, sedangkan roh orang mati itu tidak akan kembali dan malah akan kekal di sisi Allah sehingga Hari Kebangkitan.
Pemujaan untuk memohon pertolongan selain Allah adalah antara kerja-kerja orang-orang yang rugi di sisi Allah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106)
Hakikat Roh
Penjelasan tentang jin dan juga hakikat roh telahpun dinyatakan oleh al-Qur’an dan hadits. Kita tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenainya. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib. FirmanNya:
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapa pun, melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian). Maka sesungguhnya Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah al-Jinn: 26-27)
Menurut kitab Tabsîth al-‘Aqâ’id al-Islâmiyyah, tidak seorang pun daripada kalangan manusia yang Allah berikan pengetahuan secara terperinci tentang roh dan perkara-perkara ghaib seperti kehidupan alam barzakh yang dilalui oleh para roh. Ia merupakan urusan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di mana kita selaku hambaNya tidak perlu mempersoalkan hal-hal rumit yang berkaitan dengan roh itu. (173-174)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isrâ’: 85)
Selain makhluk manusia, jin juga sebenarnya tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Oleh itu apa-apa berita atau perkhabaran daripada mereka itu tidaklah boleh dipegang dan dipercayai sepenuhnya, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghinakan. (Surah Saba’: 14)
Keadaan Dan Kedudukan Roh Setelah Keluar Dari Jasad Setiap jasad yang sudah tidak bernyawa, rohnya akan dikembalikan kepada al-Khâliq untuk berjumpa denganNya di alam barzakh dan diperhitungkan mengikut amalannya. Ia akan terus kekal bertahan di sisiNya sehingga tiba Hari Kebangkitan. Allah tidak akan mengembalikan mana-mana roh pulang ke dunia semula walaupun yang mengharapkan pengembalian itu adalah roh-roh para syuhadâ’. (Tabsîth al-‘Aqâ’id al-Islâmiyyah: 173-176)
Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Kembalikanlah aku (hidup semula di dunia), supaya aku mengerjakan amal-amal yang salih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap di dalamnya) sehingga mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).” (Surah Mu’minûn: 99-100)
Adapun kedudukan roh setelah ia keluar dari jasad telah ditetapkan Allah menurut amalannya, seperti firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kesudahannya: Jika sekiranya dia (yang mati itu) daripada orang-orang muqarrabîn, maka (dia akan beroleh) rehat kesenangan dan rahmat kesegaran serta syurga kenikmatan. (Surah al-Wâqi‘ah: 88-89)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:
Tafsirnya: Dan jika sekiranya dia daripada puak kanan (maka akan dikatakan kepadanya): “Selamat sejahteralah kepadamu, (kerana engkau) daripada puak kanan” dan jika dia daripada (puak kiri) yang mendustakan (rasulNya) lagi sesat, maka sambutan yang disediakan baginya adalah daripada air panas yang menggelegak serta saluran (bakaran) api neraka. (Surah al-Wâqi‘ah: 90-94)
Apabila roh berkenaan termasuk dalam golongan ahli syurga, maka ia tidak akan keluar lagi dari syurga sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam syurga itu dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan darinya. (Surah al-Hijr: 48)
Begitu juga tidak seorang pun yang berhak dan mampu untuk mengeluarkan roh-roh yang telah memasuki neraka, sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar darinya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal. (Surah al-Mâ’idah: 37)
Perkara ini dijelaskan lagi dalam sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya apabila salah seorang di antara kamu mati, akan diperlihatkan kepadanya tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli syurga, akan diperlihatkan kepadanya syurga. Sekiranya dia daripada kalangan ahli neraka, akan diperlihatkan kepadanya neraka. Maka dikatakan: “Inilah tempatmu sehingga Allah membangkitkanmu pada Hari Kiamat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dakwaan Menghadirkan Roh Adalah Bâthil
Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa roh orang yang mati akan sentiasa kekal di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Jadi bagaimana mungkin, kita selaku manusia yang dhaif ini mampu mengeluarkan roh dengan memuja dan memanggilnya dari tempat yang ditetapkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ?
Ini menunjukkan bahawa dakwaan memuja dan menghadirkan roh orang mati itu adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak ada asas dan tidak masuk akal, kerana tidak berlandaskan nash dan ilmu.
Menurut kitab Tabsîth al-‘Aqâ’id al-Islâmiyyah, tidak seorang pun daripada kalangan manusia, baik para nabi, sahabat mahupun tâbi‘în yang dapat menguasai roh orang mati untuk kembali semula kepada jasad mereka mahupun jasad orang lain. Apatah lagi menghadirkannya walau dengan apa cara sekalipun sama ada melalui pemujaan atau seumpamanya untuk berbual-bual dan bertanyakan perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diketahui manusia. Manusia sekali-kali tidak ada kuasa untuk menghadirkan roh sepertimana yang sering didakwa oleh para dukun dan bomoh. (173-174)
Bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri, seorang insan yang mulia dan mempunyai keistimewaan dengan dianugerahkan berbagai mu‘jizat, pun tidak dapat menghadirkan roh. Hal ini ada diceritakan dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila wahyu terhenti turun kepada Baginda buat sementara waktu, padahal Baginda sangat rindu dan ternanti-nanti akan kedatangan malaikat Jibril ‘Alaihissalâm untuk membawa wahyu: (al-Jâmi‘ al-Ahkâm al-Qur’ân: 11/128-129)
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apakah yang menghalangimu (wahai Jibril) untuk menemui saya lebih kerap lagi daripada biasa?” Ibnu ‘Abbas berkata: “Maka turunlah ayat ini.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Ayat yang dimaksudkan ialah:
Tafsirnya: Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad). (Surah Maryam: 64)
Berdasarkan daripada hadits dan ayat ini dapatlah difahami bahawa mustahil ke atas seseorang itu untuk memanggil atau menghadirkan mana-mana roh malaikat ataupun roh orang yang telah mati. Jika manusia berkuasa berbuat demikian itu, nescaya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah lebih awlâ untuk itu.
Adapun penjelmaan roh orang mati ke dalam tubuh orang hidup sepertimana yang didakwa dan diyakini oleh sebilangan orang, sebenarnya, itu adalah hasil campur-tangan dan tipu helah syaitan atau jin yang ingin menyesat dan menggoncangkan aqidah umat Islam. Ia mengaku sebagai roh orang mati dan memberi khabar yang dusta dengan melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh orang yang memujanya iaitu bomoh atau dukun.
Dari itu, seseorang yang ingin menghadirkan roh bererti dia akan melalui berbagai cara seperti melakukan pemujaan dengan mantera atau jampi dan permainan ‘spirit of the coins’. Namun roh yang didakwanya itu bukanlah roh sebenar tetapi makhluk jin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat kepada orang yang memujanya. Dia bertindak menceritakan hal-hal yang tidak diketahui oleh manusia seperti mengkhabarkan keadaan atau kehidupan seseorang di masa lampau dan akan datang. Namun semua berita yang dikhabarkan itu ada yang kebetulan benar dan banyak pula yang bohong, kerana rahsia tentang kehidupan mendatang telah terhijâb daripada pengetahuan para jin, lebih-lebih lagi setelah pengutusan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjadi rasul. Dari itu semua dakwaan dukun dan bomoh yang kononnya dapat menghadirkan roh tidaklah boleh dipercayai. Ia adalah semata-mata tipu daya dan pembohongan jua.
Kebanyakan Ramalan Bomoh Tepat
Pada zaman jahiliah, ramalan bomoh atau tukang tilik ada juga yang benar dan tepat. Para jin menyampaikan maklumat yang betul walaupun ia perkara sulit dan pelik kerana jin dapat menaiki langit dan mendengar perbualan para malaikat sesama mereka di langit. Pada ketika itu, ialah antara zaman Nabi Isa ‘Alaihissalâm dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, langit dunia tidak pernah dijaga dan para jin dengan bebas naik ke langit mencuri dengar akan perbualan para malaikat. Oleh sebab itulah bomoh atau tukang tilik mempercayai apa juga maklumat yang disampaikan oleh jin sehinggalah ke hari ini. (Laqth al-Marjân fî Ahkâm al- Jânn: 170-173 & al-‘Aqîdah al-Islamiyyah: 255)
Perkara ini ada dinyatakan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala-nyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar akan mendapati api yang bernyala yang menunggu merejamnya. (Surah al-Jinn: 8-9)
Walau bagaimanapun segala khabar dan cerita-cerita yang disampaikan para jin, hasil daripada mencuri dengar perbualan malaikat, tidak lepas daripada ditokok tambah dengan seribu macam kebohongan dan rekaan. Apatah lagi khabar yang disampaikan jin itu berupa hal-hal ghaibiyyât di mana manusia mahupun jin tidak mungkin mengetahuinya melainkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Al-‘Aqîdah al-Islâmiyyah: 255-258)
Diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhialllâhu ‘anhâ, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat turun di ‘anân iaitu awan serta menyebutkan perkara yang telah ditentukan di langit. Maka para syaitan akan mencuri-curi dengar hingga mereka mendengarnya lalu mereka sampaikannya kepada ahli-ahli tenung (yang mana) mereka akan berbohong bersama-sama dengan beratus pembohongan daripada diri mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain pula, ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan:
Maksudnya: Beberapa orang menyoal Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai tukang-tukang tenung atau tilik. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “(Tenungan atau tilikan) mereka tidak mempunyai apa-apa (tidak ada kebenarannya)”. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kadangkala apa yang mereka perkatakan tentang sesuatu itu ada kebenaran”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Perkataan yang ada kebenaran itu merupakan perkataan yang dicuri dengar oleh jin. Maka dilaung-laungkannya di telinga tuannya (sebagaimana) laungan kokokan ayam, lalu mereka menokok tambah di dalamnya lebih daripada seratus pembohongan (berbagai-bagai pembohongan).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun maklumat jin tidak lagi tepat dan betul setelah Allah mengutus Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kerana semenjak hari itu, jin tidak lagi dapat mendengar perbualan para malaikat lantaran langit telah dijaga dengan ketatnya sehingga setiap kali jin hendak menaikinya, Allah akan melontar dan merejam mereka dengan bintang-bintang api.
Berjumpa Roh Orang Mati Di Alam Mimpi
Walaupun dakwaan menghadirkan roh orang mati itu adalah bâthil, namun ini tidak bermakna kita selaku hambaNya yang masih hidup tidak dapat bertemu dengan roh orang yang telah meninggal dunia itu. Walau bagaimanapun pertemuan tersebut bukanlah di alam nyata atau jaga, bahkan ia ditetapkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ hanya di alam mimpi. Ini bererti roh orang yang hidup ketika tidur dapat bertemu dan berinteraksi dengan roh orang yang mati.
Dalam pertemuan tersebut roh orang yang mati memberi khabar tentang seksa dan peritnya atau ni‘mat dan indahnya berada di alam kubur serta menceritakan perkara-perkara yang tidak mungkin diketahui oleh kita yang masih hidup. (Tabsîth al-‘Aqâ’id al-Islâmiyyah: 174)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah (Yang menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya; semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati; dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Surah az-Zumar: 42)
Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ dan yang lainnya mentafsirkan bahawa para roh orang yang hidup dan mati akan bertemu di waktu tidur atau mimpi, lalu mereka (roh-roh itu) berkenalan sesama mereka dengan kehendak Allah jua. Apabila roh berkenaan mahu kembali kepada jasadnya, Allah akan menahan roh-roh orang yang mati di sisiNya dan mengembalikan roh-roh orang yang hidup kepada jasadnya. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 15/260)
Kesimpulan
Daripada penjelasan yang dihuraikan, jelaslah bahawa penjelmaan roh orang mati itu tidak pernah wujud dan terjadi. Malah ia hanyalah permainan dan lakonan jin yang cuba mengacau-bilaukan pemikiran dan aqidah umat Islam agar terpesong daripada ajaran yang sebenar.
Amalan memuja hanya menjadi lorong laluan iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia. Iblis berusaha untuk menipu manusia dengan memperlihatkan benda-benda atau amalan-amalan yang ditegah dan dimurkai Allah dengan menukarnya dengan istilah atau pengenalan yang menarik sepertimana yang dilakukan iblis semasa ia menghasut Nabi Adam ‘Alaihissalâm agar memakan buah terlarang di dalam syurga.
Dari itu walau apa jua alasan ritual itu dilakukan, ia tetap salah dan bertentangan dengan ajaran Islam. Dosanya amatlah besar dan boleh mengheret serta menjerumuskan pengamalnya kepada syirik dan kufur.
Dalam surah Luqman ayat 13, Allah berfirman:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman: 13)
Firman Allah Ta‘ala dalam surah an-Nisâ’:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi siapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 48)
Melakukan ritual pemujaan sedemikian tidak mungkin akan mendatangkan kebaikan. Bahkan risiko yang akan ditanggung pengamalnya kerana melupakan Allah dan membelakangiNya, akan menyebabkan dirinya terdedah kepada gangguan dan hasutan syaitan secara berterusan dan tidak mungkin akan terlepas daripada kecelakaan akibat perbuatan memuja itu. Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah Ta‘ala sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) ar-Rahman, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah ia temannya yang tidak renggang daripadanya. (Surah az-Zukhruf: 36)
Tafsirnya: Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja dia datang. (Surah Thâhâ: 69)
Iblis la‘natullâh juga pernah berikrar di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menyesatkan anak-anak Adam ‘Alaihissalâm sehingga terpesong dari jalan yang lurus. Perkara ini dijelaskan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menghukum aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah al-A‘râf: 16-17)
Dari itu perlu diingat bahawa walau apa jua perkhidmatan dan perlindungan yang diharapkan hendaklah sentiasa memintanya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana Dia jua yang Maha berkuasa di atas segala sesuatu. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasalam:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya: “Pada suatu hari aku di belakang Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Wahai anak! Aku akan mengajar engkau beberapa perkara; peliharalah Allah, nescaya Allah memelihara engkau. Peliharalah Allah nescaya engkau mendapatiNya di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya umat itu kalaupun mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah dituliskan oleh Allah atas engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakanmu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memudharatkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah dituliskan oleh Allah atas engkau. Dan telah diangkatkan segala pena dan juga telah kering segala buku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11197
