Penyertaan Ibadat Korban Melalui Potongan Mess Bil
Soalan: Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei memohon penjelasan Pehin Mufti terhadap kekeliruan di kalangan warga jabatan ini mengenai potongan mess bil untuk menyertai ibadat korban.
Pada kelazimannya, pembayaran bagi penyertaan ibadat korban adalah dilakukan secara tunai kepada pihak pengurus sesuatu majlis ibadat korban. Walau bagaimanapun, di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah diperkenalkan satu kaedah pembayaran bagi penyertaan ibadat korban tersebut iaitu secara bayaran ansur melalui potongan mess bil. Ini bermakna setiap pegawai atau PTB Kanan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang bersetuju untuk mengikuti ibadat korban berkenaan akan dibiayai awal bagi penyertaan mereka oleh pihak Mess di Perkhemahan masing-masing, kemudian pihak Mess berkenaan akan mengambil balik jumlah bayaran tersebut secara ansur mengikut jumlah dan tempoh waktu yang tertentu atau dengan kata lain ia dilakukan dengan cara berhutang. Adakah perkara ini merupakan satu perkara yang dibolehkan mengikut hukum syara‘?
Maksud mess bil ini ialah bayaran secara beransur-ansur dari sebulan ke sebulan yang terdapat di Mess Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi kalangan peringkat pegawai dan peringkat PTB Kanan sahaja.
Jawapan: Mengerjakan ibadat korban merupakan suatu amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Tidak dinafikan bahawa untuk mengerjakannya mungkin membebankan bagi sebahagian orang. Oleh sebab itulah timbul berbagai alternatif atau usaha dan ikhtiar bagi memudahkan seseorang itu melakukan ibadat korban supaya fadhilat atau kelebihan berkorban itu dapat diperolehi dan tidak terlepas begitu sahaja.
Hukum melakukan ibadat korban adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Ia hanya dilakukan apabila seseorang itu mempunyai wang belanja yang melebihi keperluannya pada siang hari dan malamnya dan memiliki pakaian untuk dipakainya. Begitu juga dia mestilah mempunyai perbelanjaan yang mencukupi keperluannya pada Hari Raya dan hari-hari Tasyriq kerana hari-hari tersebut adalah waktu untuk menyembelih korban. (Mughnî al-Muhtâj: 4/355-356)
Jual Beli Secara Berhutang Dalam Islam, pembayaran secara hutang itu adalah diharuskan melainkan pada benda yang boleh mendatangkan riba iaitu pada jual beli yang sama jenisnya atau berlainan jenis, tetapi sama ‘illah (sebab) ribanya. ‘Illah riba itu ada dua; makanan atau an-nuqdiyyah (emas atau perak). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/34)
Contoh bagi jual beli benda yang boleh mendatangkan riba yang sama jenisnya itu ialah seperti membeli emas dengan emas, perak dengan perak, emas dengan wang, perak dengan wang, beras dengan beras, gandum dengan gandum dan sebagainya. Manakala contoh bagi jual beli benda yang berlainan jenis tetapi sama ‘illah ribanya pula ialah seperti membeli emas dengan perak, membeli gandum dengan beras dan sebagainya.
Untuk menghindari daripada berlakunya riba pada penjualan benda-benda tersebut, maka penjualannya hendaklah memenuhi syarat-syaratnya supaya tidak dihukumkan riba. Pembelian secara tunai pada benda-benda tersebut adalah di antara syarat-syarat sah jual beli pada benda yang boleh mendatangkan riba sama ada yang sama jenisnya ataupun yang berlainan jenis tetapi sama ‘illah ribanya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: l4/326-328)
Dapat difahami bahawa pembelian secara hutang atau pembayaran secara tangguh adalah dilarang pada benda yang boleh mendatangkan riba sama ada yang sama jenisnya ataupun yang berlainan jenis tetapi sama ‘illah ribanya.
Membeli Binatang Dengan Berhutang
Disebutkan di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan sesungguhnya harus berhutang daripada ahli tabarru‘ََ (orang yang mempunyai hak secara mutlak dalam pembelanjaan harta): Pada apa-apa (barang-barang) yang boleh dijadikan barang pesanan (salam) daripada binatang dan sebagainya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/83)
Daripada pengertian di atas, pembelian binatang seperti lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya dengan cara berhutang adalah diharuskan kerana bukan daripada jenis yang sama dan tidak mempunyai ‘illah yang sama. Iaitu, membeli binatang dengan duit, binatang dan duit adalah bukan daripada jenis yang sama dan tidak mempunyai ‘illah yang sama. Maka, membeli binatang secara hutang itu adalah muamalat yang sah menurut hukum syara‘.
Barang yang dibeli secara hutang akan menjadi hak milik orang yang berhutang setelah barang tersebut diserahkan oleh orang yang memberi hutang walaupun barang tersebut tidak ditasharrufkan (dimanfaatkan atau dibelanjakan) oleh orang yang berhutang. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 3/84-85)
Dapat difahami bahawa barang yang dibeli secara hutang itu adalah menjadi hak mutlak pembeli. Dengan ada hak pembeli sebagai pemilik binatang yang dibeli secara hutang itu, maka binatang tersebut adalah sah untuk dijadikan korban.
Merujuk kepada kaedah pembayaran bagi penyertaan ibadat korban yang diperkenalkan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei iaitu pembiayaan awal ibadat korban akan dibayar dahulu oleh pihak Mess di perkhemahan masing-masing, kemudian pihak Mess berkenaan akan mengambil balik jumlah bayaran tersebut secara ansur mengikut jumlah dan tempoh waktu yang tertentu atau dengan kata lain ianya dilakukan dengan cara berhutang adalah sah mengikut hukum syara‘.
Walau bagaimanapun, apabila kita melihat daripada perspektif ‘berhutang’ untuk melakukan ibadat korban, maka ia merupakan suatu amalan atau tindakan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana berhutang adalah satu beban yang akan ditanggung oleh orang yang berhutang yang boleh menyusahkannya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat, iaitu sekiranya hutang itu lambat atau tidak dibayar.
Antara hadits yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang, Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya. (Hadits riwayat Malik)
Dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung dengan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Tuntutan untuk melakukan ibadat dalam agama itu bukanlah untuk membebankan manusia tetapi ibadat itu dituntut adalah semata-mata untuk mengukur ketaqwaan seseorang.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Surah ath-Thalâq: 7)
Berdasarkan kepada penerangan dalil-dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam melakukan ibadat korban ini, tidak perlulah kita memaksa diri untuk berhutang kerana berhutang itu merupakan satu perkara yang berat. Lebih-lebih lagi jika hutang tersebut menjejaskan keperluan hidup seharian.
Menabung Duit Untuk Persediaan Berkorban
Sebagai irsyâd, untuk mengelakkan diri daripada berhutang dan untuk menghidupkan amalan berkorban ini supaya terus dilakukan, bolehlah pihak berkenaan memperkenalkan satu ‘skim’ iaitu menabung duit dengan cara menyimpan sejumlah duit dengan beransur-ansur supaya dapat memenuhi hasrat menyertai korban tersebut. Adapun tujuan menabung duit di sini janganlah ditentukan khusus untuk berkorban tetapi memadailah duit yang disimpan atau ditabung itu sebagai wang simpanan biasa bagi sebarang kegunaan bagi masa hadapan. Bahkan wang simpanan itu boleh diambil atau dikeluarkan oleh penyimpan pada bila-bila masa dia memerlukannya bagi tujuan sebarang hajat.
Dengan demikian, berkorban itu akan tertakluk kepada kemampuan masing-masing, sama ada seseorang itu akan berkorban pada setiap tahun atau setelah beberapa tahun, jika keadaan mengizinkannya untuk menyertai ibadat korban tersebut. Mudah-mudahan dengan cara menabung ini, cita-cita yang baik itu akan berhasil.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11201
