Rawatan Dan Pemeriksaan Pergigian Di Bulan Ramadhan
Soalan: Apakah hukum membuat rawatan dan pemeriksaan pergigian bagi masyarakat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan.
Jawapan: Orang yang menjalani rawatan atau pemeriksaan perubatan ketika berpuasa adalah sah puasanya jika rawatan atau pemeriksaan itu tidak melanggar atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
Antara Perkara Yang Membatalkan Puasa
Orang yang berpuasa wajib menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang
Salah satu perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka (manfadz maftûh).
Yang dimaksudkan dengan ‘benda’ di sini ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, sama ada ia boleh dimakan seperti sebiji lenga atau tidak boleh dimakan umpamanya sebutir pasir. Maksud benda itu tidaklah termasuk rasa, warna dan bau. Sekiranya rasa, warna atau bau itu masuk ke dalam rongga seseorang yang berpuasa maka tidaklah membatalkan puasanya.
Adapun maksud ‘lubang yang terbuka’ pula ialah tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu terjadi sejak seseorang dilahirkan seperti mulut, hidung, telinga dan dubur ataupun ianya baru wujud seperti luka.
Manakala ‘sengaja’ pula ialah memasukkan sesuatu benda sama ada dilakukannya sendiri atau oleh orang lain dengan keizinannya.
Manakala ‘rongga’ ialah sama ada ia mempunyai fungsi untuk memproses makanan atau ubat ataupun tidak, seperti rongga otak (tempurung kepala), kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlîl).
Berkaitan dengan persoalan yang diajukan mengenai dengan rawatan dan pemeriksaan pergigian sama ada dengan mencabut, menampal gigi atau memberikan suntikan pada gusi, maka rongga yang wajib dijaga supaya tidak membatalkan puasa ialah kerongkong atau rongga mulut.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kerongkong Atau Rongga Mulut?
Rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar makhraj huruf ‘ح’ hingga ke atas mulut, manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluarnya makhraj huruf ‘ء’ atau ‘ ه’ hingga keَ bawah (kerongkong). Maka yang dikatakan rongga mulut yang membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu yang dimasukkan ke dalam mulut ke had batin (makhraj huruf ‘ء’ atau ‘ ه’).
Adapun air liur yang ada pada had zahir mulut itu apabila ditelan tidaklah membatalkan puasa kecuali air liur yang berpisah dari lidahnya dan melilih keluar ke bibir, apabila ditelan adalah
Manakala kahak atau hingus yang sampai (datang) pada had zahir mulut yang seseorang itu berkuasa membuangnya (mengeluarkan dari mulutnya atau meludahkannya) apabila ditelannya, adalah membatalkan puasa. (Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/499-500, Mughni al-Muhtâj: 1/576)
Oleh yang demikian, jika rawatan dan pemeriksaan pergigian yang dijalankan itu tidak sampai kepada had batin yang disebutkan di atas, maka puasanya adalah sah dan tidak batal. Begitu juga tidak membatalkan puasa dalam rawatan dan pemeriksaan pergigian yang memerlukan suntikan pada gusi atau injection kerana suntikan atau injection itu tidak melalui dan tidak sampai kepada rongga yang terbuka.
Menurut resolusi Majlis Majma‘ Fiqh Islam yang dikeluarkan dalam persidangannya yang ke sepuluh di Jeddah mengenai “perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan” menyebutkan bahawa tidak dianggap dalam perkara membatalkan puasa; mengorek, mencabut, membersihkan, memberus gigi atau bersiwak jika dapat dihindari dari tertelan apa yang mengalir ke dalam kerongkong. (Himpunan Qarârât wa Taushîyât Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi, Jeddah, Resolusi Nombor: 93 (1/10), halaman: 213-214)
Dengan kecanggihan alat-alat rawatan dan pemeriksaan pergigian masa kini dan juga sebagai langkah berjaga-jaga adalah disarankan supaya benda-benda yang keluar seperti air liur, kahak atau darah ketika rawatan dan pemeriksaan itu disedut dengan sesuatu alat seperti suction (penyedutan iaitu alat untuk memindahkan cecair yang tidak diperlukan melalui suatu tiub untuk dibuang). Di samping itu juga, pesakit hendaklah membersihkan rongga mulutnya dengan air yang bersih. Sebab, jika pesakit tertelan air liurnya yang bercampur dengan darah boleh menyebabkan batal puasanya.
Kemudian dari segi lain pula, jika rawatan dan pemeriksaan pergigian itu menurut doktor boleh memudharatkan bagi orang yang berpuasa maka dia dikategorikan sebagai orang yang sakit dan harus berbuka puasa akan tetapi wajib dia mengqadha’ puasanya pada hari lain kerana Allah Ta‘ala telah memberi kemudahan kepada orang-orang yang sakit sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam pelayaran maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185)
Jika orang yang berpuasa itu dapat menahan kesakitannya atau kesakitan yang ringan dan tidak membawa kepada kesusahan, maka dalam hal ini tidak harus baginya berbuka puasa. (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 6/257)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11205
