Sembahyang Fardhu Jumaat Bagi Pekerja Yang Bertugas Di Pelantaran Minyak Luar Pantai
Soalan: Dipohonkan pandangan Pehin berkaitan dengan hasrat Syarikat Minyak Shell untuk menukar corak syif kerja kakitangan yang bertugas di pelantar-pelantar minyak dan gas di luar pantai. Pertukaran ini akan melibatkan kira-kira 380 kakitangan dan kebanyakan mereka terdiri daripada kakitangan tempatan yang beragama Islam. Corak syif kerja mereka pada masa ini ialah 7 hari bertugas di luar pantai dan 7 hari berehat di darat. Insyâ’ Allah, corak syif kerja sekarang akan ditukar kepada empat belas hari bertugas di luar pantai dan diikuti dengan empat belas hari waktu rehat di darat.
Dalam hal ini, ada beberapa persoalan telah dikemukakan oleh para kakitangan berkaitan dengan corak syif kerja yang akan diperkenalkan:
1. Apakah pendapat Pehin Mufti mengenai kakitangan yang berkerja syif bertugas di pelantar-pelantar minyak dan gas di luar pantai yang tidak dapat menunaikan sembahyang fardhu Jumaat sebanyak dua minggu berturut-turut?
2. Adakah keputusan Syarikat untuk menukar corak syif 7 hari kerja dan 7 hari rehat ke corak syif 14 hari kerja dan 14 hari rehat ini bercanggah dari segi undang-undang atau prinsip-prinsip Islam?
Keputusan untuk menukar corak syif yang sedia ada kepada 14 hari kerja dan 14 hari rehat adalah berdasarkan pengurangan risiko keselamatan, kos-kos lojistik dan keberkesanan penghasilan yang akan memberi kesan besar kepada prestasi syarikat dan secara langsung kepada negara dalam jangka masa panjang.
Dipohonkan kerjasama Pehin dalam memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenainya.
Jawapan: Hukum Sembahyang Fardhu Jumaat Bagi Pekerja Secara Syif Di Luar Pantai
Sembahyang fardhu Jumaat mempunyai syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah yang ditetapkan oleh syara‘. Apabila terhimpun ke semua syarat wajib dan sah sembahyang fardhu Jumaat itu, maka hukum mendirikan sembahyang fardhu Jumaat itu adalah fardhu ‘Ain. (Kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/84)
Jika syarat-syarat wajib yang telah ditetapkan itu tidak dipenuhi, maka tidaklah wajib seseorang itu menunaikan sembahyang Jumaat. Bahkan juga tidak sah sembahyang Jumaat yang didirikan itu jika syarat yang tidak dipenuhi itu terdiri daripada syarat-syarat sah sembahyang fardhu Jumaat.
Antara syarat-syarat sah sembahyang fardhu Jumaat itu hendaklah sembahyang fardhu Jumaat didirikan di tempat atau kawasan kediaman. Iaitu, mempunyai bangunan yang didiami oleh pemastautin pada musim sejuk atau panas yang terdiri daripada ahli-ahli Jumaat (mereka yang wajib menunaikan sembahyang fardhu Jumaat) di tempat tersebut sama ada kawasan kediaman itu berada dalam sebuah negeri, kampung atau kawasan yang boleh dijadikan tempat tinggal. (Kitab al-Majmû‘: 4/367 dan Kitab Raudhah ath-Thâlibîn: 1/509)
Menurut Imam asy-Syafi‘e dan ulama-ulama mazhab Syafi‘e Rahimahumullâh sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘, sama ada bangunan (yang terdapat di tempat kediaman itu) dibina daripada batu, kayu, tanah liat, tumbuhan beruas, pelepah pohon kurma atau sebagainya. (Kitab al-Majmû‘: 4/367)
Daripada syarat yang dinyatakan itu tadi, dapat diketahui bahawa jika seseorang itu berada atau belayar kemudian bermuqîm di kawasan yang tidak ada orang tinggal atau tidak wujud bangunan yang boleh menggambarkan kawasan tersebut mempunyai masyarakat yang didiami oleh penduduk tetap, maka tidak sah sembahyang fardhu Jumaat didirikan di kawasan tersebut. Yakni, tidak ada tuntutan ke atas orang-orang yang bermuqîm untuk melakukan sembahyang fardhu Jumaat selagi dia berada dalam kawasan yang tidak ada pemastautin.
Mengenai dengan pelantar minyak di kawasan luar pantai, seperti yang diketahui, kawasan tersebut berada di laut yang jauh dari kawasan daratan, ia terletak di kawasan yang bukan kawasan kediaman kerana tidak ada bangunan yang boleh menggambarkan kawasan tersebut didiami oleh pemastautin. Oleh yang demikian, kakitangan yang bekerja syif selama dua minggu di pelantar-pelantar minyak dan gas di luar pantai, adalah tidak dituntut untuk melakukan sembahyang fardhu Jumaat semasa mereka berada di kawasan berkenaan kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah bagi sembahyang fardhu Jumaat itu.
Meninggalkan Sembahyang Fardhu Jumaat Dua Kali Berturut-Turut Kerana Bertugas Secara Bersyif
Melihat kepada kedudukan pelantar minyak di luar pantai itu bukanlah tempat kediaman orang-orang yang bermastautin, maka oleh yang demikian tidak wajib bagi para pekerja syarikat minyak Shell mendirikan sembahyang fardhu Jumaat di tempat berkenaan.
Walau bagaimanapun pihak syarikat disarankan supaya membuat jadual giliran bekerja dengan bijaksana supaya para pekerja Islam tidak sampai meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat seperti cara lama pertukaran syif 7 hari kerja di laut dan 7 hari rehat di darat atau supaya para pekerja Islam tidak sampai meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat berturut-turut. Maka eloklah diaturkan syif bertugas selama kira-kira 13 hari yang bermula pada hari Jumaat setelah mereka menunaikan sembahyang fardhu Jumaat kemudian akan kembali semula kedaratan pada waktu pagi hari Jumaat minggu kedua berikutnya. Dengan cara ini para pekerja Islam itu hanya meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat sekali sahaja semasa bertugas di luar pantai.
Dengan cara demikian, harapan pihak syarikat untuk mengurangkan risiko keselamatan, kos-kos lojistik serta keberkesanan penghasilan akan dapat dicapai. Namun bukanlah keuntungan dunia sahaja yang hendak diraih, yang penting, yang juga perlu difikirkan ialah keuntungan akhirat.
Untuk mendapatkan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat, hendaklah setiap pekerjaan yang kita lakukan itu sentiasa seiring dengan amal ibadat yang kita dituntut melakukannya. Mudah-mudahan dengan berkat mengambil berat ibadat sembahyang itu boleh menghindari kita daripada segala malapetaka yang tidak diingini dan mudah-mudahan dengan itu juga dibukakan lagi pintu-pintu rezeki yang banyak dan luas khususnya untuk meningkatkan lagi penghasilan syarikat dan secara langsung menambahkan lagi sumber pendapatan negara.
Dengan tidak mengabaikan kewajipan seperti sembahyang fardhu Jumaat, insyâ’ Allah, ketaqwaan kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan bertambah dan seterusnya dikurniakan perlindungan dan rezeki yang melimpah-ruah.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. (Surah ath-Thalâq: 2-3)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi,
Tafsirnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): “Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” (Surah al-‘Arâf: 96)
Daripada ayat di atas dapat disimpulkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjanjikan limpahan rezeki dengan sebab taqwa. Dengan taqwa juga, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengurniakan segala bentuk kebaikan, kebahagiaan, keamanan, keuntungan dan sebagainya.
Maka dalam hal ini, berkat pihak syarikat menjaga dan menunaikan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, insyâ’ Allah, prestasi syarikat akan sentiasa meningkat dan terpelihara daripada segala kesulitan dan secara langsung akan meningkatkan lagi ekonomi negara.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11210
