Sembahyang Tahajjud Dan Sembahyang Sunat Yang Lain
Soalan: Apakah surah-surah yang harus dibaca pada rakaat pertama dan kedua dalam sembahyang Tahajjud dan sembahyang sunat yang lain?
Jawapan: Al-‘Allâmah as-Sayyid Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh berkata bahawa sunat membaca surah dalam sembahyang yang dua rakaat sama ada sembahyang fardhu seperti sembahyang Jumaat atau sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Subuh. Disunatkan juga membacanya pada dua rakaat yang pertama sembahyang fardhu seperti sembahyang fardhu Maghrib dan Zhuhur. Sunat membaca surah itu selepas membaca surah al-Fâtihah bagi imam dan munfarid (orang yang bersembahyang seorang diri), sama ada dalam sembahyang jahr iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan atau sirr iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan. (Fath al-‘Allâm: 2/372-374)
Sunat membaca sesuatu ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas membaca surah al-Fâtihah bagi imam dan munfarid dalam sembahyang fardhu Subuh dan juga dua rakaat pertama dalam sembahyang-sembahyang yang lain. Tuntutan sunat itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja daripada al-Qur’an dan yang afdhalnya sebanyak tiga ayat. Akan tetapi satu surah yang lengkap sekalipun surah yang pendek adalah lebih afdhal dibaca daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya), kecuali dalam sembahyang Tarawih dan seumpamanya seperti sembahyang sunat Subuh kerana telah wârid di dalam hadits untuk membaca sebahagian ayat daripada surah-surah yang tertentu. Ini kerana apabila dibaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang, boleh jadi dia waqaf (berhenti) di tempat yang tidak diharuskan waqaf, dan ini boleh memutuskan ayat al-Qur’an yang mempunyai kaitan (dengan ayat yang selepasnya). (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/338, Tuhfah al-Muhtâj: 1/194)
Apakah Surah-Surah Yang Dibaca Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat?
Pada dasarnya surah-surah yang dibaca dalam kebanyakan sembahyang-sembahyang sunat ialah surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua, selepas bacaan al-Fâtihah, termasuklah juga sembahyang sunat Tahajjud.
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh bahawa sunat membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh dalam sembahyang sunat Maghrib, sunat Thawaf, sunat Istikharah, dua rakaat ketika hendak belayar (sunat Safar), sunat Ihram dan diqiyâskan dengannya sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, sunat Dhuha, sunat Zawal dan seumpamanya. Disunatkan juga membacanya dalam sembahyang fardhu Subuh hari Jumaat bagi orang musâfir sebagaimana yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani Rahimahullâh, begitu juga dalam sembahyang fardhu Maghrib pada malam Jumaat menurut riwayat al-Baihaqi Rahimahullâh. (Al-Fatâwâ al- Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/192)
Berkata Al-‘Allâmah as-Sayyid Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh bahawa sebahagian ulama berpendapat adalah sebaik-baiknya membaca kedua-dua surah ini dalam setiap sembahyang yang tidak dikhususkan surahnya, seperti yang disebutkan dalam kitab Hâsyiah Fath al- Mu‘în. (Fath al-‘Allâm: 2/380)
Namun ada juga surah-surah yang khusus dibaca dalam sebahagian sembahyang-sembahyang sunat sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama, antaranya adalah seperti berikut:
1. Sembahyang Sunat Wudhu.
Berkata al-Habib Thahir bin Husin Ba ‘Alawi Rahimahullâh dalam al-Maslak al-Qarîb bahawa sunat dibaca ayat ke 64 daripada surah an-Nisâ’ pada rakaat pertama selepas bacaan al-Fâtihah:
Selepas itu beristighfâr (membaca (َحاسْتحغْفَر َُا ّلِله sebanyak tiga kali dan kemudian dibaca
surah al-Kâfirûn. Pada rakaat kedua selepas bacaan al-Fâtihah sunat dibaca ayat berikut:
Selepas itu beristighfâr sebanyak tiga kali, kemudian dibaca surah al-Ikhlâsh. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/564)
2. Sembahyang Sunat Subuh.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Majmû‘ bahawa sunat dibaca pada dua rakaat sembahyang sunat Subuh surah yang pendek sebagaimana disebutkan dalam kitab ash-Shahîhain (Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim):
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada rakaat yang pertama (ketika sembahyang sunat Subuh) membaca satu ayat daripada surah al-Baqarah ََ ), dan pada rakaat yang kedua Baginda membaca satu ayat daripada surah Âli ‘Imran (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i)
Sunat juga dibaca pada rakaat pertama surah al-Kâfirûn dan pada rakaat kedua pula surah al-Ikhlâsh sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh:
Maksudnya: Baginda (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) membaca pada rakaat pertama dalam sembahyang sunat Subuh
(Hadits riwayat Muslim)
Al-‘Allâmah as-Sayyid Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh juga menyebutkan bahawa sunat membaca surah al-Insyirâh حْ)ح(أحَلح َْنحشْر pada rakaat pertama dan surah al-Fîl َ ) ححيْفكح(أحَلح َْتحر pada rakaat kedua. (Al-Majmâ‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/339, Fath al-‘Allâm: 2/380)
Adalah lebih awlâ (utama) juga menggabungkan surah-surah itu supaya dapat beramal dengan kesemua riwayat yang wârid mengenainya. Dimulakan dengan membaca ayat ke 136 daripada surah al-Baqarah, surah al-Insyirâh dan surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan membaca ayat ke 64 daripada surah Âli ‘Imran, surah al-Fîl dan surah al- Ikhlâsh pada rakaat kedua. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/537, Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim: 2/221)
3. Sembahyang Sunat Dhuha.
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, surah-surah yang sunat dibaca selepas surah al-Fâtihah dalam sembahyang sunat Dhuha ialah surah asy-Syams pada rakaat pertama dan surah adh-Dhuhâ pada rakaat kedua. Jika ia dikerjakan lebih daripada dua rakaat, memadai dengan membaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh sesudah itu. Manakala Syeikh ar-Ramli Rahimahullâh pula menjelaskan adalah lebih utama membaca surah al- Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh berbanding surah-surah yang lain, hatta pada dua rakaat yang pertama.
Sebagai alternatif, adalah lebih awlâ menggabungkan surah-surah yang dianjurkan di atas untuk mendapatkan kesemua fadhilat surah-surah itu. Ini disarankan sendiri oleh pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn sebagaimana anjurannya untuk dibaca surah asy- Syams dan surah al-Kâfirûn pada rakaat yang pertama selepas al-Fâtihah, dan kemudian surah adh-Dhuhâ dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua. Pada rakaat yang seterusnya bolehlah dibaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh sahaja. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/557)
Perlu diingat, jika sembahyang sunat Dhuha itu dikerjakan empat rakaat, tidak perlu lagi dibaca surah untuk mengiringi al-Fâtihah selepas duduk tahiyyat awal pada rakaat yang kedua. (Fath al-‘Allâm: 2/46)
4. Sembahyang Sunat Tasbih.
Menurut Syeikh asy-Syarqawi Rahimahullâh adalah lebih awlâ dibaca surah al-Hadîd pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah ash-Shaff pada rakaat ketiga dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah. Jika tidak, bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Âdiyât pada rakaat kedua, surah at-Takâtsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat keempat.
Manakala Syeikh Ali asy-Syabramallisi Rahimahullâh menyebutkan bahawa dalam sembahyang sunat Tasbih dibaca surah at-Takâtsur pada rakaat pertama, surah al-‘Ashr pada rakaat kedua, surah al-Kâfirûn pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat keempat. (Fath al-‘Allâm: 2/62-63)
5. Sembahyang Sunat Witir.
Sembahyang sunat Witir apabila dikerjakan dalam bulan Ramadhan sunat dibaca surah al-Fâtihah dan surah yang lain dengan jahr (suara yang nyaring) sama ada dikerjakan secara berjemaah ataupun bersendirian. Adapun jika dikerjakan sembahyang sunat Witir itu di luar bulan Ramadhan (di bulan-bulan yang lain) sunat dibaca surah al-Fâtihah dan surah yang lainnya dengan isrâr (suara yang rendah).
Apabila seseorang itu mengerjakan sembahyang sunat Witir sebanyak tiga rakaat adalah disunatkan baginya membaca surah al-A‘lâ pada rakaat pertama selepas surah al- Fâtihah, dan surah al-Kâfirûn pada rakaat kedua dan surah al-Ikhlâsh dan al-mu‘awwidzatân (surah al-Falaq dan surah an-Nâs) pada rakaat ketiga. Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadits, di mana ketika Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pernah ditanya mengenai dengan surah yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda mengerjakan sembahyang Witir, beliau menjawab:
Maksudnya: Pada rakaat pertama (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam) membaca بَك َاألحعْلحىَحح َرحبَح ََاسْمحس (surah al-A‘lâ), pada rakaat kedua Baginda membaca َ (surah al-Kâfirûn) dan pada rakaat ketiga Baginda membaca ٌَ Ikhlâsh) dan Mu‘awwidzatain (surah al-Falaq dan surah an-Nâs).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Adapun jika dikerjakan sembahyang sunat Witir itu lebih daripada tiga rakaat adalah sunat dibaca surah-surah di atas pada tiga rakaat yang terakhir. Itu pun jika tiga rakaat yang terakhir itu tidak disambung dengan rakaat-rakaat sebelumnya. Contohnya, sembahyang Witir tujuh rakaat. Mula-mula dikerjakan sebanyak empat rakaat sama ada dengan satu salam atau dua salam. Kemudian barulah diikuti dengan tiga rakaat selebihnya dengan dibaca surah-surah itu tadi.
Jika disambung tiga rakaat yang terakhir itu dengan rakaat yang sebelumnya, maka tidak sunat dibaca surah-surah yang telah disebutkan di atas. Ini kerana supaya tidak menyalahi sunnah seperti membiarkan rakaat yang sebelumnya tanpa bacaan surah, bacaan yang tidak tertib mengikut Mushhaf atau kerana tidak berturut-turut atau lebih panjang daripada rakaat sebelumnya. Mengenai hal ini, di dalam kitab at-Tuhfah ada disebutkan bahawa apabila sembahyang Witir dikerjakan lima rakaat bolehlah dibaca seperti: surah al-Muthaffifîn dan surah al-Insyiqâq pada rakaat pertama, surah al-Buruj dan surah ath-Thâriq pada rakaat kedua dan dengan demikian tidaklah berlaku apa yang dikatakan menyalahi sunnah itu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/546-547, Tuhfah al- Muhtâj: 1/264)
Sementara dalam kitab al-Maslak al-Qarîb disebutkan bahawa sembahyang sunat Witir sebelas rakaat, dibaca pada setiap rakaat dengan dua maqra’ atau tiga, kurang atau lebih. Satu maqra’ itu lebih dikenali di kalangan kita sebagai satu ‘ain. Jika dia seorang yang hafaz al-Qur’an, dimulakan bacaan dari awal al-Qur’an hingga khatam. Jika dia tidak hafaz, bacalah surah-surah yang dia hafaz seperti surah Yâsîn, ad-Dukhân, al-Wâqi‘ah dan surah al-Mulk. Jika tidak (hafaz) juga, diulang surah al-Ikhlâsh pada setiap rakaat mana yang mudah baginya, sama ada sepuluh kali atau kurang ataupun lebih daripada itu, tertakluk kepada kerajinan dan keinginan. (Al-Maslak al-Qarîb: 22)
6. Sembahyang Sunat Hari Raya.
Sunat dibaca dalam sembahyang sunat Hari Raya sama ada Hari Raya Fitri atau Hari Raya Adha surah Qâf pada rakaat pertama dan surah al-Qamar pada rakaat kedua atau surah al-A‘lâ pada rakaat pertama dan surah al-Ghâsyiah pada rakaat kedua. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/570)
7. Sembahyang Sunat Istikharah.
Pada rakaat pertama selepas al-Fâtihah dibaca:
Pada rakaat kedua pula dibaca:
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, adalah harus dibaca apa jua ayat atau surah daripada al-Qur’an dalam sembahyang untuk memperolehi pahala membaca surah. Bagi sembahyang-sembahyang yang telah disunatkan membaca surah-surah yang khusus adalah lebih baik diamalkan agar tidak luput sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu.
Begitu juga sunat dibaca surah al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh dalam sembahyang-sembahyang sunat yang diqiyâskan kepada sembahyang-sembahyang sunat yang lain sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh. Oleh yang demikian, bolehlah mengamalkan membaca surah al-Kâfirûn pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat kedua selepas surah al-Fâtihah dalam sembahyang sunat Tahajjud atau membaca apa jua ayat atau surah-surah al-Qur’an kerana tidak ada surah-surah atau ayat yang dikhususkan bacaannya di dalam sembahyang Tahajjud itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11215
