Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Wang Hasil Jualan Binatang Yang Tidak Boleh Dimakan, Termasuk Anjing

Soalan: Apakah hukum wang hasil jualan binatang yang tidak boleh dimakan termasuk juga anjing?

Jawapan: Jual beli itu pada dasarnya adalah harus sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an, sunnah dan juga ijmâ‘ para ulama. Dalam Islam, jual beli mempunyai beberapa rukun yang tertentu dan setiap rukun tersebut mempunyai syarat-syaratnya. Jika kesemua rukun dan syarat-syaratnya ditepati maka sahlah jual beli tersebut.

Antara rukun jual beli itu ialah al-mabî‘ atau barang jualan yang boleh dijadikan akad. Disyaratkan pada barang jualan ini beberapa perkara:

i. Hendaklah barang itu thâhir (suci ). ii. Hendaklah barang tersebut dapat dimanfaatkan. iii. Hendaklah barang tersebut dimiliki oleh orang yang berakad. iv. Hendaklah barang tersebut boleh diserahkan. v. Hendaklah barang tersebut diketahui.

Jika semua syarat ini dipenuhi maka sah jual beli tersebut tetapi jika salah satu di antara rukun atau syarat jual beli itu rosak maka akad tersebut dikira bâthil atau tidak sah.

Hukum Jual Beli Binatang Yang Tidak Boleh Dimakan

Antara syarat-syarat sah dalam jual beli itu ialah hendaklah barang yang dijual beli itu dapat dimanfaatkan atau ada manfaatnya pada syara‘. Maka tidak sah memperjualbelikan barang yang tidak berguna atau tidak ada manfaatnya.

Termasuk menjual barang yang tidak ada manfaatnya ialah menjual serangga kecil yang melata di bumi seperti kumbang, menjual ular, kala jengking, tikus dan semut, kerana syara‘ tidak memandang sebagai ada manfaat padanya.

Begitu juga tidak sah diperjualbelikan binatang buas yang tidak dapat digunakan untuk berburu atau berperang atau yang tidak dapat dilatih seperti singa, serigala, harimau, beruang dan yang seumpamanya. Begitu juga burung yang tidak boleh dimanfaatkan seperti burung rajawali dan burung gagak.

Menurut Imam al-Mawardi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Hawî al-Kabîr, binatang yang suci (thâhir) itu terbahagi kepada dua bahagian:

1. Binatang yang boleh dimakan dagingnya. Maka jenis binatang-binatang ini boleh dijual beli sama ada ia hidup ataupun telah disembelih.

2. Binatang yang tidak dimakan dagingnya. Ia terbahagi kepada dua jenis:

i. Binatang yang boleh dimanfaatkan seperti baghal, keldai, harimau bintang, harimau (yang boleh dilatih berburu) dan seumpamanya, maka jual beli binatang-binatang seumpama ini adalah harus ketika ia masih hidup dan tidak harus apabila ia sudah mati.

ii. Binatang yang tidak ada manfaatnya seperti ular, kala jengking, serangga perosak, binatang yang melata dan binatang-binatang buas atau liar dan juga binatang yang langsung tidak ada sebarang manfaat, misalnya tidak dapat dilatih atau diajarkan membuat sesuatu atau dijadikan tunggangan dan sebagainya, maka binatang seumpama ini tidak harus dan tidak sah dijual beli. (Al-Hawî al-Kabîr: 6/469)

Imam asy-Syirazi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan:

Ertinya: Adapun sesuatu yang tidak ada manfaat padanya; seperti serangga, binatang buas yang tidak dapat digunakan untuk berburu, burung-burung yang tidak halal dimakan dan tidak dapat digunakan untuk berburu seperti burung nasar, helang dan jenis burung gagak yang tidak boleh dimakan, maka tidak harus menjualnya, kerana sesuatu yang tidak ada manfaat padanya maka tidak ada nilai baginya, maka mengambil harta hasil jualannya termasuk dalam memakan harta orang lain dengan jalan yang tidak benar (bâthil).” (al-Muhadzdzab: 3/26)

Adapun binatang atau burung yang boleh dimanfaatkan sah diperjualbelikan seperti harimau bintang digunakan untuk berburu, gajah untuk berperang, monyet untuk memetik buah-buahan dan menjaga, lebah untuk diambil madunya, burung ‘andalîb (bulbul atau murai) untuk berseronok-seronok dengan suaranya, burung merak untuk berseronok-seronok dengan warna bulunya dan lintah untuk menghisap darah orang yang sakit (tujuan perubatan).

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘ala dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj menerangkan bahawa tidak sah jual beli burung-burung dan juga binatang liar atau buas yang tidak bermanfaat untuk berburu, berperang atau berkawal seperti singa, serigala dan harimau kerana binatang-binatang ini tidak dapat diajarkan atau dilatih untuk berburu atau selainnya.

Berlainan pula halnya dengan sesetengah binatang liar yang boleh dilatih untuk membuat atau melakukan sesuatu yang dikehendaki, misalnya harimau bintang digunakan untuk berburu, gajah untuk berperang, monyet untuk berkawal dan kucing peliharaan untuk menjaga daripada tikus dan sebagainya. Maka binatang seumpama ini harus dijual beli dan sah hukumnya pada syara‘. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/90)

Yusuf al-Ardibili dalam kitabnya al-Anwâr li al-A‘mâl al-Abrâr mengatakan:

Ertinya: Sah jual beli binatang ternakan, kuda, baghal, keldai, kijang, rusa, burung helang, buzâh, rajawali, gajah, harimau bintang, monyet, kucing, merpati, burung pipit, lintah, ulat sutera dan binatang yang dapat dimanfaatkan dengan warnanya seperti burung merak, atau dengan suaranya seperti burung zurzûr (burung tiung), ‘andalîb (bulbul/murai) dan burung kakak tua.

Disebutkan mengenai kucing dalam kitab al-Majmû‘ bahawa memperjualbelikan kucing peliharaan (ahliyyah) adalah harus kerana ia boleh dimanfaatkan seperti digunakan untuk menjaga rumah daripada tikus dan lainnya. Ini adalah pendapat yang masyhur dan pendapat jumhûr ulama sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh. Manakala kucing hutan atau kucing liar tidak sah dijual beli kerana tidak bermanfaat. (Kitab al-Majmû‘: 9/274)

Manakala Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘ala dalam kitabnya pula menyatakan, adapun jenis kucing-kucing liar (wahsyî) tidak sah dijual beli kecuali ada manfaat padanya seperti kucing az-zabad (sejenis kucing atau musang yang mengeluarkan bau) dan ia dapat diserahkan (kepada pembeli) sama ada dengan mengurungnya ataupun mengikatnya. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/90)

Berdasarkan nash dan juga keterangan di atas, menjual binatang yang boleh dimanfaatkan itu adalah sah, sama ada dagingnya boleh dimakan ataupun tidak tetapi ia digunakan dan dilatih untuk berburu atau mengawal harta benda, atau berperang atau digunakan sebagai tunggangan dan membuat sesuatu kerja atau untuk berseronok-seronok dengannya selama mana ia tidak menyalahi syarat sah jual beli yang lain. Apabila binatang tersebut sah diperjualbelikan maka wang hasil jualannya itu adalah halal.

Sekiranya binatang jualan itu tidak boleh dimanfaatkan, misalnya tidak dapat dilatih kerana terlalu besar dan buas, tidak dapat dimakan, tidak dapat dijadikan tunggangan dan sebagainya ataupun ia tidak suci (najis) seperti anjing dan babi, maka memperjualbelikannya adalah tidak sah dan wang hasil jualannya adalah haram dan tidak boleh diterima.

Hukum Jual Beli Anjing

Dalam mazhab asy-Syafi‘e tidak harus dan tidak sah memperjualbelikan anjing sama ada anjing itu anjing terlatih atau lainnya, dan sama ada ia anak anjing atau anjing dewasa kerana ia adalah najis dan menyalahi syarat thahârah (suci) dalam jual beli.

Begitu juga bagi orang yang membunuh anjing, dia tidak dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi bagi nilai anjing tersebut dan pendapat ini disepakati oleh kebanyakan ulama.

Pendapat ini berdasarkan kepada beberapa buah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menegah daripada menerima harga seekor anjing, antaranya hadits riwayat Abu Mas‘ud al-Badri bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang daripada menerima harga seekor anjing, mahar daripada seorang yang zalim dan memberi upah kepada kâhin (tukang tilik). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, dia berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang (daripada menerima) harga seekor anjing, dan Baginda bersabda: “Jika seseorang itu datang untuk meminta harga seekor anjing, maka penuhilah tangannya dengan tanah.” (Hadits riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahîh)

Dinyatakan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj karangan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, bahawa antara syarat-syarat sah jual beli itu hendaklah barang yang diperjualbelikan itu suci, maka tidak sah jual beli anjing walaupun anjing terlatih. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/89)

Berkata al-Mâwardî Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Hâwî al-Kabîr:

Ertinya: Jual beli anjing itu adalah bâthil (tidak sah), dan wang hasil jualannya adalah haram, dan tidak dikenakan bayaran ganti rugi ke atas orang yang membunuhnya sama ada anjing itu boleh dimanfaatkan atau tidak. (Al-Hâwî al-Kabîr: 6/460)

Manakala dalam kitab Bujairimî ‘ala al-Khathîb pula menyatakan, tidak sah jual beli benda-benda yang najis seperti anjing walaupun anjing yang terlatih. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/10)

Daripada nash-nash yang disebutkan di atas, jelaslah bahawa dalam mazhab asy-Syafi‘e memperjualbelikan anjing itu ditegah dan wang hasil jualan anjing itu haram diterima dan dituntut.

Dalam hal ini, walaupun sesuatu benda itu mempunyai manfaat, misalnya anjing yang boleh digunakan untuk berburu atau berkawal, tetapi disebabkan oleh sifatnya yang najis, maka jual beli anjing itu menjadi haram, kerana antara syarat sah jual beli itu hendaklah benda yang hendak dijual beli itu suci. Maka tidak sah memperjualbelikan anjing walaupun ia anjing terlatih.

Maka dari apa yang diterangkan di atas, setiap jual beli yang diharuskan adalah halal dan boleh diterima hasilnya, tetapi jika jual beli itu haram, maka hasil daripada jualannya juga adalah haram seperti jual beli benda yang najis dan benda yang tidak bermanfaat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11220