Waswas Dalam Sembahyang
Soalan: Saya ada mempunyai sifat waswas yang amat tinggi. Setiap kali saya hendak melakukan sembahyang, hati saya susah hendak berniat. Setiap kali saya hendak mengangkat takbîr, hati saya ragu-ragu, begitu juga ketika sembahyang dan membaca ayat-ayat dalam sembahyang terutama membaca basmalah. Hati saya ragu-ragu sama ada bacaan saya itu betul atau tidak. Jadi, apakah yang perlu saya buat untuk menghilangkan perasaan waswas ini?
Jawapan: Waswas menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, al-waswasah (الوسوسة) adalah suara yang tersembunyi atau bisikan hati (dalam diri). Manakala al-waswâs اس)حسْوح(الو adalah nama syaitan sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nâs. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/261)
Perasaan waswas berbeza dengan syak. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/343)
Manakala sekiranya syak timbul, maka hendaklah kita teruskan dengan apa yang kita yakini. Ini bersesuaian dengan salah satu kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.
Ini bermaksud bahawa keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Maka sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.
Sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘id al-Khudriyyi Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu syak dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya, adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah raka‘at yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan sembahyangnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan. (Hadits riwayat Muslim)
Mengatasi Waswas Dengan Memperdalami Ilmu
Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, waswas timbul kerana lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214)
Sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits yang disebutkan di atas merupakan galakan untuk kita memperdalami ilmu; khususnya ilmu agama dalam masalah ibadat, agar kita yakin dalam segala amalan kita, dan tidak mudah tewas oleh bisikan dan godaan syaitan yang cuba menimbulkan keraguan dalam amalan kita.
Jadi, bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, hendaklah memperdalami ilmu mengenai sembahyang; dari segi tatacara memasang niat, mengangkat takbîratul-ihrâm, bacaan-bacaan yang betul dalam sembahyang dan sebagainya.
Waswas Pada Niat Sembahyang Dan Takbîratul-Ihrâm
Niat dari segi bahasa bererti kehendak atau tujuan di hati. Dari segi syara‘ pula bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/206)
Jika seseorang hendak melakukan sembahyang fardhu, adalah wajib dia menghadirkan di dalam hatinya tiga syarat iaitu qashd (tujuan hendak sembahyang), ta‘yîn (menentukan sembahyang Zhuhur dan sebagainya) dan ta‘arrudh (pernyataan fardhu). Maka jadilah niat sembahyang fardhu Zhuhur umpamanya, seperti: “Aku sembahyang fardhu Zhuhur” atau “aku sembahyang Zhuhur fardhu.”
Demikian juga wajib menyatakan pernyataan qashar bagi hak musafir, dan pernyataan ‘imam’ atau ‘makmum’ seandainya berjemaah. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/212)
Menurut Syamsuddin Muhammad bin Ahmad asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh, adalah sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm agar lidah dan hati saling tolong-menolong pada menghadirkan niat, dan sekaligus mengelak waswas. (Al-Iqnâ‘: 1/175)
Jadi seseorang yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan sedemikian, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti:
Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur.
Lalu terus mengangkat takbîratul-ihrâm dengan ucapan:
Sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih tertanam niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap takbîr itu.
Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, cara sedemikian adalah cara hakiki menghadirkan niat yang beriringan dengan takbîratul-ihrâm.
Menurut al-‘Allâmah al-Bujairimi Rahimahullâh, pendapat yang mu‘tamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul-ihrâm. Sebagai contoh, tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul-ihrâm.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang awam. Ini adalah kerana perlakuan sedemikian sudah dianggap menghadirkan niat untuk sembahyang. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabat-sahabat Nabi Radhiallâhu ‘anhum), maka mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbîratul-ihrâm.
Pendapat ini dibenarkan oleh Imam as-Subki Rahimahullâh, dan menurutnya, sesiapa yang tidak mengucapkan niat sedemikian, mengalami waswas yang tercela. Demikian pendapat-pendapat yang disebutkan dalam Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn (1/212-214).
Menurut Syamsuddin Muhammad bin Ahmad asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh, waswas yang datang ketika takbîratul-ihrâm adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Al-Iqnâ‘: 1/180)
Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas. Jika terjadi sedemikian dan di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan tadi oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh bagi tujuan memudahkan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/213)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah-payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)
Masalah Waswas Pada Bacaan Dalam Sembahyang
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullâh: Antara tipu daya Iblis terhadap orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada yang membaca ‘al-hamdu… al-hamdu…’ berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar daripada adab sembahyang. Adakalanya Iblis mendatangkan waswas ketika membunyikan tasydîd (huruf bersabdu), dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhâd pada kalimah al-maghdhûb dalam surah al- Fâtihah sehingga terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada huruf itu.
Ini merupakan waswas yang didatangkan oleh Iblis yang menyuruh mereka menyibukkan diri secara keterlaluan dan melampaui batas dalam pengucapan huruf sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan. Padahal yang dikehendaki hanyalah mengeluarkan atau menyebutkan bunyi huruf dengan betul. (Talbîs Iblîs: 183-184)
Menghadirkan Hati Bagi Menjauhi Waswas
Antara cara untuk mengatasi masalah waswas ketika sembahyang juga ialah dengan menghadirkan hati.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, antara cara menghadirkan hati ketika sembahyang adalah dengan mengosongkan hati daripada segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran dapat dicegah dengan menolak penyebabnya. Oleh itu, selidikilah penyebab gangguan itu. Penyebab-penyebab itu sama ada berunsur persekitaran atau dalam diri sendiri.
Adapun penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata. Maka, seseorang yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya. Namun, orang yang lemah azamnya akan bercelaru pemikirannya, maka cara mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang di tempat gelap, atau membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelakkan daripada bersembahyang di tempat laluan atau atas tikar yang berukir.
Manakala cara mengatasi faktor dalam diri, adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran daripada hal-hal keduniaan dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibaca dalam sembahyang.
Maka seseorang yang hendak sembahyang, hendaklah mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Jika fikiran masih bercelaru, maka hendaklah meninggalkan perkara-perkara dunia yang menjadi kesukaan hawa nafsunya yang merupakan perangkap syaitan. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 1/225-226)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiKu. (Surah Thâhâ: 14)
Amalan Zikir Bagi Orang Yang Waswas
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kita dalam surah an-Nâs, untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mendatangkan waswas (hasutan) kepada manusia:
Tafsirnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.” (Surah an-Nâs: 1-6)
Syaitan disifatkan dengan al-khannâs ( ) kerana sifatnya yang selalu tersembunyi dan
tidak kelihatan. Dikatakan juga, kerana syaitan berundur lari jika seseorang hamba itu ingat kepada Allah. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/262)
Sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:
هجَيمالر (ertinya: “Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam”), maka dipelihara dia daripada syaitan sehingga petang. (Hadits dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunni)
Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga mengajarkan kita cara menghindari waswas sebagaimana dalam hadits riwayat Muslim:
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Utsman bin Abu al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhu menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan telah menghalangi sembahyangku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil Khanzab. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah daripadanya. Kemudian meludahlah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali”. ‘Utsman berkata: “Aku pun melakukan seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Allah pun melenyapkannya dariku.” (Hadits riwayat Muslim)
Jarir bin ‘Ubaidah al-‘Adawi mengatakan yang ertinya: “Aku mengadu kepada al-‘Ala’ bin Ziyad: “Aku dapati waswas pada dadaku.” Dia pun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri, jika didapatinya ada sesuatu dalam rumah itu, maka dia bersegera kepadanya. Jika tidak, dia pergi meninggalkannya.” Maknanya, jika hati disibukkan dengan zikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk mengganggu. Tetapi syaitan mengambil peluang untuk mendatangkan waswas apabila lalai daripada zikir (mengingati) Allah.
Al-Ustaz Abu al-Hasan asy-Syazali Rahimahullâh pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan waswas dan lintasan-lintasan fikiran yang tidak baik. Beliau mengatakan kepada mereka: “Sesiapa yang merasa sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas dadanya, sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm:
Ertinya: Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Suci (daripada kekurangan), Yang Maha Menciptakan (sekalian makhluk) dan Yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya).
Kemudian membaca ayat:
Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya. (Surah Ibrahim: 19-20)
Sebahagian ulama juga mengatakan, digalakkan bagi orang yang terkena waswas ketika berwudhu, sembahyang dan lain-lain untuk membaca:ََ ََ sebab syaitan berundur
apabila mendengar kalimat zikir. Lebih-lebih lagi, kalimat ََ adalah induk segala zikir.
As-Sayyid al-Jalil Ahmad bin Abu al-Hawari berkata yang ertinya: “Aku mengadu kepada Abu Sulaiman ad-Darani Radhiallâhu ‘anhu tentang waswas yang menimpaku. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu.” (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214-215)
Demikianlah di antara amalan yang boleh diamalkan ketika diserang perasaan waswas ataupun lintasan-lintasan pemikiran yang tidak baik. Semoga dengan memperdalami ilmu syariat Islam juga boleh membantu untuk menghilangkan perasaan waswas dalam menjalankan ibadat khususnya dan mengharungi kehidupan umumnya, di samping sentiasa berusaha untuk menghadirkan hati mengingat Allah ketika sembahyang mahupun ketika tidak sembahyang dan memohon perlindunganNya daripada syaitan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11224
