Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Fitrah Pembantu Rumah

Soalan: Bagaimanakah zakat fitrah bagi pembantu rumah? adakah pembantu rumah itu sendiri yang membayar fitrahnya atau majikannya yang membayarkan untuknya? Saya merasa ragu tentang hal ini setelah mendengar pendapat seorang ustaz yang berkata bahawa fitrah bagi pembantu rumah hendaklah dibayar oleh majikan sedangkan khutbah yang saya dengar beberapa tahun lalu mengatakan bahawa zakat fitrah bagi pembantu rumah dibayar oleh pembantu itu sendiri kerana dia dikategorikan dalam lingkungan orang yang bekerja.

Jawapan: Zakat fitrah wajib ke atas setiap individu yang beragama Islam, sama ada kaya mahupun miskin, hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, orang dewasa atau kanak-kanak. Waktu wajib membayarnya ialah sesudah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan iaitu pada malam ‘Idul Fitri.

Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah

Antara prinsip syara‘ yang menetapkan dalam zakat fitrah ini ialah sesiapa yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya, dia juga wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi orang yang wajib diberinya nafkah.

Sebilangan ulama pula mengatakan, sesiapa yang diwajibkan menanggung nafkah orang-orang yang di bawah tanggungannya, dia juga diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi mereka.

Tanggungan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak orang-orang yang di bawah tanggungan seseorang itu berlaku dengan adanya jalinan atau hubungan di antara pihak pengeluar zakat fitrah dengan pihak yang dikeluarkan zakat fitrah baginya melalui salah satu daripada tiga sebab berikut:

1. Dengan sebab pemilikan, iaitu hubungan di antara pengeluar zakat dengan hamba sahayanya, atau

2. dengan sebab ikatan kekeluargaan (qarâbah), iaitu hubungan di antara pengeluar zakat dengan anaknya dan hubungan di antara pengeluar zakat dengan kedua ibu bapanya, atau 3. dengan sebab ikatan perkahwinan iaitu hubungan di antara pengeluar zakat dengan isterinya, sekalipun isteri telah diceraikan dengan thalaq raj‘i atau thalaq bâ’in yang dalam keadaan hamil,

dan tertakluk juga jika mereka (orang-orang yang di bawah tanggungan) itu beragama Islam dan orang yang hendak mengeluarkan zakat fitrah itu mempunyai harta untuk dikeluarkan sebagai zakat fitrah orang-orang yang di bawah tanggungannya itu. (Mughni al-Muhtâj: 1/403, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/281-282)

Zakat Fitrah Bagi Pembantu Rumah

Amah atau pembantu rumah adalah pekerja yang dibayar gaji setiap bulan. Persoalan yang timbul di sini, apakah amah itu tergolong sebagai orang yang di bawah tanggungan majikannya dan zakat fitrahnya wajib dikeluarkan atau dibayar oleh majikannya?

Untuk menjawabnya dibawakan pandangan ulama mazhab Syafi‘e mengenainya seperti berikut:

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Wajib ke atas suami mengeluarkan zakat fitrah khâdimah pembantu isterinya jika khâdimah itu adalah hamba sahaya milik suami, atau milik isteri yang dijadikan oleh suami sebagai khâdimah untuk isterinya, (tetapi) tidak (pula yang demikian hukumnya bagi khâdimah yang) diberi upah. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/284)

Menurut Muhammad Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, bahawa perkataan (َ ةاحهرجحالح َمُؤ) (yang bererti “tidak (pula yang demikian hukumnya bagi khâdimah yang) diberi upah”), yang tersebut di atas, huraiannya adalah seperti berikut:

Ertinya: Suami tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah khâdimahnya (pembantu) jika khâdimah itu merupakan orang asing yang diberi upah. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/284)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula menjelaskan kedudukan zakat fitrah pembantu isteri sama ada dia dimiliki (hamba) atau dibayar upah atau gaji, dengan berkata:

Ertinya: Jika seorang perempuan (isteri) yang pada kebiasaannya dibantu oleh khadam dan dia mempunyai khadam yang dimilikinya, wajib ke atas suami membayar zakat fitrah khadam itu, atas dasar kewajipan suami menanggung nafkahnya (khadam itu). Dan jika suami menyediakan khâdimah yang merdeka (bukan hamba sahaya) untuk menemani isterinya supaya khâdimah itu bekerja untuk si isteri dan suami membayar perbelanjaannya, tidak wajib ke atas suami untuk membayar zakat fitrahnya (khâdimah itu), kerana (dengan berbuat demikian) khâdimah itu dikira sebagai khâdimah yang dibayar upah atau gaji. Dan jika suami menyediakan khadam yang dimilikinya untuk isterinya, maka wajib juga ke atas suami membayar zakat fitrah khadam itu. Dan jika suami mengupah seorang khadam untuk isterinya, sama ada khadam itu merdeka atau hamba sahaya, tidak wajib ke atas suami membayar fitrah khadam itu sebagaimana tidak wajib ke atas suami memberinya nafkah, kerana sewa-menyewa atau upah-mengupah itu tidak mewajibkan kepada pemberian nafkah. (Al-Majmû‘: 6/94-95)

Berdasarkan pandangan para ulama di atas, jelas bahawa seseorang itu hanya berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah bagi khadamnya atau khadam isterinya (bagi suami yang berkewajipan menyediakan pembantu untuk isterinya) apabila khadam itu bersifat sebagai hamba sahaya yang dimilikinya atau yang dimilik oleh isterinya.

Manakala khadam yang bekerja dengan dibayar upah atau gaji sebagai imbalan kepada pekerjaan yang dibuatnya, tanpa ada sebarang jalinan atau hubungan di antara khadam dengan yang memberi upah melalui salah satu daripada tiga sebab yang telah disebutkan terdahulu, zakat fitrahnya tidaklah menjadi kewajipan kepada majikan yang mengupahnya untuk mengeluarkannya.

Oleh yang demikian, amah atau pembantu rumah yang diambil bekerja dan diberi upah atau gaji pada setiap bulan, sama ada dia tinggal di rumah majikannya atau tinggal berasingan daripada majikannya, tidak wajib ke atas majikan untuk mengeluarkan zakat fitrahnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11228