Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Ajaran Ilmu Pancar

Soalan: Bahagian Kawalan Akidah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam telah menjalankan siasatan terhadap satu ajaran digelar sebagai “Ilmu Pancar” yang diasaskan oleh seorang warga tempatan. Pengasas juga membuat risalah yang bertajuk “Suluh Kehidupan” iaitu mengenai amalan/ajaran berkenaan. Oleh yang demikian, apakah pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini, untuk dijadikan sebagai panduan dan sandaran bahagian ini dalam menjalankan tugas?

Jawapan: Setelah meneliti risalah yang bertajuk “Suluh Kehidupan” yang diasaskan oleh warga tempatan tersebut yang berkaitan dengan amalan atau ajaran yang digelar “Ilmu Pancar” itu didapati bahawa risalah berkenaan bertentangan dan menyeleweng daripada aqidah Islam serta merosakkan iman, kerana antara lain ia mengandungi seperti berikut:

i) Nyawa itu ialah Tuhan. (no: 83) ii) Fatimah itu ialah ibu yang awal. (no: 237) iii) Ibu yang awal itu ialah yang mengadakan Roh. (no: 238) iv) Sujud dalam sembahyang itu ialah mencium pusat Tuhan yang suci. (no: 289) v) Ruku‘ dalam sembahyang itu ialah mencium bumbunan Tuhan. (no: 290) vi) Sembahyang sunat di Madinah yang mula ‘kitani’ datang - ialah sembahyang sujud kepada Nabi Muhammad. (no: 296) vii) Sembahyang sunat di Jeddah yang mula ‘kitani’ datang - ialah sembahyang sujud kepada Siti Hawa. (no: 297) viii) Sembahyang sunat di Makkah yang mula ‘kitani’ datang - ialah sembahyang sujud kepada Adam. (no: 298) ix) Roh itu berhimpun kesemuanya di Makkah. (no: 435) x) Banyak nama tuhan itu ialah 3000. (no: 547) xi) Yang membuat alam ini ialah Muhammad. (no: 995)

Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa risalah tersebut adalah sesat lagi menyesatkan, tidak dapat digunakan sama sekali kerana ia bercanggah dengan aqidah dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Pengasas ajaran Ilmu Pancar dan pengikut-pengikutnya wajiblah segera kembali kepada ajaran Islam dan bertaubat kerana ajaran ini mengandungi perkara-perkara syirik menyekutukan Allah dalam ibadat, yang boleh menyebabkan seseorang keluar daripada agama Islam (murtad).

Orang yang keluar daripada agama Islam (murtad), tidak sah dia kahwin dengan orang Islam. Sekiranya suami atau isteri orang Islam kemudian dia murtad, maka terputus (terfasakh) ikatan pernikahan suami isteri itu setelah habis ‘iddah isterinya, iaitu jika sekiranya suami atau isteri tidak kembali kepada Islam dalam masa ‘iddah dengan mengucap dua kalimat syahadat serta membuang i‘tiqâd kufur, yang membawanya menjadi murtad.

Orang murtad tidak sah mempusakai harta pusaka orang Islam seperti bapanya, ibunya, saudaranya atau isterinya. Jika sekiranya orang murtad itu mati, tidak boleh ditanam mayatnya dalam perkuburan orang Islam kerana perkuburan Islam adalah waqaf bagi orang Islam. Dia tidak boleh disembahyangkan dan mayatnya boleh diberi makan kepada anjing, tetapi kiranya menyusahkan orang Islam, boleh ditimbus atau dicampakkan ke laut. Orang murtad kiranya dia lapar atau haus, tidak boleh diberi makan atau minum sehingga dia kembali kepada Islam dengan mengucap dua kalimat syahadat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11239