Berinai Bagi Perempuan
Soalan: Apa hukum berinai bagi perempuan yang belum kahwin?
Jawapan: Hukum berinai bagi perempuan adakalanya sunat dan adakalanya makruh, bahkan adakalanya haram. Perbezaan hukum ini adalah mengikut keadaan serta status perempuan itu sama ada belum ataupun sudah bersuami. Selain itu juga, dilihat kepada cara dan tujuan perempuan itu berinai.
Berinai Kerana Hendak Berihram
Sunat bagi perempuan yang bersuami atau yang tidak bersuami (janda atau belum berkahwin), perempuan tua atau muda berinai ketika hendak melakukan ihram sebagaimana kata Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: )Dan ( disunatkan )menginai ( bagi perempuan yang bukan berkabung [kerana hendak berihram (menginai) tangannya] iaitu kesemua tangannya hingga ke pergelangan tangan dengan inai secara menyeluruh dan begitu juga mukanya sekalipun dia seorang perempuan yang tidak bersuami lagi muda, kerana dia perlu mendedahkan keduanya (tangan dan muka), dan sedemikian itu (dengan menginainya) akan menutup warna (kulit) kedua-duanya (tangan dan muka). Dan makruh baginya menginai setelah masuk ihram kerana berinai itu termasuk perhiasan namun tidak pula dikenakan fidyah padanya kerana inai itu bukan wangi-wangian. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/24)
Berinai Bukan Kerana Hendak Berihram
Sunat juga bagi perempuan yang bersuami berinai sekalipun dia tidak bermaksud untuk berihram. Akan tetapi jika perempuan itu tidak mempunyai suami dan tidak pula dia bermaksud untuk berihram, maka adalah makruh berinai ke atasnya sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah:
Ertinya: Jika perempuan itu mempunyai suami, maka adalah disunatkan baginya berinai pada setiap masa, kerana berinai itu adalah satu perhiasan dan kecantikan dan dia (isteri) disunatkan berhias dan berdandan untuk suaminya pada setiap waktu. (Akan tetapi) jika perempuan itu tidak mempunyai suami dan tidak pula dia bermaksud untuk melakukan ihram, maka adalah dimakruhkan baginya berinai tanpa sesuatu sebab keuzuran, kerana ditakuti timbul fitnah kepadanya atau kepada orang lain disebabkan dia memakai inai. (Al- Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 7/196)
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh juga menyebutkan:
Ertinya: Dan disunatkan juga berinai bagi perempuan yang tidak bermaksud untuk melakukan ihram jika dia bersuami dan jika tidak bersuami maka (hukumnya) adalah makruh. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/25)
Walau bagaimanapun hukum ini akan berubah jika sekiranya cara berinai itu tidak mengikut apa yang telah digariskan oleh Islam.
Cara Berinai Yang Digariskan Oleh Islam
Sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah bahawa berinai yang disunatkan bagi perempuan bersuami yang ingin melakukan ihram atau tidak ialah dengan cara menginai seluruh tangan hingga pergelangannya dan disunatkan juga menyapu sedikit inai pada mukanya. Begitu juga cara berinai bagi perempuan yang tidak bersuami yang ingin melakukan ihram. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhaj: 2/24-25 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/271)
Hikmat menyapukan sedikit inai ke muka dan menginaikan keseluruhan tangan hingga pergelangannya, adalah untuk menutupi warna kulit, kerana (ketika berihram) perempuan disuruh membuka muka dan terkadang pula kedua tangan akan terbuka. (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 7/196)
Adapun berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi bukanlah cara berinai yang disunatkan, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara-cara tersebut bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi perempuan yang tidak mendapat keizinan suaminya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh:
Ertinya: Dan tidak disunatkan baginya (perempuan yang bukan berkabung yang hendak melakukan ihram ataupun tidak) berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi perempuan yang tidak mendapat keizinan suaminya. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al- Minhâj: 2/25)
Berinai Bagi Perempuan Yang Berkabung (Ihdâd)
Berkabung atau ihdâd dari segi istilah syara‘ ialah meninggalkan daripada memakai pakaian yang diwarnakan untuk berhias dan seumpamanya seperti memakai celak mata, wangi-wangian, berinai dan barang-barang perhiasan. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/149)
Disebutkan dalam sebuah hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah kami dilarang berkabung kerana kematian seseorang lebih daripada tiga hari kecuali kerana kematian suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. (Semasa waktu berkabung itu) kami tidak boleh bercelak, tidak boleh pula berharum-haruman dan tidak boleh memakai pakaian yang diwarnakan untuk berhias. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka termasuk juga di dalam perkara meninggalkan berhias semasa berkabung itu ialah berinai. Oleh yang demikian, adalah haram bagi perempuan yang berkabung itu berinai, sama ada dengan daun inai atau seumpamanya, pada anggota yang zahir daripada tubuh badan, seperti berinai pada muka, dua belah tangan dan termasuk juga dua belah kaki dan rambut kecuali dalam keadaan dharurat. Akan tetapi tidaklah diharamkan ke atasnya berinai pada anggota yang tertutup oleh pakaian. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/152 dan Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/24)
Kesimpulannya, adalah sunat bagi perempuan yang tidak bersuami berinai jika dia hendak melakukan ihram dan makruh baginya berinai jika dia tidak bermaksud melakukan ihram kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah kepadanya atau kepada orang lain kecuali atas sebab keuzuran. Akan tetapi haram baginya berinai jika dia berinai dengan cara yang tidak disunatkan iaitu dengan membuat ukiran-ukiran atau berinai di hujung-hujung jari sahaja.
Bagi perempuan yang bersuami pula, adalah sunat baginya berinai ketika hendak berihram, bahkan pada setiap masa kerana berinai itu adalah satu perhiasan dan kecantikan dan seorang isteri disunatkan berhias dan berdandan untuk suaminya pada setiap waktu. Walau bagaimanapun, adalah haram berinai dengan membuat ukiran atau berinai di hujung-hujung jari sahaja jika tidak diizinkan suaminya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11243
