Bersetubuh Ketika Berpuasa Nazar, Adakah Wajib Kaffârah?
Soalan: Adakah seseorang yang melakukan persetubuhan ketika berpuasa nazar diwajibkan kaffârah ataupun hanya diwajibkan mengqadha’nya?
Jawapan: Bernazar untuk melakukan sesuatu yang berupa ketaatan yang tidak wajib dilakukan seperti bersedekah, sembahyang sunat, puasa sunat, berwaqaf dan sebagainya adalah wajib ditunaikan.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka (nazar-nazar yang baik). (Surah al-Hajj: 29)
Dari itu jika seseorang bernazar untuk melakukan puasa sunat apabila dia mendapat pekerjaan, maka wajiblah dia menunaikan nazarnya itu. Namun puasa nazar berkenaan tidaklah wajib disegerakan andainya tidak ditentukan hari untuk melakukannya. (Al- Hâsyiatân: Qalyubi wa ‘Umairah: 4/290)
Bersetubuh Ketika Berpuasa Nazar
Orang yang membatalkan puasa nazarnya dengan bersetubuh, sama ada persetubuhan yang halal melalui pernikahan yang sah atau persetubuhan syubhah atau persetubuhan haram dengan kerelaannya atau melakukan liwâth atau dengan menyetubuhi haiwan, maka wajiblah dia mengqadha’ puasa nazarnya yang batal itu pada hari yang lain tanpa dikenakan kaffârah ke atasnya.
Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, kaffârah tidak diwajibkan ke atas orang yang merosakkan puasanya dengan bersetubuh sama ada puasanya itu puasa sunat, nazar, qadha’ atau puasa kaffârah melainkan puasa bulan Ramadhan sahaja. Ini kerana kewajipan kaffârah itu adalah disebabkan oleh penghinaan dan pencabulannya terhadap kemuliaan dan kehormatan bulan Ramadhan itu sendiri dengan melakukan persetubuhan, berlainan halnya dengan puasa nazar, ia tidak boleh dilakukan pada bulan tersebut. (Mughnî al-Muhtâj: 2/178 & 180 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/396)
Terdapat nash hadits yang menyebutkan bahawa kaffârah itu hanya wajib bagi mereka yang merosakkan puasa dengan bersetubuh pada bulan Ramadhan sahaja. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dia berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu dia berkata: “Saya telah binasa, wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Apa yang telah membinasakanmu?” Dia berkata: “Aku telah menyetubuhi isteriku dalam bulan Ramadhan (padahal aku sedang berpuasa)”. Baginda bersabda: “Apakah engkau mempunyai hamba yang boleh engkau merdekakan?” Dia berkata: “Tidak”. Baginda bersabda: “Apakah kamu mampu untuk berpuasa dua bulan berturut-turut?” Dia berkata: “Tidak”. Baginda bersabda: “Apakah kamu mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Dia berkata: “Tidak”. Berkata Abu Hurairah: “Kemudian dia duduk dan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam didatangkan dengan suatu bekas berisi kurma”. Maka Baginda bersabda: “Bersedekahlah dengan ini (kurma)...” (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, kaffârah hanya diwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh khusus pada bulan Ramadhan sahaja dan bukan pada bulan-bulan yang lain. Ini bererti melakukan persetubuhan ketika berpuasa nazar atau apa jua puasa selain daripada puasa bulan Ramadhan tidaklah diwajibkan kaffârah.
Namun begitu, apabila seseorang itu membatalkan puasa nazarnya dengan senghaja seperti bersetubuh, maka wajib dia mengqadha’nya dengan segera tanpa melengah-lengahkannya sepertimana juga halnya dengan membatalkan puasa-puasa wajib yang lain seperti puasa qadha’, puasa kaffârah dan sebagainya.
Hal ini adalah sebagaimana penjelasan pengarang kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn ketika menjelaskan ungkapan pengarang Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Dan wajib qadha’ apa (puasa) yang telah luput.
Ertinya: Iaitu (wajib qadha’) dengan segera jika ia luput bukan atas sebab keuzuran. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/395)
Membatalkan puasa wajib tanpa sebarang keuzuran syara‘ adalah berdosa di samping diwajibkan mengqadha’nya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11247
