Hukum Farâ’idh Ke Atas Perniagaan Warisan Yang Masih Beroperasi
Soalan: Ayah telah meninggal dunia dan kami mempunyai perniagaan hasil perniagaan daripada beliau yang masih dijalankan hingga kini. Apakah hukum pembahagian farâ’idh dikenakan kepada kami adik-beradik ke atas perniagaan yang masih beroperasi itu?
Jawapan: Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka semua harta yang tsabit menjadi miliknya ketika hidup bertukar menjadi hak bagi ahli-ahli warisnya. Bagaimanapun, sebelum harta pusaka itu dibahagi-bahagikan di kalangan ahli waris, perkara-perkara yang wajib dan lebih utama yang berkaitan dengan peninggalan (harta) si mati hendaklah ditunaikan terlebih dahulu seperti belanja urusan penyempurnaan jenazahnya dan juga hutang-hutangnya sama ada hutang kepada manusia atau kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Hutang manusia kepada Allah Ta‘ala itu adalah seperti haji wajib yang belum dikerjakannya, kaffârah, fidyah, zakat, nazar dan sebagainya. Juga perlu ditunaikan terlebih dahulu ialah wasiat (jika ada) yang ditinggalkan oleh si mati bagi penerima yang bukan terdiri daripada kalangan ahli warisnya. Selepas itu, barulah harta yang berbaki diagih-agihkan kepada ahli waris mengikut hukum farâ’idh.
Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Bahagi-bahagikanlah harta antara ahli farâ’idh, menurut Kitab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)
Setiap perniagaan, biasanya memiliki harta atau aset bagi membolehkan operasi perniagaan itu dijalankan seperti modal hartanah, modal tetap dan pusingan, wang tunai, pendapatan-pendapatan, keuntungan dan sebagainya. Harta-harta perniagaan yang ditinggalkan oleh si mati itu juga termasuk dalam ruang lingkup harta atau pusakanya. Oleh itu, harta-harta tersebut wajiblah diagih-agihkan kepada ahli-ahli waris yang berhak menurut kaedah ilmu farâ’idh. Jika perniagaan dikongsi sama dengan orang lain, maka bahagian yang perlu diagihkan kepada ahli warisnya ialah sahamnya dalam syarikat itu.
Sekiranya perniagaan hendak diteruskan sebelum pembahagian harta dilaksanakan, persetujuan dan kebenaran daripada semua ahli waris yang terlibat perlu diperolehi. Jika terdapat pihak yang enggan memberi keizinan supaya hak mereka diperniagakan, maka pembahagian harta mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum operasi perniagaan diteruskan.
Apabila perniagaan mendapat keuntungan atau menanggung kerugian pada kiraan tahun kewangan yang dilakukan selepas pemiliknya meninggal dunia, maka cara pengagihan untung atau rugi adalah berdasarkan saham atau peratus modal yang dimiliki oleh setiap ahli waris dalam perniagaan tersebut. Kaedah farâ’idh tidak lagi digunakan dalam hal ini kerana keuntungan atau kerugian yang dihasilkan oleh perniagaan itu bukan bersumber daripada harta yang tsabit menjadi milik si mati.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11252
