Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Hukum Wudhu Wanita Haidh

Soalan: Saya tertarik dengan kuliah mufti tentang kelebihan orang yang dapat mengekalkan wudhu. Bagaimana dengan status wanita di dalam haidh? Apakah masih dikira pahala wudhunya sedang dia berada di dalam hadas besar?

Jawapan: Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, amalan mengekalkan wudhu adalah sunat. (Mughnî al-Muhtâj: 1/194) Persoalannya, bagaimana pula hukumnya jika seseorang itu dalam keadaan berhadas besar, adakah dia disunatkan berwudhu? Hadits daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menyatakan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur, sedangkan Baginda berada dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda (terlebih dahulu) dan mengambil wudhu (sepertimana wudhu) untuk sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari) Dalam riwayat lain pula, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila dalam keadaan junub lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sepertimana wudhu Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian berhasrat untuk mengulanginya, maka hendaklah mengambil wudhu antara keduanya (antara kedua persetubuhan itu) dengan sekali wudhu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits lain pula daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah mengelilingi (menyetubuhi) isteri-isteri Baginda dalam sekali mandi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan bahawa hadits-hadits tersebut di atas memberi maksud bahawa orang yang berhadas besar (berjunub) jika dia hendak tidur, makan, minum atau bersetubuh lagi dengan isteri yang telah disetubuhinya atau isterinya yang lain, adalah disunatkan terlebih dahulu mengambil wudhu serta membasuh (membersihkan) kemaluannya (sebelum berwudhu). Beliau juga menyebut bahawa para ulama asy-Syafi‘iyyah berpendapat adalah makruh hukumnya ke atas orang yang berhadas besar (berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum berwudhu. (Syarh an-Nawawi ‘alâ Shahîh Muslim: 2/1343, al-Majmû‘: 2/176)

Adapun perempuan yang berhadas besar kerana haidh atau nifas, tidak disunatkan ke atasnya untuk mengambil wudhu jika darah haidh atau nifasnya masih keluar. Tetapi jika darah haidh atau nifasnya sudah berhenti, maka disunatkan ke atasnya untuk mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum. (Al-Majmû‘: 2/176, Mughnî al-Muhtâj: 1/195)

Ini adalah kerana wudhu tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haidh atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haidh atau nifas masih keluar. Berlainan jika darah haidh atau nifas itu sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub bukan kerana haidh atau nifas iaitu sunat ke atasnya mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil). (Al-Majmû‘: 2/176)

Hikmat Sunat Berwudhu Ke Atas Orang Yang Junub

Menurut ulama, disunatkan kepada orang yang berjunub mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan, minum dan bersetubuh, hikmatnya adalah bagi maksud meringankan hadas kerana wudhu berperanan untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wudhu. Demikian juga, ia bermaksud bagi tujuan kebersihan. Ada juga ulama mengatakan, ia bertujuan agar seseorang itu tidur dalam keadaan suci daripada salah satu dua hadas (hadas kecil dan besar) kerana ditakuti dia menemui ajalnya di dalam tidur. Ada pula ulama lain yang mengatakan, agar wudhu itu merangsang seseorang untuk mandi apabila air mengenai anggota-anggota wudhu. (Syarh an-Nawawi ‘alâ Shahîh Muslim: 2/1344 dan Mughnî al- Muhtâj: 1/195)

Berdasarkan huraian di atas, wudhu adalah tidak disunatkan ke atas wanita yang berhadas besar kerana haidh atau nifas jika darah haidh atau nifasnya masih keluar, kerana peranan wudhu untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wudhu pada ketika itu tidak memberi kesan.

Namun jika darah haidh atau nifasnya sudah berhenti, maka adalah sunat untuk mengambil wudhu seperti keadaan orang yang berjunub bukan kerana haidh atau nifas. Malah adalah makruh jika dia makan, minum atau tidur sehingga dia mengambil wudhu terlebih dahulu.

Sujud Tambahan Selepas Salam Sembahyang Hajat

Soalan:

Di sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia, telah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat di sana melakukan sujud tambahan selepas memberi salam daripada sembahyang Hajat. Tujuan sujud itu dilakukan ialah untuk membaca beberapa zikir serta hajat yang dipohon oleh seseorang yang bersembahyang Hajat itu. Terdapatkah dalil pensyariatannya atau ia sesuatu yang sengaja diada-adakan?

Jawapan:

Sembahyang Hajat ialah antara sembahyang nawâfil (sunat) yang disyariatkan. Apabila seseorang merasa tertekan atau terdesak dalam sesuatu masalah dan dia memohon supaya dilepaskan daripada kesulitan tersebut atau dia mengharapkan sesuatu hajat sama ada untuk urusan dunia atau akhiratnya, maka mengerjakan sembahyang Hajat adalah salah satu cara bagi tujuan itu.

Bertaubat Sebelum Sembahyang Hajat

Al-‘Allâmah Muhammad ‘Abdullah al-Jardani Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menerangkan dalam kitabnya Fath al-‘Allâm bi Syarh Mursyid al-Anâm, antara syarat supaya do‘a atau hajat dikabulkan hendaklah seseorang itu bertaubat daripada segala dosa yang telah dilakukannya. Jika dia berhajat sesuatu dan dia meminta kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, padahal dia mempunyai dosa, tetapi dia tidak bertaubat, maka besar kemungkinan hajatnya akan ditolak.

Manakala Sayyid ‘Ali al-Buhairi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula berkata: “Janganlah ada di antara kamu memohon do‘a kecuali setelah beristighfâr dengan mengucapkan:

Ertinya: Aku mohon keampunan Allah Yang Maha Agung yang tidak tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Tetap Hidup lagi Yang Kekal selama-lamanya, dan aku bertaubat kepadaNya daripada segala dosa.

Maka apabila telah selesai beristighfâr, barulah memohon apa yang dihajatkan supaya dikabulkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.” (Fath al-‘Allâm: 2/50)

Kaifiyyah Sembahyang Hajat

Dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menerangkan kaifiyyah sembahyang sunat Hajat ini dilakukan dengan dua rakaat. Hadits yang dimaksudkan diriwayatkan daripada ‘Utsman bin Hunaif, katanya:

Maksudnya: Seorang lelaki buta datang menemui Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Berdo‘alah kepada Allah untukku supaya Dia menyembuhkanku (mengembalikan penglihatanku)”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Jika engkau mahu (bersabar dan redha dengan keadaanmu ini), aku akhirkan sahaja untukmu (ganjarannya pada Hari Akhirat) dan (kesabaran) itulah yang lebih baik bagimu, dan jika engkau mahu (aku do‘akan untukmu), aku akan do‘akan.” Lelaki itu menjawab: “Do‘akanlah!” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruhnya berwudhu lalu dia pun menyempurnakan wudhunya (dengan sebaik-baiknya) kemudian bersembahyang dua rakaat dan (menyuruhnya) berdo‘a dengan do‘a ini:

(Ya Allah! Aku bermohon kepadaMu (apa yang aku hajatkan) dan memohon kepadaMu syafaat dengan (wasîlah) Nabi Muhammad pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku memohon syafaat kepada Tuhanku dengan wasîlahmu dalam hajatku ini agar dikabulkan. Ya Allah! Terimalah syafaat Baginda untuk diriku). (Hadits riwayat Ibnu Majah)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11256