Insurans Nyawa
Soalan: Apakah hukum insurans nyawa yang dijalankan secara konvensional pada masa kini? Adakah ia sah di sisi syariat Islam?
Jawapan: Insurans konvensional adalah akad atau kontrak yang mewajibkan penjual insurans (syarikat insurans) membayar sejumlah wang (pampasan) atau membayar secara beransur atau membayar sebarang bayaran pampasan (sebagaimana yang telah dipersetujui) kepada pembeli insurans (pencarum) atau pengambil faedah yang telah disyaratkan, apabila terjadi sesuatu kemalangan yang dilindungi seperti yang dijelaskan dalam akad atau kontrak sebagai imbalan kepada pencarum atas bayaran premium yang telah dijelaskannya kepada syarikat insurans seperti yang ditetapkan. (At-Ta’mîn Baina al-Hazhr wa al-Ibâhah: 15)
Berdasarkan takrif ini, jelaslah bahawa akad insurans konvensional adalah jenis akad mu‘âwadhah iaitu akad pertukaran jual beli antara syarikat insurans dan pencarum. Ini menunjukkan bahawa akad insurans adalah berbentuk perniagaan.
Dalam akad insurans perniagaan, al-khathr (اْلطر) adalah salah satu unsur dalam akad insurans ini. Al-Khathr bermaksud bahaya atau risiko yang dihadapi oleh pencarum seperti kerosakan, kemalangan, kematian dan sebagainya. Jika al-khathr berkaitan dengan diri individu manusia sama ada nyawa atau anggota-anggota badan yang terdedah kepada kecederaan dan kemalangan, maka ia dinamakan insurans al-asykhâsh َ (األشخاص) atau insurans keindividuan. Insurans jenis ini meliputi semua jenis insurans yang berkaitan dengan diri individu manusia. Insurans nyawa adalah salah satu jenis daripada jenis-jenis insurans perniagaan al-asykhâsh ini.
Jika al-khathr ini berupa kemusnahan atau kerosakan yang terjadi akibat kemalangan yang menimpa pencarum, sebagai contoh berlaku kemalangan terhadap harta bendanya seperti kenderaan atau kebakaran terhadap premis miliknya, maka jenis insurans ini disebut sebagai insurans al-Adhrâr (األضرار) atau insurans kerosakan barangan atau harta benda.
Insurans Nyawa
Dalam akad insurans nyawa, pencarum dikehendaki membayar satu jumlah tertentu pada masa yang telah ditetapkan kepada syarikat insurans. Jumlah bayaran tersebut hendaklah dibayar oleh pencarum secara kadar bulanan ataupun seumpamanya, mengikut apa yang telah dipersetujui dalam akad berkenaan. Jika pencarum masih hidup setelah tamat tempoh yang telah ditetapkan, maka syarikat insurans akan membayar semula caruman yang telah dibayar oleh pencarum beserta dengan keuntungan ataupun tanpa keuntungan mengikut syarat yang telah dipersetujui. Jika pencarum meninggal dunia sebelum tamat tempoh yang telah ditetapkan, sekalipun dia baru membayar sekali bayaran caruman sahaja, maka syarikat insurans akan membayar kepada warisnya suatu jumlah sama kadarnya dengan jumlah yang telah dipersetujui dalam akad. (At-Ta’mîn Baina al-Hill wa at-Tahrîm: 21)
Menurut keputusan yang dibuat oleh Majlis Akademi Fiqh Islam (Majma‘ al-Fiqh al-Islami) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama daripada seluruh dunia Islam dan diasaskan di bawah Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam persidangannya yang kedua di Jeddah pada tahun 1985 mengenai dengan insurans, memutuskan bahawa akad insurans perniagaan yang mempunyai premium tetap merupakan akad yang mempunyai unsur gharar (suatu yang tidak jelas dan tidak pasti) yang besar yang merosakkan akad. Oleh sebab itulah, insurans perniagaan ini diharamkan di sisi syara‘. (Majma‘ al-Fiqh al-Islam: Al- Qarârât wa at-Taushiyyât Haul al-Bunûk al-Islâmiyyah wa al-Mâliyyah (1985-2000)
Pengharaman insurans perniagaan dengan segala jenisnya sama ada insurans nyawa atau insurans harta perniagaan atau sebagainya adalah berdasarkan beberapa dalil berikut:
i. Akad insurans perniagaan mengandungi unsur gharar. Gharar membawa maksud tidak jelas atau ketidaktentuan dalam akad. Oleh itu adalah amat penting semasa sesuatu akad atau kontrak hendak dimateraikan, apa yang diakadkan atau apa yang dijanjikan hendaklah jelas sehingga tidak lagi boleh menimbulkan apa-apa keraguan atau salah anggapan. Sekiranya keadaan ini timbul, maka tiada lagi kesaksamaan dan keadilan dalam akad. (Takaful Sistem Insurans Islam: 41)
Ketidakpastian atau ketidaktentuan dalam akad ini timbul apabila kedua-dua pihak yang berakad saling tidak mengetahui apa yang akan berlaku di kemudian hari, umpamanya, adakah pencarum akan ditimpa kemalangan, berapa kalikah wang caruman akan diterima oleh syarikat insurans dan sebagainya. Akad tersebut adalah berlandaskan kepada spekulasi semata-mata. Dalam hal ini, penyerahan wang pampasan yang hendak diberikan itu tidak dapat ditentukan dengan jelas ketika akad dibuat.
Selain ‘tidak jelas’ atau ‘tiada ketentuan’ yang membawa kepada unsur gharar, sesuatu akad itu juga dikatakan gharar jika akibat daripadanya, salah satu pihak akan menanggung beban kerugian dan hilang hak. Sebaliknya daripada kerugian ini, satu pihak lagi akan mendapat faedah yang tidak sepatutnya diperolehi di bawah akad yang kedua pihak meterai itu. (Takaful Sistem Insurans Islam: 44)
Apabila terjadi sesuatu yang tidak jelas dalam akad dan kesan daripada akad itu menyebabkan ketidakadilan antara dua pihak yang berakad, maka ia jelas mengambarkan bahawa transaksi muamalat yang dilakukan itu terdapat unsur gharar.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan terang mengharamkan jual beli yang mengandungi unsur gharar di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang jual beli kerikil dan jual beli (yang sifatnya) tidak jelas. (Hadits riwayat Muslim)
ii. Akad insurans perniagaan mempunyai unsur perjudian (maisir) kerana mengandungi pertaruhan dalam pertukaran harta. Iaitu bertaruh pada sesuatu yang tidak pasti dan ia bergantung kepada nasib untuk mendapatkan bayaran pampasan.
Ini bererti, apabila kemalangan berlaku, pencarum akan mendapat pampasan lumayan dan ia dikira sebagai satu keuntungan kerana dengan carumannya yang sedikit, dia boleh mendapat sejumlah wang yang banyak. Sebaliknya, jika tidak berlaku sebarang kemalangan, maka pencarum akan menanggung kerugian kerana kehilangan wang premium yang telah dicarum. Inilah yang dimaksudkan dengan unsur judi.
Muamalat seumpama ini termasuk dalam kategori judi. Judi itu jelas haram sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
iii. Insurans perniagaan mengandungi riba al-fadhl dan riba an-nasa’ yang diharamkan oleh syara‘.
Riba al-fadhl berlaku apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum dengan jumlah yang lebih tinggi daripada wang caruman yang telah dibayar oleh pencarum. Apabila terjadi kemalangan ke atas pencarum sebelum tempoh matangnya, maka pencarum akan diberi wang pampasan yang melebihi jumlah caruman yang telah dibayarnya. Jumlah yang lebih itulah dinamakan sebagai riba al-fadhl.
Di samping itu, penangguhan bayaran pada satu masa tertentu (bergantung kepada bila berlakunya kemalangan) kepada pencarum dikategorikan pula sebagai riba an-nasa’. Kedua-dua jenis riba ini adalah haram dalam Islam. (Takmilah al-Majmû‘: 13/254)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Dalam hal insurans nyawa ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, dalam fatwanya bilangan 40/1975, beliau menyatakan:
“Orang yang membayar insurans itu, apabila dia hidup sampai pada suatu masa yang disetujukan di antaranya dan syarikat insurans itu, dan dia telah membayar semua yuran yang disetujukan, maka syarikat insurans itu membayar semula kepadanya semua bayaran yuran yang telah dibayarnya serta suatu jumlah kadar yang lain bersama-sama yurannya itu. Maka itu sudah tentu bunga atau riba. Jika dia mati sebelum masa yang disetujukan, maka syarikat itu akan membayar kepada warisnya suatu jumlah sama kadarnya dengan jumlah yuran yang telah disetujukan, sekalipun dia belum membayar yuran itu. Maka ini judi hukumnya.
Dan lagi syarikat itu melaburkan yuran-yuran itu atau sebahagiannya dalam perkara riba seperti menghutang dengan mengenakan bunga atau riba. Maka orang yang beryuran itu menolong syarikat itu pada menjalankan riba atau bunga, dan riba atau bunga itu adalah maksiat dan dosa besar yang diancam Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan peperangan ke atas yang membuat riba itu.”
Berdasarkan keterangan di atas, bermuamalat dengan insurans nyawa atau segala jenis bentuk insurans perniagaan yang dijalankan secara konvensional adalah haram dan tidak sah kerana segala transaksi yang dilakukan berhubung dengan semua bentuk insurans perniagaan yang dijalankan secara konvensional itu adalah bercanggah dengan kehendak hukum syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11260
