Isu Penyembelihan Menggunakan Stunning
Soalan: Di Australia, sebahagian rumah-rumah penyembelihan daging menjalankan satu proses sebelum penyembelihan secara Islam dilakukan. Proses tersebut adalah dengan melakukan pukulan atau memberi suntikan kepada binatang yang akan disembelih bertujuan agar binatang tersebut tidak sedar (tidak mati) sebelum ia disembelih secara Islam. 1. Adakah penyembelihan dengan cara ini dikategorikan halal dari sudut pandangan Islam? 2. Jikalau binatang tersebut mati dan kemudian disembelih, adakah ia dikategorikan halal? 3. Setelah penyembelihan dilaksanakan, binatang tersebut seterusnya ditusuk pada bahagian dada bagi mengeluarkan darahnya. Adakah kaedah ini halal dari sudut pandangan Islam? 4. Adakah binatang-binatang yang disembelih yang didatangkan dari Australia untuk negara ini dilaksanakan penyembelihannya seperti yang tersebut di atas?
Jawapan: Islam telah memberi garis pandu yang lengkap bagaimana melakukan penyembelihan terhadap binatang iaitu dengan memperelokkan penyembelihan mengikut syarat-syarat yang ditentukan. Perintah untuk melakukan penyembelihan secara ihsân ada disebutkan dalam hadits daripada Syaddad bin ‘Aus Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Dua perkara yang aku perlu pelihara daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mewajibkan berbuat ihsân ke atas tiap-tiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, elokkanlah pembunuhan itu. Dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang daripada kamu menajamkan pisaunya, maka hendaklah dia melegakan (menyelesakan) binatang sembelihannya.” (Hadits riwayat Muslim)
Penyembelihan Binatang
Antara syarat-syarat penyembelihan binatang itu ialah:
i. Memotong hingga putus seluruh hulqûm (tempat keluar masuk nafas) dan seluruh mari’ (tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah hulqûm). Disunatkan juga memotong wadajain (dua urat yang terdapat di kiri dan kanan leher binatang) untuk memudahkan roh keluar. (Mughnî al-Muhtâj: 6/103).
Jika ditinggalkan sebahagian daripada hulqûm atau mari’ itu (belum putus) dan binatang tersebut mati dalam keadaan yang demikian, maka sembelihan itu tidak dianggap sempurna dan ia dikira bangkai yang haram dimakan. Begitu juga, jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih, padahal hulqûm atau mari’nya belum putus, kemudian dipotong sekali lagi hulqûm atau mari’nya yang tertinggal itu, maka sembelihan yang sedemikian itu juga dianggap tidak sempurna dan ia adalah bangkai yang haram dimakan. (Al-Majmû‘: 9/83)
ii. Ada qashd (niat) untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan. Oleh itu, jika seseorang memegang pisau di tangannya lalu terlepas atau terjatuh pisau itu dari tangannya, dan terkena pada leher binatang itu lalu terputus seluruh hulqûm dan mari’nya, maka tidaklah halal sembelihan itu kerana tidak ada qashd (niat) untuk melakukan penyembelihan, maka binatang itu dikira sebagai bangkai dan haram dimakan. (Mughnî al-Muhtâj: 6/112 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/539)
iii. Disyaratkan juga binatang yang disembelih itu tidak ada bantuan lain yang boleh menolong kematian binatang itu. Oleh itu, jika seorang menyembelih binatang itu dengan memotong hulqûm dan mari’ dan pada waktu yang sama seorang yang lain pula mencabut isi perut binatang tersebut, menikam rusuknya atau memotong dagingnya, maka tidaklah ia halal bahkan haram memakan binatang tersebut. (Fath al-‘Allâm: 4/554)
Al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Jika seseorang menyembelih seekor binatang dan seorang yang lain pula mengeluarkan perut binatang tersebut atau menikam rusuknya secara serentak, maka tidak halal binatang itu kerana perbuatan mematikan binatang itu tidak dilakukan semata-mata dengan pemotongan hulqûm dan mari’ semasa penyembelihan. (Mughnî al-Muhtâj: 6/103-104)
Syarat Binatang Yang Disembelih
i. Binatang darat yang halal dimakan.
ii. Zhann (sangkaan) terhadap binatang, bahawa ada padanya hayâh mustaqirrah pada permulaan penyembelihan kecuali binatang yang sakit.
Adapun binatang yang sakit atau kehausan tidak disyaratkan ada padanya hayâh mustaqirrah ketika menyembelihnya, memadai sahaja padanya harakah madzbûh ketika menyembelihnya. Tetapi tidak halal jika binatang yang hendak disembelih yang nyawanya pada ketika itu di peringkat harakah madzbûh disebabkan oleh memakan tumbuh-tumbuhan yang membawa kepada maut, pukulan, hentakan dan seumpamanya daripada sebab-sebab yang boleh membawa kepada maut. (Al-Majmû‘: 9/100, Fath al-‘Allâm: 4/552 dan Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/542-543)
Yang dimaksudkan dengan hayâh mustaqirrah itu ialah keadaan binatang yang masih bernyawa, melihat dan bersuara serta bergerak dengan kehendaknya, dan antara tanda-tandanya ialah pergerakan yang kuat, pancutan darah, suara rengekan kerongkong dan yang seumpamanya selepas disembelih. Manakala yang dimaksudkan dengan harakah madzbûh ialah keadaan binatang yang tiada lagi padanya penglihatan, pergerakan, suara dengan kehendaknya atau keadaan binatang yang apabila dibiarkan dengan keadaannya yang sedemikian itu, ia akan mati dengan serta-merta. (Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/537 dan 543 & Fath al-‘Allâm: 4/553)
Melemahkan atau Memengsankan Binatang Sebelum Disembelih
Berdasarkan kepada syarat yang kedua (binatang yang disembelih), maka melemahkan atau memengsankan binatang yang hendak disembelih dengan cara atau kaedah stunning seperti penggunaan Captive Bolt Pistol (CBP), atau Free Bullets atau penggunaan kejutan elektrik seperti Water Bath Stunning dan seumpamanya yang tidak membawa kepada maut dan ada pada binatang itu hayâh mustaqirrah ketika disembelih, adalah harus pada hukum syara‘.
Penggunaan kaedah stunning yang disebutkan di atas itu hendaklah disahkan dan diperakui oleh orang Islam yang ‘âdil yang pakar atau ahli dalam hal ini, bahawa binatang-binatang yang hendak disembelih itu masih dalam keadaan hayâh mustaqirrah, dan tidak menyebabkan penyeksaan terhadap binatang tersebut. Jika perkara melemahkan atau memengsankan binatang itu akan menyeksa binatang tersebut, maka perbuatan yang sedemikian itu adalah haram, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa yang melakukan penyeksaan kepada binatang sama ada untuk tujuan menyembelihnya ataupun bukan. Pernah pada satu masa Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu melihat sekumpulan orang melontar seekor ayam yang sengaja ditambatkan, lalu dia berkata:
Maksudnya:ََ Barang siapa yang melakukan perkara ini (menyeksa binatang), sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa melakukan perkara ini. (Hadits riwayat Muslim)
Adapun hukum daging binatang yang diseksa itu, jika ia mati disebabkan oleh seksaan tersebut atau disembelih ketika nyawanya diperingkat harakah madzbûh, maka ia dihukumkan bangkai, manakala jika ia tidak mati kerana seksaan dan ada (zhann) sangkaan padanya hayâh mustaqirrah melalui salah satu tandanya seperti pergerakan yang kuat, pancutan darah dan sebagainya selepas disembelih maka dagingnya itu halal dimakan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/543)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan memakan bangkai sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (sama ada disembelih atau tidak atau yang berasal daripada keturunannya, termasuklah air liur, peluh, air susu, air kencing atau darah daripada binatang tersebut dan sebagainya), dan binatang-binatang yang disembelihََ selain daripada kerana Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk,ََ dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat disembelih (sebelum habis nyawanya). (Surah al-Mâ’idah: 3)
Jangan Menyegerakan Melapah-lapah Binatang Selepas Disembelih
Menurut hukum syara‘, apabila penyembelihan sudah sempurna dilaksanakan dengan hulqûm dan mari’ binatang tersebut putus adalah sunat dibiarkan tanpa diapa-apakan sehinggalah binatang itu benar-benar mati.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak segera dilapah kulitnya, dan jangan dipecahkan tulang punggungnya, dan tidak segera dipotong-potong anggota badannya, dan jangan digerak-gerak binatang sembelihan itu, dan jangan dipindah (dialih) dari tempat sembelihannya itu ke tempat yang lain, bahkan dibiarkan semuanya sehingga habis rohnya. Dan jangan diikat binatang itu selepas disembelih dengan sesuatu yang menghalangnya daripada bergerak. (Raudhah ath- Thâlibîn: 3/207)
Adapun memutuskan kepala binatang sembelihan atau mematahkan lehernya dan seumpamanya sebelum habis nyawanya adalah makruh hukumnya.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan makruh hukumnya memutuskan kepala, mematahkan leher, memotong sebahagian anggota, menggerak-gerakkan dan memindahkan binatang yang sudah disembelih ke tempat lain sehinggalah keluar rohnya. (Mughnî al-Muhtâj: 6/105)
Mengenai dengan perkara binatang yang ditusuk pada bahagian dada sebagaimana yang disebut dalam soalan penanya tidak ada dalam makluman kita atau bukanlah sepertimana yang digambarkan. Proses yang biasa dibuat ialah kaedah yang disebut “Thoracic Sticking”. Kaedah “Thoracic Sticking” ini dilakukan bertujuan bagi mengeluarkan darah setelah penyembelihan, dan ia dihukumkan makruh jika ia dilakukan sebelum habis keluar roh binatang tersebut. Kaedah ini adalah sah dan halal dari sudut pandangan Islam dengan syarat binatang yang disembelih itu benar-benar sempurna putus hulqûm dan mari’nya.
Kesimpulan
Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan, proses yang dibuat sebelum penyembelihan dilakukan dengan cara stunning terhadap binatang yang hendak disembelih adalah harus dengan syarat bahawa binatang tersebut ada hayâh mustaqirrah melalui salah satu tandanya seperti pergerakan yang kuat atau pancutan darah ketika disembelih. Jika binatang tersebut mati sebelum ia disembelih disebabkan penyeksaan dengan cara stunning dan sebagainya kemudian disembelih, maka ia dihukumkan sebagai bangkai dan haram dimakan.
Adapun binatang yang ditusuk dengan kaedah “Thoracic Sticking” selepas penyembelihan dilakukan adalah makruh hukumnya dengan syarat hulqûm dan mari’ binatang itu benar-benar putus.
Mengenai binatang yang disembelih yang didatangkan dari Australia melalui pusat-pusat penyembelihan yang diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Brunei dan memenuhi segala syarat yang diperuntukkan dalam undang-undang dan aturan-aturan yang berkaitan dengannya adalah ia diiktiraf halal oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Perlu diambil perhatian, dalam perkara penggunaan kaedah stunning, Kerajaan Negara Brunei Darussalam berpendirian tegas mengenainya, untuk tidak membenarkan penggunaan kaedah tersebut bagi tujuan melemahkan atau memengsankan binatang sebelum proses penyembelihan dibuat kecuali dalam situasi tertentu sahaja dengan tertakluk kepada beberapa syarat. Sebagai misal, menurut ketetapan Majlis Ugama Islam Brunei bahawa penyembelihan unggas, ayam, burung dan itik sekali-kali tidak dibenarkan menggunakan stunning.
Bagi penyembelihan binatang yang berkaki empat pula, seperti lembu, kerbau dan kambing hanya dibenarkan menggunakan stunning jika negara berkenaan mewajibkan atau memperundangkan penggunaan stunning. Namun begitu kebenarannya tertakluk kepada syarat-syarat yang diperuntukkan dalam Aturan-Aturan Daging Halal, 1999 seperti berikut:
Jika cara stunning digunakan semasa proses penyembelihan, tatacara-tatacara ini mestilah dipatuhi:
i. Stunning itu akan mengakibatkan binatang itu pengsan untuk sementara waktu sahaja; dan
ii. Alat stunner adalah daripada jenis yang tidak menembusi atau memecahkan kepala binatang tersebut; dan
iii. Ia mestilah tidak mengakibatkan kerosakan otak kekal atau meningkatkan kematian atau kecacatan badan kepada binatang itu.
Pada setakat ini daging-daging yang ada dalam pasaran di Negara Brunei Darussalam tidaklah diragukan kehalalannya kerana ia dikawal oleh peraturan dan undang-undang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11264
