Kad Kredit Bank Konvensional
Soalan: Apakah hukum menggunakan kad kredit daripada bank bukan Islam (yang mengenakan riba) untuk perbelanjaan keluarga kerana baki gaji tidak mencukupi?
Jawapan: Hutang Dalam Pandangan Islam
Memberikan hutang merupakan amalan yang mulia. Ia sangat digalakkan kerana tujuannya ialah bagi meringankan beban orang yang dalam kesusahan dan meringankan kesempitan hidupnya, bahkan akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan satu kesusahan seorang mu’min daripada kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. (Hadits riwayat Muslim)
Tetapi, berbeza pula dengan orang yang berhutang, kerana walaupun ia diharuskan, Islam tidak menggalakkan umatnya untuk berhutang kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari, apatah lagi jika berhutang itu bukan kerana perkara yang penting, bukan kerana sesuatu keperluan yang mendesak atau bukan juga kerana perkara yang dharurat.
Hutang akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika semasa hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang kerana tanggungjawabnya terpaksa dipikul oleh orang yang berhutang baik semasa hidupnya mahupun selepas kematiannya.
Oleh kerana itu umat Islam dinasihatkan agar menjauhkan diri daripada berhutang sebagaimana disebutkan dalam satu riwayat daripada ‘Abdul Rahman bin Dalaf al-Muzanni Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, bahawa ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Ertinya: Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya. (Diriwayatkan oleh Malik)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri tidak suka berhutang dan kerana itu Baginda selalu meminta perlindungan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada hutang, sebagaimana disebutkan dalam hadits, sesungguhnya ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah mengkhabarkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdo‘a ketika sembahyang dengan berkata:
Maksudnya: Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dilanda hutang dan kekuasaan orang lain. Lalu Baginda ditanya: “Mengapakah engkau banyak meminta perlindungan daripada berhutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kerana jika seseorang itu berhutang, apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia mungkir.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berhutang itu mengandungi risiko yang tinggi dan menyusahkan, bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat jika orang yang berhutang itu melengah-lengahkan pembayaran hutangnya itu sehingga dia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikannya.
Dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga ada menyebutkan tentang keadaan orang meninggal dunia yang masih menanggung hutang. Antaranya, hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung kerana hutangnya (yang belum dibayar) sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)َ
Dalam hadits lain, daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil amal kebajikannya sebagai ganti kerana di sana tidak ada dinar dan tidak juga ada dirham. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya walaupun setelah kematiannya.
Islam juga menasihatkan umatnya agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali jika sangat memerlukan. Kalaupun terpaksa berhutang, dia hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan, bukan berhutang dengan sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan soal bayarannya.
Apatah lagi jika seseorang itu berhutang dengan niat ingin menangguh-nangguhkannya. Ini kerana orang yang sengaja melambat-lambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang, padahal dia boleh dan mampu melunaskan hutangnya dengan segera dikira telah melakukan kezaliman. Perkara ini ditegaskan dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Yang dimaksudkan dengan melengahkan pembayaran hutang dalam hadits ini ialah melengah-lengahkan tanpa sebarang keuzuran sedangkan dia mampu melunaskannya dan ia adalah satu kezaliman. Menurut pendapat al-jumhûr dalam Syarh Shahîh al-Bukhari, haram ke atas orang kaya yang qadir (berkemampuan) melengah-lengahkan pembayaran hutang setelah dia layak dan mampu untuk membayar hutang tersebut dan hal ini berbeza pula jika orang tersebut al-‘âjiz yakni tidak berkuasa atau tidak mampu melunaskan hutangnya. (Fath al-Bâri bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 5/229-230)
Menurut pendapat al-Qadhi dan selainnya maksud "الطل" ialah menegah atau menahan daripada membayar apa yang berhak atau perlu dilunaskannya, maka orang kaya yang melengah-lengahkan atau menangguhkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman dan haram. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam Abi Zakaria Yahya bin Syarf an-Nawawi: 7/4263)
Dalam sebuah hadits daripada ‘Amru bin asy-Syarid Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan (dijatuhkan) hukuman ke atasnya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Daripada maksud hadits di atas, Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâhu Ta‘âlâ berpendapat bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan dia mampu untuk melunaskannya menyebabkan kehormatannya boleh dicemari kerana dengan perbuatannya itu, dia seolah-olah membolehkan orang lain untuk menceritakan tentang perbuatannya yang melengahkan pembayaran hutang. Walau bagaimanapun, hal yang boleh diceritakan itu hanyalah mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja. Adapun menceritakan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya kerana orang yang dizalimi (orang yang memberikan pinjaman) itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam perkara menangguhkan hutang sahaja.
Dalam perkara menghalalkan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbuatan sengaja melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu ialah sama ada dipenjara, dirotan atau seumpamanya. (Az-Zawâjir: 414)
Apa yang lebih teruk lagi ialah apabila orang yang berhutang itu tidak membayar hutangnya. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadits mengenai orang yang tidak membayar hutangnya. Sabda Baginda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan membinasakannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bahkan orang yang enggan membayar hutang itu dianggap sebagai pencuri. Ini ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Shuhaib al-Khair Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa juga yang berhutang dan dia bercita-cita tidak akan membayarnya, dia akan menemui Allah sebagai pencuri. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Menurut Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, orang yang berhutang dengan niat tidak akan membayar balik hutangnya itu atau berhutang dengan tidak ada harapan untuk membayarnya dan tidak ada baginya suatu jalan nyata yang membolehkan dia membayar hutangnya itu adalah berdosa besar.
Ini jelas diterangkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu berkata daripada bapanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya dosa yang paling besar di sisi Allah Ta‘ala yang akan diperolehi oleh seorang hamba selepas dosa-dosa besar yang lain yang dilarang Allah Ta‘ala ialah orang mati yang meninggalkan hutang, tidak ada sesiapa yang membayarkan untuknya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Oleh itu apabila dilihat pada masyarakat ketika ini, hampir setiap orang mempunyai hutang tidak kira sama ada kepada pihak bank atau kepada orang perseorangan, dan tidak kira sama ada tujuan berhutang itu atas sebab keperluan ataupun sebaliknya. Lebih-lebih lagi dengan adanya bermacam-macam tawaran skim pembiayaan yang ditawarkan oleh pihak bank, orang awam datang untuk berhutang tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari sehingga ada di antaranya yang sanggup berhutang pada kadar jumlah yang tinggi.
Akibatnya ada di antara mereka ini yang hanya menerima sedikit daripada jumlah gaji bulanannya kerana habis membayar hutang, bahkan ada yang langsung tidak menerima gaji kerana membayar hutang. Kadang kala ada yang terpaksa melewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang kerana memerlukan wang perbelanjaan, akhirnya hutang yang ditanggung semakin bertambah, apatah lagi mereka yang berhutang pada bank bukan Islam yang mengamalkan sistem riba, sudah tentu interest atau bunganya semakin tinggi.
Bahkan dalam sesetengah kes pihak bank akan mengambil tindakan sama ada dituntut untuk membayar hutang tersebut dengan segera dengan dikenakan bayaran denda, atau akan dibawa ke mahkamah, sehingga ada di antara orang yang berhutang itu disita segala harta miliknya untuk membayar hutangnya.
Oleh kerana itu, sebelum berhutang perlulah difikirkan kesan serta akibatnya di kemudian hari, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai tanggungan, kerana berhutang tanpa keperluan hanya akan membebankan dan menambahkan lagi kesempitan hidup seharian.
Menjauhi Riba Dalam Berhutang
Sebagaimana yang diketahui, riba adalah haram. Ketetapan hukum riba ini merupakan perkara yang sudah jelas dalam Islam, dan tidak ada ruang sedikitpun bagi sesiapa untuk menolaknya.
Pengharaman riba dalam Islam, telah nyata disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Bahkan para ulama telah ijmâ‘ (sepakat) mengatakan bahawa riba adalah haram. Sebab kenapa riba itu diharamkan antaranya ialah kerana di dalamnya terdapat unsur kezaliman dan penindasan yang mana orang yang memberi hutang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain dan memakan harta orang lain dengan cara yang bâthil. Ia hanya menguntungkan sebelah pihak, sedangkan pihak yang satu lagi bertambah menderita menanggung beban kewangan. Maka itu Islam mengharamkan riba.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah jelas menyebutkan tentang pengharamannya dan balasan bagi orang yang mengambil atau mengamalkan riba:
Tafsirnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk oleh syaitan, dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan yang merasuk) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu hanyalah seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya (terserahlah) kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa”.
(Surah al-Baqarah: 275-276)
Dalam al-Qur’an juga, disebutkan tentang pengisytiharan perang terhadap orang-orang yang memakan riba. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki-baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu). Maka ketahuilah kamu akan ada peperangan daripada Allah dan RasulNya (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279)
Pengharaman riba ini bukan sahaja disebutkan dalam al-Qur’an, bahkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga banyak menyebutkan tentang perkara ini.
Dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam, daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang memakan (mengambil) riba, orang yang memberi (membayar) riba, orang yang menjadi penulisnya dan juga kedua saksinya. Dan Baginda bersabda: “Mereka (kesemuanya) adalah sama.” (Hadits riwayat Muslim)
Bahkan riba juga tergolong di antara dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan dalam hadits, daripada Abu Hurairah Radhialllâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara (dosa-dosa besar) yang merosakkan. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, apakah perkara-perkara itu?” Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah (syirik), sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling daripada medan peperangan dan menuduh zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menggunakan Kad Kredit Yang Mengenakan Riba
Haram hukumnya menggunakan kad kredit yang mengenakan riba kerana riba sebagaimana yang telah dijelaskan adalah haram. Adapun alasan bahawa seseorang itu menggunakan kad kredit yang mengenakan riba untuk perbelanjaan keluarga kerana baki gaji tidak mencukupi, ia bukanlah satu alasan yang kukuh baginya untuk menggunakan kad kredit yang mengenakan riba, kerana masih banyak cara atau jalan lain lagi baginya untuk mendapatkan pinjaman yang tidak mengenakan riba. Lebih-lebih lagi sekarang ini sudah terdapat kad kredit Islam yang tidak mengenakan riba yang dikeluarkan oleh bank Islam.
Dalam hubungan ini, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa telah mengeluarkan resolusi dan saranannya, bilangan 108 (2/12) mengenai kad kredit sebagaimana berikut:
Tidak diharuskan mengeluarkan dan bermuamalat dengan kad kredit terbuka jika dipersyaratkan tambahan faedah riba, sekalipun pihak pemohon kad itu berazam melunaskan pembayaran dalam tempoh yang dibenarkan secara percuma.
Harus mengeluarkan kad kredit terbuka jika tidak mengandungi syarat tambahan faedah riba di atas hutang yang asal.
Pengeluaran wang tunai oleh pemegang kad kredit merupakan satu hutang daripada bank yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Tidaklah menjadi halangan syara‘ jika tidak dikenakan sebarang tambahan riba. Yuran yang diambil yang tidak ada kaitan dengan jumlah hutang atau yuran tempoh hutang berdasarkan perkhidmatan tidak dikira sebagai riba. Setiap tambahan bayaran yang melebihi daripada perkhidmatan sebenar dihukumkan haram, kerana ia adalah riba yang diharamkan oleh syara‘ sebagaimana dijelaskan oleh Akademi Fiqh Islam dalam resolusi bilangan 13 (10/2) dan bilangan 13 (1/3).
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits yang mengharamkan riba serta resolusi dan saranan yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, adalah haram hukumnya menggunakan kad kredit yang mengenakan bayaran tambahan faedah riba, sekalipun seseorang itu berazam melunaskan pembayaran dalam tempoh yang dibenarkan yang tidak mengenakan riba.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11268
