Kawasan Masjid Sebagai Gelanggang Dan Tempat Bersukan
Soalan: Dalam usaha menarik dan menggalakkan orang ramai khususnya para belia untuk mendekatkan diri ke masjid sekaligus untuk meng‘imarahkan masjid serta memberi kefahaman yang betul mengenai konsep sukan dalam perspektif Islam, Jabatan Hal Ehwal Masjid bercadang untuk membuat gelenggang sukan dalam kawasan masjid dan menjadikannya sebagai tempat bersukan.
Sehubungan dengan itu dipohonkan fatwa dan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Meng‘imârahkan masjid bukan hanya menjadi tanggungan atau kewajipan pihak masjid sahaja, bahkan semua orang Islam yang beriman dan bertaqwa.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Hanya sanya (layak) memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah at-Taubah: 18)
Usaha Jabatan Hal Ehwal Masjid mengadakan pelbagai aktiviti dan kegiatan sebagai wasîlah atau alat dengan sasaran utamanya kepada para belia dan orang Islam yang lain amnya, untuk mendorong mereka mendekati dan meng‘imârahkan masjid adalah suatu usaha yang baik. Dengan itu mudah-mudahan masjid akan menjadi lebih makmur, bermaya dan dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan dalam memperkasa iman orang-orang Islam dan menjana pembangunan masyarakat yang berkualiti.
Mengenai projek yang dicadangkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid iaitu menyediakan gelanggang sukan dalam kawasan masjid dan menjadikannya sebagai tempat bersukan kerana aktiviti sukan menjadi kegemaran para belia masa kini, persoalan yang perlu diberi perhatian ialah hukum menjadikan ruang masjid sebagai tempat bersukan dan hukum membina gelanggang sukan dalam kawasan masjid.
1. Hukum Menjadikan Ruang Masjid Sebagai Tempat Bersukan.
Bersukan di ruang masjid adalah diharuskan berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengenai orang-orang Habsyah yang bermain dalam masjid, katanya:
Maksudnya: Demi Allah sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdiri di ambang pintu bilikku ketika orang-orang Habsyah sedang bermain dengan tombak-tombak mereka dalam masjid Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda menutupiku dengan selendangnya (membelakangiku) agar aku dapat melihat permainan mereka (melalui celah telinga dan bahu Baginda). Kemudian Baginda berdiri keranaku, sampai aku sendirilah yang pergi (tidak ingin lagi melihat permainan itu). Oleh sebab itu, kamu perkirakanlah dengan perkiraan gadis remaja yang masih muda usia, sangat berkeinginan untuk bermain-main. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain pula ‘Ubaid bin ‘Umair Radhiallâhu ‘anhu ada menyatakan:
Maksudnya: Telah menceritakan ‘Aisyah kepadaku (‘Ubaid) bahawasanya beliau berkata untuk orang-orang yang suka bermain: “Aku sangat ingin melihat mereka”. Kata beliau lagi: “Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdiri dan aku pun berdiri di pintu, sambil aku melihat di antara celah-celah dua telinga dan bahu Baginda, dan orang-orang itu bermain (berlatih senjata) dalam masjid.” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, berdasarkan hadits tersebut, adalah harus bermain dengan senjata dan seumpamanya daripada alat-alat peperangan dalam masjid serta apa-apa yang berkaitan dengan sebab-sebab yang ditentukan untuk jihâd dan apa jua jenis kebajikan. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/2507)
Adapun tujuan kebajikan di sini bolehlah dikaitkan dengan hasrat Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk menjadikan kawasan masjid sebagai tempat bersukan supaya para belia sentiasa mendekatkan diri kepada masjid dan seterusnya mentâ‘mîrkan masjid.
Memandangkan bermain senjata dan juga bermain untuk tujuan kebajikan dalam masjid adalah diharuskan, maka adalah lebih lagi diharuskan, malah tidak mengapa jika bermain itu di kawasan masjid.
Namun perlu diingat, bersukan di kawasan masjid haruslah mengikut garis pandu yang bersesuaian dengan etika dan kemuliaan masjid. Sukan yang dimainkan hendaklah jenis sukan yang diharuskan iaitu yang mendatangkan faedah serta manfaat kepada jasmani dan tidak mendatangkan apa jua kesan buruk dan negatif yang boleh mencemarkan imej, kehormatan dan kesucian masjid.
Dari itu, apa jua jenis sukan yang dimainkan hendaklah mempunyai bentuk dan tujuan positif dan bukan hanya kesukaan dan keseronokan yang akhirnya bercanggah dengan akhlak Islam.
Harapan untuk melihat orang ramai, khasnya para belia, supaya menggemari atau memakmurkan masjid tidak boleh dicapai hanya dengan membawa mereka bersukan di dalam kawasan masjid kerana semangat dan sikap menggemari masjid itu adalah perkara ‘dalaman’ yang hanya akan tegak dan tumbuh apabila ada ilmu pencetus iman dan kesedaran. Sukan hanyalah alat luaran yang berupaya mendatangkan keseronokan dan kesukaan di samping sedikit manfaat untuk tubuh kasar atau jasmani. Sedangkan tindakan memakmur masjid, beri‘tikâf dan menggemarinya untuk melakukan ibadat di dalamnya adalah perkara lain yang memerlukan sama ada penyebab atau pencetusnya, iaitu ilmu dan aqidah mantap. Daripada ilmu itulah orang akan mengetahui fadhâ’il atau keutamaan-keutamaan yang berkaitan dengan masjid termasuk pahala dan ganjaran memakmurkannya. Apabila ini ada, maka barulah akan dirasakan manisnya berurusan dengan masjid itu. Jadi dengan cara apa dapat diperolehi semua ini? Dengan belajar. Belajar, boleh sahaja dengan pelbagai cara: Melalui program-program tadzkirah, bimbingan, nasihat-nasihat motivasi, kuliah, ceramah dan lain-lain seumpamanya. Ini semua adalah awlâ, jangan diabaikan. Adapun sukan cuma semata-mata keseronokan. Habis sukan maka keseronokan pun habis juga, dan orang-orang akan terus pulang ke rumah masing-masing. Jadi apakah yang tinggal untuk masjid? Bilakah mereka akan duduk di masjid, atau datang ke masjid untuk beri‘tikâf dan beribadat di dalamnya?
Tentang keharusan bersukan di kawasan masjid bukan cuma dilihat daripada segi jenis sukan yang dimainkan. Bahkan juga tertakluk kepada cara pelaksanaannya di mana setiap peserta yang mengikuti program ini hendaklah dipastikan mematuhi segala syarat dan peraturan yang menepati syara‘.
Misalnya, para peserta itu hendaklah menghormati azan, memelihara waktu sembahyang, tidak mengganggu jemaah yang sedang menunaikan ibadat di dalam masjid, tidak bersuara riuh-rendah, menjaga kebersihan diri dan persekitaran masjid, berpakaian sopan dan tidak mendedahkan aurat. Pendeknya, pergaulan dan tingkah laku mereka hendaklah senonoh dan tidak ada – walau sedikitpun – yang bercanggah dengan syara‘.
2. Hukum Membina Gelanggang Sukan Dalam Kawasan Masjid.
Keharusan membina gelanggang sukan dalam kawasan masjid tertakluk kepada beberapa keadaan:
(i) Kawasan masjid yang dimaksudkan sama ada:
(a) Ia tidak termasuk tanah yang diwaqafkan untuk membangun masjid.
Jika ini keadaannya, maka harus membina gelanggang sukan di kawasan masjid bagi tanah yang tidak diwaqafkan untuk masjid iaitu kawasan tanah yang tidak berjalan ke atasnya hukum-hukum masjid.
Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, hukum-hukum masjid seperti sah i‘tikâf dan haram menetap bagi orang yang berhadas besar, tidak berlaku ke atas kawasan tanah yang bukan diwaqafkan untuk masjid, yang mana kawasan tanah (yang bukan diwaqafkan) itu bersambung dengan tanah waqaf di sekeliling masjid, yang boleh saja diperlukan bagi meluaskan masjid. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/260)
(b) Ia termasuk tanah yang diwaqafkan untuk masjid.
Dalam hal ini pula, tidak harus membina gelanggang sukan di kawasan tanah yang diwaqafkan untuk masjid itu kerana ia menyalahi tujuan waqaf tersebut.
Asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh menerangkan:
Ertinya: Dan menurut pendapat yang ashah, sesungguhnya ucapannya: “Saya jadikan kawasan tanah ini sebagai masjid”, sekalipun dia tidak menyebut ‘kerana Allah’, maka jadilah kawasan itu hanya dengan lafaz ini sebagai masjid, kerana sesungguhnya masjid tidak lain kecuali adalah untuk waqaf.َ (Mughnî al-Muhtâj: 2/518)
(ii) Gelanggang sukan berkenaan hendaklah digunakan untuk jenis-jenis sukan yang diharuskan iaitu yang boleh mendatangkan faedah serta manfaat kepada jasmani.
(iii) Kehormatan dan kemuliaan masjid hendaklah dipelihara. Oleh itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid mestilah menyediakan syarat dan peraturan penggunaan gelanggang sukan tersebut bagi memastikan kehormatan dan kemuliaan masjid tidak tercemar. Syarat dan peraturan itu hendaklah mencakupi perkara-perkara seperti berikut:
(a) Pengguna gelanggang hendaklah berpakaian menutup aurat.
(b) Tidak menimbulkan kebisingan, sama ada - pada masa itu - ada jemaah di dalam masjid ataupun tidak.
(c) Pengguna gelanggang hendaklah dalam keadaan bersih sebelum memasuki masjid.
Sehubungan ini, eloklah disediakan kemudahan-kemudahan seperti bilik mandi dan bilik persalinan bagi pengguna-pengguna gelanggang tersebut apabila mereka hendak menunaikan sembahyang berjemaah atau apa jua aktiviti atau program di dalam masjid bersama-sama dengan jemaah yang lain.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak elok untuk sesuatu daripada air kencing dan tidak pula kotoran. Sesungguhnya ia (masjid-masjid itu) hanyalah untuk mengingati Allah ‘Azza wa Jalla, sembahyang dan membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits lain pula menyarankan agar menjaga diri daripada bau-bauan yang tidak diingini sehingga menimbulkan kurang selesa kepada jemaah yang lain. Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Barang siapa makan daripada sayuran ini (bawang putih), maka jangan dia mendekati masjid kami sehingga hilang baunya. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut ulama, segala bau yang kurang menyenangkan bagi orang lain sama ada daripada makanan atau selainnya, adalah juga termasuk dalam larangan hadits ini. Ini kerana bau busuk itu mengganggu para malaikat, sebagaimana juga ia mengganggu manusia. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 3/1850- 1851)
(d) Perkara yang paling penting bagi merealisasikan hasrat Jabatan Hal Ehwal Masjid dalam menta‘mîr masjid melalui gelanggang sukan yang dibina di kawasan masjid, tetapi bukan tapak masjid, mereka perlu memastikan bahawa pengguna gelanggang adalah mematuhi dan memelihara waktu-waktu sembahyang.
Berikutan itu, segala syarat dan peraturan tersebut juga perlu kepada pengawasan dan pemantauan Jabatan Hal Ehwal Masjid bagi memastikannya dipatuhi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11272
