Kewajipan Sembahyang Jumaat Bagi Pekerja Offshore
Soalan: Bagaimanakah kedudukan kewajipan mengerjakan sembahyang Jumaat bagi orang yang bekerja di offshore (pelantar minyak)?
Jawapan: Pada prinsipnya, hukum orang Islam yang tinggal sementara dan sedang bertugas di pelantar-pelantar minyak diberi kelonggaran tidak wajib sembahyang Jumaat ketika itu kerana tempat itu bukan perkampungan tetap dan penghuninya pula silih berganti. Mereka hanya wajib sembahyang fardhu Zhuhur. Prinsip ini berkaitan dengan beberapa keadaan, seperti saat atau waktu jadual mula bertolak ke pelantar, tugas dan kemudahan, jarak (mashafah) pelantar daripada rumah kediaman dan lain-lain sebagaimana huraian di bawah ini.
Hukum Sembahyang Fardhu Jumaat Hukum sembahyang fardhu Jumaat adalah fardhu ‘Ain bagi setiap lelaki Muslim yang mukallaf, berakal, bâligh, bermastautin dan merdeka. Menurut al-Qadhi Abu Ishaq al- Marwazi sebagaimana yang dinukilkan Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan tidak dipertikai bahawa mazhab asy-Syafi‘e berpendapat sembahyang Jumaat adalah fardhu ‘Ain. (Kitab al-Majmû‘: 4/404) Dalilnya dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Berpergian mengerjakan Jumaat itu wajib ke atas setiap orang yang mimpi (lelaki bâligh). (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Walaupun begitu, perlaksanaan kewajipan sembahyang fardhu Jumaat oleh orang-orang mukallaf, berakal, bâligh, bermastautin dan merdeka ini tertakluk kepada jumlah bilangan mereka yang ada, iaitu empat puluh orang yang sama keadaannya.
Sekiranya ada kumpulan orang yang muqîm seperti mereka yang tidak cukup empat puluh orang, tidak wajib melaksanakannya. Tetapi jika mereka ini, atau orang yang musafir mendengar azan Jumaat daripada kampung lain, mereka wajib sembahyang bersama orang kampung lain itu namun mereka tidak termasuk kiraan dalam empat puluh orang kampung itu. (Kitab al-Majmû‘: 4/406 dan Kasyf al-Litsâm: 1/48)
Pengecualian
Tuntutan fardhu ‘Ain itu berlaku kepada orang-orang yang disebutkan di atas, kecuali bagi orang yang ada halangan yang diiktiraf syara‘ seperti kanak-kanak dan orang gila kerana mereka ini tidak wajib sembahyang fardhu yang lima, jadi sembahyang Jumaat adalah lebih utama tidak diwajibkan. Perempuan, orang musafir, hamba sahaya dan orang sakit juga dikecualikan. Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka wajiblah kepadanya sembahyang Jumaat pada hari Jumaat, kecuali orang sakit atau musafir, atau kanak-kanak atau hamba… (sehingga akhir hadits) (Hadits riwayat al-Baihaqi daripada Jabir)
Selain itu ada lagi orang-orang yang dikecualikan daripada kewajipan sembahyang fardhu Jumaat. Antara lain ialah orang yang khuatir diri atau hartanya mendapat kebinasaan.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâlhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendengar suara orang yang menyerukan azan, sedangkan tidak ada keuzuran yang menegahnya daripada mengikutinya (memenuhi sembahyang berjemaah), maka tidak diterima (dengan sempurna) sembahyangnya (seorang diri di rumah). Sahabat berkata: “Apakah keuzuran itu?” Baginda bersabda: “Takut (bahaya) atau sakit.” (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Abu Daud)
Pekerja Offshore
Mengikut pengertian yang difahami, makna offshore ialah pelantar minyak luar pesisir. (Kamus Inggeris Melayu Dewan: 1058)
Berdasarkan pengertian ini, orang yang bekerja di pelantar minyak luar pesisir adalah jauh daripada daratan dan pelantar itu pula hanya berupa bangunan di atas laut.
Sekiranya orang yang bekerja di pelantar minyak seperti ini dikatakan wajib sembahyang Jumaat, maka kedudukan mereka apabila tiba waktu sembahyang Jumaat ialah sama ada melakukan sembahyang Jumaat di pelantar itu jika cukup bilangan mereka empat puluh orang, atau balik ke darat ke tempat yang kedengaran azan Jumaat.
Tetapi memandangkan pelantar itu hanya bangunan dan bukan kampung tetap, dan mereka pula bukan dinamakan bermastautin di situ, bahkan mereka tidak akan mendengar azan Jumaat daripada mana-mana kampung yang ada jauh di darat, kemudian jika balik pun ke darat tentu akan mengalami kepayahan, maka adalah jelas kewajipan ini gugur daripada mereka.
Gugurnya kewajipan ini dapat lagi dilihat daripada sudut kedudukan bangunan pelantar. Asy- Syirazi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak sah Jumaatََ kecuali pada (tempat-tempat yang wujud) bangunan-bangunan berkelompok yang didiami oleh orang-orang ahli Jumaat, sama ada ia sebuah negeri atau kampung, kerana Jumaatََ tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mahupun pada zaman khulafâ’ kecuali pada sesebuah negeri atau kampung. (Al-Muhadzdzab: 1/362)
Kemudian daripada sudut kepayahan pula jika mereka kembali ke daratan, Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Muhadzdzab:
Ertinya: Kewajipan Jumaat itu gugur dengan sebab kepayahan. (Al-Muhadzdzab: 1/206)
Kepayahan di sini termasuklah masalah penyediaan kenderaan, kerana pada lazimnya kenderaan hanya disediakan oleh majikan secara berjadual.
Bagi memperkukuhkan lagi gugurnya kewajipan ini, selain daripada sudut kedudukan bangunan pelantar dan sebab kepayahan itu, saya telah membaca dalam kitab Kasyf al-Litsâm tentang masalah yang senada dengan masalah orang yang bekerja di pelantar minyak, iaitu orang yang pergi menanam padi pada tempat yang tidak kedengaran azan. Orang seperti ini tidak wajib Jumaat.
Nash kitab itu seperti berikut:
“Orang yang musafir yang tidak mendengar azan seperti orang yang pergi menanam padi pada tempat yang tidak kedengaran azan tidak wajib dia kembali hadir Jumaat dengan syarat keluar mereka dari negeri Jumaat itu dahulu daripada fajar harinya”. (Kasyf al-Litsâm: 1/48)
Orang yang pergi menanam padi bertujuan menyara hidup. Orang yang bekerja di pelantar minyak bertujuan lebih daripada itu lagi, kerana selain bagi menyara hidup sekaligus juga bagi tujuan membantu negara menerusi produk minyak yang hasilnya antara lain menyumbang kepada ekonomi negara. Jadi kedudukan mereka daripada sudut tujuan dan tugas adalah sama. Manakala daripada sudut mendengar azan Jumaat juga adalah sama. Sama-sama menyara hidup dan sama-sama tidak dapat mendengar azan Jumaat.
Dengan yang demikian, hukum sembahyang Jumaat bagi orang yang bekerja di pelantar minyak yang tidak mendengar azan Jumaat adalah tidak wajib sebagaimana orang yang pergi menanam padi pada tempat yang tidak kedengaran azan tidak wajib Jumaat dengan syarat dia keluar dari negeri Jumaat itu sebelum terbit fajar pada hari itu.
Orang Musafir
Orang musafir termasuk yang diberi kelonggaran daripada menunaikan sembahyang Jumaat walaupun safarnya pendek. Kelonggaran diberikan berdasarkan hadits di atas dan wujudnya kesibukan dalam permusafiran. Kelonggaran juga berlaku selama mana safar tersebut bukan kerana maksiat, dan selama dia tidak mendengar azan Jumaat sebagaimana yang disebutkan di atas. (Kitab al-Majmû‘: 4/405)
Orang yang bekerja di pelantar minyak boleh dinamakan orang musafir sekiranya antara tempat kediamannya di darat dengan tempat bekerjanya di laut mencapai jarak (mashafah) qashar, iaitu dua marhalah (48 batu). Jarak ini barangkali boleh terjadi sekiranya orang berkenaan tinggal misalnya di Temburong atau di Bandar Seri Begawan dan pelantar tempat bekerjanya berada di lautan Kuala Belait. Jika mereka dinamakan musafir, maka hukum sembahyang Jumaatَ tidak wajib kepada mereka.
Irsyâd
Dalam menangani masalah ini, khasnya tentang risiko tidak sembahyang Jumaat dan syarat keberangkatan daripada tempat kediaman yang ada padanya sembahyang Jumaat, adalah dinashihatkan supaya perkara-perkara berikut diambil perhatian.
i. Tidak Meninggalkan Jumaat.
Pekerja offshore itu sendiri dan juga majikan sangat penting mengetahui hukum orang yang meninggalkan sembahyang Jumaat dengan sengaja tanpa halangan yang dibenarkan syara‘. Hukumnya adalah berdosa besar dan hati dikaburi oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan kejahatan, malah kebajikan tidak akan masuk ke dalam hatinya.
Diriwayatkan oleh al-Hakam bin Mina’ bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhumâ bercerita kepadanya, kedua-dua mereka mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda di atas mimbar:
Maksudnya: Satu-satu kaum itu (boleh memilih) sama ada berhenti meninggalkan sembahyang Jumaat atau Allah akan menutupi pintu hati mereka, kemudian mereka menjadi orang-orang yang lalai. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada sahabat Abu al-Ja‘d ad-Damri Radhiallâhu ‘anhu daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan meringan-ringankannya, Allah Ta‘ala mematri hatinya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Para pekerja sepatutnya diberi oleh majikan kemudahan untuk dapat menunaikan sembahyang Jumaat. Ini sejalan dengan apa yang disebutkan ulama-ulama sebagaimana yang dinukilkan Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa mustahabb majikan memberikan izin kepada hamba sahayanya yang lelaki untuk pergi mengerjakan sembahyang Jumaat. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Berkata ulama-ulama kita: “Mustahabb majikan memberikan izin kepada hambanya mengerjakan sembahyang Jumaat. (Kitab al-Majmû‘: 4/406)
ii. Jadual Bertolak.
Pada lazimnya pekerja offshore tertakluk kepada jadual semasa yang disediakan oleh pihak majikan. Sebagaimana yang disebutkan di atas bahawa syarat tidak wajib bagi orang yang pergi menanam yang tidak mendengar azan Jumaat di tempat itu ialah keluarnya daripada kediamannya sebelum fajar subuh hari itu.
Ini selari dengan hukum yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e bahawa memulakan safar pada waktu di antara selepas terbit fajar dengan sehingga matahari condong ke Barat pada hari Jumaat adalah haram. (Kitab al-Majmû‘: 4/418)
Jadi antara kemudahan yang diharapkan daripada majikan itu ialah mengaturkan jadual yang membolehkan mereka dapat menghadiri sembahyang Jumaat di darat. Misalnya jadual kepergian mereka daripada darat ke pelantar diaturkan pada masa sebelum terbit fajar hari Jumaat atau selepas Zhuhur (setelah selesai sembahyang Jumaat). Dengan cara ini pertukaran shift akan berlaku sama ada sebelum fajar subuh Jumaat atau selepas sembahyang Jumaat, atau mulai antara hari Sabtu dan hari Khamis. Jadual seperti ini akan mengelakkan para pekerja daripada melanggar tatacara musafir hari Jumaat.
Disimpulkan bahawa hukum orang yang bekerja offshore tidaklah berkewajipan mengerjakan sembahyang Jumaat memandangkan mereka bukanlah orang yang bermastautin di tempat tersebut. Bahkan kedudukan mereka yang jauh daripada kampung-kampung di darat tidak membolehkan mereka untuk mendengarkan azan.
Bukan setakat itu sahaja, malah kewajipan sembahyang Jumaat juga digugurkan ke atas mereka kerana mereka boleh dianggap sebagai musafir jika jarak jauh daripada tempat tinggalnya ke tempat kerja (offshore) melebihi dua marhalah dan menetap di sana tidak lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari tiba dan pergi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11276
