Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Kewangan Tabung Balai Ibadat

Soalan: Bagaimanakah kedudukan kewangan tabung balai ibadat di kampung saya yang ada sekarang sekiranya suatu hari nanti didirikan sebuah masjid bagi menggantikan balai ibadat tersebut? Bolehkah kewangan tabung balai ibadat ini dibawa dan seterusnya digunakan bagi kegunaan mashlahat masjid yang baru itu nanti? Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Tabung yang diletakkan di tempat-tempat yang dikhususkan untuk sesuatu tujuan yang tertentu seperti tabung balai ibadat adalah wajib wang derma tabung tersebut disalurkan atau ditunaikan menurut niat orang yang menderma atau tujuan tabung derma itu diadakan, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat (pahala) menurut apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Abu Daud)

Pada kebiasaannya, tabung yang diletakkan di masjid-masjid atau di balai-balai ibadat mempunyai tujuan-tujuan yang tertentu dan ada juga tabung yang memang khusus untuk mashlahat masjid atau balai ibadat sahaja. Oleh yang demikian, jika tabung itu diniatkan atau bertujuan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti majlis tahlîl, membaiki balai ibadat, dana biasiswa pelajaran anak-anak yatim, membantu mangsa kebakaran, atau secara khususnya untuk kemashlahatan masjid atau balai ibadat itu sendiri, maka pemegang amanah derma hendaklah menyalurkannya menurut niat orang yang menderma atau tujuan tabung derma itu dibuat.

Wang Derma Balai Ibadat Yang Tidak Berfungsi

Jika sesebuah balai ibadat tidak berfungsi lagi kerana telah didirikan sebuah masjid bagi menggantikan balai ibadat tersebut, maka wang tabung balai ibadat boleh digunakan oleh masjid yang menggantikan balai ibadat tersebut, dengan syarat penggunaan wang tersebut hendaklah menurut sebagaimana tujuan asal tabung itu diadakan, kerana itulah sahaja yang lebih mendekati tujuan dan niat orang yang berderma dan demi menjaga kepentingan orang-orang yang berderma agar derma mereka tidak menjadi sia-sia.

Ini adalah berdasarkan pendapat para ulama mengenai waqaf yang menyatakan bahawa atas sebab dharûrah dan menjaga kepentingan orang yang berwaqaf agar waqafnya tidak terbengkalai atau waqafnya itu tidak menjadi sia-sia, maka adalah harus tidak dipatuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh orang yang berwaqaf demi kemashlahatan orang yang berwaqaf itu sendiri.

Dalam hal ini, al-Qalyubi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan tempat diikut syarat orang yang berwaqaf lagi ialah selama mana bukan dalam keadaan dharurat sekalipun mengambil masa yang panjang. Jika tidak (jika dalam keadaan dharurat), seumpama bangunan waqaf roboh, maka tidaklah diikut syarat orang yang berwaqaf, umpamanya jika dia mensyaratkan supaya tidak disewakan (bangunan) itu melebihi tiga tahun misalnya, (tetapi) keadaan dharurat memerlukan sekalipun mengambil masa yang panjang untuk pembangunannya (semula), dan tidak ada orang yang mahu menyewanya kecuali dengan sewaan yang melebihi syarat tiga tahun, maka harus (jangka masa sewaan) yang lebih itu sekira-kira cukup untuk pembangunan semula kerana disebabkan oleh keadaan dharurat. (Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah: 3/104).

Imam Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Dan dengan perkataan “bukan dalam keadaan dharurat” terkeluarlah (tidak termasuk keadaan) jika tidak didapati sesiapa pun yang berminat pada waqaf itu kecuali dengan cara yang berlainan dengan yang sedemikian (apa yang telah disyaratkan oleh orang yang berwaqaf), maka adalah harus (ditinggalkan syarat orang yang berwaqaf), kerana pada zahirnya orang yang berwaqaf tidak ingin waqafnya terbengkalai. Dan jika rumah yang dipersyaratkan supaya tidak disewakan kecuali dengan kadar sebegini (tertentu) itu roboh, dan rumah itu tidak mungkin dapat dibangunkan (semula) kecuali dengan sewaan yang melebihi kadar yang sedemikian (yang telah ditentukan), (maka harus waqaf itu) disewakan dengan kadar sekira-kira mencukupi untuk pembangunannya sahaja sebagai memelihara kepentingan orang yang berwaqaf bukannya kepentingan orang yang berhak (kepada waqaf itu). (Nihâyah al-Muhtâj: 5/376).

Dibawakan persoalan waqaf di sini, kerana waqaf dan shadaqah atau derma merupakan dua persoalan yang mempunyai kaitan rapat sebagaimana kata Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam fatwanya:

Ertinya: Sesungguhnya bab wasiat, waqaf dan shadaqah adalah daripada lubuk yang satu. (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 3/366)

Daripada keterangan di atas, maka tabung kewangan balai ibadat yang tidak digunakan lagi bolehlah dibawa dan digunakan untuk kemashlahatan masjid yang baru dengan syarat penggunaan wang tersebut hendaklah menurut sebagaimana tujuan asal tabung itu diadakan, kerana itulah sahaja yang lebih mendekati tujuan dan niat orang yang berderma dan demi menjaga kepentingan orang-orang yang berderma agar derma mereka tidak menjadi sia-sia.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11280