Makanan Kesihatan Dan Perubatan Daripada Tanduk Rusa Yang Dipotong Semasa Hidupnya
Soalan: Sebuah syarikat ternakan pembekal lembu, kambing dan rusa hidup ingin mengeluarkan satu produk berupa kapsul (pil) dari tanduk muda rusa (velvet). Cara membuatnya adalah dengan memotong velvet tersebut dari rusa yang hidup, tanpa perlu menyembelihnya. Velvet ini akan diproses dengan mengeringkannya, kemudian dikisar menjadi serbuk halus dan dijadikan kapsul untuk dimakan sebagai makanan kesihatan dan perubatan. Sehubungan dengan itu dipohonkan penjelasan Pehin Mufti, adakah ia halal untuk dimakan?
Jawapan: Anggota Yang Terpisah Daripada Binatang Hidup Mana-mana anggota yang terpisah dari binatang yang halal dimakan semasa hidupnya adalah bangkai, sebagaimana disebutkan dalam hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apa yang dipotong dari yang hidup, maka ia adalah bangkai. (Hadits riwayat al-Hakim) Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan:
Ertinya: [Bahagian yang terpisah] dengan sendirinya atau dengan perbuatan seseorang [dari] binatang [yang masih hidup, (adalah dihukumkan) seperti bangkainya] dari segi kesucian dan sebaliknya. Berdasarkan hadits (yang maksudnya): “Apa yang dipotong dari yang hidup, maka ia adalah bangkai. Maka tangan (yang dipotong) dari manusia adalah suci, sekalipun dipotong ketika mencuri, atau bahagian (yang terpotong ketika hidupnya) dari ikan atau belalang (adalah suci juga hukumnya). (Akan tetapi, sekiranya bangkainya najis) seumpama kambing, (maka anggota yang terpisah dari badannya ketika hidupnya) adalah najis.” (Nihâyah al-Muhtâj: 1/245)
Namun dikecualikan bulu yang terpisah dari binatang yang halal dimakan, maka hukumnya adalah suci menurut ijmâ‘, sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/245-6)
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (Allah menjadikan bagi kamu) dari bulu (biri-biri) dan bulu (unta) dan bulu (kambing) menjadi perkakas dan kesenangan sampai ke suatu masa (tertentu). (Surah an-Nahl: 80)
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh juga menegaskan:
Ertinya: Sesungguhnya bulu dan yang seumpamanya seperti bulu kambing biri-biri, bulu unta dan bulu burung, jika daripada binatang yang halal dimakan dan terpisah ketika hidupnya adalah suci. Ini berlainan dengan (bahagian yang lain), seperti tanduk, tulang dan kuku daripada binatang yang halal dimakan, maka sesungguhnya ia tidak suci, kecuali jika ia terpisah selepas disembelih bukan yang terpisah sebelumnya (disembelih). (Al-Fatâwâ al- Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/26)
Keterangan di atas jelas menunjukkan hanya bulu yang diambil daripada binatang (yang boleh dimakan) semasa hidupnya sahaja yang disebutkan sebagai suci. Manakala bahagian-bahagian yang lain termasuk tanduk yang diambil daripada binatang yang halal dimakan semasa hidupnya adalah najis.
Oleh itu, makanan kesihatan dan perubatan yang dihasilkan daripada velvet (tanduk muda rusa) yang dipotong semasa hidupnya adalah haram dimakan kerana anggota yang diambil ketika hidupnya itu adalah bangkai dan najis.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11304
