Melontar Jamrah Sebelum Matahari Tergelincir
Soalan: Beberapa tahun kebelakangan ini, jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah diarahkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk melakukan lontaran bagi ketiga-tiga jamrah tersebut sebelum tergelincir matahari. Perkara ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan jemaah haji dan juga kepada guru-guru pengkursus ibadat haji untuk menjawab persoalan mengenainya. Apakah pandangan Pehin Mufti bagi masalah tersebut?
Jawapan: Menurut pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e, melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq yang bukan lontaran qadha’ adalah selepas matahari tergelincir.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Tidak sah melontar (lontaran tunai) pada hari-hari ini (hari-hari tasyrîq) kecuali selepas matahari tergelinci. (Kitab al-Îdhâh fi Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah: 365)
Berkataََ pula, Syeikh Muhammad Thahir bin Abdul Qadir al-Kurdi a1-Makki:
Ertinya: Dan yang mu‘tamad adalah harus melontar jamrah sebelum matahari tergelincir atau pada malam hari bagi lontaran yang luput, berbeza dengan lontaran untuk hari berkenaan adalah ditegah mendahulukan melontar sebelum matahari tergelincir. (Irsyâd az-Zumrah li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah ‘alâ Mazhab al-Imam asy-Syafi‘e: 102)
Berdasarkan daripada nash-nash tadi, diharuskan melontar sebelum matahari tergelincir pada hari-hari tasyrîq hanyalah untuk mengganti (mengqadha’) lontaran yang luput pada hari atau hari-hari yang sebelumnya sahaja. Maka untuk membuat lontaran tunai, adalah dikehendaki melakukannya setelah matahari tergelincir.
Amalan melontar jamrah setelahََ matahari tergelincir di hari-hari tasyrîq adalah berdasarkan amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Perkara ini ada diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melakukan thawaf ifâdhah (di Makkah) di akhir harinya ketika telah mengerjakan sembahyang Zhuhur (di Mina), kemudian Baginda kembali semula ke Mina, lalu Baginda tinggal di sana beberapa malam pada hari-hari tasyrîq, Baginda melontar jamrah apabila matahari tergelincir, setiap jamrah dengan tujuh biji anak batu, Baginda bertakbir untuk setiap kali lontaran anak batu … (Hadits riwayat Abu Daud)
Sepertimana yang diketahui, amalan inilah yang telah lama dipraktikkan oleh jemaah haji Negara Brunei Darussalam ketika mengerjakan lontaran pada ketiga-tiga hari tasyrîq di Mina. Namun beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan jadual melontar kepada setiap negara mengikut kumpulan masing-masing dan berdasarkan jadual melontar yang telah diberikan, jemaah haji Negara Brunei Darussalam adalah tergolong dalam kumpulan yang mesti melontar sebelum matahari tergelincir.
Oleh itu, para jemaah haji Negara Brunei Darussalam adalah tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi itu. Maka sebagai irsyâd, bukan fatwa, para jemaah haji bolehlah mengambil dan beramal dengan pendapat Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ iaitu salah seorang ulama daripada mazhab asy-Syafi‘e yang mengharuskan melontar jamrah pada hari tasyrîq sebelum matahari tergelincir.
Kita nukil daripada kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj, karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ pendapat tersebut:
Ertinya: Dan penetapan (keputusan) Imam ar-Rafi‘i adalah dengan tidak menegahnya (melontar jamrah pada hari tasyrîq) sebelum (matahari) tergelincir. (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 4/169)
Walau bagaimanapun, jika jemaah haji Negara Brunei Darussalam tidak lagi terikat dengan sistem penjadualan yang diaturkan oleh pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi, maka mereka hendaklah melontar selepas matahari tergelincir sepertimana menurut pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11308
