Memakai Lambang Pangkat Yang Bertulis Kalimat Lafzh Al-Jalâlah (Allah) Atau Ayat Al-Qur’an
Soalan: Angkatan Bersenjata Diraja Brunei mempunyai lambang pangkat yang diukir atau ditulis di atasnya kalimat Allah dan sebahagian daripada ayat al-Qur’an. Oleh itu, apakah kedudukannya pada pandangan Islam dan saranan nasihat daripada Pehin Mufti mengenai pemakaiannya pada lengan baju? Dan apakah pula hukumnya jika ia dipakai oleh pegawai yang bukan beragama Islam?
Jawapan: Kehormatan Ukiran Dan Tulisan Kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) Dan Ayat Al-Qur’an
Kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) dan ayat al-Qur’an adalah antara dua perkara yang diagungkan dalam Islam. Jika ia ditulis atau diukir di atas sesuatu seperti batu, besi, kertas dan seumpamanya maka adalah wajib dipelihara kehormatannya daripada sebarang perkara yang boleh mencemarkannya. Oleh itu, menulis atau mengukirnya di atas sesuatu hendaklah dipastikan bahawa perkara tersebut tidak akan membawa kepada penghinaan atau mencemar kehormatannya. Jika ia boleh membawa kepada penghinaan atau mencemarkan kehormatannya maka sama sekali diharamkan menulis atau mengukirnya di atas sesuatu itu.
Menyentuh Ayat Al-Qur’an Yang Ditulis Atau Diukir Di Atas Sesuatu
Menurut ulama, ayat al-Qur’an yang ditulis atau diukir di atas sesuatu seperti batu, papan tulis atau kertas dengan tujuan untuk mempelajarinya adalah haram disentuh oleh orang yang berhadas (orang yang tidak berwudhu). Manakala ayat al-Qur’an yang ditulis atau diukir di atas sesuatu seperti batu, papan tulis atau kertas yang bukan bertujuan untuk mempelajarinya tetapi hanya bertujuan untuk mengambil berkat seumpama tangkal atau azimat, maka ia adalah harus disentuh oleh orang yang berhadas.
Perkara ini dijelaskan oleh asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika mensyarahkan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: (Dan apa jua (ayat al-Qur’an) yang ditulis untuk tujuan pembelajaran al-Qur’an) walaupun sebahagian ayat (seperti yang ditulis di paparan) adalah haram menyentuhnya berdasarkan apa yang telah disebut (menurut pendapat al-ashah), kerana ia merupakan al- Qur’an yang ditsabitkan untuk pembelajaran, maka ia menyerupai hukum Mushhaf. Adapun apa yang ditulis bukan untuk tujuan pembelajaran seperti tangkal iaitu kertas yang ditulis di dalamnya sesuatu ayat daripada al-Qur’an dan disimpan di atas kepala umpamanya untuk tujuan mengambil berkat, (atau) baju yang ditulis padanya ayat al-Qur’an dan duit-duit dirham sebagaimana akan sampai keterangannya, maka tidak haram menyentuhnya mahupun membawanya, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menulis surat kepada Hiraql (Raja Rome) dan di dalamnya tertulis ayat surah Ali ‘Imran yang tafsirnya: “Wahai Ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimat yang bersamaan antara kami dengan kamu”, dan Baginda tidak pun memerintahkan kepada pembawa surat itu supaya memelihara kesucian daripada hadas. (Mughnî al-Muhtâj: 1/37)
Oleh yang demikian, lambang pangkat yang bertulis kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) atau ayat al-Qur’an adalah harus disentuh oleh orang yang berhadas, kerana pangkat yang bertulis kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) atau ayat al-Qur’an tujuannya bukan untuk pembelajaran tetapi ia hanya bertujuan untuk mengambil berkat.
Membawa Masuk Kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) Atau Ayat al-Qur’an Ke Dalam Tandas Orang yang memakai lambang pangkat yang bertulis kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) atau ayat al-Qur’an, jika dia hendak masuk ke dalam tandas, maka disunatkan kepadanya untuk tidak membawa masuk bersamanya lambang pangkat tersebut.
Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila masuk ke tandas, Baginda akan menanggalkan cincin Baginda (yang ada tertulis padanya perkataan Allah) (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Dalam hal ini juga, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Para ulama asy-Syafi‘iyyah telah bersepakat (ittifâq) menghukumkan adalah sunat mengetepikan (tidak membawa masuk) apa-apa yang terdapat padanya sebutan Allah Ta‘ala ketika hendak masuk tandas dan tidaklah dihukumkan wajib mengetepikannya. (Al-Majmû‘: 2/86)
Memberi Kepada Orang Yang Bukan Islam Sesuatu Yang Bertulis Kalimat Lafdz Al- Jalâlah (Allah) Atau Ayat Al-Qur’an
Para ulama menyebutkan bahawa tidak sah (tidak boleh) memberi milik sama ada dengan menjual, menghadiahkan dan seumpamanya kepada orang yang bukan Islam Mushhaf (al- Qur’an), kitab-kitab ilmu agama seperti hadits, fiqh, hikayat-hikayat orang shâlihîn dan apa jua yang terdapat di dalamnya ayat al-Qur’an sekalipun sedikit termasuk tangkal, kerana perbuatan yang demikian merupakan satu penghinaan. (Tuhfah al-Muhtâj: 4/229-230, Nihâyah al-Muhtâj: 3/388-389, Asnâ al-Mathâlib 2/7 dan Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/14)
Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz di dalam fatwanya siri 14/72:
“Mushhaf al-Qur’an atau tafsir al-Qur’an atau apa yang berisi dengan sesuatu daripada ayat al-Qur’an atau kitab hadits atau kitab berkenaan dengan agama Islam tiada sah orang kafir memiliki perkara-perkara tersebut dengan ittifâq ulama, atau kitab daripada hal hidup sahabat atau ulama atau orang salih, kerana memiliki orang kafir akan perkara itu mendatangkan kehinaan dan kerendahan ke atas perkara-perkara yang tersebut itu, sebab tiada diharapkan dia menghormati akan perkara-perkara itu, padahal perkara-perkara itu dihormati dan mulia dan dipandang tinggi dalam agama Islam. Dan merendahkan sesuatu daripada perkara-perkara yang tersebut itu adalah perbuatan ilhâd, kufur dan murtad mengeluarkan seseorang itu daripada agama Islam.
Beliau menambah lagi:
Tersebut dalam Bughyah al-Mustarsyidîn karangan mufti Hadramaut al-‘Allâmah al- Habib ‘Abdul Rahman al-Masyhur, yang mati pada 1320H pada masalah fatwa Imam al- Habib ‘Abdullah bin Yahya yang hidup pada tahun 1248H: “Tiada sah menjual seperti kitab-kitab dan pakaian-pakaian dan bejana-bejana yang tertulis padanya sesuatu daripada al-Qur’an atau ism mu‘azhzham atau ilmu syara‘, sekalipun digantung pada tamîmah (tangkal) kepada orang kafir, sekalipun diyakinkan dia menghormati perkara-perkara itu dengan ittifâq dan sekata ulama fiqh. Dan seperti menjual kepada yang kafir itu, bernazar sesuatu daripada perkara-perkara itu kepada yang kafir dan memberi hibah kepadanya dan segala rupa memberi milik dengan cara suka hati.”
Maka berdasarkan perkataan para ulama di atas, dapatlah difahami dan diambil kesimpulan bahawa lambang pangkat yang bertulis kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) atau ayat al-Qur’an tidaklah harus diberi dan dipakai oleh orang yang bukan Islam sekalipun orang yang bukan Islam itu menghormatinya, kerana perbuatan tersebut adalah menghina dan mencemar kesucian kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) dan ayat al-Qur’an. Lambang pangkat yang bertulis kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) atau ayat al-Qur’an hanya boleh dipakai oleh orang Islam. Oleh yang demikian, maka lambang pangkat bagi orang yang bukan beragama Islam hendaklah ditiadakan padanya kalimat Lafdz Al-Jalâlah (Allah) dan ayat al-Qur’an.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11312
