Membatalkan Sembahyang Bersendirian Bagi Menyertai Sembahyang Berjemaah
Soalan: Saya pergi ke surau dan seterusnya mendirikan sembahyang bersendirian kerana tidak ada jemaah lain yang mengerjakan sembahyang. Ketika saya sembahyang pada rakaat pertama, sembahyang berjemaah mula didirikan. Oleh itu, saya menghentikan sembahyang saya dan menyertai jemaah. Adakah tindakan saya ini betul, atau adakah ia hanya boleh dilakukan ketika berada di tempat yang sesuai seperti masjid? Haruskah saya meneruskan dan menyempurnakan sembahyang saya secara bersendirian?
Jawapan: Membatalkan Sembahyang
Mendirikan sembahyang dengan tatacara dan perbuatan yang betul amatlah perlu sepertimana yang dituntut oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sembahyang hendaklah dilaksanakan dengan keikhlasan, khusyû‘, tawâdhu‘ dan penuh keyakinan hanya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan mengetepikan semua pemikiran dan perasaan lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata. (Surah al-A‘râf: 29)
Oleh kerana itu, membatalkan sembahyang tanpa alasan, sama ada ia merupakan sembahyang fardhu atau sunat, adalah ditegah dan ia dihukumkan sebagai haram.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: 33)
Namun begitu, terdapat pengecualian hukum dalam perkara ini, iaitu apabila mendapati seseorang berada dalam bahaya atau kecelakaan.
Umpamanya seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam perigi, atau seseorang yang hampir diserang binatang buas dan tidak ada cara lain untuk memberi peringatan kepadanya kecuali dengan memberitahunya dan membatalkan sembahyangnya. Jadi dalam situasi ini adalah wajib ke atasnya membatalkan sembahyangnya demi menghindari sebarang kecelakaan, kehilangan atau kecederaan kepada nyawa atau harta benda dan juga demi menyelamatkan nyawa ataupun mencegah berlakunya kecederaan kepada orang lain. (Al-Majmû‘: 4/12)
Walau bagaimanapun, bagi sembahyang sunat adalah harus membatalkannya kerana menyahut panggilan ibu bapa. Bahkan menyahut panggilan ibu bapa itu adalah afdhal. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, ia menjadi satu kewajipan bilamana ibu bapa merasa dukacita sekiranya panggilan mereka tidak dijawab atau tidak diendahkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/46 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/415)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang perempuan memanggil anaknya ketika dia (anaknya) dalam bilik peribadatannya. Dia (ibunya) berkata: “Wahai Juraij!” Dia (Juraij) berkata: “Ya Allah, ibuku (memanggilku) dan (aku sedang melakukan) sembahyangku”. Dia (ibunya) berkata: “Wahai Juraij”. Dia (Juraij) berkata: “Ya Allah, ibuku dan sembahyangku”. Dia (ibunya) berkata: “Ya Allah, janganlah engkau matikan dia sehinggalah dia melihat wajah seorang pelacur”. Suatu hari berteduh seorang penggembala kambing di bilik peribadatannya (Juraij). (Lalu datang seorang perempuan kepadanya dan melakukan perlakuan sumbang dengan penggembala kambing itu dan hamil) dan dia (perempuan itu) melahirkan seorang anak. Maka dikatakan kepadanya (perempuan itu): “Daripada siapa budak ini?” Dia (perempuan itu) berkata: “Daripada Juraij”. Juraij keluar dari bilik peribadatannya. Juraij berkata: “Mana dia orang yang menyangka bahawa anaknya adalah daripadaku (hasil perbuatanku)?” Dia (Juraij) berkata: “Wahai Babus (nama timangan budak itu), siapakah bapamu?” Dia (budak itu) berkata: “Seorang penggembala kambing.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut para ulama, hadits ini menunjukkan bahawa membatalkan sembahyang sunat, semata-mata kerana menjawab panggilan ibu adalah diharuskan. Ini kerana meneruskan sembahyang sunat tidak diwajibkan, malah menjawab panggilan ibu adalah wajib dan tidak menurut perintahnya adalah haram. (Shahîh Muslim: 10/6549)
Akan tetapi, keadaan hukumnya berbeza dalam perkara membatalkan sembahyang kerana hendak mendapatkan ganjaran atau kelebihan yang lebih banyak seperti menyertai sembahyang berjemaah. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/236 dan Hawâsyi asy-Syarwâni wa Ibnu Qasim: 2/359)
Telah sedia diketahui, bahawa mengerjakan sembahyang secara berjemaah adalah afdhal sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Memulakan Sembahyang Secara Berjemaah Ketika Seseorang Mengerjakannya Bersendirian.
Apabila seseorang sudah memulakan sembahyang secara bersendirian dan pada masa yang sama sembahyang jemaah mula didirikan. Hal ini dilihat dalam dua situasi:
1. Seseorang sudah memulakan sembahyang fardhu dan mendapati sembahyang fardhu yang sama dikerjakan secara berjemaah.
Adalah harus dan afdhal membatalkan sembahyangnya semata-mata untuk mengikuti jemaah. Walau bagaimanapun, adalah sunat menyelesaikan sembahyang fardhunya sebagai sembahyang sunat dua rakaat, walaupun dia berniat sembahyang untuk tiga atau empat rakaat. Perkara ini hanya dapat dilakukan jika:
i. Mempunyai waktu atau masa yang mencukupi untuk melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan yakin bahawa dia sempat menyertai jemaah setelah menyelesaikan sembahyang sunat dua rakaat.
ii. Melakukan jenis sembahyang fardhu yang sama dengan jemaah.
iii. Imam sembahyang itu hendaklah harus dan tidak makruh untuk diikuti (dijadikan imam). Misalnya hendaklah dia dan imam tersebut pada mazhab yang sama. (Al-Muhadzdzab: 1/178 dan Fath al-‘Allâm: 2/458)
iv. Rakaat ketiga bagi sembahyang fardhu tiga rakaat atau empat rakaat belum lagi dikerjakan. Jika ia sudah dikerjakan, dia hendaklah menyempurnakan sembahyang fardhu berkenaan dan dia bolehlah mengulangi sembahyang fardhunya secara berjemaah. (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/448 & 479 dan Tuhfah al-Muhtâj: 1/279)
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin Yazid bin al-Aswad al-‘Amiriy, daripada bapanya, dia berkata:
Maksudnya: Aku telah hadir bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada masa haji (Wida‘)nya, maka aku sembahyang bersamanya sembahyang Subuh di masjid al- Khaif,ََ Dia (bapa Jabir) berkata: “Apabila Baginda (Rasulullah) telah selesai daripada sembahyangnya dan beredar, Baginda melihat dua orang lelaki dalam kumpulan yang lain tidak mengerjakan sembahyang bersamanya”.ََ Baginda bersabda: “Dan hadapkan kepadaku mereka berdua”. Lalu dihadapkan mereka itu dan mereka mula menggigil ketakutan.ََ Baginda bersabda: “Apa yang menghalangi kamu berdua untuk bersembahyang bersama kami?”ََ Mereka berdua berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya kami telah mengerjakan sembahyang kami di tempat (rumah) kami”.َ Baginda bersabda: “Jangan kamu lakukan itu. Jika kamu berdua telah mengerjakan sembahyang di tempat kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid di mana sembahyang jemaah sedang dilakukan, maka sembahyanglah kamu berdua bersama mereka, sesungguhnya bagi kamu berdua menjadi sunat.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Walau bagaimanapun, jika waktu tidak mencukupi ataupun seseorang merasakan bahawa dengan melakukan sembahyang sunat dua rakaat akan mengakibatkannya tidak sempat mengikuti jemaah, maka adalah haram menyelesaikan sembahyang fardhunya sebagai sembahyang sunat dua rakaat. Bahkan, sunat dibatalkan sahaja sembahyangnya dan mengikuti jemaah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/236 dan Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qâsim: 2/359)
Jika seseorang mendapati sembahyang fardhu yang dilakukan secara berjemaah adalah berbeza dengan sembahyang fardhu yang dilakukannya secara bersendirian, maka haram menyelesaikan sembahyang fardhunya sebagai sembahyang sunat dua rakaat semata-mata hanya untuk mengikuti jemaah. Melainkan, jika seseorang itu misalnya sedang mengerjakan sembahyang fardhu qadha’ dan pada masa yang sama merasa bimbang akan kehilangan sembahyang fardhu tunai, dalam hal ini adalah wajib diselesaikan sembahyang fardhu qadha’nya sebagai sembahyang sunat dua rakaat. (Fath al-‘Allâm: 2/459)
Adapun, jika seseorang berhasrat untuk tidak membatalkan sembahyangnya, harus baginya meneruskan sembahyang tanpa membatalkannya dengan hanya menukar niat sembahyangnya secara bersendirian kepada niat sembahyang berjemaah, sekalipun seseorang itu berada pada rakaat yang berlainan dengan rakaat imam. Walau bagaimanapun, perbuatan ini dihukumkan makruh dan dia tidak akan mendapat ganjaran pahala berjemaah. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/312 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/512)
2. Apabila seseorang sudah memulakan sembahyang sunat, dia mendapati sembahyang fardhu berjemaah dimulakan.
Dalam keadaan ini, seseorang mestilah menyempurnakan sembahyangnya jika dia tidak merasa bimbang akan ketinggalan jemaah. Namun, jika dia merasakan bahawa dengan menyempurnakan sembahyangnya akan mengakibatkan ketinggalan jemaah, maka hendaklah dia membatalkan sembahyangnya dan menyertai jemaah. Ini kerana mengerjakan sembahyang secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian. (Al-Muhadzdzab: 1/178 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 1/479)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11320
