Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Berhadas Besar
Tafsirnya: Katakanlah lagi: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tidaklah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah an-Naml: 65)
Di dalam ayat ini Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menafikan bahawa tidakََ siapapun daripada penghuni bumi dan langit yang mengetahui ilmu ghaib melainkan Dia (Allah) yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana.
Pengertian Ghaib
Ghaib dalam pengertiannya yang luas terbahagi kepada dua iaitu ghaib yang mutlak dan ghaib yang nisbi atau relatif.
Ghaib yang mutlak itu hanya diketahui oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja, firmanNya:
Tafsirnya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja. (Surah al-An‘âm: 59)
Namun begitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memberitahu kepada kita tentang banyak perkara yang akan terjadi dan sekarang sudahpun terjadi yang sebelumnya perkara-perkara itu adalah ghaib. Contohnya semua tanda kecil kiamat yang diberitakan oleh Rasul sebelumnya sudah banyak menjadi kenyataan dewasa ini, seperti hilangnya amanah, orang-orang yang dulunya telanjang dan tidak berkasut atau selipar, kini membangun gedung-gedung pencakar langit, anak-anak kandung merupakan bencana kepada kedua ibu bapanya, suami mengikut kehendak isterinya dan mengenepikan ibunya sendiri, orang menjadi kedekut dan sayangkan harta, bencana di muka bumi merata-rata, darah mengalir akibat korban pemusnahan, pembunuhan dan peperangan, masjid-masjid dibina dengan indah sedangkan orang-orang Islam kosong daripada iman dan tanggungjawab diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya dan banyak lagi.
Semua kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ini sekarang sudah menjadi kenyataan, tetapi ini tidak menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu mengetahui ilmu ghaib kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. (Surah al-An‘âm: 50)
Dalam ayat ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam disuruh menjelaskan bahawa meskipun Baginda seorang Rasul, tidaklah Baginda mengetahui perkara-perkara yang ghaib, sebagaimana Baginda tidak menguasai perbendaharaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sebenarnya semua perkara yang diketahui oleh Rasulullah itu adalah bersumber daripada wahyu Allah jua sebagaimana yang dijelaskan di penghujung ayat yang sama.
Tafsirnya: Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. (Surah al-An‘âm: 50)
Ghaib nisbi atau relatif itu pula ialah suatu hal yang ghaib bagi sebahagian orang tetapi tidak ghaib bagi sebahagian yang lain. Contohnya seseorang yang kecurian suatu benda di rumahnya. Dia, mahupun polis belum mengetahui siapa si pencurinya kerana hal itu masih ghaib bagi mereka. Tetapi bagi si pencuri atau kawan-kawannya, tentulah mereka mengetahui siapa si pencurinya, kerana mereka sendiri yang melakukannya, maka hal ini tidaklah ghaib bagi mereka.
Ghaib nisbi dapat diketahui oleh manusia. Perkara seumpama ini sering dimanfaatkan oleh para pembohong atau penipu yang berusaha menggunakan keistimewaan mereka untuk menimbulkan keraguan kepada masyarakat, seolah-olah dia mengetahui ghaib mutlak. Orang yang dapat berbuat begini, sebenarnya bukanlah kerana dia mengetahui ilmu ghaib, melainkan kesediaan jiwanya yang luar biasa, yang dapat memusat kepada satu tujuan, yang terlepas daripada kongkongan-kongkongan yang lain.
Kedatangan Imam Al-Mahdi Para ulama Islam ketika membahaskan masalah aqidah, khususnya yang berhubung dengan masalah beriman dengan Hari Kiamat, pasti akan menyebut masalah kedatangan atau kemunculan Imam al-Mahdi, kerana kemunculan Imam al-Mahdi adalah termasuk di antara tanda-tanda kiamat besar. Sungguhpun terdapat kitab-kitab Ushuluddin yang tidak menyebut tentang persoalan Imam al-Mahdi, namun itu bukanlah suatu hujjah untuk membuktikan bahawa mereka tidak menetapkannya sebagai soal aqidah.
Rukun iman yang enam merupakan pokok aqidah Ahli Sunnah Wal Jama‘ah, sementara yang lain-lain merupakan cabang-cabangnya yang juga termasuk dalam soal aqidah. Di antara cabang-cabangnya ialah beriman dengan tanda-tanda kiamat, adanya syurga dan neraka, mîzân, shirâth, lauh mahfûzh dan lain-lain lagi.
Perkara-perkara cabang ini wajib diimani kerana ia tsabit dengan nash al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Sebagaimana yang diketahui, persoalan tentang akan munculnya Imam al-Mahdi tidak akan dapat diketahui melainkan melalui hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Kemudian hadits-hadits tersebut ada yang dikumpul serta disyarahkan oleh para ulama lain di dalam kitab-kitab yang khusus.
Antara hadits-hadits tersebut ialah:
Maksudnya: Akan ada pada umatku al-Mahdi, jika panjang umurnya atau pendek, dia akan hidup memerintah selama tujuh, lapan atau sembilan tahun, daripadanya bumi dipenuhi dengan keadilan dan saksama, bumi mengeluarkan hasil tanamannya dan langit menurunkan hujannya. (Hadits dikeluarkan oleh Ahmad)
ii. Hadits yang lain menyebutkan:
Maksudnya: Akan lahir pada akhir (zaman) umatku al-Mahdi, Allah menurunkan hujan untuknya, bumi mengeluarkan hasil tanamannya, dia memberikan harta dengan adil, akan banyak binatang ternakan dan umat menjadi mulia, dia akan hidup (memerintah) selama tujuh atau lapan (tahun). (Hadits dikeluarkan oleh al-Hakim)
iii. Kemudian hadits yang di bawah ini pula menyebutkan:
Maksudnya: Al-Mahdi itu daripada kami ahl al-bait, Allah membawakan kebaikan dengannya dalam satu malam. (Hadits dikeluarkan oleh Ibnu Majah)
Ketiga-tiga hadits ini adalah antara hadits-hadits marfû‘ yang menerangkan mengenai Imam al-Mahdi dan kemunculannya pada akhir zaman.
Masalah Imam al-Mahdi adalah masalah yang tsabit dengan hadits-hadits yang mutawâtir. Para ulama telah sepakat bahawa perkhabaran ramai itu adalah benar, maka barang siapa menyangkalnya setelah diketahui tentang tawâtirnya, maka dia menjadi kufur.
Al-‘Allâmah as-Safirini di dalam kitab tauhidnya menyebut: “Adapun beriman dengan keluar al-Imam al-Mahdi itu adalah wajib sebagaimana yang telah ditetapkan pada ilmu ahli tauhid dan telah dituliskan dalam aqidah Ahli Sunnah Wal Jama‘ah.”. (Ad-Durrah al-Mudhhiyyah fî ‘Aqîdah al-Firqah al-Mardhiyyah).
Mengetahui Kedatangan Imam Al-Mahdi
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu bahawa masalah Imam al-Mahdi adalah persoalan aqidah. Ia adalah antara tanda-tanda besar Hari Kiamat dan tanda-tanda besar Hari Kiamat ini adalah perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui bila akan terjadi.
Juga telah dijelaskan bahawa perkara-perkara ghaib tiada siapa dapat mengetahuinya; sekalipun Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri, melainkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia mengetahui bila datangnya Imam al-Mahdi, perkara ini adalah mustahil pada akal. Sedangkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri apabila Baginda mengkhabarkan sesuatu yang ghaib, Baginda menyandarkan pengetahuan Baginda itu kepada wahyu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian). (Surah al-Jinn: 26-27)
Dalam ayat ini Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjelaskan bahawa tidak seorangpun yang mengetahui keadaan yang ghaib; tidak Nabi, tidak Rasul, tidak jin dan tidak malaikat. Rahsia yang ghaib adalah semata-mata dalam genggaman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kecuali yang dikecualikan iaitu Rasul yang diredhai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh kerana itu tidaklah dapat dipercayai seseorang yang mengaku dirinya dapat mengetahui yang ghaib, apa yang terjadi pada kemudian hari nanti.
Di antara orang-orang yang sering mengakui dirinya dapat mengetahui yang ghaib ialah ahli nujum, ahli tenung atau ahli ramal dan yang seumpama mereka. Mereka mendakwa bahawa mereka dapat mengetahui apa yang akan terjadi pada hari esok dengan melihat atau berpandukan kepada bintang-bintang atau dengan cara berhubung dengan jin atau dengan melihat garis-garis atau jalur-jalur di atas padang pasir dan lain-lain cara yang bâthil yang kebanyakannya berlaku pada zaman jahiliah.
Semua perbuatan bâthil ini ditolak oleh Islam kerana ia adalah dikira antara bentuk-bentuk atau ciri-ciri ilmu sihir, sedang sihir itu haram di sisi Islam.
Apa yang dilarang dalam ilmu-ilmu seperti itu ialah apabila orang yang memiliki ilmu itu mendakwa mengetahui kejadian-kejadian yang akan berlaku pada masa akan datang seperti bila akan berlakunya peperangan dan lain-lain lagi.
Adapun yang diketahui melalui penglihatan seperti ahli ilmu bintang atau ahli ilmu falak yang mengetahui bila terbit dan terbenamnya matahari, mengetahui arah qiblat dan sebagainya, semua itu tidaklah termasuk dalam larangan yang disebutkan di atas, bahkan ia adalah terpuji yang patut dipelajari oleh setiap umat Islam.
Kesimpulannya, mendakwa mengetahui bila datangnya Imam al-Mahdi adalah suatu pembohongan besar dan tergolong dalam golongan orang-orang sesat, kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri tidak pernah menyatakan dengan tepat di dalam hadits-hadits Baginda bilakah datangnya Imam al-Mahdi. Apa yang dijelaskan cumalah tanda-tanda yang menunjukkan kemunculan Imam al-Mahdi itu sahaja.
Orang yang mempercayai dakwaan atau pengakuan bila datangnya Imam al-Mahdi pula adalah orang tertipu dengan pendusta yang bertujuan untuk menyesatkan orang lain.
Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Berhadas Besar
Soalan:
Apakah hukum wanita memotong kuku, membuang bulu pada badan sewaktu dia berada dalam haidh atau berhadas besar? Apakah langkah yang sepatutnya diambil olehnya sekiranya dia mendapati kukunya terlalu panjang atau kotor, atau bulu yang terdapat pada anggota badannya terlalu panjang sedangkan wanita berkenaan masih dalam keadaan haidh atau hadas besar?
Jawapan:
Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Berhadas Besar
Telah dinyatakan dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn mengenai memotong kuku dan rambut ketika masih berhadas besar:
Ertinya: Adalah sayugia (orang yang berhadas besar itu) tidak menanggalkan, sebelum melakukan mandi wajib, rambut atau kuku dan demikian juga (mengeluarkan)ََ darah, kerana semua bahagian yang ditanggalkan itu akan dikembalikan di akhirat kelak dalam keadaan junub.
Dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib dinyatakan Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata: “Adalah tidak disarankan memotong atau mencukur atau mengikir (kuku) atau mengeluarkan darah atau memisahkan (menanggalkan) bahagian tubuh badannya sedangkan dia dalam keadaan junub, kerana kelak akan dikembalikan semua bahagian badannya di akhirat dalam keadaan junub.” (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 1/320-321, Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/137, Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/284-285)
Dalam hal ini asy-Syabramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula menyatakan bahawa setiap bahagian anggota tersebut (akan datang) mencela tuannya pada Hari Kiamat kerana perbuatannya itu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/137)
Al-‘Allâmah Ba ‘Asyin Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Busyrâ al-Karîm juga menjelaskan hukum menanggalkan mana-mana bahagian badan ketika berhadas besar, katanya:
Ertinya: Disunatkan bagi orang berjunub misalnya, untuk tidak menghilangkan sesuatu (bahagian atau anggota) daripada badannya, kecuali setelah dia melakukan mandi wajib kerana bahagian-bahagian badan itu akan kembali kepada badan (tuan)nya di akhirat kelak, maka ia (anggota itu) akan kembali dalam keadaan junub serta mencela tuannya. Kemudian ia akan pergi daripadanya melainkan bahagian-bahagian (badannya) yang asal (bahagian yang kekal daripada awal dia dilahirkan sehingga akhir hayatnya). Dan dikatakan bahawa tiap-tiap helai rambut itu menuntut tuannya dengan sebab ia masih dalam keadaan junub. (Busyrâ al-Karîm: 1/84)
Menurut pendapat al-Mudabaghi Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa bahagian yang dikembalikan itu ialah bahagian-bahagian (badannya) yang asal, misalnya tangan yang telah terpotong dan ini berbeza dengan hal kuku dan rambut, kerana ia akan dikembalikan tetapi dalam keadaannya yang terpisah daripada badan tuannya, dengan menangisi dan mencela tuannya kerana (tuannya) telah diperintahkan (semasa hidupnya) untuk tidak menanggalkannya ketika masih dalam keadaan junub. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al- ‘Abbadi: 1/284, Bujairimi ‘ala al-Khathib: 1/320)
Maka berdasarkan pendapat ulama di atas adalah sunat untuk tidak memotong kuku atau rambut ketika masih dalam keadaan junub, haidh atau nifas, supaya di akhirat kelak bahagian-bahagian badannya itu akan kembali kepadanya dalam keadaan suci.
Walau bagaimanapun, jika kuku yang dibiarkan ketika masih dalam berhadas besar itu terlalu panjang, misalnya perempuan yang didatangi nifas, sehingga mendatangkan kemudharatan atau kesukaran baginya atau menyakitinya, maka tidaklah mengapa dia memotongnya atas sebab-sebab demikian.
Memandikan Bahagian Yang Ditanggalkan Ketika Berhadas Besar
Terdapat di kalangan masyarakat kita yang membawa mandi bersama-sama mereka bahagian yang terpisah daripada anggotanya ketika masih junub atau berhadas besar dengan maksud bahagian yang telah terpisah itu turut sama suci daripada hadas. Maka dalam hal ini, bahagian anggota yang sudah berpisah daripada badan orang yang berjunub sebelum dia selesai mandi wajib, tidak akan terangkat janâbahnya (sekalipun) dengan memandikannya sebagaimana pendapat asy-Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika dia mengulas perkataan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ yang dinukilkannya daripada Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ (أجزاءهَتعودَإليه.. َ ألن ) katanya:
Ertinya: Zahir perbuatan ini bahawasanya bahagian-bahagian tubuh badan (orang yang junub) yang terpisah sebelum mandi wajib itu tidak terangkat janâbahnya dengan memandikannya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/284-285)
Daripada keterangan ini dapatlah difahami bahawa membawa mandi (mandi wajib kerana mengangkat hadas besar) bersama-sama anggota yang telah dipotong ketika masih dalam keadaan junub, haidh atau nifas tidaklah memberi apa-apa kesan. Ini kerana janâbah atau hadas yang ada pada anggota tersebut tidak juga akan terangkat.
Kesimpulan
(1) Sunat untuk tidak memotong kuku, membuang bulu pada badan dan menanggalkan apa jua bahagian badan semasa junub, haidh dan nifas.
(2) Boleh memotong kuku atau menanggalkan bahagian badan orang yang berjunub, haidh atau nifas jika ia menyakiti atau mendatangkan kemudharatan ke atasnya.
(3) Kuku atau rambut yang telah terpisah daripada seseorang semasa junub, haidh atau nifas tidak akan terangkat janâbahnya atau hadasnya sekalipun dengan membawanya mandi bersama-sama sewaktu mandi hadas besar itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11323
