Merobohkan Bangunan Stor Surau Yang Diwaqafkan Hasil Kutipan Wang Penduduk Kampung
Soalan: Ketua Imam Surau Kampung Tanjung Bunut memohon kebenaran merobohkan harta waqaf yang terletak berhampiran dengan Surau Kampung Tanjung Bunut. Harta wakaf yang hendak dirobohkan itu merupakan bangunan stor atau tempat penyimpanan barang-barang surau tersebut. Manakala barang-barang yang disimpan di dalamnya akan dipindah ke tempat penyimpanan yang baru dibina berdekatan dengan kawasan surau. Tujuan merobohkan adalah bagi mem‘bisai’kan (mencantikkan) lagi suasana kawasan luar surau berkenaan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti adakah boleh merobohkan bangunan stor tersebut, menjual perkakas atau bekas bahan-bahan binaannya dan wang hasil penjualannya itu akan dimasukkan ke dalam tabung surau berkenaan?
Jawapan: Barang yang diwaqafkan atau harta waqaf dalam istilah fiqh disebut al-mauqûf. Harta waqaf yang dimaksudkan dalam persoalan ini ialah tempat menyimpan atau stor penyimpanan yang diwaqafkan oleh al-wâqif (pewaqaf iaitu orang-orang kampung) untuk Surau Kampung Tanjung Bunut bagi menyimpan barang-barang surau berkenaan.
Meroboh Harta Waqaf
Imam al-‘Allâmah Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Fath al- Mu‘în mengenai masalah harta waqaf yang berupa masjid bahawa harus dirobohkan masjid jika ditakuti ia akan roboh:
Ertinya: Tidaklah boleh dirobohkan masjid melainkan apabila ditakuti ia akan roboh, maka ketika itu haruslah dirobohkan dan disimpan (alat-alat perkakas masjid itu) atau digunakan bagi meng‘imârah masjid yang lain jika hakim (pemerintah) berpendapat begitu. Dan (meng‘imârahkan masjid) yang lebih hampir (dengan masjid yang dirobohkan itu) lebih utama, dan tidaklah boleh digunakan alat-alat perkakas masjid yang dirobohkan itu bagi meng‘imârah bangunan selain jenis masjid seperti ribâth (tempat tinggal yang diwaqafkan untuk fakir miskin) dan telaga. Begitu juga jika sebaliknya, melainkan apabila sukar digunakan alat-alat binaan masjid itu pada jenisnya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/370)
Dalam hal merobohkan tempat penyimpanan barang-barang Surau Kampung Tanjung Bunut yang diwaqafkan sebagaimana yang dimaksudkan, hukumnya adalah harus jika harta waqaf tersebut sudah usang atau rosak dan perlu untuk dirobohkan.
Tetapi jika harta waqaf tersebut masih lagi baik dan kukuh, maka tidak harus dirobohkan kerana sesuatu harta yang telah menjadi waqaf tidak boleh dibatalkan oleh sesiapapun sekalipun para pewaqafnya bersetuju. Ini kerana apabila sesuatu harta diwaqafkan, maka akan terhentilah hak pemilik asal (orang yang berwaqaf) terhadap harta tersebut.
Menjual Dan Memusnahkan Perkakas-Perkakas Harta Waqaf
Pada asalnya harta waqaf tidak boleh dijual dan juga tidak boleh diberikan kepada orang lain sekalipun ia telah rosak.
Imam al-‘Allâmah Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menyebutkan perkataan pengarang kitab al-Minhâj mengenai perkara ini:
Ertinya: Tidak boleh dijual harta waqaf itu sekalipun telah rosak. (Hasyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 3/366)
Harta waqaf itu, sekalipun ia rosak hendaklah dimanfaatkan sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Minhâj:
Ertinya: Jika kering pokok (yang diwaqafkan itu) tidaklah terputus waqaf menurut pendapat al-mazhab bahkan hendaklah ia dimanfaatkan sebagai tiang.
Para ulama mazhab Syafi‘e seperti Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dan Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh mengatakan bahawa dimanfaatkan pokok yang diwaqafkan yang telah kering itu dalam keadaannya menjadi kayu dengan menyewakannya dan selainnya supaya waqaf itu berkekalan pada barangnya, tetapi tidak boleh dijual dan juga tidak boleh dihibahkan (diberi) kepada orang lain.
Jika ia tidak dapat dimanfaatkan lagi kecuali hanya dengan memusnahkannya dengan dibakar (umpamanya untuk dijadikan kayu api), maka menurut pendapat yang mu‘tamad terputuslah waqafnya; iaitu harta waqaf (al-mauqûf) itu akan menjadi milik orang yang diwaqafkan (al-mauqûf ‘alaih). (Mughni al-Muhtâj: 3/549-550, Nihâyah al-Muhtâj: 5/394 dan Tuhfah al- Muhtâj: 2/511-512)
Imam al-‘Allâmah Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh ada menyebutkan:
Ertinya: Apabila sebuah masjid roboh dan uzur (tidak dapat) untuk dibangunkan kembali, maka barang-barangnya tidak boleh dijual dan tidak dimiliki kembali seperti asalnya, kerana tanahnya masih boleh digunakan untuk bersembahyang dan beri‘tikâf. Atau apabila suatu pohon yang diwaqafkan kering (mati) atau ditumbangkan oleh angin, maka waqafnya tidak menjadi batal, maka tidak boleh dijual atau dihibahkan (diberi kepada orang lain), tetapi dimanfaatkan oleh orang yang diwaqafkan (al-mauqûf ‘alaih) walaupun dengan cara dibuatkan pintu jika tidak dapat disewakan sebagai kayu. Jika tidak boleh lagi dimanfaatkan kecuali dengan memusnahkannya, seperti ia tidak boleh dimanfaatkan kecuali dengan membakarnya (dijadikan kayu api), maka terputuslah waqaf, iaitu menjadi milik orang yang diwaqafkan menurut pendapat yang mu‘tamad, maka dia boleh memanfaatkan benda waqaf tersebut tetapi tidak boleh menjualnya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/366-368)
Adapun bahan-bahan binaan atau perkakas-perkakas lama bagi tempat penyimpanan barang sebagaimana yang dijelaskan seperti kayu-kayan, dinding atau atap yang masih baik hanya boleh digunakan untuk kepentingan pembinaan stor surau yang baru atau yang berdekatan dengan stor surau yang lama bagi mengekalkan maksud harta tersebut diwaqafkan. Ia tidak boleh dijual dan sebagainya. Namun jika perkakas tersebut rosak atau pecah dan tidak elok untuk digunakan lagi, maka barulah ia boleh dijual. Ini adalah sebagaimana penjelasan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam perkara harta waqaf masjid dalam kitabnya al-Minhâj, yang menyebutkan:
Ertinya: Dan menurut pendapat yang ashah, harus menjual tikar masjid jika ia buruk dan tiang-tiangnya jika patah dan tiada manfaat melainkan untuk dibakar.
Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula menyatakan bahawa keharusan menjualnya itu ialah supaya ia tidak hilang begitu sahaja dan supaya tidak menyempitkan kawasan tanpa sebarang faedah. Hasil daripada perolehan yang sedikit daripada penjualannya (perkakas) yang kembali kepada waqaf itu adalah lebih utama daripada ia hilang begitu saja. (Mughni al-Muhtâj: 3/550)
Manakala Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh juga menyebutkan dalam at-Tuhfah mengenai perkara ini, katanya;
Ertinya: Maka mendapatkan perolehan yang sedikit daripada penjualannya (perkakas) yang kembali untuk waqaf itu lebih utama daripada hilangnya begitu saja, dan perkara ini dikecualikan daripada perkara penjualan waqaf kerana ia seolah-olah sudah tidak ada. Dalam pada itu disalurkan harga jualan berkenaan bagi tujuan kemashlahatan masjid kiranya tidak dapat membeli tikar atau tiang yang lain dengan harga (hasil jualan) itu. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/512)
Berkata Imam al-‘Allâmah Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh lagi pada menjelaskan perkara ini:
Ertinya: Harus dijual tikar yang diwaqafkan kepada masjid, apabila tikar itu telah lusuh sekira-kira telah hilang kecantikan dan manfaatnya, dan wujudnya mashlahat pada menjualnya (tikar buruk dan lusuh itu), begitu juga tiang-tiangnya yang telah patah itu, ini menyalahi pendapat satu kumpulan ulama pada (menjual) kedua-duanya itu, dan dibelanjakan harganya (wangnya) pada mashlahat masjid itu, kiranya tidak dapat membeli tikar atau tiang dengan harga (hasil jualan) itu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/368-369)
Oleh yang demikian, mana-mana perkakas bangunan stor waqaf yang telah diroboh itu seperti kayu-kayan, dinding atau atap yang boleh dimanfaatkan, bolehlah digunakan untuk keperluan surau yang baru itu. Jika perkakas berkenaan tidak dapat digunakan semula untuk kegunaan surau yang baru itu, tetapi boleh dijual maka hasilnya boleh dibelikan bagi sebarang keperluan surau yang baru itu atau dimasukkan ke dalam tabung surau untuk kepentingan di masa hadapan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11348
