Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mewarna Rambut

Soalan: Apakah hukum mewarnakan rambut dengan benda selain daripada inai seperti pewarna yang ada di pasaran kini yang diperbuat daripada tumbuhan, tapi kebanyakannya diperbuat daripada bahan kimia yang menghalangi air daripada sampai ke anggota badan iaitu rambut?

Jawapan: Persoalan men‘dye’ dan menginai rambut adalah dua persoalan yang berbeza. Walaupun mempunyai persamaan dari segi mewarnai rambut, tetapi men‘dye’ rambut biasanya daripada bahan yang boleh menghalangi air daripada sampai ke kulit kepala. Maka jika ini berlaku sudah tentu ia menyebabkan air wudhu atau hadas besar tidak terangkat, berlainan dengan inai. Inilah di antara kelainan atau perbezaan di antara kedua-duanya itu.

Oleh kerana mewarna rambut ini suatu ‘trend’ atau kecenderungan remaja-remaja sekarang, maka elok kita huraikan persoalan mewarna rambut itu. Lebih-lebih lagi persoalan men‘dye’ rambut.

Bolehkah Mewarna (Dye) Rambut?

Mewarna rambut yang beruban adalah sunat. Begitu juga dengan janggut yang beruban. Manakala warna yang dibenarkan ialah kekuningan atau kemerahan. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ashhâb (asy-Syafi‘e). (Al-Majmû‘: 1/360-362) Perkara sunat ini berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu) dibawa ke hadapan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan janggutnya dipenuhi dengan uban, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam. (Hadits riwayat Muslim)

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ia diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Larangan Mewarnai Rambut Dengan Warna Hitam

Para fuqahâ sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut dengan warna hitam. Pendapat yang shahîh mengatakan bahawa ia haram digunakan melainkan ke atas orang-orang yang berjihâd. (al-Majmû‘: 360-362)

Dalil haram mewarna rambut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Pada hari penaklukan Makkah, dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya berwarna putih seperti tsaghâmah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: “Tukarlah ini dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (dari menggunakan) warna hitam.” (Hadits riwayat Muslim)

Sementara hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati, mereka itu tidak dapat menikmati harumnya bau syurga.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi di dalam Syarh Shahîh Muslim menjelaskan kedudukan hukum mewarna rambut atau janggut yang beruban dengan warna hitam, katanya:

Ertinya: Dan haram mewarnainya (rambut atau janggut yang beruban) dengan warna hitam menurut pendapat yang ashah. Dan ada qîl (pendapat lain): (Hukumnya) adalah makruh karâhah tanzîh (larangan melakukan sesuatu pekerjaan dengan shîghah karâhah secara jelas atau ada indikasi yang memalingkan larangan itu kepada hukum makruh yakni tidak haram). Adapun pendapat yang terpilih ialah pendapat yang mengatakan keharamannya berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam, inilah pendapat menurut mazhab kami (mazhab asy-Syafi‘e).” (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/812)

Tidak syak lagi kecenderungan mewarnakan rambut dengan warna hitam sudah disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam beberapa abad yang lalu, dan kebenarannya telahpun nyata. Oleh itu jauhilah perbuatan mewarnakan rambut dengan pewarna hitam.

Dye Rambut Yang Dijual Di Pasaran Mewarna rambut yang bukan dengan inai tidak boleh dilakukan sewenang-wenang hanya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu halal ataupun suci.

Walaupun kiranya pewarna yang dijual di kedai-kedai yang ada cop HALAL itu betul bersih (suci), tetapi apakah apabila digunakan ia tidak akan menghalangi air untuk sampai ke rambut ketika mengangkat hadas kecil dan besar?

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuk kulit kepala ketika mandi junub atau berwudhu. Jika ada sesuatu yang boleh menghalangi air daripada sampai ke rambut atau membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan ini juga, ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhu tidak terangkat.

Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat boleh melapis rambut walaupun ia suci, maka ia tidak harus digunakan bahkan berdosa menggunakannya, kerana penggunaan itu akan menyebabkan terhalang air untuk sampai ke rambut yang menjadikan mandi junub dan wudhunya tidak sah. Jika dia sembahyang, sembahyangnya juga tidak sah.

Berbeza jika pewarna rambut itu tidak melekat seperti inai, yang boleh meresap pada kulit atau kuku atau rambut, maka ia tidaklah akan menghalangi air daripada sampai kepada bahagian-bahagian yang wajib dibasuh.

Meniru Gaya Dan Fesyen Orang Kafir

Perbuatan mewarnakan rambut dengan bahan, bentuk atau gaya yang tidak ada dalam akhlak Islam, adalah semua itu dilarang dan hukumnya haram, sekalipun pewarna itu suci. Ini dapat dianggap sebagai menyerupai perbuatan orang bukan Islam, sedangkan perbuatan menyerupai itu dilarang oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Ibnu al-Qayyim, menyerupai mereka dari sudut penampilan zhâhiriyyah merupakan suatu jalan ke arah menyetujui maksud dan perbuatan mereka serta menganggap perkara itu perkara baik kerana perbuatan menyerupai itu amatlah ditegah, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak kepada perkara yang boleh membawa kufur. Wal- ‘iyâdzubillâh.

Sementara itu khusus bagi wanita yang mewarnakan rambut juga masih sahaja turut menyangkut kedudukan hukum di atas, dari segi, kalau ia menghalangi air daripada sampai kepada rambut. Di samping itu, musibah lain lagi ialah, jika dengan mewarnakan itu akan membawa kepada pendedahan aurat oleh si perempuan tersebut, kerana bukankah antara tujuan mewarnakan itu sendiri supaya ia ditonton oleh orang lain termasuk bukan mahram?

Isteri Menginai Rambut

Mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala hukumnya sunat sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Tetapi warna yang digunakan mestilah bukan warna hitam. Namun di sana ada kekecualian warna hitam itu harus digunakan andainya dengan tujuan menakutkan musuh dalam masa berjihâd. Begitu juga orang perempuan diberi kelonggaran menggunakan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suaminya, sebagaimana disebutkan oleh Ishaq bin Rahawiyah. (Al-Majmû‘: 1/360-362).

Demikian juga menurut Syihab ar-Ramli, harus bagi perempuan yang bersuami mewarnai rambutnya dengan warna hitam jika mendapat keizinan suami. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 78).

Sifat Pewarna Rambut

Jika sifat pewarna rambut itu menghalangi air daripada sampai kepada rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun suci.

Kesimpulannya, mewarna rambut atau janggut dengan warna hitam adalah haram, melainkan bagi orang-orang yang akan berjîhad untuk tujuan menakutkan musuh atau perempuan yang bersuami bagi tujuan berhias untuk suaminya itu setelah mendapat keizinan suami tersebut.

Adapun men‘dye’ rambut dengan bahan-bahan apapun warnanya, yang boleh menghalangi air sampai kepada kulit rambut sekalipun bahan itu suci adalah haram kerana ia boleh menghalangi air ketika mengangkat wudhu atau ketika mandi hadas besar. Ini kerana air wajib sampai ke semua bahagian rambut ketika mandi wajib atau sebahagiannya ketika berwudhu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11352