Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Nafar Awwal Tanpa Melontar Jamrah

Soalan: Pada tahun 1425H/2005M, ketika jemaah haji berada di Mina bagi melaksanakan wajib haji iaitu melontar dan bermalam (mabît) pada hari-hari tasyrîq iaitu pada waktu ‘Ashar, 12 Zulhijjah 1425H, bumi Mina telah dituruni hujan lebat lebih kurang satu jam dan menyebabkan banjir kilat berlaku.

Akibat daripada kejadian tersebut, kawasan perkhemahan bagi jemaah-jemaah haji Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali turut terjejas dan beberapa tindakan telah diambil sebagai langkah keselamatan oleh bi‘tsah haji dan pihak pakej Negara Brunei Darussalam. Antaranya ialah membawa jemaah haji balik ke Makkah dan menasihatkan mereka supaya berniat melakukan nafar awwal.

Keputusan yang diperolehi daripada bi‘tsah haji:

1. Boleh berniat nafar awwal bagi mereka yang belum melontar dan meninggalkan Mina di atas keadaan dharurat.

2. Lontaran pada hari tersebut iaitu pada 12 Zulhijjah 1425H hendaklah dilakukan (qadha’) pada esok harinya.

3. Jemaah haji tidak perlu bermalam (mabît) di Mina pada malam ke 13 Zulhijjah 1425 tanpa dikenakan dam atas alasan (1) dan (2) di atas disebabkan dharurat.

Kemusykilan:

1. Adakah ia dikira sebagai nafar awwal sedangkan syarat-syarat bagi melakukan nafar awwal tidak sempurna, kerana kebanyakan jemaah haji Brunei pada ketika itu belum melontar dan mereka meninggalkan atau keluar daripada Mina setelah matahari terbenam?

2. Adakah ia dikira sebagai dharurat yang muthlaq atau qath‘i, kerana beberapa faktor berikut:

i. Ada sekumpulan jemaah haji daripada Negara Brunei yang tidak balik ke Makkah dan masih tinggal serta bermalam di Mina pada hari tersebut.

ii. Ada sekumpulan jemaah haji yang terus melaksanakan lontaran (melontar jamrah) pada hari tersebut iaitu pada waktu malam dan sempat bermalam (mu‘zham al-lail) dan balik ke Makkah setelah separuh malam di Mina.

iii. Ada juga jemaah haji yang melakukan lontaran (jamrah pada hari tasyrîq terakhir) iaitu pada 13 Zulhijjah sebelum tergelincir matahari yang dilakukan atas nasihat bi‘tsah haji, sedangkan dharurat yang dikatakan telah berlalu.

3. Menurut hukum syara‘, tidak melaksanakan wajib haji tidak membatalkan ibadat haji tetapi dikenakan dam-dam tertentu. Persoalannya mengapa pihak bi‘tsah haji tidak menasihatkan jemaah-jemaah yang tidak bermalam di Mina pada ketika itu supaya membayar dam?

Jawapan: Nafar awwal adalah bermaksud berangkat meninggalkan Mina di hari yang kedua pada hari tasyrîq (12 Zulhijjah). (Fath al-‘Allâm: 4/358)

Syarat-Syarat Nafar awwal

Syarat-syarat nafar awwal itu ialah:

1. Berangkat meninggalkan Mina pada hari kedua pada hari tasyrîq (12 Zulhijjah). 2. Berangkat meninggalkan Mina selepas tergelincir matahari. 3. Setelah sempurna melakukan lontaran jamrah. 4. Setelah bermalam dua hari sebelumnya di Mina kecuali bagi orang yang mendapat keuzuran. 5. Berniat melakukan nafar awwal. 6. Niat nafar awwal beriringan dengan keberangkatan meninggalkan Mina. 7. Keberangkatan hendaklah sebelum terbenam matahari. 8. Tidak berazam untuk kembali semula ke Mina untuk bermalam. (Tarsyih al-Mustafidîn: 183)

Jika salah satu daripada syarat-syarat yang tersebut di atas tidak dipenuhi, maka seseorang itu wajib bermalam (mabît) pada malam yang ke-13 Zulhijjah dan melontar jamrah pada keesokan harinya. Jika dia meneruskan juga melakukan nafar awwal sedangkan salah satu daripada syarat-syarat nafar awwal tidak dipenuhinya maka diwajibkan ke atasnya satu dam kerana meninggalkan melontar pada hari yang ke-13 Zulhijjah dan diwajibkan ke atasnya satu mudd (satu mudd bersamaan dengan 566.85 gram) kerana meninggalkan bemalam pada malam yang ke-13 Zulhijjah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/507 dan Tarsyîh al-Mustafidîn: 183-184)

Melakukan Nafar awwal Tanpa Melontar

Orang yang melakukan nafar awwal tanpa melontar jamrah sekalipun satu batu lontaran, maka hukumnya adalah tertakluk kepada tiga keadaan berikut:

1. Berangkat meninggalkan Mina selepas tergelincir matahari pada hari ke-12 Zulhijjah:

a. Jika dia ada kesempatan untuk kembali semula ke Mina sebelum terbenam matahari pada hari ke-12 Zulhijjah, maka hendaklah (wajib) dia kembali semula ke Mina untuk melakukan lontaran selagi matahari belum terbenam.

b. Jika dia tidak kembali semula ke Mina sehingga terbenam matahari, maka tidak ada peluang baginya untuk melakukan lontaran dan wajib ke atasnya membayar fidyah satu mudd kerana meninggalkan satu batu lontaran. (Jika seseorang itu meninggalkan dua batu lontaran maka diwajibkan ke atasnya membayar dua mudd. Manakala jika seseorang itu meninggalkan tiga batu lontaran atau lebih, maka diwajibkan ke atasnya membayar dam iaitu menyembelih seekor kambing yang sempurna memadai untuk dijadikan korban).

c. Jika dia kembali ke Mina setelah terbenam matahari untuk tujuan mabît (bermalam) dan melontar pada hari yang ke-13 Zulhijjah, maka mabîtnya itu tidak mempunyai apa-apa hukum dan lontarannya itu juga tidak diambil kira, kerana apabila dia telah berangkat meninggalkan Mina dengan niat nafar awwal dan tidak kembali semula ke Mina sebelum terbenam matahari pada hari yang ke-12 Zulhijjah, dia dikira sudah terputus hubungan dengan Mina dan ibadat-ibadat yang dilakukan di Mina.

2. Berangkat meninggalkan Mina sebelum tergelincir matahari pada hari ke-12 Zulhijjah:

a. Jika dia kembali ke Mina sebelum tergelincir matahari, maka keberangkatannya meninggalkan Mina itu tidak memberi kesan apa-apa hukum.

b. Jika dia kembali ke Mina selepas tergelincir matahari dan sebelum terbenam matahari pada hari ke-12 Zulhijjah, serta dia dapat melontar dalam waktu tersebut, maka lontarannya itu diambil kira dan dibolehkan baginya berangkat meninggalkan Mina sebelum terbenam matahari.

c. Jika dia kembali ke Mina selepas terbenam matahari pada hari ke-12 Zulhijjah, maka hubungannya dengan Mina dan ibadat-ibadat yang dilakukan di Mina telah terputus sekalipun dia keluar meninggalkan Mina sebelum masuk waktu melontar (tergelincir matahari). Dengan itu diwajibkan ke atasnya membayar fidyah satu mudd kerana meninggalkan satu batu lontaran.

3. Berangkat meninggalkan Mina selepas terbenam matahari pada hari ke-12 Zulhijjah.

Bagi orang-orang yang berangkat meninggalkan Mina setelah terbenam matahari dengan niat nafar awwal dan dia belum melontar jamrah bagi hari ke-12 Zulhijjah, maka wajib ke atasnya kembali ke Mina sebelum terbenam matahari pada hari yang ke-13 Zulhijjah, kerana tidak gugur ke atasnya kewajipan bermalam dan melontar bagi hari yang ke-13 Zulhijjah. Dengan itu, dia hendaklah menyempurnakan terlebih dahulu lontarannya bagi hari yang ke-12 Zulhijjah sebelum dia melontar untuk hari yang ke-13 Zulhijjah. (Al-Majmû‘: 8/228-230, Hâsyiah Ibnu Hajar ‘ala al-Îdhâh: 408 dan Tarsyîh al-Mustafidîn: 184)

Hukum yang tersebut di atas adalah khusus bagi orang-orang yang tidak mengalami apa-apa keuzuran. Adapun bagi orang yang mengalami keuzuran, hukumnya adalah berbeza. Antara orang yang dikira mengalami keuzuran itu sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah:

Ertinya: Ketiga: Orang yang mendapat keuzuran dengan sebab yang lain ialah seperti orang yang bimbang atau takut akan kehilangan hartanya jika dia bermalam (mabît di Mina), atau orang yang bimbang atau takut akan keselamatan diri atau hartanya yang ada bersamanya, atau orang yang ada bersamanya pesakit yang memerlukan penjagaannya, atau orang yang mencari hamba yang lari daripada tuannya, atau orang yang mempunyai penyakit yang akan menyusahkannya jika dia bermalam di Mina atau yang seumpama sedemikian itu. Maka menurut pendapat yang shahîh bahawa adalah harus bagi mereka meninggalkan mabît dan mereka dibolehkan meninggalkan Mina selepas terbenam matahari dan tidak ada dikenakan sesuatupun ke atas mereka. (Hâsyiah Ibnu Hajar ‘ala al-Îdhâh: 401-402)

Mereka yang mengalami keuzuran ini adalah dibolehkan untuk meninggalkan mabît (bermalam) di Muzdalifah, Mina dan dibolehkan juga meninggalkan melontar jamrah. Tetapi perlu diketahui bahawa tidak bermalam (mabît) kerana keuzuran menggugurkan dam dan dosa, akan tetapi meninggalkan melontar jamrah kerana keuzuran hanya menggugurkan dosa sahaja. Ini bermakna orang yang meninggalkan melontar jamrah sekalipun disebabkan keuzuran adalah diwajibkan membayar dam sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh:

Ertinya: Sesungguhnya keuzuran dalam bermalam (di Muzdalifah atau Mina) menggugurkan dam dan dosanya, (manakala keuzuran) dalam melontar menggugurkan dosanya (sahaja) tidak damnya. (Tuhfah al-Muhtâj: 4/127)

Berdasarkan penjelasan di atas, dalam perkara jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang terjejas kerana banjir kilat yang berlaku di Mina pada 12 Zulhijjah, adalah dibolehkan meninggalkan Mina berniat nafar awwal sekalipun mereka belum melontar. Mereka juga boleh keluar meninggalkan Mina sekalipun setelah terbenam matahari, kerana mereka dikategorikan sebagai orang yang mengalami keuzuran. Walau bagaimanapun keuzuran itu adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan bagi orang tertentu bukan secara muthlaq. Oleh itu mereka yang meninggalkan melontar kerana keuzuran di atas diwajibkan membayar dam kerana tidak melontar pada hari ke-12 Zulhijjah.

Dengan yang demikian, tidak timbullah lagi persoalan bagi mereka untuk melakukan lontaran qadha’ pada esok harinya (13 Zulhijjah) atau keperluan bermalam pada malam 13 Zulhijjah, kerana mereka itu keluar dengan niat nafar awwal.

Adapun persoalan bahawa ada sekumpulan jemaah haji dari Negara Brunei yang tidak balik ke Makkah dan masih tinggal dan bermalam di Mina pada hari tersebut dan ada sekumpulan jemaah haji yang terus melaksanakan lontaran pada hari tersebut iaitu pada waktu malam dan sempat bermalam dan balik ke Makkah setelah separuh malam di Mina, semua itu adalah sah menurut hukum syara‘. Walau bagaimanapun perkara tersebut tidaklah menjadi hujjah untuk menafikan keuzuran kepada jemaah yang lain, kerana setiap orang diberi pilihan sama ada mengambil rukhsah (keringanan) yang ada ataupun tidak.

Persoalan yang timbul, adakah keuzuran meninggalkan melontar yang seumpama ini boleh disamakan dengan keuzuran melontar yang difatwakan oleh Ibnu Hajar Rahimahullâh, di mana beliau berpendapat bahawa keuzuran khusus pada ketika itu tidak diwajibkan membayar dam kerana keuzuran itu bersifat menyeluruh sehingga untuk berwakil melakukan lontaran pun dianggap satu keuzuran? Fatwa beliau itu ialah:

Ertinya: Dan ditanya (Ibnu Hajar Rahimahullâh) semoga Allah memberi manfaat dengan ilmu-ilmunya mengenai fitnah yang berlaku di musim haji tahun 958H pada waktu Dhuha hari an-Nahar (10 Zulhijjah) di antara pemerintah Makkah dan penguasa haji yang menyebabkan semua orang yang terdiri daripada Arab badwi dan yang lain merasa bimbang dan takut terhadap keselamatan nyawa dan harta mereka jika mereka tinggal di Mina untuk mabît (bermalam) dan melontar. Kemudian situasi bertambah buruk dan kebimbangan menjadi-jadi sehingga ramai di antara mereka pergi meninggalkan Mina dan meninggalkan mabît (bermalam), melontar jamrah pada hari-hari tasyrîq dan (sehinggakan) berwakil untuk minta dilontarkan jamrah pun menjadi susah (kerana) tidak ada orang yang berada di Mina ketika itu kecuali orang yang membahayakan nyawa dan hartanya sendiri. Maka banyak orang bertanyakan hukum mereka meninggalkan mabît dan melontar tersebut. Apakah hukumnya?

Maka beliau menjawab dengan katanya: “Adapun meninggalkan mabît, dosa digugurkan dan tidak diwajibkan dam padanya adalah jelas. Cuma yang menjadi kemusykilan ialah hukum melontar kerana berdasarkan kata-kata mereka (para ulama) adalah jelas diwajibkan dam padanya sekalipun wujud keuzuran yang menyeluruh, kerana mereka telah sepakat (ittifâq) menjadikannya (meninggalkan melontar) itu seperti meninggalkan berihram daripada miqât dalam kewajipan membayar dam yang mana hukumnya adalah berbeza dengan mabît, kerana mabît adalah ibadat yang bersifat mengikut kepada ibadat melontar yang mana ia (ibadat melontar) itu adalah yang dikehendaki. Oleh itu tidak semestinya bilamana digugurkan dam mabît ‘sebagaimana yang mereka sebutkan’ digugurkan juga dam melontar, kerana dimaafkan di dalam ibadat yang bersifat mengikut, apa yang tidak dimaafkan di dalam ibadat yang bersifat diikut. Maka yang lebih berat menurut pandanganku ‘sekalipun aku menyembelih (membayar dam) sebagai langkah berhati-hati kerana apa yang telah aku sebut daripada zahir kata-kata mereka (para ulama)’ bahawa dalam situasi yang khusus ini sepatutnya tidak diwajibkan dam disebabkan oleh beberapa perkara:

Antaranya ialah mereka menyamakan hukum melontar dengan hukum asal menunaikan haji (daripada sudut) diwajibkan ke atas orang yang tidak berdaya melakukannya untuk meminta ganti kepada orang lain, dan (daripada sudut) diambil kira zhann (sangkaan) sahaja dalam berputus asa daripada berkuasa mengerjakannya dalam waktunya; dan (daripada sudut) disyaratkan kepada pengganti (melontar) hendaklah sudah mengerjakan lontaran (bagi dirinya sendiri) sebagaimana disyaratkan pengganti (haji) hendaklah telah mengerjakan haji; dan jika penggantinya (melontar) itu belum lagi mengerjakan lontaran untuk dirinya sendiri maka lontarannya itu akan jatuh untuk dirinya sendiri (pengganti) sebagaimana jika pengganti (haji) itu belum pernah menunaikan haji, maka hajinya itu akan jatuh untuk dirinya sendiri (penggantinya).

Mereka tidak membezakan di antara kedua-duanya (hukum melontar dengan hukum asal menunaikan haji) kecuali dalam persoalan hilang keuzuran orang yang meminta gantikan untuk melontar selepas penggantinya selesai melakukan lontaran, (maka) perkara tersebut tidak menegah jatuhnya (sah) lontaran itu kepada orang yang minta gantikan melontar yang mana perkara itu adalah berbeza dengan haji. Kemudian mereka berkata lagi perkara itu (disebabkan) kerana melontar adalah ibadat yang bersifat mengikut dan meninggalkannya diwajibkan menggantinya dengan membayar dam yang mana ianya berbeza dengan haji di dalam dua perkara tersebut.

Apabila melontar itu terbukti seperti haji sebagaimana yang telah disebutkan, maka sepatutnya ia hendaklah juga sepertinya di dalam apa yang telah disebut oleh Imam asy- Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu dan para sahabat bahawa apabila ketakutan (kebimbangan) itu menyeluruh, maka tidak wajib membayar dam kerana pada ketika itu melontar dan meminta gantikan kepada orang lain untuk melontar merupakan suatu keuzuran yang mana hukum situasi ini berbeza dengan yang lain di mana sekalipun seseorang itu mendapat keuzuran untuk melontar (tetapi) dia tidak mendapat keuzuran untuk meminta ganti. Jika dia meninggalkan keduanya (melontar dan meminta ganti) maka wajiblah dia membayar dam kerana kecuaiannya.” (Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 2/132-133)

Berdasarkan fatwa di atas, maka para jemaah haji yang tidak melontar pada hari yang ke-12 Zulhijjah kerana terjejas akibat banjir kilat yang berlaku di Mina pada hari tersebut adalah boleh dikategorikan sebagai orang yang ditimpa keuzuran. Jika keuzuran itu menyeluruh dengan maksud adalah susah untuk melontar dan susah juga untuk mencari orang lain untuk menjadi pengganti, maka dalam hal itu tidaklah diwajibkan membayar dam kerana tidak melontar. Walau bagaimanapun adalah disarankan juga untuk membayar dam bagi tujuan langkah berhati-hati.

Tetapi jika keuzuran itu tidak menyeluruh dengan maksud adalah susah untuk melontar tetapi masih boleh dicari orang lain untuk menjadi pengganti dan perkara itu tidak diusahakan, maka dalam hal ini diwajibkan membayar dam kerana tidak melontar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11356