Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Pandangan Imam Malik Tentang Muzik

Soalan: Apakah pandangan Imam Malik tentang muzik?

Jawapan: Setakat kajian yang kita buat, telah ditemui beberapa riwayat berkenaan pandangan Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu tentang muzik yang telah diriwayatkan oleh para ulama kalangan mazhab Maliki.

Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu pernah ditanya tentang orang yang diundang untuk menghadiri majlis jamuan (jamuan kahwin), lalu dia dapati di dalamnya ada permainan hiburan, adakah boleh dia masuk? Imam Malik berkata:

Ertinya: Jika hiburan itu merupakan sesuatu yang ringan seperti rebana dan gendang yang dimainkan oleh wanita, maka aku berpendapat yang demikian itu tidaklah mengapa (dibolehkan).

Imam Ibnu Rusyd Rahimahullâhu Ta‘âlâ, seorang ulama daripada kalangan mazhab Maliki, menjelaskan bahawa maksud dibolehkan memainkan alat-alat muzik dalam majlis perkahwinan itu sebagaimana pandangan Imam Malik dalam kitab al-Mudawwanah ialah dibolehkan dalam erti kata meninggalkannya adalah lebih baik daripada melakukannya. Maka makruh melakukannya, meninggalkannya mendapat pahala tetapi melakukannya pula tidaklah berdosa. (Ibnu Rusyd, al-Bayân wa at-Tahshîl: 4/431-432)

Di dalam kitab al-Mudawwanah disebutkan, Imam Sahnun Rahimahullâhu Ta‘âlâ, pernah bertanya kepada Imam Ibnu Qasim Rahimahullâhu Ta‘âlâ (kedua-duanya juga ulama daripada kalangan mazhab Maliki): “Adakah Imam Malik tidak suka (pukulan) rebana dalam majlis perkahwinan atau dia mengharuskannya, dan adakah Imam Malik mengharuskan penyewaannya?”

Imam Ibnu Qasim Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: Imam Malik tidak suka (pukulan) rebana dan (permainan) semua alat muzik yang bertali (seperti gambus) dalam majlis perkahwinan. Yang demikian itu sesungguhnya aku telah bertanya kepadanya tentang (penyewaan rebana), lalu beliau mengatakan (bahawa pendapat yang mengharuskannya adalah) lemah dan beliau tidak menyukainya. (Al- Mudawwanah: 3/432)

Imam Ashbagh Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: Ibnu Wahb mengkhabarkan kepada saya bahawasanya dia pernah mendengar Imam Malik ditanya tentang orang yang menghadiri jamuan yang terdapat di dalamnya hiburan, lalu beliau (Imam Malik) berkata: “Aku tidak menyenangi lelaki yang bermaruah menghadiri acara suka ria. (Al-Bayân wa at-Tahshîl: 5/113)

Ashbagh Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata lagi:

Ertinya: Ibnu Wahb mengkhabarkan kepada saya daripada Imam Malik, beliau pernah ditanya tentang perbuatan memukul gendang dan bermain seruling atau alat-alat hiburan yang lain selain daripada itu, di mana bunyi-bunyiannya sampai ke pendengaranmu dan awak merasa sedap mendengarnya, dan awak pada ketika itu berada dalam perjalanan atau berada dalam majlis yang lain. Imam Malik berkata: “Aku berpendapat sayugia dia pergi berlalu daripada majlis tersebut.” (Al-Bayân wa at-Tahshîl: 5/113)

Demikianlah beberapa riwayat pandangan Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu tentang muzik yang telah diriwayatkan dan dihuraikan oleh para ulama kalangan mazhab Maliki.

Selari dengan keterangan di atas, Imam Malik pernah ditanya tentang wujudnya nyanyian di kota Madinah, Imam Malik mengulas bahawa ia hanya dilakukan oleh orang-orang yang fâsiq.

Ibnu al-Jawzi dalam kitabnya Talbîs Iblîs (244) dengan sanad yang shahîh daripada Ishaq bin ‘Isa ath-Thabba‘ menyebutkan:

Ertinya: Aku bertanya kepada Imam Malik tentang kelonggaran nyanyian yang dilakukan penduduk kota Madinah. Lalu Imam Malik menjawab: “Ia hanya dilakukan oleh orang-orang fâsiq daripada kalangan kamiَ (penduduk Madinah).”

, juga salah seorang daripada mazhab Maliki, ketikahâimahullhRaQurthubi-Imam al mentafsirkan ayat 26, surah al-Baqarah:

Tafsirnya: Dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fâsiq. ( Surah al-Baqarah: 26)

Beliau berkata bahawa kefâsiqan menurut istilah syara‘ ialah keluar daripada mentaati Allah Ta‘ala, sama ada menjadi kufur ataupun dengan sebab melakukan maksiat. (Al-Jâmi‘ li n: 1/263)âQur’-kâm alhA

Nash jawapan Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu di atas adalah berkaitan dengan persoalan nyanyian. Nyanyian kadang-kadang dilakukan tanpa iringan muzik dan kadang-kadang dilakukan dengan iringan muzik. Berdasarkan ini, apa pun keadaannya, sama ada nyanyian yang dilakukan tanpa iringan muzik ataupun dengan iringan muzik, pelakunya tetap digolongkan oleh Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu sebagai golongan yang fâsiq atau yang melakukan maksiat.

Jika ada orang yang mendakwa di antara imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e dan Imam Ahmad) ada yang mengharuskan penggunaan peralatan muzik, maka ia adalah dakwaan yang bohong. Syeikh Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sangkaan seperti ini adalah pembohongan terhadap imam-imam yang empat (Hanafi, Malik, asy-Syafi‘e dan Ahmad) kerana mereka semua telah sepakat tentang pengharaman al-Ma‘âzib yakni alat-alat yang melalaikan, seperti ‘ûd (gambus) dan sebagainya. Mengikut pendapat mereka, sekiranya ada orang yang merosakkan alat-alat itu, tidak dikenakan denda berdasarkan kerosakan, bahkan mengikut mereka adalah haram menggunakannya. (Minhâj as-Sunnah: 3/439)

Katanya lagi:

Ertinya: Bahawa alat-alat yang melalaikan (seperti muzik) adalah diharamkan mengikut imam-imam yang empat (Hanafi, Malik, asy-Syafi‘e dan Ahmad) dan tidak ada diberitakan daripada mereka perbezaan pendapat mengenainya. (Minhâj as-Sunnah: 3/442)

Berdasarkan apa yang dijelaskan, maka pandangan Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu adalah sama dengan pandangan imam-imam mazhab lain yang berpendapat bahawa alat-alat muzik adalah diharamkan kecuali rebana (duff).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11360