Patung Bagi Tujuan Hiasan Di Halaman Rumah Orang Islam
Soalan: Unit Penapisan dan Pameran, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menahan barang hiasan halaman (stone garden ornaments) yang berupa ukiran patung-patung yang berbentuk makhluk-makhluk yang bernyawa milik seorang perempuan. Beliau telah memohon dan merayu agar barang-barang berkenaan dikembalikan bagi tujuan hiasan taman di kawasan rumah beliau.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan ulasan dan pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini.
Jawapan: Merujuk kepada lampiran gambar dan surat perayu bahawa barang hiasan halaman yang dimaksudkan adalah berupa ukiran patung-patung yang berbentuk makhluk-makhluk yang bernyawa (seperti manusia dan binatang), dan kebanyakannya lengkap anggota tubuh badannya.
Menurut perayu bahawa patung-patung berkenaan telah dibeli dan diimpot dari luar negara untuk kegunaan hiasan taman di halaman rumah persendiriannya dan bukan untuk digunakan bagi tujuan-tujuan keagamaan. Beliau juga mengaku bahawa beliau sekeluarga beragama Islam.
Hukum Menjadikan Patung Sebagai Hiasan
Menurut asy-Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hukum menjadikan patung berukiran makhluk bernyawa sebagai perhiasan tergantung kepada dua keadaan, iaitu: 1. Patung Yang Lengkap.
Patung yang lengkap anggota tubuh badannya adalah haram dijadikan sebagai perhiasan, sama ada diletakkan di tempat mulia ataupun hina. Malah ia wajib dimusnahkan.
Apa yang dimaksudkan sebagai lengkap anggotanya ialah ia dilengkapi dengan anggota tubuh badan, yang jika dinisbahkan kepada makhluk bernyawa, ia tidak dapat hidup tanpa anggota tersebut.
Haram memanfaatkannya sebagai perhiasan kerana terdapat unsur-unsur memuliakan atau mengagungkan patung itu. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/302)
Pengharaman menjadikan patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya sebagai perhiasan adalah berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya ialah:
i. Riwayat Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kembali daripada suatu pelayaran ketika aku menggantung kain tabir di rak kepunyaanku yang terukir di atasnya gambar-gambar (makhluk bernyawa). Maka apabila saja Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melihatnya, Baginda menanggalkannya lalu bersabda: “Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menyerupakan (sesuatu yang diciptanya) dengan ciptaan Allah”. ‘Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu): “Maka kami buat ia menjadi sebiji bantal sandaran atau dua biji bantal sandaran.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
ii. Riwayat Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhâ:
Maksudnya: Sesungguhnya dia (Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhâ) telah membeli sebiji bantal kecil yang terdapat gambar-gambar (makhluk bernyawa). Maka tatkala Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melihatnya (ketika Baginda pulang), Baginda berdiri di pintu enggan untuk masuk, maka dia (‘Aisyah) mengetahui (ada sesuatu yang menegah Baginda untuk masuk) kerana di muka Baginda ada menunjukkan tanda kebencian. Maka dia (‘Aisyah) pun berkata: “Wahai Rasulullah, aku memohon ampun kepada Allah dan RasulNya, apakah dosa yang telah aku lakukan?” Baginda bersabda: “Apakah gunanya bantal kecil ini?” Dia (‘Aisyah) berkata: “Aku telah membelinya untuk Tuan duduk dan berbantalkan atasnya”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang empunya gambar-gambar ini akan diseksa pada Hari Kiamat, dan dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah apa yang telah kamu buat itu!” Baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (makhluk bernyawa) tidak akan dimasuki malaikat (Malaikat Rahmat).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Patung Yang Tidak Lengkap.
Patung yang tidak lengkap anggotanya, iaitu tidak mempunyai anggota tubuh badan yang membolehkan ia hidup, jika dinisbahkan kepada makhluk bernyawa, seperti tiada kepala atau badan, maka hukumnya adalah harus.
Ini adalah kerana benda bernyawa jika dipotong kepalanya tidak akan dapat hidup. Dengan itu, hukumnya menjadi sama seperti hukum gambar pohon atau pokok atau benda-benda lain yang tidak bernyawa seperti bulan dan matahari, (sebagaimana) yang diizinkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ untuk mengukirnya. (Tuhfah al- Muhtâj: 3/303)
Oleh itu, asy-Syeikh Ibnu Hajar Rahimahullâh ada menyebutkan pendapat jumhûr ulama, adalah wajib untuk mengubah atau mencacatkan bentuk patung (makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya). (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 2/52)
Ini bererti patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya hendaklah dicacatkan mana-mana anggotanya, di mana tanpa anggota itu ia tidak akan dapat hidup, seperti dibuang kepala atau badannya. Sebagaimana riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Jibril telah datang kepadaku dan berkata: “Tadi malam saya datang kepada Tuan, tidak ada apa pun yang menghalangi saya untuk masuk ke rumah yang Tuan ada di dalamnya, kecuali di pintu rumah ada patung lelaki, dan di dalam rumah ada tabir nipis yang ada gambar patung, dan di dalam rumah juga ada anjing. Maka perintahkanlah supaya kepala patung yang ada di pintu itu dipotong dijadikan seperti bentuk pohon. Dan perintahkanlah supaya tabir nipis itu dipotong dan dijadikan daripadanya dua bantal hamparan untuk diduduki. Dan perintahkanlah supaya anjing itu dikeluarkan”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaksanakan semua itu. Adapun anjing itu adalah anak anjing kepunyaan Husain atau Hasan, (yang berada) di bawah tempat tidurnya, maka Rasulullah memerintahkannya, maka (anjing itu) dikeluarkan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Bagaimanapun, al-Imam al-Mutawalli Rahimahullâh iaitu salah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi‘e berselisih pendapat dengan asy-Syeikh Ibnu Hajar Rahimahullâh. Menurut beliau, adalah haram membuat patung sama ada lengkap anggota tubuh badannya ataupun tidak. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/303)
Akibat Orang Islam Memiliki Patung
Antara akibat yang merugikan orang yang memiliki patung makhluk bernyawa ialah:
1. Orang Islam dilarang masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya patung yang diharamkan.
Menurut al-Imam ar-Ramli Rahimahullâh, adalah haram untuk menghadiri tempat yang ada patung yang diharamkan kerana ia termasuk perkara mungkar. Kecuali bagi orang yang mampu menghalang kemungkaran itu, maka adalah wajib ke atasnya untuk datang menghapuskan patung tersebut. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/374-375)
2. Malaikat enggan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya patung.
Menurut para ulama sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Sebab keengganan mereka (malaikat) masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya gambar (patung atau lukisan makhluk bernyawa) kerana kewujudannya (patung itu) adalah satu maksiat yang keji, dan ia seolah-olah penyerupaan kepada ciptaan Allah Ta‘ala, serta sebahagiannya (patung itu) dijadikan benda yang disembah selain daripada Allah Ta‘ala. (Syarh Shahîh Muslim: 9/5742)
Kerana itu, malaikat tidak memasuki rumah orang yang memiliki patung atau lukisan makhluk bernyawa. Dilarang juga perkara-perkara seperti berikut: Sembahyang di dalamnya, memohonkan keampunan untuk penghuninya, memohonkan keberkatan untuknya dan rumahnya, dan memohonkan untuk memeliharanya daripada gangguan syaitan. (Syarh Shahîh Muslim: 9/5742)
Oleh itu, eloklah dipastikan rumah-rumah orang Islam tidak mengandungi benda-benda yang menghalang malaikat memasukinya seumpama patung atau lukisan yang ditegah. Dengan itu, orang-orang Islam akan sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan Allah melalui do‘a-do‘a malaikat yang memasuki rumah-rumah mereka.
Antara Kewajipan Pemerintah Islam
Perlu juga diambil ingatan bahawa antara kewajipan pemerintah Islam ialah memelihara agama, sebagaimana perkara ini disebut oleh al-Imam al-Mawardi Rahimahullâh:
Ertinya: Apa yang mesti dilakukan olehnya (pemerintah) mengenai urusan awam ialah sepuluh perkara. Salah satunya ialah: Memelihara agama menurut asas-asasnya (prinsip-prinsipnya) yang kukuh dan apa yang telah disepakati (ijmâ‘) oleh umat terdahulu. Jika muncul seorang yang mengadakan bid‘ah (dalam agama), atau seorang penyeleweng yang menimbulkan keraguan, maka adalah menjadi tugasnya (pemerintah) untuk menjelaskan kepadanya bukti keterangan serta menerangkan kepadanya apa yang benar, di samping membawanya kepada melaksanakan segala hak dan hukuman agar agama terpelihara daripada kerosakan dan umat terhindar daripada penyelewengan. (Al-Ahkâm ash- Shulthâniyyah: 18)
Memelihara agama itu termasuk menghalang, mencegah atau melarang masuk ke negara ini perkara-perkara yang bertentangan dengan agama seperti patung yang diharamkan.
Oleh yang demikian, tindakan pihak yang berkenaan (Unit Penapisan dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama) menahan patung hiasan halaman yang berkenaan adalah wajar dan bertepatan sebagai melaksanakan kewajipan pemerintah Islam dalam memelihara agama, khasnya agama orang yang memiliki patung itu supaya aqidahnya terpelihara dan tidak terpesong.
Ini kerana telah terbukti dalam sejarah betapa banyak patung yang tujuan asalnya untuk dijadikan i‘tibâr dan pengajaran akhirnya bertukar kepada pemujaan, atau paling sedikit, ada rasa penghormatan dan pemuliaan terhadap patung-patung itu.
Demikian juga untuk pemeliharaan akhlak agar tidak timbul perasaan riya’, ego, bermegah-megah atau berbangga-bangga kerana memiliki patung tersebut. Bahkan perbelanjaan yang banyak bagi harga dan pengangkutan patung hiasan halaman tersebut telah menjuruskan kepada pembaziran yang ditegah oleh Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11364
