Penghantaran Pegawai Kerajaan Ke Luar Negeri
Soalan: Dengan hormat sukacita memohon pandangan atau fatwa Pehin mengenai penghantaran pegawai-pegawai kerajaan keluar negeri, seperti untuk menghadiri mesyuarat (meeting), seminar atau lain-lain hal atas urusan rasmi kerajaan dalam keadaan:
1. Belayar seorang diri, sama ada seorang lelaki atau seorang perempuan.
2. Belayar 2 (dua) orang iaitu seorang lelaki (sama ada suami orang, bujang atau duda) dan seorang lagi perempuan, yakni yang bukan mahram (sama ada isteri orang, anak dara dan lain-lain).
Jawapan: Syariat Islam mengatur seluruh aspek dan urusan kehidupan umatnya semata-mata untuk menjaga mashlahat manusia itu sendiri, sama ada mashlahat itu bersifat ta‘abbudi (penghambaan diri kepada Allah) yang diperjelas melalui nash-nash al-Qur’an dan hadits atau melalui akal fikiran atau lain-lain alat ukuran.
Dalam urusan pelayaran umpamanya, Islam telah menetapkan hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Hukum-hukum itu meliputi hukum belayar seorang diri sama ada lelaki atau perempuan, hatta hukum pelayaran suatu jemaah atau kumpulan. Tujuannya hanyalah untuk menjaga agama, diri dan maruah mereka.
Dalam urusan pelayaran ini mari kita lihat contoh yang sering berlaku, sebagai misal sebuah agensi kerajaan telah menerima undangan dari luar negeri untuk menyertai persidangan, seminar atau menghadiri mesyuarat dan lain-lain. Maka pihak pengurusan akan menimbangkan pegawai yang patut dan layak untuk dihantar menghadiri atau menyertai undangan berkenaan, sama ada seorang pegawai lelaki, atau seorang pegawai perempuan, atau seorang pegawai lelaki bersama dengan seorang pegawai perempuan tanpa mengambil kira status pegawai-pegawai tersebut (sama ada suami orang, isteri orang, anak dara, bujang, duda, janda atau lain-lain).
Persoalan yang timbul ialah adakah tindakan menghantar seorang pegawai lelaki sahaja atau seorang pegawai perempuan sahaja ataupun seorang pegawai lelaki bersama seorang pegawai perempuan tanpa mahram belayar ke luar negeri, bertepatan dengan kehendak syara‘?
Sebelum menjawab persoalan yang dimintakan fatwa, mari kita perhatikan pandangan ulama mengenai hikmat belayar dengan berteman.
Hikmat Belayar Dengan Berteman
Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullâh, antara keburukan bersendirian dalam pelayaran itu ialah jika dia menemui ajal semasa pelayarannya, maka tiada sesiapa yang akan memandikan, mengebumikan dan menyempurnakan jenazahnya. Juga, tiada sesiapa di sampingnya agar dia dapat mewasiatkan hartanya, membawakan harta peninggalannya kepada keluarganya dan menyampaikan khabar berita kepada mereka. Demikian juga, tiada sesiapa bersamanya untuk membantunya berkaitan dengan barang-barang yang dibawanya. Berlainan halnya jika mereka bertiga, maka mereka akan saling tolong-menolong, saling bergilir dalam menjalankan pekerjaan dan pengawasan, bersembahyang jemaah dan bersama-sama memperolehi keberuntungan. (Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jâmi‘ at-Tirmidzi: 5/258)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula menyebutkan bahawa sunat bagi orang yang hendak bermusafir mencari teman musafir yang suka membuat kebajikan dan membenci kejahatan. Ini bertujuan supaya temannya itu akan mengingatkannya jika dia terlupa, jika dia teringat maka temannya itu pula akan membantunya. Dan lagi, temannya itu akan memudahkannya jika dia (temannya) seorang yang berilmu pengetahuan, kerana dia (temannya) akan berpegang dengannya (ilmu itu), maka temannya itu akan menegahnya dengan pengetahuan dan amal perbuatannya, daripada kejahatan yang mudah terdedah kepada orang musafir iaitu rosaknya akhlak dan kebosanan. Temannya itu juga akan membantunya dan menggalakkannya untuk berakhlak mulia. (Al-Majmû‘: 4/267)
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh pula adalah sunat berteman di dalam pelayaran agar dapat menolongnya dalam urusan agama. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 5/89)
Ini menunjukkan pentingnya ada teman dalam pelayaran untuk tujuan pencegahan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok dan maksiat, memberi bantuan ketika dalam kesusahan, untuk saling ingat-mengingatkan dan menghilangkan kebosanan.
Berdasarkan pandangan ulama di atas, kita perhatikan pula pandangan ulama mengenai belayar seorang diri sama ada bagi lelaki atau bagi perempuan. Begitu juga mengenai hukum seorang perempuan yang belayar tanpa mahram dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
Lelaki Belayar Seorang Diri
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, antara pelayaran yang makruh ialah seorang lelaki belayar seorang diri (bersendirian), lebih-lebih lagi belayar pada waktu malam, seandainya dia menyangka akan ditimpa kemudharatan, sekalipun pelayaran itu dekat. (Nihâyah al- Muhtâj: 2/248)
Hukum makruh belayar bersendirian ini berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sekiranya orang tahu apa (keburukan) yang terdapat di dalam bersendirian itu, nescaya tidak berjalan (belayar) seorang pun bersendirian pada waktu malam buat selamanya. (Hadits riwayat Ahmad)
Menurut Imam Nuruddin ‘Ali bin ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullâh ketika menerangkan perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh, hadits di atas mengkhususkan larangan belayar bersendirian ‘pada waktu malam’ itu kerana bahaya yang ditakuti pada waktu itu lebih banyak. Walau bagaimanapun larangan pada waktu siang juga termasuk dalam maksud hadits di atas. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/248)
Ini memberi gambaran bahawa belayar itu hendaklah berteman dan bukannya seorang diri sahaja kerana pada kebiasaannya pelayaran mengandungi pelbagai kesusahan dan kesulitan, baik ia dilakukan pada waktu malam mahupun siang.
Dalam hadits lain daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya Radhiallâhu ‘anhum, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penunggang kenderaan (yang belayar) bersendirian adalah seperti (perbuatan) syaitan, dan penunggang kenderaan (yang belayar) berdua adalah seperti (perbuatan) dua syaitan, manakala penunggang kenderaan (yang belayar) bertiga adalah satu rombongan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam al-Khaththabi Rahimahullâh menerangkan maksud hadits di atas sebagaimana yang dinukil oleh al-Mubarakfuri Rahimahullâh bahawa bersendirian dan berpergian seorang diri adalah daripada perbuatan syaitan iaitu sesuatu yang dilakukannya atas dorongan syaitan dan syaitan menggalakkannya kepada berseorangan itu, demikian juga jika berdua. Namun jika bertiga, maka mereka telah berjalan dalam satu jemaah atau rombongan. (Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jâmi‘ at-Tirmidzi: 5/258)
Imam Nuruddin ‘Ali bin ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullâh pula menerangkan, orang yang berjalan seorang diri itu diumpamakan seperti syaitan dalam hal atau perkara dia menjauhi orang ramai agar tidak nampak perbuatan-perbuatannya yang buruk. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/248)
Bahkan Imam ar-Ramli Rahimahullâh juga menegaskan adalah makruh belayar dua orang sahaja. Akan tetapi hukum makruh pada belayar dua orang adalah lebih ringan daripada belayar seorang diri (bersendirian). (Nihâyah al-Muhtâj: 2/248)
Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebutkan bahawa antara etika atau adab dalam pelayaran, adalah sunat berteman dalam bentuk jemaah atau rombongan. (Al- Majmû‘: 4/271) Hadits yang disebutkan di atas tadi menyatakan bahawa tiga orang barulah dianggap sebagai satu rombongan. Jika suatu rombongan itu lebih ramai daripada bilangan tersebut, maka adalah lebih baik sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik teman itu ialah empat orang. (Hadits riwayat Ahmad)
Walau bagaimanapun, adalah harus (tidak makruh) belayar seorang diri kerana perkara dharurat dan demi kemashlahatan yang hanya boleh dicapai dengan bersendirian seperti mengirim pengintip dan peninjau. Selain daripada tujuan itu, hukumnya adalah makruh belayar seorang diri. (Fath al-Bâri: 6/244)
Hukum Perempuan Belayar
Hukum perempuan belayar sama ada seorang diri atau berteman adalah tertakluk kepada jenis pelayaran sama ada pelayaran itu untuk mengerjakan perkara yang wajib atau bukan wajib.
1. Perempuan belayar untuk mengerjakan perkara wajib.
Hal ini boleh dilihat dalam dua keadaan:
i. Keluar dari negara kafir.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebut perkataan al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh bahawa para ulama telah sepakat sekiranya seorang perempuan Islam berada di negara orang kafir yang memerangi Islam sedang dia tidak bebas untuk mengamalkan agamanya dan takut dirinya dan agamanya akan terancam, maka adalah wajib ke atasnya keluar dan berpindah ke negara Islam sekalipun tanpa mahram untuk menemaninya. Ini kerana haram dia menetap di negara orang kafir yang memerangi Islam itu. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 6/3621)
ii. Menunaikan haji fardhu atau umrah wajib.
Tuntutan perempuan menunaikan haji fardhu atau umrah wajib (umrah yang dinazarkan) adalah bersyarat. Syarat yang dimaksudkan ialah belayar bersamanya suami atau mahram atau perempuan-perempuan yang tsiqah (perempuan yang boleh dipercayai iaitu yang mempunyai sifat amanah dan ‘adâlah atau jujur). Tujuannya adalah untuk menjaga kesejahteraan dirinya daripada tipu daya dan perkara-perkara buruk. Bilangan perempuan yang tsiqah untuk belayar bersamanya seramai tiga orang atau lebih sebagaimana pendapat Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh. Menurut pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula memadai seramai dua orang.
Jika tidak ada mereka yang dapat belayar bersamanya untuk mengerjakan haji fardhu atau umrah wajib yang terdiri daripada suami atau mahram atau perempuan-perempuan yang tsiqah, maka tidak diwajibkan ke atasnya menunaikan ibadat haji fardhu atau umrah wajib itu.
Walau bagaimanapun dari sudut keharusan belayar menunaikan haji fardhu atau umrah wajib, seorang perempuan diharuskan belayar menunaikannya sama ada ditemani oleh seorang perempuan yang tsiqah atau belayar seorang diri dengan syarat keselamatan dirinya diyakini terjamin dalam pelayaran.
Keharusan seorang perempuan belayar seorang diri disebutkan dalam sebuah hadits yang panjang. Di sini akan disebutkan sebahagiannya sahaja iaitu hadits daripada ‘Adiy bin Hatim Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai ‘Adiy, adakah engkau pernah melihat al-Hirah? Saya berkata: “Belum pernah saya melihatnya, namun sungguh saya pernah diberitakan tentangnya”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya jika umurmu panjang, pasti engkau akan melihat seorang perempuan di dalam sekedup (tempat duduk di atas belakang unta) berangkat dari al-Hirah hingga dia thawaf di Ka‘bah, dia tidak takut kepada seorang pun selain kepada Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, hadits tersebut adalah merujuk kepada keharusan perempuan keluar belayar seorang diri untuk mengerjakan perkara yang wajib seperti haji fardhu atau umrah wajib dengan syarat keselamatan dirinya diyakini terjamin dalam pelayaran. (Al-Majmû‘: 7/69, Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 6/3621, Mughnî al-Muhtâj: 2/216, Nihâyah al-Muhtâj: 3/250 dan Hawasyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim ‘ala Tuhfah al-Muhtâj: 4/31)
2. Perempuan belayar untuk mengerjakan perkara bukan wajib.
Menurut jumhûr ulama asy-Syafi‘iyyah, perempuan tidak boleh melakukan pelayaran yang bukan wajib seperti mengerjakan haji sunat, ziarah, perniagaan dan sebagainya, kecuali ada bersamanya suami atau mahram. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan, ini adalah pendapat yang shahîh. (Al-Majmû‘: 7/70, Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 6/3621)
Perkara ini ditegaskan lagi oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh, bahawa adalah haram perempuan belayar tanpa mahram, sekalipun pelayarannya itu dekat dan bersamanya perempuan-perempuan yang tsiqah (bersifat amanah dan ‘adâlah). (Nihâyah al-Muhtâj: 3/250)
Hukum haram perempuan belayar seorang diri tanpa ditemani oleh suami atau mahram adalah berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan, kecuali ada bersamanya (perempuan itu) mahram. Dan jangan seorang perempuan belayar kecuali bersama mahram. Lalu berdiri seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteriku pergi untuk menunaikan fardhu haji. Sedang aku diwajibkan untuk mengikuti peperangan sekian dan sekian”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pergilah! Kerjakan haji bersama isterimu!” (Hadits riwayat Muslim)
Penghantaran Pegawai Kerajaan Ke Luar Negeri
Belayar ke luar negeri sama ada untuk menjalankan tugas, menghadiri mesyuarat, seminar, kursus dan seumpamanya merupakan pelayaran yang diharuskan syara‘ kerana dengannya mereka dapat berkongsi maklumat, menambah ilmu, kemahiran dan meningkatkan keefisienan pegawai itu sendiri khususnya dan organisasi umumnya.
Sebagai sebuah negara yang berteraskan Islam, maka dasar dalam penghantaran pegawai belayar untuk tujuan sedemikian hendaklah dilaksanakan menurut lunas-lunas hukum Islam. Oleh yang demikian, pihak majikan (jabatan atau kementerian) yang mengurus dan menyelia penghantaran pegawai keluar negeri hendaklah mengambil kira hukum-hukum Islam dalam pelayaran sebagaimana yang disebutkan. Ia merupakan tanggungjawab mereka kerana mereka akan dipersoalkan mengenainya di akhirat kelak. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda sebagaimana yang disebut dalam hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Setiap kamu adalah pemimpin, maka kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemimpin adalah yang menjaga hal-ehwal orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah penjaga rumah suaminya dan anak suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ingatlah! Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Penghantaran Pegawai Lelaki Ke Luar Negeri
Oleh kerana disunatkan seorang lelaki belayar dengan berteman, dan makruh belayar bersendirian, maka menghantar pegawai lelaki belayar ke luar negeri seorang diri bukanlah perkara yang digalakkan di dalam Islam.
Pada hakikatnya, adalah tidak menjadi kerugian kepada organisasi atau institusi jika menghantar lebih daripada seorang pegawai untuk menjalankan tugas, menghadiri seminar, persidangan atau kursus ke luar negeri. Bahkan timbal baliknya akan lebih menguntungkan kerana ilmu dan pengalaman yang bakal mereka kongsikan kepada pegawai-pegawai lain dalam organisasi melalui laporan atau aktiviti-aktiviti perkongsian akan lebih bernilai dan mantap hasil daripada musyâwarah atau perbincangan kerana apabila salah seorang lupa, yang lain akan mengingatkan. Malah seandainya sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas salah seorang pegawai yang dihantar seperti ditimpa kesulitan pelayaran, sakit atau kematian, maka pegawai yang lain akan dapat membantu dan di samping itu, dapat menyelesaikan misi pelayaran mereka. Masalah kewangan (budget) tidak sepatutnya menjadi halangan atau sebab penghantaran pegawai lebih daripada seorang.
Penghantaran Pegawai Perempuan Ke Luar Negeri Penghantaran pegawai perempuan belayar ke luar negeri seorang diri pula adalah jelas bertentangan dengan hukum syara‘ kerana seorang perempuan tidak diharuskan belayar bagi pelayaran yang bukan wajib kecuali dengan ditemani suami atau mahramnya.
Namun suatu perkara yang pada asalnya ditegah akan menjadi harus apabila ia terpaksa dilakukan kerana adanya keperluan yang berbentuk dharurat (mendesak) berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: Keperluan-keperluan (mendesak) mengharuskan perkara-perkara yang diharamkan. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 112)
Dan dalam kaedah fiqhiyyah yang lain, keperluan yang berbentuk hajat juga menempati tempat dharurat:
Ertinya: Hajat (keperluan) menempati tempat dharurat (keperluan mendesak). (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 117)
Kedua-dua kaedah fiqhiyyah yang telah disebutkan di atas menunjukkan, perkara yang ditegah atau diharamkan itu diharuskan jika ada keperluan dan hajat yang mendesak.
Menurut Imam Abu al-Fadhl Jalaluddin ‘Abdul Rahman as-Suyuthi Rahimahullâh, keperluan yang berbentuk dharurat itu ialah jika tidak dilakukan boleh atau hampir-hampir mendatangkan kebinasaan. Manakala keperluan yang berbentuk hajat itu pula ialah jika tidak dilakukan tidak mendatangkan kebinasaan tetapi boleh mendatangkan masalah atau kesusahan. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 114)
Oleh itu, jika penghantaran seorang pegawai perempuan ke luar negeri itu adalah suatu kemestian atau keperluan, maka adalah diharuskan dia belayar sekalipun tanpa ditemani oleh suami atau mahramnya, dengan syarat dia hendaklah ditemani oleh perempuan yang tsiqah (perempuan yang boleh dipercayai iaitu mempunyai sifat amanah dan ‘adâlah atau jujur). Ketibaan mereka pula hendaklah disambut oleh pihak kedutaan tempat mereka dihantar atau transit dengan disediakan apa jua kemudahan yang diperlukan demi menjaga keselamatan mereka selama mereka berada di luar negara.
Manakala jika penghantaran itu bukan suatu kemestian atau keperluan, maka belayarnya itu adalah ditegah oleh syara‘ jika tidak ditemani oleh suami atau mahramnya.
Penghantaran Pegawai Lelaki dan Perempuan Yang Tiada Hubungan Mahram Ditegah Oleh Syara‘
Dalam perkara penghantaran seorang pegawai lelaki dengan seorang pegawai perempuan yang tiada hubungan mahram pula, jika seorang perempuan diharamkan belayar seorang diri tanpa suami atau mahram pada pelayaran yang bukan wajib kerana ditakuti akan keselamatan dirinya dan maruahnya, maka apatah lagi pelayaran seorang perempuan bersama seorang lelaki yang bukan mahram adalah lebih utama ia haram kerana ia akan menjebakkannya ke kancah maksiat.
Begitu juga, jika seorang lelaki dimakruhkan belayar seorang diri kerana ditakuti terjebak ke dalam maksiat, maka apatah lagi jika digandingkan dengan perempuan yang bukan mahramnya, lebih-lebih lagilah ia dilarang kerana jalan mendedahkannya kepada perbuatan maksiat dan mungkar terbuka luas.
Perkara ini adalah jelas diharamkan kerana mengundang perkara-perkara mungkar sebagaimana yang telah ditimbulkan oleh penyoal, seperti berlaku curang dan khianat terhadap isteri atau suami, makan, berjalan membeli-belah dan melancong berdua-duaan, membuat laporan bersama hingga larut malam atau subuh, meminta untuk duduk bersebelahan di dalam kapal terbang dan menginap di bilik yang bersebelahan.
Dari itu, dalam hal penghantaran pegawai-pegawai kerajaan ke luar negeri, patutlah diambil kira perkara-perkara yang disebutkan di atas, dengan tujuan untuk mencegah daripada berlakunya perkara-perkara mendatang yang tidak diingini dan menghalang daripada berlakunya sebarang penyelewengan dan keburukan-keburukan sosial.
Jika berbangkit unsur-unsur yang boleh membawa kepada wujudnya penyelewengan sosial sebagaimana yang dinyatakan oleh penyoal, maka salah satu kaedah perundangan Islam hendaklah diguna pakai. Kaedah tersebut ialah "سدَالذرائعَ" yang ertinya: Menutup pintu-pintu di mana keburukan mungkin memasukinya.
Demikian juga jika satu perkara yang boleh membawa kepada kebaikan dan pada masa yang sama ia juga membawa keburukan, maka Islam menyarankan supaya lebih dahulu diutamakan kerja menghindari keburukan atau kerosakan itu, berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan-kerosakan itu lebih utama daripada membawa (apa jua) kemashlahatan.
Oleh yang demikian, penghantaran pegawai ke luar negeri itu perlulah dilihat dari sudut syara‘ dan kaedah-kaedah yang disebutkan. Jika hendak mempertimbangkan juga untuk menghantar pegawai ke luar negeri khususnya bagi menghadiri mesyuarat dan lain-lain hal urusan rasmi kerajaan, adalah teratur supaya penetapan syara‘ yang dinyatakan di atas diikuti, seperti;
❖ Tidak menghantar pegawai secara berseorangan sama ada lelaki atau perempuan.
❖ Tidak menghantar pegawai perempuan tanpa mahram dan harus menghantar seorang pegawai perempuan dengan perempuan tsiqah (jika ia suatu kemestian atau keperluan).
❖ Tidak menghantar seorang pegawai perempuan dengan seorang pegawai lelaki (berduaan sahaja).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11368
