Perbezaan Antara Insurans Dan Takâful
Soalan: Apakah hukum membeli insurans nyawa konvensional? Sekiranya haram adakah wajib saya membatalkannya serta-merta? Apakah hukumnya mengambil manfaat/faedah yang kita dapat daripada insurans? Contohnya si Ahmad telah meninggal dunia, keluarga beliau telah mendapat pampasan sebanyak RM50,000.00 Adakah duit ini sama statusnya seperti duit riba dan haram menggunakannya? Tatkala sudah mengetahui insurans itu haram, adakah berdosa jika seseorang itu masih terus membayar premiumnya setiap bulan?
Apakah perbezaan di antara perlindungan dalam insurans konvensional dengan perlindungan dalam Takaful Nasional berlandaskan syariah?
Jawapan: Insurans Konvensional
Insurans konvensional adalah akad atau kontrak yang mewajibkan penjual insurans (syarikat insurans) membayar sejumlah wang (pampasan) atau membayar secara beransur atau membayar sebarang bayaran pampasan (sebagaimana yang telah dipersetujui) kepada pembeli insurans (pencarum) atau kepada pengambil faedah yang disyaratkan, apabila terjadi sesuatu kemalangan yang dilindungi sebagaimana yang dijelaskan dalam akad atau kontrak sebagai imbalan kepada pencarum atas bayaran premium yang telah dijelaskannya kepada syarikat insurans seperti yang ditetapkan. (At-Ta’mîn Baina al-Hazhr wa al-Ibâhah: 15)
Berdasarkan takrif ini, jelaslah bahawa akad insurans konvensional adalah jenis akad mu‘âwadhah iaitu akad pertukaran jual beli antara syarikat insurans dan pencarum. Ini menunjukkan bahawa akad atau kontrak insurans adalah berbentuk perniagaan.
Dalam akad insurans konvensional, pencarum disyaratkan membayar sejumlah wang premium (caruman) kepada syarikat insurans untuk mendapatkan perlindungan atau untuk mendapatkan jaminan, sekiranya ditimpa kemalangan. Jika tidak mengalami sebarang kemalangan sehingga tamat tempoh yang telah ditetapkan, maka wang premium yang dibayar itu akan menjadi milik penuh syarikat insurans. Manakala perjanjian daripada segi pembayaran dividen atau keuntungan dan bonus kepada pencarum adalah tidak terjamin dan tidak pasti berapa jumlahnya kerana ia tertakluk kepada keadaan ekonomi akan datang.
Menurut keputusan yang dibuat oleh Majlis Akademi Fiqh Islam (Majma‘ al-Fiqh al-Islami) yang anggotanya terdiri daripada ulama daripada seluruh dunia Islam dan diasaskan di bawah Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam persidangannya yang kedua di Jeddah pada tahun 1985 mengenai insurans, memutuskan bahawa akad insurans perniagaan yang mempunyai premium tetap merupakan akad yang mempunyai unsur gharar (suatu yang tidak jelas dan tidak pasti) yang besar yang merosakkan akad. Oleh sebab itulah, insurans perniagaan ini diharamkan di sisi syara‘. (Majma‘ al-Fiqh al-Islam: Al-Qarârât wa at- Taushiyyat Haul al-Bunûk al-Islâmiyyah wa al-Mâliyyah: (1985-2000)
Pengharaman insurans perniagaan dengan segala jenisnya sama ada insurans nyawa, insurans harta perniagaan atau sebagainya adalah berdasarkan beberapa dalil berikut:
1. Akad insurans perniagaan mengandungi unsur gharar.
Gharar membawa maksud tidak jelas atau ketidaktentuan dalam akad. Oleh itu adalah amat penting semasa sesuatu akad atau kontrak hendak dimeteraikan, apa yang diakadkan atau apa yang dijanjikan hendaklah jelas sehingga tidak lagi boleh menimbulkan apa-apa keraguan atau salah anggapan. Sekiranya keadaan ini timbul, maka tiada lagi kesaksamaan dan keadilan dalam akad. (Takaful Sistem Insurans Islam: 41)
Ketidakpastian atau ketidaktentuan dalam akad ini timbul apabila kedua-dua pihak yang berakad saling tidak mengetahui apa yang akan berlaku di kemudian hari, umpamanya, adakah pencarum akan ditimpa kemalangan, berapa kalikah wang caruman akan dibayar oleh pencarum dan sebagainya. Akad tersebut adalah berlandaskan kepada spekulasi semata-mata. Dalam hal ini, penyerahan wang pampasan yang hendak diberikan itu tidak dapat ditentukan dengan jelas ketika akad dibuat.
Selain ‘tidak jelas’ atau ‘tiada ketentuan’ yang membawa kepada unsur gharar, sesuatu akad itu juga dikatakan gharar jika akibat daripadanya, salah satu pihak akan menanggung beban kerugian dan hilang hak. Sebaliknya daripada kerugian ini, satu pihak lagi akan mendapat faedah yang tidak sepatutnya diperoleh di bawah akad yang kedua-dua pihak meterai itu. (Takaful Sistem Insurans Islam: 44)
Apabila terjadi sesuatu yang tidak jelas dalam akad dan kesan daripada akad itu menyebabkan ketidakadilan di antara dua pihak yang berakad, maka ia jelas menggambarkan bahawa transaksi muamalat yang dilakukan itu terdapat unsur gharar.
Dalam hal ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang jual beli yang mengandungi unsur gharar sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang jual beli kerikil dan jual beli (yang sifatnya) tidak jelas. (Hadits riwayat Muslim)
2. Akad insurans perniagaan mempunyai unsur perjudian kerana mengandungi pertaruhan dalam pertukaran harta, iaitu bertaruh pada sesuatu yang tidak pasti dan ia bergantung kepada nasib untuk mendapatkan bayaran pampasan.
Ini bererti, apabila kemalangan berlaku, pencarum akan mendapat pampasan lumayan dan ia dikira sebagai satu keuntungan kerana dengan carumannya yang sedikit, dia boleh mendapat sejumlah duit yang banyak. Sebaliknya, jika tidak berlaku sebarang kemalangan, maka pencarum akan menanggung kerugian kerana kehilangan wang premium yang telah dicarum. Inilah yang dimaksudkan dengan unsur judi.
Muamalat seumpama ini termasuk dalam kategori judi. Judi itu jelas haram sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
3. Insurans perniagaan mengandungi riba al-fadhl dan riba an-nasa’ yang diharamkan oleh syara‘.
Riba al-fadhl berlaku apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum dengan jumlah yang lebih tinggi daripada wang premium yang telah dibayar oleh pencarum. Apabila terjadi kemalangan ke atas pencarum sebelum tempoh matangnya, maka pencarum akan diberi wang pampasan yang melebihi jumlah wang premium yang telah dibayarnya. Jumlah yang lebih itulah dinamakan sebagai riba al-fadhl.
Di samping itu, penangguhan bayaran pada satu masa tertentu (bergantung kepada bila berlakunya kemalangan) kepada pencarum dikategorikan pula sebagai riba an-nasa’. Kedua-dua jenis riba ini adalah haram dalam Islam. (Al-Majmû‘: 13/254)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Berdasarkan keterangan di atas, maka haram hukumnya bermuamalat dengan apa saja bentuk insurans perniagaan yang dijalankan secara konvensional. Segala transaksi yang dilakukan berhubung dengan semua bentuk insurans perniagaan yang dijalankan secara konvensional itu adalah tidak sah di sisi syariat Islam.
Insurans Nyawa
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah di sini bahawa haram bermuamalat dengan insurans nyawa konvensional kerana perjalanan dan pengendalian syarikat insurans tersebut tidak berlandaskan hukum-hukum syara‘. Urus niaga dalam insurans mereka mengandungi unsur gharar, judi dan riba seperti yang telah diterangkan di atas. Oleh itu, wajib bagi orang yang mengikuti syarikat insurans konvensional berhenti daripada terus-menerus bermuamalat dengan syarikat tersebut untuk mengelakkan daripada terus terjebak dalam perkara yang diharamkan oleh syara‘.
Adapun pampasan yang diterima sebanyak RM50,000.00 hasil daripada akad insurans seperti yang dicontohkan itu adalah wang yang diperolehi atas dasar taruhan. Ia adalah pampasan yang diterima oleh keluarga Ahmad kerana Ahmad meninggal dunia sekalipun dia belum membayar wang premium yang dijanjikan secara keseluruhan. Wang pampasan tetap dibayar penuh kerana dijanjikan oleh syarikat insurans berdasarkan akad yang dimeterai oleh kedua-dua belah pihak.
Dalam hal ini, syarikat insurans terpaksa menanggung kerugian dan keluarga Ahmad mendapat untung kerana Ahmad meninggal dunia lebih awal daripada waktu yang telah dijanjikan. Wang, faedah atau manfaat yang diperolehi melalui urus niaga seumpama ini termasuk dalam kategori memperolehi harta melalui jalan yang diharamkan oleh Islam, kerana ia diperolehi melalui judi yang pampasannya diterima kerana nasib yang menyebelahinya di samping terkandung di dalamnya riba.
Berdasarkan contoh yang diberikan di atas, menurut hukum syara‘, keluarga Ahmad hanya berhak menerima setakat jumlah wang premium yang telah dibayarnya sahaja. Manakala selebihnya mereka tidak berhak mengambilnya bagi mengelakkan daripada mengambil harta yang sumbernya daripada judi dan riba. Kadar tersebut boleh diterimanya kerana ia adalah dikira wang simpanannya (wang premium). Manakala baki wang pampasan tersebut adalah haram bagi keluarga Ahmad mengambilnya kerana dia tidak memilikinya secara sah daripada segi syara‘. Wang tersebut wajib diserahkan kepada Baitul-Mal atau disalurkan kepada badan-badan kebajikan sebagai jalan melepaskan diri daripada memakan harta yang tidak halal.
Setiap perkara atau benda yang dihukumkan haram, jika dilakukan akan mendapat dosa. Oleh itu, setelah diketahui bahawa menyertai insurans konvensional itu menyalahi hukum syara‘, maka wajib ditinggalkan kerana berurusan pada perkara-perkara yang diharamkan syara‘ adalah berdosa.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya:ََ Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah amat berat azab seksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Surah al-Mâ’idah: 2)
Sebagai langkah mengelakkan diri daripada terlibat dengan insurans yang bertentangan dengan kehendak hukum syara‘ adalah disarankan untuk menyertai insurans yang dijalankan selari dengan kehendak hukum-hukum syara‘ yang dikenali sekarang sebagai takâful.
Takâful adalah diakui sah di sisi syariat Islam kerana ia dijalankan atas dasar ta‘âwun (tolong menolong) terhadap kebaikan, di mana para peserta bertabarru‘ kepada peserta-peserta yang lain jika berlaku sesuatu kemalangan di kalangan mereka.
Apa Itu Takâful?
Takâful digunakan sebagai menggantikan istilah bagi insurans yang dijalankan berasaskan hukum-hukum syara‘. Daripada segi bahasa, takâful berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud jamin-menjamin di antara dua orang ataupun lebih atau penggabungan penglibatan di antara dua orang atau lebih kepada sesama mereka sendiri. (Takaful: Kepentingan dan Hukum-Hukum Perlaksanaannya: 11)
Daripada segi istilah pula, takâful ialah suatu pakatan antara ahli-ahli atau peserta mana-mana kumpulan orang yang masing-masing bersetuju serta mengaku janji untuk saling jamin-menjamin dan lindung-melindungi di antara satu sama lain daripada kehilangan atau kerugian akibat ditimpa oleh apa-apa musibah dan bencana. (Takaful Sistem Insurans Islam: 13)
Berdasarkan takrif tadi, jelaslah bahawa peranan takâful adalah untuk menolong rakan ahli atau peserta yang ditimpa kemalangan dalam kumpulan berkenaan melalui sumbangan yang berbentuk kewangan. Perkara tolong-menolong atau bantu-membantu ini amatlah digalakkan dalam Islam.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Sistem takâful ini diwujudkan adalah sebagai satu usaha kerjasama, lindung-melindungi dan tolong-menolong di antara anggota-anggota masyarakat yang menyertai skim takâful yang sama-sama ingin mendapatkan perlindungan apabila mereka menghadapi kemungkinan ditimpa kemalangan.
Sungguhpun daripada segi maksud agak serupa dengan maksud insurans konvensional iaitu mendapatkan perlindungan apabila ditimpa kemalangan, namun terdapat beberapa unsur yang berbeza terutamanya daripada segi cara pelaksanaannya yang menolak gharar atau bentuk pertaruhan nasib.
Setiap takâful yang dijalankan hendaklah berpandukan kepada syariat Islam, iaitu:
i. Modalnya hendaklah sentiasa bersih daripada sebarang harta yang diharamkan oleh syara‘. Misalnya, apabila modal takâful tidak mencukupi, badan ini tidak boleh meminjam harta daripada bank yang tidak mengamalkan sistem muamalat Islam.
ii. Pelaburannya hendaklah sentiasa bersih daripada pelaburan yang tidak dihalalkan oleh syara‘.
iii. Pelaksanaan program dan pelannya juga hendaklah sentiasa bersih daripada program yang diharamkan dan tidak dihalalkan atau tidak disahkan oleh syara‘.
Cara pelaksanaan takâful adalah berasaskan konsep al-mudhârabah dan konsep tabarru‘. Kedua-dua konsep inilah antara aspek yang membezakan takâful dengan insurans konvensional.
Konsep Al-Mudhârabah
Al-Mudhârabah ialah satu sistem urus niaga yang diharuskan dalam Islam dengan mempunyai syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘.
Al-Mudhârabah berlaku tatkala pemilik modal menyerahkan duitnya kepada pengusaha untuk diniagakan. Untung akan dibahagikan di antara kedua belah pihak mengikut peratus yang telah dipersetujui di dalam akad al-mudhârabah. Manakala jika perniagaan itu rugi, kerugiannya hanya akan ditanggung oleh pemilik modal sahaja sedangkan pengusaha hanya menanggung kerugian tenaga dan usahanya di dalam perniagaan yang dijalankannya itu. (Fiqh al-Islâm wa Adillatuh: 5/3924) Dalam konteks takâful, perjanjian di antara syarikat takâful dengan peserta adalah perjanjian al-mudhârabah. Syarikat takâful bertindak sebagai al-mudhârib atau pengusaha dengan menerima wang caruman peserta-peserta bagi menguruskan skim-skim atau pelan-pelan takâful, membuat pelaburan dan sebagainya. Peserta-peserta pula bertindak sebagai shâhib al-mâl atau pemilik harta dengan menyerahkan wang caruman mereka untuk diurus dalam skim-skim atau pelan-pelan takâful, membuat pelaburan dan sebagainya. Dalam perjanjian tersebut, dimeteraikan serentak bagaimana keuntungan (lebihan) daripada perjalanan skim-skim atau pelan-pelan takâful berkenaan akan dibahagikan di antara syarikat takâful sebagai pengusaha dan peserta-peserta sebagai pemilik-pemilik harta dan sebagainya. Perjanjian yang sama juga menerangkan dengan jelas bagaimana syarikat takâful akan menggunakan wang caruman peserta-peserta untuk ditadbir, dilaburkan dan sebahagiannya disumbangkan sebagai tabarru‘ (bantuan) bagi menolong rakan-rakan peserta yang menemui malapetaka dan bencana. Peserta-peserta juga diberitahu dengan jelas tentang hak-hak mereka serta syarat-syarat berhubung dengan perlindungan yang diberi dan berhubung dengan apa-apa manfaat yang akan mereka perolehi daripada skim-skim atau pelan-pelan takâful berkenaan. (Ensiklopedia Global: 8/71)
Konsep Tabarru‘
Menurut ulama fiqh, tabarru‘ bermaksud derma seseorang yang mukallaf sama ada harta atau manfaat kepada orang lain pada masa ini atau pada masa akan datang tanpa ‘iwadh (gantian) dengan tujuan untuk berbuat kebajikan dan kebaikan pada kebiasaannya. (Al-Mausû‘ah al- Fiqhiyyah: 10/65)
Dalam erti lain, tabarru‘ bermaksud menderma atau membuat kebajikan atau mengurniakan dengan redha untuk tujuan berbakti atau membantu. (Takaful Sistem Insurans Islam: 19)
Menderma dan menyumbang secara ikhlas dengan tujuan untuk membantu seseorang dalam kesusahan akan memperolehi pahala yang berlipat kali ganda dan amalan ini amatlah digalakkan dalam Islam.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan ingatlah! Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.
(Surah al-Muzzammil: 20 )
Dalam konteks takâful, tabarru‘ dimasukkan sebagai sebahagian daripada akad takâful yang secara keseluruhannya adalah berasaskan kepada prinsip al-mudhârabah. Ini bererti tiap-tiap peserta bersetuju bahawa sebahagian tertentu daripada sumbangan atau caruman takâful yang dibayarnya sebagai balasan kepada penyertaan dalam apa-apa khidmat takâful, dibuat secara tabarru‘. (Takaful Sistem Insurans Islam: 19)
Dengan konsep tabarru‘ dalam akad takâful ini, maka ia terhindar daripada unsur judi, riba dan gharar sebagaimana yang terdapat dalam akad insurans konvensional.
Semua wang tabarru‘ dimasukkan ke dalam kumpulan wang takâful dan dilaburkan untuk mendapatkan pulangan atau keuntungan, maka apa-apa pulangan atau keuntungan jika ada juga akan dijadikan sebagai tabarru‘. Ini bererti wang tabarru‘ akan terkumpul hasil daripada sumbangan peserta dan juga keuntungan pelaburannya. Oleh yang demikian, bahagian wang sumbangan tabarru‘ adalah meliputi semua keuntungan atau pulangan pelaburannya. (Takaful Sistem Insurans Islam: 22) Selanjutnya, wang sumbangan tabarru‘ itu akan digunakan oleh syarikat yang menjalankan perniagaan takâful untuk menyediakan sejumlah wang sebagai bantuan kewangan yang menyamai perolehan manfaat tuntutan yang dibayar kepada mana-mana rakan peserta yang menderita kerugian atau kehilangan akibat ditimpa oleh sesuatu kemalangan.
Sesungguhnya inilah yang menjadi teras kepada perniagaan takâful iaitu peserta berhak mendapat keuntungan seperti pelabur dan pada masa yang sama berpeluang membantu peserta lain yang dalam kesusahan. Malah peraturan ‘menderma’ iaitu tabarru‘ menjadi syarat bagi setiap peserta yang ingin menyertai skim takâful kerana akad tabarru‘ diperlukan di dalam akad takâful. Tanpa tabarru‘, takâful tidak akan dapat dijalankan dengan mudah.
Oleh kerana apa yang dilakukan dengan sumbangan atau caruman takâful yang dibayar oleh setiap peserta itu adalah jelas dan dinyatakan pula dalam akad takâful, maka tiada lagi timbul unsur gharar dan riba yang boleh menyebabkan akad dan perniagaan takâful tersebut bersalahan dengan kehendak hukum syara‘.
Mungkin timbul persoalan, bagaimanakah pihak takâful dan peserta takâful terlepas daripada judi?
Dalam sistem takâful, syarikat takâful dan peserta tidaklah dikatakan berjudi atau bertaruh nasib kerana peserta pasti akan menerima keuntungan kewangan kerana dibayar balik sebahagian bayaran yang telah dibayarnya kepada pihak penjamin. Mereka juga mendapat keuntungan perniagaan mengikut perjanjian di dalam akad walaupun mereka tidak mendapat kemalangan.
Mengikut perjanjian takâful, sebahagian atau semua daripada bayaran itu akan diiktiraf sebagai pemberian peserta kepada peserta yang lain dan sebahagian lagi bersama keuntungannya atau sebahagian keuntungan sahaja adalah untuk peserta itu sendiri.
Syarikat takâful pula mendapat keuntungan daripada untung mudhârabah yang diniagakan oleh mereka. Pengendali takâful akan membahagi keuntungan dengan peserta apabila harta yang terkumpul dalam bahagian peserta mendapat keuntungan. Apabila bayaran untuk kegunaan peserta tersebut tidak digunakan atau tidak habis digunakan untuk menanggung risiko peserta, bayaran itu akan dipulangkan kepada peserta setelah tamat tempoh mengikut perjanjian. Yang tinggal hanyalah pemberian peserta kepada peserta lain dan juga keuntungan hasil pelaburan yang dibahagi rata di antara peserta dengan pengusaha syarikat takâful.
Demi mengelakkan kerugian yang disebabkan oleh tuntutan pampasan, sistem pengendalian syarikat takâful sebenarnya telah menganggarkan jumlah purata penuntut setiap tahun. Perkara ini membolehkan pengendali menolak kerugian. Jika tuntutan tidak banyak seperti yang dianggarkan, maka pengendali takâful akan membahagikan keuntungan itu atas dasar perkongsian untung rugi mudhârabah kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
Dengan adanya sistem ini, pengendali takâful tidaklah dikatakan berjudi. Oleh itu, tidak ada unsur judi dalam takâful kerana tidak ada pihak yang akan kalah dan pihak lain yang menang, bahkan mereka adalah sama-sama berkongsi untung dan rugi. (Takaful: Kepentingan dan hukum-hukum Perlaksanaannya: 36-37)
Amalan takâful dapat disimpulkan sebagai satu usaha kerjasama, lindung-melindungi dan tolong-menolong di antara para peserta yang sama-sama ingin memperolehi perlindungan bagi kemungkinan menghadapi kemalangan. Usaha ini ditadbir, diurus dan dikendalikan oleh syarikat takâful sebagai pengusaha melalui skim-skim dan pelan-pelan takâful yang disusun berlandaskan hukum syara‘.
Berdasarkan apa yang telah diterangkan mengenai dengan takâful dan insurans konvensional, jelaslah di sini ada beberapa perbezaan di antara kedua-duanya, iaitu:
Takâful Insurans Konvensional
Peserta membayar sumbangan atau caruman berdasarkan konsep tabarru‘ (derma).
Pembeli polisi insurans dikenakan bayaran premium atas perlindugan yang diberikan oleh syarikat insurans.
Perjanjian di antara pengusaha dan peserta adalah mengikut akad al-mudhârabah dan konsep tabarru‘.
Pembelian polisi insurans berdasarkan kontrak jual-beli antara syarikat insurans dan yang diinsurankan.
Pengusaha syarikat takâful merupakan pengendali risiko.
Pengusaha syarikat insurans merupakan penanggung risiko.
Perjalanan dan kendaliannya mengikut syara‘, tidak ada unsur gharar, judi dan riba.
Perjalanan dan kendaliannya tidak mengikut syara‘, mempunyai unsur gharar, judi dan riba.
Setelah mengetahui sebab-sebab kenapa insurans konvensional itu diharamkan dalam Islam, adalah wajib bagi kita meninggalkannya supaya memperolehi keberkatan hidup dan mendapatkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Sebagai usaha ke arah mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam muamalat yang melibatkan riba atau apa jua bentuk muamalat yang bercanggah dengan kehendak hukum syara‘, adalah wajar kita mengikut skim-skim atau produk-produk yang dilaksanakan oleh institusi-institusi kewangan Islam yang ada.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11372
