Perempuan Menjadi Imam & Membaca Khutbah Jumaat, Percampuran Jemaah Lelaki & Perempuan Dalam Shaf Dan Hukum Sembahyang Dalam Gereja
Soalan: Baru-baru ini tersiar dalam media tentang seorang wanita yang menjadi imam dan membacakan khutbah sembahyang Jumaat di sebuah gereja di Manhattan, New York, Amerika Syarikat. Seperti yang disampaikan oleh pihak media, dia adalah seorang professor dalam bidang pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia Amerika Syarikat. Apa yang menjadi pertanyaan saya ialah:
1. Apakah pendapat Pehin tentang kedudukan wanita yang menjadi imam dan membacakan khutbah Jumaat kepada jemaah lelaki dan perempuan?
2. Bagaimana kedudukan sembahyang berjemaah yang shaf-shafnya bercampur-aduk antara lelaki dan perempuan?
3. Menurut wanita tersebut, tindakannya itu adalah bersandarkan tanggapannya bahawa syarat lelaki mengimamkan sembahyang itu adalah adat semata-semata. Justeru, apakah dalil daripada nash al-Qur’an atau hadits yang dapat menyangkal dakwaannya itu? 4. Apakah hukumnya mereka yang melakukan sembahyang dalam gereja?
Jawapan: Syarat-syarat orang yang diwajibkan sembahyang Jumaatََ itu hendaklah orang itu seorang Muslim yang mukallaf, bâligh, berakal, merdeka, lelaki dan bermuqîm. Sembahyang Jumaatََ tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum bâligh, orang gila, orang yang mempunyai keuzuran untuk menghadiri sembahyang berjemaah, perempuan, musafir dan hamba, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sembahyang Jumaatََ berjemaah itu wajib ke atas setiap orang Islam kecuali bagi empat golongan: Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak atau orang sakit. (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa tidak wajib bagi wanita menunaikan sembahyang Jumaat. Bahkan adalah lebih afdhal mereka bersembahyang di rumah. (Al- Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 4/171 & 404).
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Janganlah kamu larang wanita-wanita kamu ke masjid, di rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jelas di sini, sembahyang Jumaatََ itu adalah wajib bagi lelaki sahaja dan tidak wajib bagi wanita. Para fuqahâ’ daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali juga mengatakan bahawa sembahyang Jumaat itu tidak diwajibkan ke atas perempuan.
Bahkan dalam mazhab asy-Syafi‘e antara syarat sah sembahyang ialah bilangan jemaah yang mendirikan sembahyang Jumaatَ itu hendaklah tidak kurang daripada empat puluh orang lelaki yang mukallaf dan bermastautin termasuklah imam dan perempuan tidak termasuk dalam kiraan empat puluh itu. (Mughnî al-Muhtâj: 1/384)
Jadi, bagaimana pula kedudukan wanita menjadi imam, sedangkan sembahyang Jumaat itu sendiri tidak diwajibkan ke atas mereka?
Perempuan Menjadi Imam Kepada Lelaki
Mengenai mengimamkan sembahyang berjemaah, al-‘Allâmah Syamsuddin Muhammad Abu al-‘Abbas Ahmad ar-Ramli Rahimahullâh menjelaskan bahawa tidak sah sembahyang lelaki sekalipun kanak-kanak dan khuntsâ musykil yang berimamkan perempuan dan khuntsâ musykil. (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 2/173).
Asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebutkan bahawa empat jenis sembahyang berjemaah yang tidak sah, iaitu: Lelaki mengikut khuntsâ, lelaki mengikut perempuan, khuntsâ mengikut khuntsâ dan khuntsâ mengikut perempuan. Manakala lima jenis sembahyang berjemaah yang sah pula ialah lelaki mengikut lelaki, khuntsâ mengikut lelaki, perempuan mengikut lelaki, perempuan mengikut khuntsâ dan perempuan mengikut perempuan. (Mughnî al-Muhtâj: 1/329)
Al-Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Umm mengenai dengan perempuan menjadi imam kepada lelaki dalam sembahyang, beliau berkata:
“Jika seorang perempuan menjadi imam kepada jemaah lelaki, perempuan dan kanak-kanak lelaki maka sembahyang bagi jemaah perempuan sahaja yang sah, tetapi sembahyang bagi jemaah lainnya pula adalah tidak sah kerana Allah menjadikan lelaki sebagai pemimpin kepada perempuan dan membataskan mereka (perempuan) daripada menjadi wali dan sebagainya. Oleh itu, dalam apa jua keadaan, perempuan tidak harus menjadi imam kepada lelaki dalam sembahyang.” (Al-Umm: 1/191)
Dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal (yang bertanggungjawab) terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (Surah an-Nisâ’: 34)
Menurut pengarang kitab Rahmah al-Ummah fî Ikhtilâf al-A’immah, Abu ‘Abdillah Muhammad bin ‘Abdul Rahman asy-Syafi‘e berkata bahawa telah sepakat semua mazhab mengatakan tidak sah perempuan menjadi imam kepada lelaki dalam semua sembahyang fardhu. (Rahmah al-Ummah fî Ikhtilâf al-A’immah: 113) Ini dengan sendirinya termasuk sembahyang Jumaat kerana sembahyang Jumaat itu juga adalah wajib.
Maka jelaslah di sini bahawa ulama-ulama fiqh telah sepakat mengatakan bahawa tidak sah sembahyang berjemaah jika wanita menjadi imam kepada lelaki. Oleh itu hukum berkaitan dengan kepimpinan dalam sembahyang adalah mengikut kesepakatan para ulama (ijmâ‘) dan bukan sekali-kali berasaskan budaya atau adat.
Kedudukan Shaf-Shaf Dalam Sembahyang Berjemaah
Adalah sunat bagi lelaki sekalipun kanak-kanak jika tidak ada orang lain selainnya mengambil tempat di sebelah kanan imam. Iaitu sebelah kanan yang agak terkebelakang sedikit daripada imam sehingga jari-jari makmum berada di belakang tumit imam.
Manakala makmum wanita hendaklah mengambil tempat di belakang imam, iaitu lebih belakang daripada shaf jemaah lelaki.
Kemudian apabila ada lelaki lain yang baru datang, hendaklah mengambil tempat di sebelah kiri imam, setelah takbîratul-ihrâm sunat dua orang makmum itu berundur ke belakang sehingga membentuk satu baris di belakang imam.
Jika sekiranya dua orang makmum lelaki atau lebih, datang bersama, maka disunatkan mereka itu berdiri membuat barisan shaf di belakang imam. Kemudian diikuti di belakang mereka jemaah kanak-kanak lelaki dan kemudian baru jemaah wanita.
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik shaf lelaki adalah shaf yang pertama dan seburuk-buruknya adalah shaf yang terakhir. Sebaik-baik shaf wanita adalah yang terakhir, dan seburuk-buruknya adalah shaf yang pertama. (Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa maksud hadits di atas ialah dalam keadaan jika jemaah wanita bersembahyang dengan lelaki. Adapun jika tidak, seperti jemaah wanita bersama wanita maka hukumnya sama dengan lelaki iaitu sebaik-baik shafnya adalah shaf yang pertama dan seburuk-buruknya adalah shaf yang paling akhir. Seburuk-buruk shaf lelaki dan wanita itu adalah bermaksud daripada segi mendapat pahala dan fadhilat berjemaah paling sedikit dan jauh daripada memenuhi tuntutan syara‘. Manakala maksud sebaik-baik shaf (shaf pertama) pula adalah sebaliknya. (‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abi Daud: 2/282)
Namun kanak-kanak tidak boleh dipindahkan ke belakang untuk diambil tempatnya oleh lelaki-lelaki yang sudah bâligh kerana persamaan jenis kelamin di antara mereka. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/41)
Kedudukan shaf kaum lelaki dan kanak-kanak lelaki adalah berada di hadapan daripada shaf kaum perempuan, sekalipun mereka itu cucu kepada jemaah perempuan itu atau anak-anak mereka.
Telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik:
Maksudnya: Aku (Anas) dan seorang anak yatim lelaki sembahyang di rumah kami di belakang Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sedangkan ibuku, Ummu Sulaim di belakang kami. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berkata Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam fatwanya berkenaan dengan shaf:
“Menurut qaul mu‘tamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang bâligh dalam shaf yang pertama, tidak harus (tidak boleh) bagi orang-orang yang bâligh itu mengeluarkan mereka (daripada shaf yang pertama itu), berlainan halnya dengan orang-orang khuntsâ (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya sama ada dia lelaki atau perempuan kerana memiliki kedua-dua alat kelamin lelaki dan perempuan atau langsung tidak memiliki alat kelamin lelaki dan perempuan) dan perempuan-perempuan, mereka itu (hendaklah dikeluarkan daripada shaf yang pertama), sebagaimana saya telah putuskan sedemikian itu di dalam Syarh al-Irsyâd, katanya:
Dua orang lelaki sunat berdiri membuat shaf di belakang imam sekalipun kedua-duanya belum bâligh atau salah seorang daripada mereka sudah bâligh dan yang seorang lagi adalah kanak-kanak lelaki yang kedua-duanya itu hendak mengikut imam yang bersembahyang, atau kedua-duanya datang terkemudian daripada kanak-kanak lelaki, atau kanak-kanak lelaki itu datang dahulu daripada dua orang itu, sebagaimana telah lalu (disebutkan), atau orang-orang dewasa datang bertujuan mengikut imam di belakang kanak-kanak lelaki. Kemudian jika shaf orang-orang dewasa telah penuh, kanak-kanak lelaki itu berdiri di belakang shaf orang-orang dewasa sekalipun kanak-kanak lelaki itu mempunyai kelebihan daripada orang dewasa daripada segi keilmuannya dan seumpamanya, bersalahan dengan pendapat Imam ad-Darimi kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.
Jikalau shaf orang-orang dewasa itu tidak penuh, dipenuhkan shaf itu dengan kanak-kanak lelaki dan jikalau kanak-kanak lelaki itu datang dahulu duduk dalam shaf, tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki itu (dari shaf itu), untuk (diisikan) oleh orang- orang dewasa.
Kemudian berdiri orang-orang khuntsâ di belakang shaf kanak-kanak lelaki, sekalipun shaf kanak-kanak lelaki itu tidak penuh, kerana diihtimâlkan (diandaikan) saja mereka itu lelaki, dan tidaklah boleh dipenuhkan shaf kanak-kanak lelaki itu oleh orang-orang khuntsâ itu, kerana diihtimâlkan (diandaikan) mereka itu perempuan.
Kemudian orang-orang perempuan berdiri di belakang shaf orang-orang khuntsâ, sekalipun tidak penuh shaf orang-orang khuntsâ itu dan hendaklah didahulukan perempuan-perempuan yang bâligh daripada kanak-kanak perempuan qiyâskan kepada masalah yang telah lalu dalam perkara kanak-kanak lelaki.”
Lebih lanjut lagi Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menerangkan bahawa bukanlah maksud kehadiran kanak-kanak lelaki datang dahulu itu sebagai kehadiran mereka terlebih dahulu ke masjid daripada orang dewasa bahkan sesungguhnya mereka hanya mendahului mereka pada mengambil shaf yang pertama sekalipun sebelum didirikan sembahyang. Maka pada ketika itu tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki daripada shaf mereka untuk diberikan kepada lelaki-lelaki dewasa, daripada apa yang telah ditetapkan bahawa kanak-kanak lelaki itu jenis orang-orang lelaki dewasa, berlainan halnya dengan orang-orang yang selepas mereka (orang-orang khuntsâ dan perempuan-perempuan). (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah li Ibnu Hajar al-Haitami: 1/229-230)
Daripada perkataan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh di atas, shaf wanita dalam sembahyang berjemaah yang afdhalnya adalah di belakang sekali iaitu selepas shaf lelaki, kanak-kanak lelaki dan khuntsâ.
Jika kesemua jemaah terdiri daripada kalangan perempuan termasuklah imamnya, maka kedudukan imam itu berdiri di tengah-tengah shaf mereka. Berkata al-‘Allâmah Syamsuddin Muhammad Abu al-‘Abbas Ahmad ar-Ramli Rahimahullâh bahawa yang dimaksudkan dengan di tengah-tengah itu ialah ke hadapan sedikit yang mana boleh membezakan imam daripada makmumnya. (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 2/194)
Adalah lebih baik menyusun shaf-shaf itu menurut cara yang afdhal kerana mengasingkan shaf-shaf antara lelaki dan perempuan di tempat-tempat sembahyang bukan perkara yang sukar atau menimbulkan masalah.
Sembahyang Dalam Gereja
Antara tempat-tempat yang makruh mengerjakan sembahyang di dalamnya ialah seperti tandas dan gereja kerana tempat-tempat tersebut adalah tempat tinggal syaitan. Bahkan dilarang masuk ke dalam gereja jika terdapat di dalamnya patung atau berhala. (Hâsyiatân al- Qalyubi wa ‘Umairah: 1/287)
Asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menyatakan bahawa gereja merupakan tempat peribadatan bagi orang-orang Nashrani dan makruh sembahyang di dalamnya kerana ia adalah tempat (sarang) syaitan. Untuk masuk ke dalamnya pula perlulah terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada pihak gereja, jika tidak mendapat kebenaran, haram hukum memasukinya. (Mughnî al-Muhtâj: 1/281)
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan tidak harus memasuki gereja-gereja mereka (kafir dzimmi) yang boleh dikekalkan (bangunannya di dalam negeri Islam), kecualilah dengan ada kebenaran daripada mereka, iaitu selama mana di dalam gereja-gereja itu tidak terdapat gambar yang dimuliakan. (Tuhfâh al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 4/226)
Imam ‘Ali asy-Syibramalissi Rahimahullâh lebih tegas mengatakan hukum masuk ke dalam gereja itu, katanya:
Ertinya: Tidak harus bagi kita memasukinya (gereja), kecuali dengan keizinan mereka, dan jika terdapat di dalamnya gambar-gambar (patung), maka diharamkan sama sekali (memasukinya). (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 8/99)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11375
