Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Perempuan Musafir Tanpa Mahram

Soalan: Bolehkah bermusafir dengan bukan mahram, 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan dengan menaiki kereta? Kedua-dua lelaki duduk di bahagian depan. Tujuan bermusafir adalah untuk menyertai seminar dakwah.

Jawapan: Adalah haram perempuan belayar atau musafir bersendirian tanpa ditemani oleh suaminya, mahramnya atau sekumpulan perempuan yang diyakini amanah dan dapat mengawal kesejahteraannya serta mengelakkannya daripada perkara-perkara mungkar, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di antaranya:

Maksudnya: Janganlah seseorang perempuan itu bermusafir kecuali bersama mahramnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits-hadits yang lain menyebutkan bahawa tegahan atau larangan perempuan bermusafir tanpa mahram itu adalah bagi tempoh sehari atau semalam, dua atau tiga hari dan seterusnya, namun maksudnya tidaklah demikian. Menurut an-Nawawi, bukanlah maksud zahirnya menghadkan atau penentuan tempoh jumlah hari (itu melihat kepada bentuk lahirnya), bahkan termasuk apa saja yang dinamakan sebagai musafir, maka perempuan ditegah bermusafir melainkan dengan mahramnya. Sesungguhnya penetapan tempoh hari itu disebut adalah bagi menerangkan kenyataan yang biasa berlaku, maka tidak boleh diambil pengertiannya. (Fath al-‘Allâm: 4/221)

Peraturan Dalam Pergaulan Dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan banyak hal-hal yang perlu diperhatikan. Pada dasarnya pertemuan atau pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah harus. Bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu ia merupakan perkara yang dituntut sekiranya niat pertemuan itu untuk bekerjasama dalam perkara-perkara yang berkebajikan. Umpamanya jihâd yang memerlukan penggembelengan tenaga daripada lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna semuanya itu memberi ruang kebebasan kepada kedua-dua golongan sehingga membelakangi batasan ataupun melupakan had-had yang telah ditentukan oleh syara‘ pada pertemuan atau pergaulan yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak.

Kerjasama yang terjalin di antara lelaki dan perempuan mesti berada dalam batasan yang telah digariskan oleh Islam, antaranya ialah:

Pertama: Kedua-dua belah pihak hendaklah menjaga pandangan, jangan melihat aurat, jangan memandang dengan nafsu atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa keperluan.

Firman Allah:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka… (Surah an-Nûr: 30-31)

Kedua: Wanita hendaklah memakai pakaian yang menutupi seluruh anggota badannya melainkan muka dan dua tapak tangannya sahaja. Pakaiannya juga hendaklah tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan, dan lain-lain seperti yang digariskan oleh syara‘.

Firman Allah:

Tafsirnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)

Perkara ini adalah berdasarkan kepada tafsiran yang dibuat oleh beberapa orang sahabat mengenai maksud ‘apa yang zahir daripadanya’ iaitu muka dan dua tapak tangan.

Di antara hikmat berpakaian sedemikian ialah seperti telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya:

Tafsirnya: Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Surah al-Ahzâb: 59)

Bahawa dengan pakaian yang menutup aurat inilah kita dapat membezakan di antara wanita yang memelihara kehormatannya dengan wanita yang jalang. Wanita yang berpakaian sedemikian akan terselamat daripada gangguan, kerana pakaiannya yang menutup aurat itu di samping akhlaknya yang baik menyebabkan orang yang melihat akan menghormatinya.

Ketiga: Memelihara adab sebagai seorang wanita Islam terutamanya ketika berurusan dengan lelaki:

(a) Ketika bercakap: Tidak bercakap dengan nada yang menggoda atau memberahikan. Firman Allah:

Tafsirnya: Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzâb: 32)

(b) Ketika berjalan: Berjalan dengan sopan dan penuh tertib sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. (Surah an-Nûr: 31)

Dia hendaklah berjalan sebagaimana yang disifatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian salah seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu (malu). (Surah al-Qashash: 25)

(c) Ketika melakukan gerakan: Elakkan daripada melakukan gerakan yang manja, seksi, menggoyang-goyangkan badan dan seumpamanya seperti yang disebut di dalam hadits الُمِيْالحت َُال (melenggok-lenggokkan). Perkara ini termasuk dalam kategori mendedahkan aurat.

Eloklah kita sebutkan keseluruhan hadits yang menyentuh perkara di atas, kerana banyak hal-hal yang perlu diketahui, mudah-mudahan pimpinan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ini dapat menerangi hati dan jalan kita:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah kulihat (pada zaman itu tetapi sekarang sudah ada); suatu kaum yang membawa bersama-sama mereka cemeti (bentuknya) seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk menyebat orang-orang lain, dan para wanita yang berpakaian seumpama bertelanjang (kerana pakaian yang mereka pakai tipis dan jarang yang menampakkan dan menggambarkan bentuk tubuh badan) yang berjalan dengan menggoyang-goyangkan bahu-bahu (berjalan melenggang-lenggok dengan gaya yang meliuk-liuk sehingga menimbulkan nafsu), kepala mereka bagaikan bonggol unta yang condong (kerana dihiasi dengan beraneka sanggul yang condong). Mereka itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian (iaitu perjalanan yang sangat jauh)”. (Hadits riwayat Muslim)

Keempat: Menjauhkan diri daripada menggunakan sebarang sesuatu yang boleh menggoda seseorang serta membangkitkan ghairah nafsu syahwatnya seperti minyak wangi dan sebarang ‘make up’ (alat solek) yang berwarna-warni yang sepatutnya hanya digunakan di rumah sahaja.

Kelima: Menjauhkan diri daripada duduk bersunyi-sunyian di antara lelaki dan perempuan tanpa bersamanya mahram. Banyak hadits shahîh melarang keras perbuatan tersebut antaranya sabda Baginda yang bermaksud: “……. kerana sesungguhnya pihak yang ketiga tidak lain dan tidak bukan adalah syaitan”.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar kita membiarkan kayu api diletakkan hampir dengan api yang sedang marak menyala. Lebih-lebih lagi jika bersunyi-sunyian itu dengan salah seorang kaum kerabat si suami. Ini jelas dinyatakan dalam suatu hadits:

Maksudnya: Jauhilah kamu daripada menemui wanita. Sahabat pun bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana jika yang ditemui itu adalah mertua? Lalu dijawab oleh Rasulullah: Mertua adalah maut. Muslim)hîh(Sha Makna maut di sini ialah sebab kebinasaan, kerana kadang-kadang mertua duduk dan berbual lama. Ini adalah suatu bahaya yang cukup besar.

Keenam: Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja atau pada urusan yang memang menuntut kedua-duanya untuk hadir bersama. Yang paling penting, perkara ini hendaklah berlaku tanpa menjejaskan fitrah kewanitaannya atau menyebabkannya terdedah kepada kata-mengata atau mengganggu tugasnya yang cukup mulia iaitu menjaga keluarga serta mendidik anak.

Penjelasan

Kita ingin membuat ulasan mengenai pemergian penanya iaitu untuk menyertai seminar dakwah. Tujuan ini adalah baik, namun caranya tidak sesuai di mana perempuan berjalan (musafir) tanpa mahramnya. Di samping itu dalam perkara berpergian dan berkumpul dalam sebuah kereta di antara lelaki dan perempuan boleh mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang.

Seperkara lagi perlulah diambil ingatan bahawa perkara-perkara yang haram itu tetap dinilai haram sekalipun niat seseorang itu baik dan mulia maksudnya. Namun Islam sama sekali tidak membolehkan perkara yang haram itu dijadikan sebagai pengantara atau cara untuk sampai kepada tujuan yang terpuji. Islam sangat mengambil berat terhadap tujuan yang suci dan bahkan mensyaratkan bahawa cara untuk mencapainya hendaklah suci. Kedua-duanya mestilah seiringan juga. Syariat Islam tidak membenarkan dalam apa jua keadaan, prinsip ‘tujuan boleh menghalalkan cara’ atau mencari kebenaran boleh dilakukan dengan bergelumangan dalam kebathilan’. Bahkan apa yang dibenarkan adalah untuk sampai kepada yang hak atau benar hendaklah dengan cara yang hak pula.

Sebagai contoh: Seseorang yang mengumpulkan harta riba, mengumpul atau menghasilkan sesuatu yang tidak halal, atau memperolehi penghasilan daripada hiburan yang haram, perjudian atau daripada amalan-amalan yang dilarang, supaya dengan harta-harta tersebut dapat dibina atau dibangunkan masjid, projek-projek, rencana-rencana kebajikan atau lain-lain seumpamanya, maka niat atau tujuannya yang mulia itu tidak mendatangkan apa-apa faedah atau syafaat kepadanya untuk menghapus dosa perbuatannya yang haram itu. Haram dalam Islam tidak dikesan atau dipengaruhi oleh tujuan dan niat yang baik.

Contoh lain; orang yang mengumpulkan wang daripada penghasilan yang haram, kemudian dia sedekahkan wang yang haram itu, sama sekali dia tidak memperolehi pahala.

Kita bawakan perkara di atas ini supaya dapat diambil ingatan bahawa niat yang baik itu tidak akan mengharuskan yang haram. Maka di manakah tujuan menghadiri seminar itu hendak dikategorikan? Pandangan ini hanyalah sebagai irsyâd jua, lebih-lebih lagi pada masa ini banyak perkara dibuat dengan nama kebajikan sedangkan ia tidak sunyi daripada tindakan yang tidak bersesuaian dengan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11380