Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Premis-Premis Urut Di Negara Brunei Darussalam

Soalan: Adakah perlu Negara Brunei Darussalam mempunyai premis-premis urut berlesen?

Jawapan: Urut merupakan salah satu kaedah perubatan bagi penyembuhan pelbagai jenis penyakit dan pembetulan urat-urat saraf yang bengkak, terbelit dan sebagainya. Di samping untuk tujuan perubatan, sesetengah orang berurut untuk melegakan kepenatan dan ketegangan dan menyegarkan badan.

Faedah Berurut Berurut mempunyai banyak faedah untuk kesihatan fizikal dan mental. Dari segi fizikal ia boleh mengurangkan tekanan darah, melancarkan peredaran darah, merangsang sistem imun (pertahanan menentang jangkitan tertentu), membantu mengurangkan otot-otot yang tegang dan kaku serta menghilangkan ketegangan deria atau perasaan. Manakala dari segi mental pula ia dapat membantu mengurangkan stress mental dan rasa cemas serta meningkatkan keupayaan untuk berfikir dengan tenang dan kreatif.

Hukum Urut Pada dasarnya, berurut adalah diharuskan kerana ia merupakan salah satu daripada proses perubatan, penyembuhan dan rawatan. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan pada ketika itu bersama-sama Baginda seorang hamba milik Baginda berketurunan Habsyi sedang mengurut belakang Baginda. Lalu ‘Umar bertanya: “Ya Rasulullah! Adakah tuan ingin mengadukan sesuatu kepadaku?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya seekor unta telah menyakiti aku kemarin.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Walau bagaimanapun, pengharusan tersebut adalah tertakluk kepada perkara-perkara tertentu, seperti:

1. Apa jua bahan atau ubat yang digunakan untuk mengurut sama ada dalam bentuk krim, minyak atau pepejal dan sebagainya hendaklah bukan sesuatu yang najis.

2. Hendaklah menjaga batasan aurat dan tidak melibatkan persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram serta tidak menimbulkan syahwat.

Dalam perkara ini, jika urut itu melibatkan persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, maka ianya adalah bertentangan dengan syara‘. Hukumnya haram kerana telah berlaku pelanggaran batasan aurat dan persentuhan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah an-Nur: 30-31)

Ayat ini menunjukkan bahawa adalah wajib menyekat pandangan daripada memandang atau melihat sesuatu yang haram dan sesuatu yang ditakuti boleh mendatangkan fitnah. Ini kerana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, pandangan itu merupakan tempat atau sebab berlakunya fitnah dan timbulnya nafsu syahwat. (Al- Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 6/168 dan Nihâyah al-Muhtâj: 6/187)

Adapun berurut pula, ia memerlukan persentuhan. Ini adalah lebih-lebih lagi diharamkan memandangkan perbuatan bersentuhan lebih mudah merangsang syahwat. Sebab itulah Islam melarang bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang tidak ada hubungan mahram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda yang diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Adalah lebih baik seseorang itu dicucuk kepalanya dengan jarum besi daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani dan al-Baihaqi)

Malah bukan itu sahaja, kegiatan ini boleh menimbulkan masalah khalwat, kerana kegiatan urut ini biasanya dilakukan di dalam bilik berurut di antara pesakit dan tukang urut sahaja.

Manakala mengurut sesama jantina pula, selama mana ia dilakukan tanpa membuka aurat, hukumnya adalah harus. Jika berurut itu dilakukan dalam keadaan mendedahkan aurat, maka gugurlah hukum harus itu kerana memandang aurat sekalipun sesama jenis, hukumnya adalah haram sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah seorang lelaki memandang kepada aurat seorang lelaki lain, dan janganlah seorang perempuan (memandang) aurat seorang perempuan lain, dan janganlah seorang lelaki berbaring bersama seorang lelaki lain dalam satu kain, dan janganlah seorang perempuan berbaring bersama seorang perempuan lain dalam satu kain. (Hadits riwayat Muslim)

Memandangkan ada di antara tukang-tukang urut itu yang tidak beragama Islam, terutamanya perempuan, maka perlulah diketahui bahawa aurat perempuan Islam ketika berhadapan dengan perempuan kafir itu adalah seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya, sama ada belakang tapak tangan atau perut tapak tangan yang meliputi dari hujung jari hingga ke pergelangan tangan.

Di samping itu, berurut itu hendaklah tidak melibatkan sebarang urutan pada anggota aurat. Ini kerana anggota yang haram dilihat adalah haram juga disentuh. Akan tetapi jika tidak dikhuatiri akan mendatangkan fitnah atau memberikan rangsangan syahwat, maka urutan pada anggota aurat itu adalah diharuskan dengan syarat ia dilakukan dengan berlapik.

Jika urutan itu tidak perlu kepada memandang aurat pesakit dan hanya memerlukan kepada sentuhan sahaja, maka tukang urut itu hanya diharuskan mengurut dengan menyentuhnya sahaja.

Perkara ini adalah sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan (haram) mengurut peha seorang lelaki tanpa berlapik, dan harus (mengurut peha lelaki) dengannya (berlapik) jika tidak ditakuti akan mendatangkan fitnah dan tanpa syahwat. Dan adakalanya diharamkan memandang (aurat) tanpa (diharamkan) menyentuh(nya) seperti seorang doktor yang mudah (baginya) mengetahui sebab (penyakit) hanya dengan sentuhan (tanpa memandangnya). (Nihâyah al-Muhtâj: 6/195)

Walau bagaimanapun, jika berurut itu dalam keadaan untuk berubat seperti membetulkan urat kerana terseliuh dan sebagainya yang memerlukan kepada memandang aurat adalah dibolehkan membuka atau menyentuhnya tetapi setakat keperluan sahaja. Ini berdasarkan nash yang disebutkan di dalam kitab Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: Dan adapun ketika dalam keadaan yang memerlukan, maka pandangan dan sentuhan (adalah diharuskan untuk tujuan berubat dengan mengeluarkan darah yang tidak baik melalui urat, berbekam dan rawatan). (Nihâyah al-Muhtâj: 4/215)

3. Hendaklah tukang urut tersebut seorang yang amanah dan boleh dipercayai.

4. Hendaklah keadaan tempat atau bilik berurut itu aman dan bebas daripada sebarang perkara yang boleh membawa fitnah serta keraguan, yang memungkinkan berlakunya perkara maksiat atau lain-lain yang bertentangan dengan nilai-nilai akhlak yang murni.

5. Adapun bagi perempuan yang memerlukan untuk mendapatkan rawatan urut, hendaklah ia dilakukan di rumah kediamannya jika sekiranya tidak terdapat sebarang kesulitan untuk mendapatkan tukang urut. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang perempuan membuka pakaiannya di tempat orang lain.

Daripada Abu al-Malih al-Hudzaliy Rahimahullâh, bahawasanya pernah sejumlah wanita dari penduduk Himsh meminta izin daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ (untuk masuk rumahnya), lalu beliau berkata: “Barangkali kalian ini termasuk mereka yang masuk ke tempat-tempat mandi. Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Mana-mana perempuan yang membuka pakaiannya bukan di dalam rumah suaminya (tanpa keperluan), maka sesungguhnya dia telah mengoyak penutup (kehormatan) antara dirinya dengan Allah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan penjelasan ini, jelas menunjukkan bahawa selama mana pelaksanaan urut itu tidak bertentangan dan ia menurut sukat-sukat kehendak hukum syara‘, maka ia diharuskan.

Keperluan Pengeluaran Lesen Bagi Perkhidmatan Urut

Walaupun hukum berurut itu harus dengan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah digariskan dan kebaikannya tidak dinafikan sebagai alternatif perubatan, namun apabila kegiatan urut ini dilakukan di premis-premis urut dan ia dijadikan sebagai satu perkhidmatan yang berlesen, maka menjadi kewajipan kepada pihak berkenaan untuk memastikan bahawa premis-premis ini adalah bersih daripada segala macam perkara negatif dan maksiat dan lain-lain yang tidak diingini.

Di sesetengah tempat di luar negara, perkhidmatan urut itu dilakukan oleh perempuan-perempuan muda. Ini memberi gambaran yang lain daripada maksud perubatan. Kita juga mendengar dan membaca dari media, terdapat daripada kalangan mereka itu yang menawarkan perkhidmatan seks serta lain-lain yang berunsur maksiat. Ini semua, tidaklah boleh kita memandangnya dengan sebelah mata sahaja, tetapi memerlukan perhitungan dan penilaian mendalam sedalam mungkin kerana manusia adalah manusia, naluri tidak berbeza walau tempat berbeza.

Jika melihat kepada situasi begini, maka kita patutlah bimbang dan risau bahawa ia mungkin sahaja boleh menjadi kudis kepada masyarakat dan negara.

Kehadiran tukang-tukang urut perempuan yang khusus didatangkan dari luar negara, tiada siapa yang dapat menjamin mereka itu tidak akan menyalahgunakan kesempatan-kesempatan yang ada, ataupun disalahgunakan oleh orang lain yang membawa mereka, bagi tujuan-tujuan yang bertentangan dengan agama dan juga adat resam kita.

Dari itu, dalam hal pengeluaran lesen bagi perkhidmatan urut di Negara Brunei Darussalam, patutlah diambil kira perkara-perkara seperti ini, dengan tujuan untuk mencegah daripada berlakunya sebarang penyelewengan dan keburukan-keburukan sosial.

Kalau berbangkit unsur premis-premis urut berlesen itu boleh membawa kepada wujudnya masalah-masalah sosial, maka salah satu kaedah perundangan Islam hendaklah diguna pakai. Kaedah tersebut ialah: "ائِعِ"حد َُّالذَّرحس, yang ertinya: Menutup pintu-pintu di mana keburukan mungkin memasukinya.

Demikian juga jika sesuatu perkara yang boleh membawa kepada kemashlahatan atau kebaikan dan pada masa yang sama ia juga boleh membawa kepada keburukan dan kerosakan, maka Islam menyarankan supaya lebih dahulu diutamakan kerja menghindari keburukan atau kerosakan itu, sebagaimana berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan-kerosakan itu lebih utama daripada membawa (apa jua) kemashlahatan. (Syarh al-Qawâ‘id al-Fiqhiyyah: 205)

Oleh yang demikian, pengeluaran lesen untuk premis-premis urut di Negara Brunei Darussalam perlulah dilihat dari sudut kaedah-kaedah di atas. Jika sekiranya hendak mempertimbangkan juga, maka pihak yang berwajib hendaklah mengambil langkah-langkah pengawasan yang ketat, di antaranya dengan mengenakan syarat-syarat tertentu melalui peraturan-peraturan yang berunsur akta jika difikirkan perlu, umpamanya:

1. Satu-satu premis urut hanyalah untuk satu jantina sahaja, tidak boleh bercampur-campur, sekalipun dipisahkan dalam bilik yang berasingan.

2. Hendaklah tertakluk kepada peraturan-peraturan mengenainya (jika belum ada peraturan perlulah dibuat peraturan itu).

3. Mana-mana premis urut yang melanggar peraturan, ia bukan sahaja akan dibatalkan atau ditarik balik kebenaran lesennya, bahkan boleh dihukum denda, penjara atau kedua-duanya.

Jika peraturan-peraturan dan penguatkuasaannya tidak dapat diadakan, atau kita tidak mampu menjalankannya, maka wajiblah ke atas kerajaan dan umat Islam mengambil sikap memilih

di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11384