Qadha’ Dan Fidyah Puasa
Soalan: Saya mempunyai qadha’ puasa Ramadhan yang belum saya tunaikan dari tahun 1971 hingga 1998, iaitu 8 hari bagi setiap tahun. Saya telah cuba untuk mengqadha’nya tetapi berasa amat susah lebih-lebih lagi untuk mengqadha’ kesemuanya. Oleh itu, bolehkah buat masa ini saya membayar fidyahnya dahulu dan berapakah jumlah fidyah dan qadha’ puasa yang perlu saya bayar?
Jawapan: Ibadat puasa Ramadhan jika ditinggalkan wajiblah dibayar atau diqadha’ sekalipun meninggalkannya itu kerana uzur seperti datang haidh, nifas atau dalam musafir (pelayaran). Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajib berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Kewajipan untuk mengqadha’ puasa itu akan terus dituntut, selama dia terdaya untuk mengqadha’nya. Apabila masuk Ramadhan yang baharu sedangkan dia belum membayar qadha’ puasanya itu, dia adalah berdosa, kerana melambat-lambatkan qadha’ itu, di samping wajib juga ke atasnya membayar fidyah.
Fidyah adalah tertakluk sejumlah hari-hari puasa yang belum diqadha’nya.
Qadha’ puasanya tetap tidak akan gugur selama belum dibayarnya. Sekiranya pada tahun hadapan atau tahun-tahun berikutnya dia tidak juga membayar qadha’nya, maka fidyahnya akan berganda dan akan terus berganda daripada tahun ke setahun. Untuk jelasnya seperti contoh di bawah ini:
Seorang meninggalkan puasa sebanyak 8 hari pada tahun 1400H, 7 hari pada tahun 1401H dan 6 hari pada tahun 1402H. Kesemua puasa ini belum diqadha’ sehingga masuk Ramadhan 1403H.
Maka cara mengiranya ialah dengan masuknya Ramadhan 1401H dia wajib mengqadha’ sebanyak 8 hari yang ditinggalkannya itu, di samping itu dia juga wajib mengeluarkan fidyah sebanyak 8 mudd (untuk 8 hari) kerana belum membayar qadha’ puasa pada tahun 1400H. 8 mudd (8 x 566.85 gram = 4.534 kg beras).
Jika puasa tersebut tidak juga diqadha’ sehingga masuk pula Ramadhan 1402H maka qadha’ puasanya bertambah menjadi 15 hari (8 hari pada tahun 1400H dan 7 hari pada tahun 1401H). Fidyahnya juga bertambah iaitu 16 mudd bagi puasa tahun 1400H (8 x 2) kerana telah sampai dua kali Ramadhan iaitu 1401H dan 1402H kemudian ditambah dengan fidyah yang baru iaitu 7 mudd kerana belum mengqadha’ 7 hari puasa yang ditinggalkan pada 1401H. Maka jumlah fidyah yang perlu dibayar pada tahun 1402H ialah 23 mudd (23 x 566.85 gram = 13.037 kg beras).
Jika masuk Ramadhan 1403H dan puasa qadha’nya belum juga dibayar bahkan bertambah lagi 6 hari pada 1402H, maka dia wajiblah qadha’ sebanyak 21 hari. Manakala fidyahnya menjadi 24 mudd bagi 8 hari puasa 1400H kerana sudah masuk 3 kali Ramadhan (1401H, 1402H dan 1403H), 14 mudd bagi 7 hari puasa 1401H dan 6 mudd bagi 6 hari puasa 1402H. Jumlah keseluruhan fidyah yang wajib dibayar ialah 44 mudd (44 x 566.85 gram = 24.941 kg beras).
Pengiraan qadha’ dan fidyah puasa sebagaimana yang dipohonkan dapatlah diikuti sebagaimana jadual pengiraan yang dibuat seperti berikut:
Jika pada masa ini (tahun 1422) belum lagi masuk Ramadhan baharu 1423 sedangkan puasanya belum diqadha’ dan termasuk fidyahnya belum lagi dibayar tetapi tidak mempunyai qadha’ puasa daripada sejak 1999 hingga ke masa ini, maka kedudukan puasa yang wajib diqadha’ dan kadar fidyah yang wajib dikeluarkan adalah sepertimana yang dijadualkan di bawah ini:
Tahun Masihi/ Hijriyyah
Puasa Yang Wajib Diqadha’
Fidyah Fidyah Dengan Denda Berganda
Jumlah Dalam Kilogram
1971/1391 8 x 566.85 gram = 4.534 kg x 31* 140.5788 (8 mudd) 1972/1392 8 ″ x 30 136.044 1973/1393 8 ″ x 29 131.5092 1974/1394 8 ″ x 28 126.9744 1975/1395 8 ″ x 27 122.4396 1976/1396 8 ″ x 26 117.9048 1977/1397 8 ″ x 25 113.37 1978/1398 8 ″ x 24 108.8352 1979/1399 8 ″ x 23 104.3004 1980/1400 8 ″ x 22 99.7656 1981/1401 8 ″ x 21 95.2308 1982/1402 8 ″ x 20 90.696 1983/1403 8 ″ x 19 86.1612 1984/1404 8 ″ x 18 81.6264 1985/1405 8 ″ x 17 77.0916 1986/1406 8 ″ x 16 72.5568 1987/1407 8 ″ x 15 68.022 1988/1408 8 ″ x 14 63.4872 1989/1409 8 ″ x 13 58.9524 1990/1410 8 ″ x 12 54.4176 1991/1411 8 ″ x 11 49.8828 1992/1412 8 ″ x 10 45.348 1993/1413 8 ″ x 9 40.8132 1994/1414 8 ″ x 8 36.2784 1995/1415 8 ″ x 7 31.7436 1996/1416 8 ″ x 6 27.2088 1997/1417 8 ″ x 5 22.674 1997/1418 8 ″ x 4 18.1392 1998/1419 8 ″ x 3 13.6044 1999/1420 - - - 2000/1421 - - - 2001/1422 - - - 232 Hari 2235.6564 *Fidyahnya bermula dari tahun 1972/1392 kerana puasa yang ditinggalkan pada tahun 1971/1391 tidak diqadha’ sehingga masuk Ramadhan 1972/1392. Kemudian fidyah berganda sekali ganda bermula daripada tahun 1973/1393 sehingga tahun 2001/1422 kerana puasa yang ditinggalkan masih tidak diqadha’. Begitulah pengiraan bagi tahun yang berikutnya.
• Puasa yang wajib diqadha’ ialah sebanyak 232 hari. • Fidyah yang wajib dibayar ialah sebanyak 2235.6564 kg.
Adapun kewajiban fidyah itu ialah kerana melengah-lengahkan atau melambat-lambatkan qadha’ puasa pada tahun sebelumnya tanpa alasan yang diharuskan oleh syara’ sehingga masuk Ramadhan yang baharu. Akan tetapi jika kelambatan mengqadha’ puasa itu disebabkan uzur seperti sakit yang berterusan yang menghalangnya daripada melaksanakan qadha’ puasanya itu sehingga masuk Ramadhan baharu, tidaklah diwajibkan mengeluarkan fidyah, bahkan ia hanya wajib menyempurnakan qadha’ puasa yang masih ditanggungnya itu. Ini juga bermakna bahawa mengqadha’ puasa Ramadhan itu tetap dituntut. Ia tidak gugur dan terlepas dengan hanya membayar fidyah.
Adapun nilai fidyah itu boleh berubah-ubah mengikut jenis beras. Sebagai contoh, sekiranya pada tahun 1391H hingga 1409H beras sebagai asasi yang dimakannya adalah beras siam dan pada tahun berikutnya dia makan beras wangi, maka nilai fidyahnya berlainan/berbeza kerana kedua-dua harga beras itu adalah berbeza. Adapun nash mengenai masalah di atas ialah:
Ertinya: Dan sesiapa yang mengakhirkan (melengah-lengahkan) qadha’ puasa Ramadhan sedangkan dia berupaya menunaikannya (kerana tidak uzur) sehingga masuk Ramadhan pada tahun hadapannya, maka wajib ke atasnya qadha’ di samping membayar fidyah bagi setiap hari sebanyak satu mudd. Dan menurut pendapat yang ashah fidyah itu berulang-ulang/berganda (selagi belum dikeluarkannya) dengan berulangnya tahun-tahun berikutnya. Dan bahawasanya jika dia mengakhirkan (melengah-lengahkan) qadha’ sedangkan dia upaya mengqadha’nya lalu dia meninggal, maka hendaklah dikeluarkan daripada tarikahnya (harta peninggalannya) bagi setiap sehari sebanyak dua mudd: satu mudd kerana luput waktu mengqadha’ puasa dan satu mudd kerana mengakhirkan qadha’ puasa. (Mughnî al Muhtâj: 2/438)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11388
