Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Sunat Tahiyyat Masjid Dan I‘tikâf Di Balai Ibadat

Soalan: Apakah hukumnya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan juga hukum berniat i‘tikâf di dalam rumah Allah yang dikenali sebagai balai ibadat? Sebagai makluman, balai ibadat tersebut juga (sejak lebih 20 tahun) sudah ada didirikan sembahyang berjemaah lima waktu penuh serta sembahyang Jumaat serta sembahyang sunat yang lain seperti Tarawih, ‘Idul Fitri, ‘Idul Adha dan lain-lain. Apakah sembahyang Tahiyyat Masjid disunatkan kepada para jemaah dan apakah para jemaah mendapat pahala beri‘tikâf sekiranya mereka berbuat demikian?

Jawapan: Sembahyang sunat Tahiyyat Masjid menururt syara‘ ialah sembahyang dua rakaat bagi orang yang masuk ke dalam masjid sebelum duduk sebagai menghormati masjid. (Nihâyah al- Muhtâj: 2/118)

Manakala i‘tikâf pula ialah duduk berhenti di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu (Islam, mumayyiz, berakal, suci daripada junub, haidh dan nifas) dengan niat. (Bujairimi ‘alaََ al-Khathib: 2/508)

Berdasarkan kepada maksud Tahiyyat Masjid dan i‘tikâf di atas, kedua-dua ibadat ini mempunyai kaifiyyah yang berbeza tetapi dilakukan dalam tempat yang sama iaitu tempat yang dinamakan masjid.

Pengertian Masjid

Masjid daripada segi bahasa ialah nama bagi tempat bersujud. Daripada segi syara‘ pula ialah di mana-mana tempat permukaan bumi. Ini berdasarkan sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:

Maksudnya: Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Namun begitu pada kebiasaannya, masjid itu disediakan pada suatu tempat untuk mengerjakan sembahyang lima waktu, sehinggakan mushallâ atau surau tempat orang berkumpul di dalamnya untuk menyambut Hari Raya dan seumpamanya tidak dihukumkan sebagai masjid. Begitu juga ribâth (markas tentera atau tempat tinggal yang dibina untuk musafir atau orang miskin) dan sekolah yang disediakan untuk kegunaan lain. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 26-28)

Melihat kepada realiti masjid-masjid, surau-surau atau balai-balai ibadat di negara ini, kadang-kadang susah untuk dibezakan memandangkan fungsinya sebagai tempat beribadat dan reka bentuknya yang hampir sama. Kecuali jika dilihat melalui nama tempat itu sendiri sama ada ia dinamakan masjid, surau, balai ibadat, tempat sembahyang atau seumpamanya.

Bila Dinamakan Sebagai Masjid?

Jika sesuatu tempat itu diwaqafkan untuk menjadi masjid maka jadilah ia masjid dan terjadilah ke atasnya hukum masjid, seperti haram bagi orang yang haidh atau junub berhenti diam di dalamnya atau hukum-hukum lain yang berkaitan dengan masjid. Begitu juga, jika tidak disebutkan lafaz waqaf tetapi diniatkan untuk menjadikan masjid seperti orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh ada menyebutkan:

Ertinya: Kalau seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid”, maka menurut kitab al-Wajîz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz waqaf. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 396)

Asy-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullâh menyebutkan ketika mensyarahkan perkataan al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam syarat i‘tikâf di dalam masjid:

Ertinya: Katanya: “(Di dalam masjid) ialah sesuatu yang diwaqafkan oleh pewaqafnya sebagai masjid, bukan ribâth, bukan sekolah, sebagaimana yang difatwakan oleh Ibnu ‘Abdul Salam.”

Beliau menambah lagi:

Ertinya: Faedah: Telah memfatwakan guru kami ‘Ali az-Ziyadi bahawa sesungguhnya jika seseorang memakukan tikar atau baju bulu unta atau sajadah atau dibinanya tempat duduk dan diwaqafkannya sebagai masjid, sahlah (waqafnya) itu, dan diperlakukan atasnya hukum-hukum masjid. Maka sah i‘tikâf atasnya dan haram beri‘tikâf atas orang junub; dan yang seumpamanya (beri‘tikâf) duduk diam atasnya dan seumpama yang demikian itu. Selesai dinaqal oleh ‘Abdul Barr. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/508)

Imam ar-Ramli Rahimahullâh juga menyebutkan:

Ertinya: Dan perkataan masjid mengeluarkan (tidak termasuk) ribâth, mushallâ tempat menunaikan sembahyang Hari Raya dan sesuatu yang dibina di atas tanah yang disewa berbentuk masjid dan orang yang membinanya memberi keizinan untuk sembahyang di dalamnya. (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 2/119)

Al-Qalyubi Rahimahullâh pula menyebutkan:

Ertinya: Dan terkandung (termasuk yang dinamakan masjid itu) yang dizhannkan dengan ijtihâd bukan dengan qarînah (sesuatu yang menunjukkan bentuk masjid) seperti menara, mimbar, ukiran dan beranda, maka demikian itu tidak menunjukkan sebagai masjid. (Hasyiatân Qalyubi wa ‘Umairah: 1/246)

Dalam hal ini juga, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, menyatakan dalam fatwanya:

“Jika bangunan itu diwaqafkan untuk dijadikan masjid, maka ia jadi masjid dan jika bangunan itu diwaqafkan kerana sembahyang dan tidak jadi masjid dan jika tuan punya bangunan itu waqafkan kerana sembahyang serta niatkan dalam hati jadi masjid maka jadilah ia masjid.

Apabila bangunan itu jadi masjid maka sah i‘tikâf di dalamnya dan haram berhenti di dalamnya bagi orang junub dan sunat sembahyang Tahiyyat Masjid di dalamnya.” (Fatwa Mufti Kerajaan: Siri 75/88)

Beliau menyatakan lagi:

“I‘tikâf dan sembahyang Tahiyyat Masjid adalah di dalam masjid bukan di surau atau di rumah atau di gelanggang sukan atau balai ibadat. Ini satu syarat daripada syarat-syarat i‘tikâf, sembahyang Tahiyyat Masjid dalam masjid dan balai ibadat, rumah-rumah, kelab-kelab polo dan golf itu bukan masjid.

Masjid itu ertinya: Bila dipanggil sesuatu tempat itu masjid daripada orang ramai, maka itulah masjid atau orang mewaqafkan tanah atau bangunan dan ia berkata dan berlafaz rumah ini atau tanah ini saya jadikan masjid atau saya waqafkan untuk masjid, maka itulah dinamakan masjid.” (Fatwa Mufti Kerajaan: Siri 38/89)

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan i‘tikâf itu hanya sunat dilakukan di dalam sesebuah tempat yang dinamakan masjid. Lebih-lebih lagi sembahyang sunat Tahiyyat Masjid itu dikerjakan adalah sebagai menghormati masjid. Manakala masjid itu adalah salah satu rukun atau syarat sah i‘tikâf. Oleh itu, tidak disunatkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan i‘tikaf itu di dalam balai ibadat kerana memang jelas nama balai ibadat itu bukan dimaksudkan sebagai masjid walaupun didirikan sembahyang berjemaah lima waktu penuh, sembahyang Jumaat dan sembahyang sunat yang lain seperti Tarawih, ‘Idul Fitri, ‘Idul Adha dan lain-lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11391