Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Suami Melakukan Perkara-Perkara Mungkar

Soalan: Saya adalah seorang Muslimah dan apakah yang patut dilakukan jika seorang suami tidak bersembahyang, tidak berpuasa, minum arak dan berjudi?

Jawapan: 1. SEMBAHYANG Sembahyang merupakan ibadat asas dan utama dalam Islam. Ia adalah salah satu rukun Islam yang lima dan ia diwajibkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas umat Islam yang mukallaf. Perintah kewajipan mengerjakan ibadat sembahyang ini disebut berulang kali dalam ayat-ayat al-Qur’an. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (Surah an-Nisâ’: 103) FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

(Surah al-Hajj: 78)

Begitu juga dalam hadits-hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam, banyak menyebutkan tentang kewajipan mendirikan sembahyang, fadhilatnya serta apa jua yang berkaitan dengan ibadat sembahyang.

Antara hadits yang jelas menyebutkan tentang kewajipan mendirikan sembahyang ialah ketika Baginda hendak mengutus Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu ke negeri Yaman, Baginda telah bersabda kepadanya:

Maksudnya: Khabarkanlah kepada mereka (penduduk Yaman) sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap siang dan malam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di sebalik suruhan mendirikan sembahyang itu, terkandung di dalamnya hikmat yang banyak. Antaranya:

i. Sembahyang dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (Surah al-‘Ankabût: 45)

ii. Sembahyang boleh memberi sebesar-besar pertolongan dan semangat bagi menghadapi sebarang halangan dan dugaan atau perkara yang menyulitkan.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Surah al-Baqarah: 153)

Selain itu, ibadat sembahyang juga disebut sebagai ‘imâd ad-dîn iaitu tiang agama, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam, daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki lalu (dia) berkata (kepada Rasulullah): “Wahai Rasulullah! Apakah dia suatu perkara yang sangat disukai di sisi Allah dalam Islam?” Rasulullah menjawab: “Mendirikan sembahyang pada waktunya, dan barang siapa meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya, dan sembahyang itu adalah tiang agama.”ََ (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Berdasarkan hadits di atas, orang yang meninggalkan sembahyang itu adalah sama seperti merosakkan tiang atau tonggak asas agama Islam dan juga seperti tidak mempunyai agama, kerana tanpa adanya tiang atau tonggak asas, sesuatu itu akan musnah.

Bahkan amalan yang mula-mula sekali dihisab pada Hari Kiamat nanti adalah ibadat sembahyang, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya (amalan) yang mula-mula sekali akan dihisab daripada amalan hamba pada Hari Kiamat ialah amalan sembahyangnya. Jika (sembahyangnya itu) sempurna, maka dia beruntung dan selamat. Jika (sembahyangnya itu) rosak, maka dia menjadi miskin dan rugi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Daripada kedua-dua hadits ini, jelas menunjukkan betapa pentingnya ibadat sembahyang itu. Ia adalah sebagai tiang atau tonggak asas kepada agama Islam dan sebagai kayu pengukur kepada amal ibadat yang lainnya.

Ini kerana ibadat sembahyang itu merupakan kepala semua ibadat (رأس َالعبادة) sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tiada iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak (sah) sembahyang bagi orang yang tidak bersuci, dan tidak (sempurna) agama bagi orang yang tidak (mendirikan) sembahyang. Sesungguhnya kedudukan sembahyang dalam agama itu adalah seperti kedudukan kepala bagi jasad (tubuh badan). (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Daripada kesemua dalil-dalil ini, yang menyebutkan tentang kewajipan sembahyang, kelebihan serta keistimewaannya, sudah cukup untuk menjelaskan betapa pentingnya ibadat sembahyang dalam agama Islam. Bagi mereka yang mendirikannya dengan cukup segala syarat dan rukunnya, disertai lagi dengan rasa khusyû‘ dan tawâdhu‘ kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka mereka ini akan mendapat ganjaran yang sebesar-besarnya.

Hukum Meninggalkan Sembahyang

Ganjaran bagi mereka yang menunaikan kewajipan sembahyang memang sangat hebat dan besar, dan begitulah juga sebaliknya. Iaitu apabila ibadat sembahyang, yang disebut sebagai tiang atau tonggak asas agama Islam ini ditinggalkan, maka ia akan dibalas dengan hukuman yang sangat berat.

Ini kerana sembahyang merupakan tali penghubung di antara hamba dengan Tuhannya. Orang yang memutuskan pertalian tersebut telah melakukan suatu dosa yang amat besar, bahkan boleh dihukumkan kafir jika dia mengingkari kewajipan tersebut dan enggan bertaubat.

Hukum meninggalkan sembahyang ini bergantung kepada keadaan, sama ada sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sengaja.

1. Hukum meninggalkan sembahyang dengan sengaja terbahagi kepada dua:

i. Meninggalkan sembahyang kerana mengingkari atau tidak mengakui akan kewajipannya.

Dalam keadaan ini, orang yang ingkar itu dihukumkan kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama, kerana hukum wajib sembahyang itu telah nyata dan dimaklumi secara pasti dalam agama Islam. Dengan mengingkarinya, orang itu telah mendustakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.

Imam asy-Syirazi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata: “Barang siapa yang wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang dan dia enggan mengerjakannya - kerana ingkar (tidak mengakui) akan kewajipan sembahyang itu - maka dia adalah kafir dan wajib dijatuhkan hukuman bunuh disebabkan murtad, kerana sesungguhnya dia telah mendustakan Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ dalam apa yang telah dikhabarkanNya. Jika dia meninggalkan sembahyang sedangkan dia beri‘tiqâd (dan tahu) bahawa sembahyang itu wajib, maka wajib dia dibunuh.” (Al-Muhadzdzab: 1/182)

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan dalam kitabnya al-Majmû‘:

“Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang dalam keadaan mengingkari akan kewajipannya atau mengingkari hukum wajib sembahyang (tetapi) tidak meninggalkan perbuatan sembahyang itu, maka dia (dihukumkan) kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama dan wajib ke atas imam (pemimpin atau raja) menjatuhkan hukuman bunuh kepadanya dengan sebab riddah (murtad), kecuali jika dia Islam semula. Maka berjalan ke atasnya (orang yang meninggalkan sembahyang kerana ingkar kewajipannya) segala hukum-hukum bagi orang yang murtad, tidak kira sama ada dia seorang lelaki atau perempuan. Ini jika orang tersebut tinggal di kalangan orang-orang Islam.

Jika orang yang ingkar itu orang yang baru masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang-orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampai kepadanya hukum (tentang) kewajipan sembahyang, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan kita perlu memberitahu (atau mengajarkan kepadanya) tentang hukum wajib sembahyang itu. Jika sekiranya dia ingkar setelah diajarkan hukum tersebut, maka dia menjadi murtad.” (Kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/16-17)

ii. Meninggalkan sembahyang kerana malas atau tanpa keuzuran.

Dalam perkara ini para ulama berselisih pendapat, sama ada dia dihukumkan kafir atau fâsiq dan sama ada dia berhak dibunuh atau cukup dengan hukuman ta‘zîr (seperti disebat atau dipenjara atau kedua-duanya).

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ telah menjelaskan bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang tanpa sebarang keuzuran, bahkan hanya kerana malas dan mempermudah-mudahkannya, maka hukumnya berdosa dan dia wajib dibunuh tetapi tidak dihukumkan kafir pada qaul al-ashah.

Menurut pendapat yang masyhûr dalam mazhab asy-Syafi‘e, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas padahal dia beri‘tiqâd bahawa sembahyang itu wajib, dia dihukum bunuh secara hadd tetapi tidak dihukumkan kafir. Berkata ulama mazhab asy-Syafi‘e bahawa hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang yang dijelaskan di atas iaitu hukuman bunuh, tidak akan dijalankan kecuali jika dia enggan bertaubat setelah diperintahkan untuk bertaubat.

Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Aku telah diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan mereka itu mendirikan sembahyang dan memberikan zakat. Maka jika mereka melakukan semua itu, nescaya mereka memelihara darah dan harta benda mereka daripadaku kecuali yang ada hak Islam padanya dan perkiraan (hisab) mereka terserah kepada Allah Ta‘âlâ. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sungguhpun orang yang meninggalkan sembahyang itu dihukum bunuh, tetapi dia tetap dihukumkan sebagai orang Islam berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Barangََ siapa yang bersaksi (mengakui) bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Esa yang tiada sekutu bagiNya, dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hambaNya dan RasulNya, dan sesungguhnya ‘Isa (‘Alaihissalâm) itu adalah hamba Allah dan RasulNya, dan kalimatNya telah diturunkan kepada Maryam dan roh itu (datang) daripadaNya, dan syurga itu suatu hakikat (kebenaran) dan neraka itu suatu hakikat, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga mengikut perkiraan daripada amal(nya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pendapat ini juga dipegang oleh Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu dan kebanyakan ulama salaf dan khalaf, di mana orang yang meninggalkan sembahyang dihukumkan fâsiq dan dihukum bunuh secara hadd jika berterusan meninggalkan kewajipan sembahyang.

Manakala menurut pendapat al-Buwaithi Radhiallâhu ‘anhu, orang yang meninggalkan sembahyang itu adalah dihukum bunuh dengan cara memancung tengkuknya dengan pedang sebagaimana hukuman yang dijalankan ke atas orang murtad.

Sementara pendapat Ibnu Suraij Radhiallâhu ‘anhu pula, dicucuk punggungnya dengan besi atau dipukul dengan kayu sambil berkata kepadanya: “Sembahyanglah kamu, jika tidak, kami akan membunuhmu”, dengan berulang-ulang sehingga dia mengerjakan sembahyang atau mati. (Kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/17)

Imam Abu Hanifah Radhiallâhu ‘anhu berpendapat bahawa orang yang meninggalkan sembahyang disebabkan malas atau sibuk dengan urusan duniawi wajib dijatuhkan hukuman ta‘zîr, sama ada dipukul atau diseksa dan dipenjarakan sehingga dia bertaubat dan menunaikan ibadat sembahyang. (Al-Fiqh al-Hanafi fî Tsaubat al-Jadîd: 1/174 dan Kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/19)

Tetapi terdapat sebahagian ulama mengatakan bahawa orang seperti ini dihukumkan kafir dan berjalan ke atasnya hukuman bagi orang murtad dalam setiap perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu dan ini juga pendapat yang ashah Imam Ahmad Radhiallâhu ‘anhu. (Kitab al- Majmu‘ Syarh al-Muhadzdzab: 3/19)

Bahkan dalam al-Qur’an sendiri telah mengkategorikan orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai ciri-ciri orang kafir. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Taatlah dan kerjakanlah sembahyang, mereka enggan mengerjakannya.” (Surah al-Mursalât: 48)

Al-Qur’an juga menyifatkan mereka pada Hari Kiamat nanti daripada golongan orang-orang kafir dan munâfiq, sekalipun di dunia mereka hidup bersama dengan orang-orang Islam. Mereka diperintahkan sujud (bersembahyang) tetapi tidak dikerjakan atau ditunaikan, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Ingatlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (Hari Kiamat), dan mereka diseru supaya sujud, maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan), sedang mereka dalam keadaan sihat. (Surah al-Qalam: 42-43)

Al-Qur’an juga menceritakan gambaran orang-orang yang tidak mengerjakan sembahyang di mana mereka dimasukkan ke dalam neraka Saqar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang”. (Surah al-Muddatstsir: 42-43)

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga menyifatkan orang-orang yang lalai dalam menunaikan sembahyang disebabkan oleh kesibukan dengan harta dan anak-anak sebagai orang yang sangat rugi.

FirmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah al-Munâfiqûn: 9)

Maksud ‘dzikr’ dalam ayat ini ialah sembahyang lima waktu, dan mereka yang lalai daripada menunaikannya, tergolong dalam orang-orang yang rugi.

Sementara itu hadits-hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga banyak menceritakan tentang orang-orang yang meninggalkan sembahyang dan menyifatkannya sebagai tanda kekufuran:

a. Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: (Perbezaan) di antara seseorang itu dengan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

b. Daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya perjanjian yang dibuat di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka barang siapa yang meninggalkan sembahyang, sesungguhnya dia telah menjadi kafir. (Hadits riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi)

Jelas daripada kedua-dua hadits ini bahawa yang membezakan antara orang yang mu’min dengan yang kafir itu ialah ibadat sembahyang dan mereka yang meninggalkannya adalah kafir.

c. Daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Maksudnya: Jangan engkau tinggalkan sembahyang dengan sengaja, kerana sesungguhnya orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu nescaya terlepaslah dia dari perlindungan Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat ath-Thabarani dan Ahmad)

d. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa meninggalkan sembahyang, dia akan menemui Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam keadaan Dia (Allah) murka kepadanya.

(Hadits riwayat ath-Thabarani)

e. Daripada Abdullah Ibnu ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada suatu hari telah menyebut mengenai sembahyang dengan sabda Baginda:

Maksudnya: Sesiapa yang menjaga (memelihara) sembahyang, sembahyang itu akan menjadi cahaya, bukti serta penyelamat baginya pada Hari Kiamat, dan sesiapa yang tidak menjaga (memelihara) sembahyangnya, maka ia tidak akan menjadi cahaya, bukti serta penyelamat baginya, dan pada Hari Kiamat nanti dia (akan ditempatkan) bersama-sama dengan Qarun, Fir‘aun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Menurut Ibnu Qayyim Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa orang yang meninggalkan sembahyang kerana sibuk akan kerajaannya atau kekuasaannya, maka dia akan dikumpulkan bersama Fir‘aun dan orang yang meninggalkan sembahyang kerana sibuk akan hartanya, maka dia akan dikumpulkan bersama Qarun. Manakala orang yang meninggalkan sembahyang kerana sibuk akan (urusan) kepimpinan dan pemerintahannya, maka dia akan dikumpulkan bersama dengan Haman dan orang yang meninggalkan sembahyang kerana sibuk akan urusan perniagaannya, maka dia akan dikumpulkan bersama Ubai bin Khalaf (seorang pedagang kafir dari Makkah). (Ash-Shalâh wa Hukm Târikihâ: 65)

Maka dapat dibayangkan di sini akan beratnya azab serta balasan bagi orang yang meninggalkan sembahyang kerana orang-orang yang meninggalkan sembahyang ini, pada Hari Kiamat akan dikumpulkan bersama dengan ahli neraka yang sangat berat seksaannya.

f. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meluputkan sembahyang ‘Ashar, maka seolah-olah dia mensia-siakan ahli keluarganya dan hartanya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada hadits ini, dapat dilihat bahawa meninggalkan sembahyang ‘Ashar itu sangat merugikan, maka sudah tentulah lebih buruk lagi apabila seseorang itu meninggalkan kelima-lima waktu sembahyang, apatah lagi jika ia langsung ditinggalkan, bukan sahaja merugikan tetapi juga berdosa besar.

Berkata al-Hafizh al-Mundziri Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

“Segolongan para sahabat Nabi dan orang-orang (generasi) selepas mereka berpendapat adalah kufur orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja sehingga habis waktunya. Di antara mereka yang berpendapat demikian di kalangan sahabat ialah ‘Umar bin al-Khaththab, ‘Abdullah bin Mas‘ud, ‘Abdullah bin ‘Abbas, Muadz bin Jabal, Jabir bin ‘Abdullah dan Abu Darda’ Radhiallâhu ‘anhûm. Di kalangan bukan sahabat pula ialah Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Rahawaih, ‘Abdullah bin al-Mubarak, an-Nakha‘i, Hakam bin ‘Utaibah, Ayyub as-Sakhtayaniy, Abu Daud ath-Thayalisi, Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Zuhair bin Harb Rahimahumullâhu Ta‘âlâ. (At-Targhîb wa at-Tarhîb min al-Hadîts asy- Syarîf: 1/446)

Begitulah pendapat para sahabat dan para tâbi‘în mengenai kufurnya orang yang meninggalkan satu sembahyang dengan sengaja hingga luput waktunya.

2. Hukum meninggalkan sembahyang dengan tidak sengaja.

Adapun hukum bagi orang yang meninggalkan sembahyang dengan tidak sengaja atau kerana ada keuzuran, seperti tidur atau lupa dan yang seumpamanya adalah tidak berdosa. Tetapi wajib ke atasnya (untuk mengqadha’) sembahyang yang tertinggal itu, dan waktu untuk mengqadha’ sembahyang tersebut adalah panjang dan tidak terhad. Walau bagaimanapun disunatkan bagi orang yang meninggalkan sembahyang kerana ada keuzuran ini, mengqadha’ sembahyangnya dengan segera. (Kitab al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab: 3/16 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/489)

Bahaya Akibat Meninggalkan Sembahyang Dalam kitab az-Zawâjir, karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, ada menyebutkan sebuah riwayat yang panjang lebar mengenai dengan balasan yang diterima oleh orang yang melengahkan sembahyang sehingga luput waktunya:

Maksudnya: Sesungguhnya barangََ siapa yang memelihara sembahyangnya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memuliakannya dengan lima jenis kemuliaan: (1) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menghilangkan kesempitan hidupnya. (2) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menghilangkan seksa kuburnya. (3) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan memberikan buku catatan amalnya dari sebelah kanan. (4) Dia akan melalui shirâth (titian) pada Hari Kiamat (dengan cepat) seperti kilat yang menyambar. (5) Dia akan masuk ke syurga tanpa hisab.

Dan barangََ siapa yang melengah-lengahkan sembahyangnya (sehingga luput waktunya), (maka) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menyeksanya dengan 15 jenis keseksaan; Lima daripadanya di dunia. Tiga ketika menghadapi kematian. Tiga ketika di dalam kubur. Tiga ketika keluar dari kubur.

Adapun seksaan ketika di dunia itu ialah: Pertama: Dicabut atau diambil keberkatan dari seumur hidupnya. Kedua: Dihapuskan dari wajahnya tanda cahaya sebagai orang yang salih. Ketiga: Setiap amal yang dilakukannya tidak akan mendapat ganjaran daripada Allah. Keempat: Tidak diangkat do‘anya ke langit. Kelima: Tidak ada baginya keberuntungan (tempat) dalam do‘a-do‘a orang-orang salih.

Adapun seksaan yang diterimanya ketika menghadapi mati: Maka sesungguhnya dia akan mati dalam keadaan yang hina. Kedua: Dia akan mati dalam keadaan kelaparan.

Ketiga: Dia akan mati dalam keadaan yang haus dan seandainya dia diberikan minuman daripada semua air laut yang ada di dunia ini, tidak akan dapat menghilangkan rasa hausnya itu.

Adapun seksaan yang akan diterimanya di dalam kubur: Pertama: Kuburnya akan menghimpitnya sehingga semua tulang rusuknya menjadi hancur. Kedua: Kuburnya akan dinyalakan dengan api yang panas membara siang dan malam. Ketiga: Dia akan dikuasai di dalam kuburnya oleh seekor ular yang bernama ‘asy-Syuja‘ al- Aqra‘’, kedua-dua matanya daripada api dan kukunya daripada besi, dan panjang bagi setiap kukunya itu seumpama perjalanan satu hari.

Maka ular itu berkata kepada si mati: “Aku adalah ‘asy-Syuja‘ al-Aqra‘”. Dan suaranya itu seumpama halilintar yang bergemuruh (menggelegar).

Ia berkata: “Aku telah diperintahkan oleh Tuhanku untuk memukul engkau kerana engkau telah meluputkan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari, dan (untuk) memukul engkau kerana meluputkan sembahyang Zhuhur sehingga tiba waktu ‘Ashar, dan (untuk) memukul engkau kerana meluputkan sembahyang ‘Ashar sehingga tiba waktu Maghrib, dan (untuk) memukul engkau kerana meluputkan sembahyang Maghrib sehingga tiba waktu ‘Isya’, dan (untuk) memukul engkau kerana meluputkan sembahyang ‘Isya’ sehingga tiba waktu fajar.”

Maka setiap kali ular itu memukulnya dengan satu pukulan, terbenamlah (si mati) ke dalam (lubang) bumi sedalam tujuh puluh hasta. Maka berterusanlah dia diseksa di dalam kubur sehingga Hari Kiamat.

Adapun seksaan yang akan diterimanya ketika dia keluar dari kuburnya di tempat perhentian pada Hari Kiamat:

Maka dia akan dihisab dengan dahsyat (yang menyulitkan dirinya), dia akan mendapat kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dia dimasukkan ke dalam neraka.

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ jumlah bilangan seksaan yang disebutkan dalam riwayat ini tidak menepati 15 jenis, kerana yang dihuraikan hanyalah 14 sahaja, dan barangkali perâwinya terlupa yang ke-15. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 1/177-178)

Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan:

Ertinya: Maka sesungguhnya dia (orang yang melengahkan sembahyang itu) akan datang pada Hari Kiamat dan pada mukanya tertulis dengan tiga baris tulisan: Baris yang pertama: Wahai orang yang melengahkan hak Allah!, baris yang kedua: Wahai orang yang dikhususkan mendapat kemurkaan Allah!, baris yang ketiga: Sebagaimana engkau telah melalaikan hak Allah di dunia, maka pada hari ini engkau akan putus asa daripada rahmat Allah. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 177-178)

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:

Ertinya: Jika tiba Hari Kiamat, akan didatangkan seorang lelaki, maka dia didirikan di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla lalu Allah memerintahkannya untuk (masuk) ke neraka. Maka lelaki itu berkata: “Wahai Tuhanku, dengan sebab apakah aku sebegini?” Maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjawab: “Kerana engkau selalu mengakhirkan sembahyang dari waktunya dan janjimu kepadaKu adalah dusta.” (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 177-178)

Dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersama-sama dengan Jibril ‘Alaihissalâm, telah digambarkan suatu kaum yang memukul kepala mereka dengan batu sehingga pecah. Apabila kepala mereka itu bersatu semula seperti sediakala mereka memukulnya lagi dan begitulah yang mereka lakukan berterusan. Apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya tentang siapakah mereka itu, Jibril ‘Alaihissalam menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang berat kepalanya (bermalas-malasan) apabila diperintahkan untuk sujud (menunaikan sembahyang fardhu).”

Begitulah dahsyat dan beratnya balasan akibat daripada melalaikan sembahyang, apatah lagi yang langsung meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, sedangkan dia tahu bahawa menunaikan sembahyang itu adalah satu kewajipan.

Maka berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam serta keterangan para ulama dan pendapat-pendapat mereka, hukum bagi orang yang meninggalkan sembahyang kerana mengingkari kewajipannya adalah kafir murtad. Sementara bagi orang yang meninggalkan sembahyang tanpa sebarang keuzuran syar‘i tetapi tidak mengingkari kewajipannya, maka hukumnya adalah fâsiq dan berdosa besar sehingga boleh dibunuh jika tidak mahu bertaubat.

2. PUASA

Ibadat puasa telah diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai amalan yang wajib dikerjakan oleh setiap umat Islam yang ‘âqil bâligh. Ia juga merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)

Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Islam didirikan di atas lima sendi: Penyaksian bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja dan tanpa sebarang keuzuran syar‘i hukumnya adalah berdosa. Bahkan menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya az-Zawâjir, ia termasuk dalam kategori dosa-dosa besar kerana setiap dosa yang Islam dengan keras mengancamnya dengan seksaan, maka ia adalah termasuk dosa besar.

Menolak kewajipan puasa boleh membawa kepada kufur sepertimana yang diriwayatkan dalam hadits hasan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Hammad bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu berkata: “Aku tidak mengetahuinya kecuali ia dirafa‘kan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâir: 1/323)

Maksudnya: Ciri-ciri Islam dan tiang agama itu ada tiga, di atasnyalah diasaskan Islam. Barang siapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka dia adalah kafir yang dihalalkan darahnya (dibunuh): Bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, sembahyang yang diwajibkan dan berpuasa di bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Abu Ya‘la)

Akibat Meninggalkan Puasa Ramadhan

Puasa merupakan ibadat yang dilimpahkan pahala oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berlipat kali ganda berbanding ibadat-ibadat lain. Meninggalkan ibadat puasa bukan sahaja mengundang dosa besar, bahkan ia turut memberikan impak (kesan) yang mendalam dalam kehidupan seseorang. Ini kerana jika ditelusuri, hakikat puasa itu merupakan tarbiyyah dan didikan rohani serta jasmani dan keistimewaan berpuasa itu sendiri sangat memberi kesan kepada jiwa dan akhlak manusia.

Bukan setakat itu sahaja, malah dengan melakukan dosa-dosa besar, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak akan menghapuskan dosa-dosa kecil, tetapi sebaliknya akan mengampunkan dosa-dosa kecil bagi siapa yang menjauhi dosa-dosa besar.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan hapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kecil) dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (Surah an-Nisâ’: 31)

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sembahyang lima waktu dan dari Jumaat ke Jumaat dan (berpuasa) Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan semua dosa yang terjadi di antaranya apabila dijauhi dosa-dosa besar. (Hadits riwayat Muslim)

Dari itu, barangََ siapa yang meninggalkan puasa, maka dia akan menanggung akibat kerugian yang sangat besar kerana setiap puasa Ramadhan yang ditinggalkan itu tidak akan dapat ditebus kembali walaupun dengan berpuasa seumur hidup.

Perkara ini ada dinyatakan melalui hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barangَ siapa yang berbuka pada siang hari dalam bulan Ramadhan tanpa kelonggaran (halangan yang dibenarkan oleh syara‘)ََ dan keuzuran, (maka) tidak dapat diqadha’kannya (walaupun) dengan berpuasa seumur hidup meskipun dia sanggup berpuasa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang meninggalkan puasa akan terhindar dan terkecuali daripada memasuki syurga Rayyan serta terhijâb daripada mendapat syafaat puasa pada Hari Akhirat kelak, kerana antara keistimewaan dan sifat puasa itu ialah sebagai pemberi syafaat.

Daripada Sahl Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut pintu Rayyan (puas dan kenyang minum). Pada Hari Kiamat dari pintu ini masuklah semua orang yang berpuasa. Tidak ada seorang selain orang-orang yang berpuasa yang dapat masuk dari pintu itu. Dikatakan: “Manakah orang-orang yang berpuasa?” Mereka lalu berdiri, lalu tidak seorang yang dapat masuk dari pintu Rayyan tadi selain orang-orang yang berpuasa. Apabila mereka telah masuk semuanya, lalu pintu itupun ditutup, jadi tidak seorang lagi yang dapat memasukinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)ََ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amrََ Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Puasa dan al-Qur’an memberi syafaat kepada hamba Allah pada Hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya (pada siang hari), maka perkenankanlah syafaatku untuknya”. Dan al-Qur’an pun berkata: “Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah syafaatku baginya”.َ Baginda bersabda: “Lalu syafaat kedua-duanya diterima Allah.” (Hadits riwayat Ahmad)

Antara lain sifat puasa itu ialah sebagai perisai atau benteng api neraka. Orang yang tidak berpuasa tidak akan dapat membentengi dirinya dari api neraka sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya puasa adalah perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari api neraka. (Hadits riwayat Ahmad)

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiada seorang hambapun yang berpuasa sehari dengan niat fî sabîlillâh (semata-mata menuju ketaatan kepada Allah), melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya (dirinya), kerana hari puasanya itu dari neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. HUKUM MINUM ARAK

Arak dalam bahasa Arab digelar sebagai khamr ( َخح ْر) iaitu sesuatu yang memabukkan dan menghilangkan akal. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 568)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, meminum arak dan segala yang memabukkan adalah haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 568-569)

Pengharaman meminum arak adalah berdasarkan banyak dalil. Antaranya:

i. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah al-Mâ’idah: 90-91)

ii. Hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Setiap yang memabukkan digelar sebagai khamr. Dan setiap khamr adalah haram. (Hadits riwayat Muslim)

Arak diharamkan kerana ia sumber segala dosa. Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Jauhilah arak, kerana sesungguhnya arak adalah sumber segala dosa. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Sebuah kisah telah disebutkan dalam hadits di atas bahawa seorang lelaki ahli ibadat telah diberi pilihan oleh seorang perempuan penzina, sama ada dia mahu berzina dengannya (perempuan tersebut) atau meminum segelas arak atau membunuh seorang budak lelaki. Lelaki tersebut memilih untuk meminum segelas arak. Namun setelah meminumnya, dia meminta tambahkan lagi dan berterusan meminumnya. Maka hilang kesedarannya sehingga dia melakukan zina dengan perempuan tersebut dan membunuh budak lelaki itu. (Sunan an-Nasa’i: 8/315)

Oleh sebab itulah, arak dikatakan sebagai sumber segala dosa kerana ia mengakibatkan peminumnya hilang akal sehingga melakukan dosa-dosa lain seperti berzina dan membunuh.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, apabila seseorang minum arak, maka hilanglah akalnya. Ia juga memalingkan seseorang daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bersembahyang. Ia mencetuskan permusuhan dan kebencian sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam Surah al- Mâ’idah, ayat 90-91. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 573)

Justeru itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan arak bagi memelihara akal manusia yang memberikannya kemampuan untuk berfikir dan membezakan perkara-perkara yang baik dan buruk.

Akibat Meminum Arak

Menurut Imam Abu ‘Abdullah Syamsuddin adz-Dzahabi, banyak riwayat yang telah menerangkan bahawa peminum arak jika tidak bertaubat akan menerima pelbagai azab. Antaranya:

i. Tidak diterima sembahyang dan segala pekerjaan kebajikannya.

Maksudnya: Tiga golongan tidak diterima sembahyang mereka dan tidak diangkat ke langit kebajikan mereka iaitu: Hamba yang melarikan diri (dari tuannya) sehingga dia kembali kepada tuannya, perempuan yang suaminya marah ke atasnya sehingga suaminya meredhainya, dan pemabuk sehingga dia sedar. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

ii. Diberi minum thînah al-khabâl pada Hari Kiamat.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menetapkan sebuah janji bagi siapa yang meminum minuman yang memabukkan, maka Allah akan memberinya minum daripada thînah al-khabâl. Mereka (sahabat) bertanya: “Apakah thînah al-khabâl?” Sabda Baginda: “Ia adalah air peluh ahli neraka, atau darah yang bercampur nanah ahli neraka.” (Hadits riwayat Muslim)

iii. Peminum arak diharamkan untuk masuk ke syurga.

Maksudnya: Tidak masuk ke syurga orang yang menderhaka (kepada kedua ibu bapanya) dan tidak juga penagih arak. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

iv. Tercabut imannya ketika meminum arak.

Maksudnya: Barang siapa yang berzina dan meminum arak, Allah akan mencabut imannya sebagaimana seseorang menanggalkan pakaian dari kepalanya. (Hadits riwayat al-Hakim)

v. Allah melaknat arak dan segala yang berkaitan dengannya.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah melaknat arak, pemerahnya, orang yang minta perahkan arak, pembawanya, orang yang dibawakan kepadanya arak, peminumnya, penjualnya, pembelinya, pemberi minumnya dan orang yang diberi minum arak. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

vi. Dilarang memberi salam ke atasnya.

Maksudnya: Jangan kamu beri salam ke atas peminum arak. (Hadits riwayat al-Bukhari)

vii. Dilarang menziarahinya ketika sakit.

Maksudnya: Jangan kamu ziarahi peminum arak jika mereka sakit. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, menurut Imam Abu ‘Abdullah Syamsuddin adz-Dzahabi, adalah wajib ke atas peminum arak untuk segera bertaubat dan taat kepada perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Kitab al-Kabâ’ir: 88-93 dan 97)

4. HUKUM BERMAIN JUDI

Judi dikenali juga dalam bahasa Arab sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia adalah permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan. (Kamus Dewan: 545)

Dalam pengertian lain, judi adalah suatu bentuk permainan yang mengandung unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapatkan taruhan tersebut. (Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1053)

Judi merupakan perbuatan atau permainan yang jelas diharamkan dalam Islam. Hukum bermain judi dalam apa jua bentuknya selagi ia mengandungi unsur taruhan adalah haram dan berdosa besar.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)

Berdasarkan ayat di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjelaskan bahawa hukum bermain judi itu adalah berdosa besar. Walaupun ada manfaatnya tetapi dosanya lebih besar daripada manfaat tersebut.

Jumhûr ulama berpendapat bahawa unsur penting daripada al-maisir itu adalah ‘taruhan’. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan sebab bagi haramnya judi tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah judi dan hukum melakukannya adalah haram. (Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1054)

Antara permainan judi itu ialah seperti main ketam, loteri, tikam ekor dan apa saja permainan atau hiburan yang mempunyai taruhan. Dengan bermain judi, terjadilah pengambilan harta orang lain secara bâthil kerana dalam perjudian, orang yang menang akan menerima atau mendapatkan taruhan tersebut manakala orang yang kalah pula akan teraniaya. Mengambil atau memakan harta orang lain dengan cara yang salah amatlah dilarang dalam Islam sepertimana yang diterangkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Daripada Khaulah al-Anshariyyah Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya para lelaki cuba mendapatkan harta Allah dengan cara yang tidak berhak (salah), maka bagi mereka (nanti) neraka pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Perbuatan judi merupakan salah satu perbuatan keji dan juga perbuatan syaitan. Dengan melakukan amalan tersebut, tidak syak lagi orang tersebut akan masuk ke lembah kehinaan dan kekotoran yang akhirnya menjadi pengikut syaitan.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Di samping itu, judi juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia, serta menghalangi pelakunya daripada sembahyang sebagaimana firmandan menunaikanânahu wa Ta‘âlâhSubmengingati Allah:Ta‘âlâânahu wahSubahAll

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?) (Surah al-Mâ’idah: 91)

Maka daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa judi itu boleh menghancurkan keimanan dan memporak-perandakan kehidupan. Oleh sebab itulah, judi diharamkan dalam Islam kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga membuang masa dan menjadikan seseorang itu bersifat malas yakni hanya mengharapkan rezeki hasil daripada bermain judi sahaja. Perbuatan judi juga boleh menjadikan seseorang itu miskin dan papa sehingga harta benda seperti rumah, tanah, barang kemas, isteri, anak-anak dan wang simpanan tergadai dan yang lebih mendukacitakan lagi ialah hilang maruah isteri dan anak perempuan yang menjadi penampal hutang-hutang mereka.

Kesimpulan

Kedudukan suami dalam institusi kekeluargaan amat tinggi kerana dia merupakan ketua yang mengepalai hala tuju sesebuah keluarga. Suami selaku ‘role model’ hendaklah memberi contoh yang baik kepada keluarganya supaya dapat membentuk mereka menjadi seorang Islam yang beriman dan bertaqwa dengan menitikberatkan perkara ukhrawi di samping tuntutan melaksanakan perkara duniawi.

Sudah menjadi harapan setiap orang, termasuk bapa atau suami untuk melihat kecemerlangan dan kebahagiaan keluarga. Akan tetapi, jika para suami itu leka tentang kewajipan dan tanggungjawabnya sendiri sehingga dia juga mengabaikan kepentingan isteri dan keluarganya mengenai dengan soal agama dan hal-hal lain yang bersangkutan dengan kehidupan dunia, maka sukarlah kecemerlangan dan kebahagiaan itu akan dicapai dan diperolehi.

Dalam keadaan ini, jika suami tersebut mempunyai seorang isteri yang memiliki ilmu agama, maka beruntunglah suami itu kerana isterinya boleh mengingatkan dia tentang tanggungjawab dan kewajipannya sebagai seorang Islam dan sebagai seorang suami dalam keluarga. Adalah menjadi tanggungjawab isteri untuk menasihati suami dengan bijaksana supaya bertaubat dan kembali semula ke pangkal jalan apabila suami melakukan perkara-perkara yang mungkar dalam agama. Jangan putus asa dan berterusanlah mendo‘akannya.

Meninggalkan kewajipan sembahyang, tidak berpuasa, minum arak, main judi dan entah apa lagi perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh seseorang itu, sudah cukup jelas menandakan bahawa rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan jauh daripadanya. Sudah pasti, tidak banyak yang dapat diharapkan untuk memimpin keluarganya, sedang dia sendiri pun sudah ‘sesat’ jalan.

Perlu diingat bahawa balasan azab dan bala bagi orang yang melakukan perkara mungkar bukan sahaja hanya diterimanya di akhirat kelak, tetapi di dunia pun dia akan menanggung akibatnya dan lebih-lebih lagi di akhirat akan terjadilah pembalasan azab dan bala yang lebih dahsyat dan perit sehingga tidak dapat digambarkan oleh akal manusia.

Menyentuh mengenai masalah yang diajukan, dapat disimpulkan bahawa suami telah melakukan banyak perkara yang menyalahi syariat Islam. Semua perkara yang dilakukannya itu jelas merosakkan keimanan dan ketaqwaan sebagai seorang Islam.

Maka dalam hal ini, isteri hendaklah menerangkan akibat perbuatan suami yang tidak menunaikan sembahyang, tidak berpuasa, bahkan melakukan pula perkara yang ditegah iaitu minum arak, main judi dan mungkin juga lain-lain perkara yang dilarang, dengan menjelaskan kepadanya bahawa suami bukan hanya menerima pembalasan azab dan bala di dunia sahaja, malahan di akhirat nanti akan menanggung azab dan bala yang lebih dahsyat dan perit lagi.

Memang tugas ini merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar dan ia memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi kerana orang seperti itu bukan mudah baginya untuk masuk hidayat dan cair hati untuk menerima petunjuk, lebih-lebih lagi jika isteri yang menegur, maka datanglah sifat keegoan suami.

Maka di sini, apabila keadaan memaksa, mintalah pertolongan keluarga yang terdekat untuk menasihati suami, umpamanya, ibu bapa suami atau sesiapa sahaja yang boleh membantu. Di samping itu, banyakkanlah berdo‘a dan melakukan sembahyang hajat supaya dilembutkan dan dibukakan hati suami untuk bertaubat dan kembali semula ke jalan yang lurus.

Jika selepas sekian waktu masih tidak berubah sedikitpun yakni masih lagi berkelakuan seperti sebelumnya selepas dinasihati berkali-kali, maka isteri bolehlah meminta nasihat atau buah fikiran kepada pihak yang ‘berautoriti’ untuk apa-apa jua yang sesuai dilakukan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11396