Sujud Tambahan Selepas Salam Sembahyang Hajat
Soalan: Di sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia, telah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat di sana melakukan sujud tambahan selepas memberi salam daripada sembahyang Hajat. Tujuan sujud itu dilakukan ialah untuk membaca beberapa zikir serta hajat yang dipohon oleh seseorang yang bersembahyang Hajat itu. Terdapatkah dalil pensyariatannya atau ia sesuatu yang sengaja diada-adakan?
Jawapan: Sembahyang Hajat ialah antara sembahyang nawâfil (sunat) yang disyariatkan. Apabila seseorang merasa tertekan atau terdesak dalam sesuatu masalah dan dia memohon supaya dilepaskan daripada kesulitan tersebut atau dia mengharapkan sesuatu hajat sama ada untuk urusan dunia atau akhiratnya, maka mengerjakan sembahyang Hajat adalah salah satu cara bagi tujuan itu.
Bertaubat Sebelum Sembahyang Hajat
Al-‘Allâmah Muhammad ‘Abdullah al-Jardani Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menerangkan dalam kitabnya Fath al-‘Allâm bi Syarh Mursyid al-Anâm, antara syarat supaya do‘a atau hajat dikabulkan hendaklah seseorang itu bertaubat daripada segala dosa yang telah dilakukannya. Jika dia berhajat sesuatu dan dia meminta kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, padahal dia mempunyai dosa, tetapi dia tidak bertaubat, maka besar kemungkinan hajatnya akan ditolak.
Manakala Sayyid ‘Ali al-Buhairi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula berkata: “Janganlah ada di antara kamu memohon do‘a kecuali setelah beristighfâr dengan mengucapkan:
Ertinya: Aku mohon keampunan Allah Yang Maha Agung yang tidak tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Tetap Hidup lagi Yang Kekal selama-lamanya, dan aku bertaubat kepadaNya daripada segala dosa.
Maka apabila telah selesai beristighfâr, barulah memohon apa yang dihajatkan supaya dikabulkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.” (Fath al-‘Allâm: 2/50)
Kaifiyyah Sembahyang Hajat
Dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menerangkan kaifiyyah sembahyang sunat Hajat ini dilakukan dengan dua rakaat. Hadits yang dimaksudkan diriwayatkan daripada ‘Utsman bin Hunaif, katanya:
Maksudnya: Seorang lelaki buta datang menemui Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Berdo‘alah kepada Allah untukku supaya Dia menyembuhkanku (mengembalikan penglihatanku)”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Jika engkau mahu (bersabar dan redha dengan keadaanmu ini), aku akhirkan sahaja untukmu (ganjarannya pada Hari Akhirat) dan (kesabaran) itulah yang lebih baik bagimu, dan jika engkau mahu (aku do‘akan untukmu), aku akan do‘akan.” Lelaki itu menjawab: “Do‘akanlah!” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruhnya berwudhu lalu dia pun menyempurnakan wudhunya (dengan sebaik-baiknya) kemudian bersembahyang dua rakaat dan (menyuruhnya) berdo‘a dengan do‘a ini:
(Ya Allah! Aku bermohon kepadaMu (apa yang aku hajatkan) dan memohon kepadaMu syafaat dengan (wasîlah) Nabi Muhammad pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku memohon syafaat kepada Tuhanku dengan wasîlahmu dalam hajatku ini agar dikabulkan. Ya Allah! Terimalah syafaat Baginda untuk diriku). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Berkata Abu Ishaq bahawa hadits ini adalah hadits shahîh dan boleh diamalkan.
Hadits Maudhû‘ Mengenai Sembahyang Hajat
Kebanyakkan hadits yang diriwayatkan tentang kaifiyyah sembahyang Hajat ini bersumber daripada hadits maudhû‘ (hadits yang direka-reka) dan hadits dha‘îf (lemah).
Antara hadits-hadits itu, hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya: Ada dua belas rakaat (sembahyang) yang boleh engkau lakukan pada malam atau siang hari, setiap dua rakaat dibaca tasyahhud (tahiyyat akhir). Sesudah engkau bertasyahhud pada akhir sembahyangmu, pujilah Allah ‘Azza wa Jalla dan berselawatlah ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Seterusnya, bacalah dalam keadaan engkau bersujud al-Fâtihah tujuh kali, ayat kursi tujuh kali, lalu bacalah sepuluh kali:
(Tiada tuhan melainkan Allah, yang Esa tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan (langit dan bumi) dan bagiNya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu). Dan kemudian membaca do‘a:
(Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu dengan tempat-tempat kemuliaan ‘ArasyMu, dan puncak rahmat daripada kitabMu (ketentuanMu) dan namaMu Yang Maha Agung dan keagunganMu Yang Maha Tinggi, dan kalimat-kalimatMu Yang Maha Sempurna). Kemudian mohonlah apa yang dihajatkan, selepas itu bangunlah daripada sujud dan ucapkanlah salam ke kanan dan ke kiri. Hal ini jangan kamu ajarkan kepada orang-orang bodoh, kerana apabila mereka berdo‘a (untuk keburukan) dengan cara ini, pasti permintaan mereka akan dikabulkan. (Hadits riwayat al-Hakim)
Hadits ini menurut para pentahqîq kitab at-Targhîb wa at-Tarhîb (Mahyuddin Dib Mastu, Samir Ahmad al-‘Athar dan Yusuf ‘Ali Badyawi) merupakan hadits maudhû‘ iaitu hadits yang direka-reka. Ramai ulama hadits yang menghukumkan hadits ini sebagai hadits maudhu‘. Berkata Ibnu al-Jauzi Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa hadits ini tidak syak lagi maudhû‘nya. (Kitab at-Targhîb wa at-Tarhîb: 1/537-538)
Ibnu al-Jauzi Rahimahullâhu Ta‘âlâ juga telah menyenaraikan hadits ini di dalam kategori hadits-hadits maudhu‘ di dalam kitabnya al-Maudhû‘ât. (Kitab al-Maudhû‘ât: 2/140)
Hadits Dha‘îf Mengenai Sembahyang Hajat
Antara hadits dha‘îf itu ialah:
1. Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abdullah bin Abu Aufa yang telah diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi:
Maksudnya: Sesiapa yang ada hajat kepada Allah atau ada hajat kepada seseorang daripada keturunan Bani Adam, maka hendaklah dia berwudhu dan menyempurnakan wudhu tersebut (dengan sebaik-baiknya), kemudian hendaklah dia bersembahyang dua rakaat, kemudian memuji Allah dan seterusnya membaca selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan kemudian membaca:
(Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Penyantun lagi Yang Maha Mulia, Maha Suci Allah Tuhan ‘Arasy yang Agung, segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, kepadaMu aku memohon sesuatu yang menyebabkan datangnya rahmatMu dan sesuatu yang menyebabkan aku memperolehi pengampunanMu, mendapat keuntungan daripada segala kebaikan, selamat daripada segala dosa. (Ya Allah!) janganlah Engkau tinggalkan untukku sebarang dosa melainkan Engkau ampunkan dan jangan Engkau tinggalkan kegelisahan melainkan Engkau hilangkan, jangan Engkau tinggalkan sesuatu hajat yang Engkau redhai melainkan Engkau kabulkan, wahai Zat Yang Paling Pengasih daripada para pengasih). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Abu ‘Isa at-Tirmidzi, hadits ini adalah hadits ghârib, pada sanadnya ada perbincangan (di kalangan ulama hadits). Fa’id bin Abdul Rahman adalah seorang yang dikategorikan lemah dalam bidang hadits dan Fa’id itu ialah Abu al-Warqa’.
Berkata Imam al-Hafizh al-Mundziri di dalam kitabnya at-Targhîb wa at- Tarhîb: “(Sekalipun) Fa’id adalah seorang perâwi yang matrûk (hadits riwayatnya tidak ditulis dan tidak dii‘tibar), orang-orang yang tsiqah (dipercayai) ada meriwayatkan daripadanya.” Ibnu ‘Adi pula berkata: “Sekalipun dia dikategorikan sebagai lemah (periwayatannya), namun hadits-hadits riwayatnya ditulis.” (At-Targhîb wa at-Tarhîb: 1/537)
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab bahawa hadits yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Abu Aufa ini adalah hadits dha‘îf (lemah).
2. Dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menukilkan satu riwayat tentang kaifiyyah sembahyang Hajat yang disandarkan kepada Wuhaib bin al-Ward yang mengatakan: “Sesungguhnya di antara do‘a yang tidak tertolak ialah jika seseorang itu bersembahyang dua belas rakaat, pada setiap rakaat, dia membaca surah al-Fâtihah, ayat Kursiy dan surah al-Ikhlâsh, apabila dia telah selesai maka dia sujud lalu membaca do‘a ini:
Ertinya: Maha Suci Allah yang mengenakan (pakaian) kemuliaan dan Dia menyayangi (kemuliaan itu) dan mengkhususkannya untuk ZatNya. Maha Suci Allah yang mengenakan (pakaian) keagungan, dengannya (keagungan itu) Dia mengurniakan (ni‘matNya kepada hamba-hambaNya). Maha Suci Allah yang menghitung segala sesuatu dengan ilmuNya. Maha Suci Allah yang tidak seharusnya diagungkan melainkan hanya Dia, Maha Suci Allah yang empunya anugerah dan ni‘mat, Maha Suci Allah yang empunya kemuliaan dan sifat Pemurah. Maha Suci Allah yang empunya kurniaan, aku bermohon kepadaMu dengan tempat-tempat kemuliaan ‘ArasyMu, dan puncak rahmat daripada kitabMu dan namaMu Yang Maha Agung dan keagunganMu Yang Maha Tinggi, dan kalimat-kalimatMu Yang Maha Sempurna yang tidak dapat dilampaui oleh orang salih dan orang fâjir (ahli maksiat) supaya Engkau melimpahkan rahmatMu atas Nabi Muhammad dan kaum keluarga Nabi Muhammad.
Setelah selesai membaca do‘a tersebut, ketika masih dalam keadaan sujud, dia pun bermohon hajat yang bukan berbentuk maksiat. Maka insyâ’ Allah akan dikabulkan Allah Ta‘ala hajatnya itu.
Wuhaib berkata lagi: “Telah sampai kepada kami bahawa riwayat mengatakan: “Jangan kamu ajarkan cara berdo‘a seperti ini kepada orang-orang yang bodoh, nescaya mereka akan menggunakannya untuk membuat maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.” (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 1/242)
Menurut Zainuddin Abu al-Fadhl ‘Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi di dalam kitab al-Mughnî ‘an Haml al-Asfâr fi al-Asfâr fi Takhrîj mâ fi al-Ihyâ’ min al-Akhbâr, riwayat Wuhaib bin al-Ward ini adalah bersandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu yang dikeluarkan oleh Abu Manshur ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus. Hadits ini diriwayatkan dengan dua isnâd (jalan periwayatan) yang sangat dha‘îf (lemah) kerana dalam kedua-dua isnâd ini terdapat ‘Amr bin Harun al-Balkhi yang dituduh pendusta oleh Ibnu Mu‘in.
Menurut al-‘Allâmah asy-Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani di dalam kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah, apa yang dinukilkan dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn tentang melakukan sujud seperti itu adalah dilarang sama ada dia bersujud setelah selesai melakukan semua rakaat iaitu selepas membaca tahiyyat akhir dan sebelum melakukan salam atau sesudah melakukan sembahyang iaitu selepas salam. (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/329)
Melakukan Sujud Di Luar Sembahyang
Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ, haram melakukan sujud tanpa sebab walaupun dengan niat semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ kerana yang demikian itu adalah bid‘ah. Adapun melakukan sujud dengan bersebab seperti tilâwah dan syukur tidaklah haram bahkan hukumnya adalah sunat. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/342)
Berkata asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Dan jika mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan melakukan sujud tanpa sebab, maka haram hukumnya, walaupun selepas sembahyang sepertimana diharamkan melakukan perbuatan ruku‘ satu-satunya dan seumpamanya, kerana ia adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah itu adalah sesat melainkan apa yang dikecualikan. (Kitab Mughnî al-Muhtâj:1/332)
Kesimpulan
Melakukan sujud untuk memohon hajat selepas salam sembahyang Hajat atau selepas membaca tahiyyat akhir dan sebelum memberi salam adalah dilarang kerana tidak terdapat dalil yang boleh menjadi sandaran untuk melakukan yang sedemikian itu kerana sujud yang hanya boleh dilakukan di luar sembahyang itu hendaklah sujud yang mempunyai sebab seperti sujud tilâwah dan sujud syukur bukannya bersujud hanya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tanpa sebab yang dibolehkan syara‘. Walaupun terdapat hadits yang menerangkan kaifiyyah sembahyang Hajat itu ialah dengan melakukan sujud selepas salam seperti hadits yang disebutkan di dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, tetapi hadits tersebut merupakan hadits dha‘îf yang jalan periwayatannya sangat dha‘îf sehingga tidak boleh dijadikan sandaran sebagai dalil untuk melakukannya.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Adzkâr, tidak harus beramal dengan hadits maudhû‘. Termasuk juga dalam makna hadits maudhû‘ itu ialah jika hadits tersebut merupakan hadits yang sangat dha‘îf. Hadits yang sangat dha‘îf itu ialah apabila jalan periwayatannya terdapat perâwi yang dituduh pendusta. Maka yang demikian, tidak harus menggunakan atau beramal dengan hadits yang sangat dha‘îf seperti riwayat Wuhaib bin al-Ward yang bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu yang dikeluarkan oleh Abu Manshur ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus tentang melakukan sujud selepas salam sembahyang Hajat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11400
