Tanah Susur (Lungsur) Di Kawasan Tanah Perkuburan Islam
Soalan: Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, melalui Unit Tanah Perkuburan bercadang untuk memindah beberapa buah tapak perkuburan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Belais yang mengalami tanah susur (lungsur) berdekatan dengan sungai. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada terkena hakisan yang disebabkan pasang surut air sungai yang berdekatan dengan tapak perkuburan tersebut. Oleh yang demikian dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai perkara ini.
Jawapan: Di antara perkara dharûrah yang membolehkan sesuatu kubur digali dan dipindahkan ke tempat lain ialah apabila ia bertujuan bagi menghindarkan mayat daripada terkena basah atau ditenggelami oleh banjir. (Tuhfah al-Muhtâj: 5/203 & 206)
Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyatakan ketika mengulas pendapat Abu ‘Abdillah az-Zubairi yang berpendapat bahawa boleh memindah mayat jika tanah perkuburan terkena basah atau ditenggelami banjir, dengan berkata:
Ertinya: Pendapat az-Zubairi itu lebih ashah kerana di dalam Shahîh al-Bukhari telah tsabit daripada Jabir bin Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia mengubur bapanya dalam satu kuburan bersama lelaki lain ketika Perang Uhud. Jabir berkata: “Kemudian hatiku tidak senang membiarkan dia dikubur bersama orang lain itu, maka saya keluarkan dia (mayat ayah saya itu) setelah berlalu enam bulan, ternyata keadaannya masih seperti ketika saya menguburnya dahulu kecuali ada sedikit kerosakan pada daun telinganya”, (Dalam satu riwayat lain juga oleh Imam al-Bukhari disebutkan): “Saya mengeluarkannya dan meletakkannya dalam satu kubur yang tersendiri.”
Di dalam kitab al-Ma‘ârif dan selainnya Ibnu Qutaibah menyebutkan bahawa Thalhah bin ‘Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga - Radhiallâhu ‘anhum) telah dikubur selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi berjumpa bapanya (Thalhah) mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah memerintahkan supaya mayat bapanya itu dikeluarkan, lalu dikeluarkanlah mayat bapanya yang masih dalam keadaan baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah. (Al-Majmû‘: 5/273)
Maka dengan yang demikian, adalah harus hukumnya memindah mayat atau tulang-tulang mayat yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belais, Daerah Temburong demi mengelakkannya daripada terkena hakisan pasang surut air sungai yang berdekatan dengan tapak perkuburan tersebut.
Sebagai irsyâd, sekiranya boleh dibuat retaining wall (tembok) untuk menghalangi tanah perkuburan itu daripada susur, maka ini juga baik, kalaulah dengan cara tersebut boleh menyelamatkan perkuburan itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11404
