Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Tulisan Ayat Al-Qur’an Pada Kain Penutup Keranda

Soalan: Beberapa surat khabar luar negeri telah menyiarkan tentang kain penutup keranda yang mengandungi tulisan ayat-ayat al-Qur’an. Antara tajuknya berbunyi “Haram Ayat Suci Di Kain Keranda” dan “Arab Saudi Keluar Fatwa Haram Kain Penutup Keranda”. Oleh itu, dipohonkan fatwa Pehin Mufti tentang hukum menuliskan ayat-ayat al-Qur’an pada objek yang dijadikan penutup keranda dan penutup keranda itu sendiri?

Jawapan: Di Alam Melayu dan di sesetengah negara di Timur Tengah, menutup keranda jenazah dengan kain atau objek lain yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an atau zikir yang mengandungi nama-nama yang diagungkan telah menjadi kebiasaan. Tetapi pada akhir-akhir ini, kebiasaan ini telah dipersoalkan oleh ulama tertentu. Antara persoalan yang timbul ialah kain yang mengandungi ayat-ayat atau zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan adalah haram diletakkan pada keranda.

Antara alasan yang dikemukakan golongan yang mengharamkan ini ialah kerana amalan berkenaan bercanggah dengan agama Islam, dengan tanggapan bahawa adalah salah kain yang bertulis padanya ayat suci al-Qur’an atau zikir atau do‘a itu dapat mengelakkan si mati daripada seksaan kubur, sementara para peniaga pula telah mengambil kesempatan menaikkan harga kain berkenaan setelah adanya permintaan yang tinggi.

Ayat Al-Qur’an atau Do‘a Pada Kain Kafan

Sesetengah ulama mazhab asy-Syafi‘e ada yang telah membahaskan dan memfatwakan tentang penulisan zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan pada kain kafan.

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menukilkan di dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa Ibnu Hajar Rahimahullâh pernah ditanya tentang penulisan zikir dan do‘a berikut pada kain kafan:

Pertanyaannya berbunyi: Adakah ia boleh dan adakah ada dasar pengambilannya?

Ibnu Hajar Rahimahullâh memberi jawapan berikut:

Ertinya: Sesetengah ulama menukilkan daripada kitab Nawâdir al-Ushûl karangan Imam at-Tirmidzi bahawa do‘a ini mempunyai dasar pengambilan. Dan bahawa al-faqîh Ibnu ‘Ujail menyuruh menuliskannya, kemudian memfatwakan bahawa boleh menuliskannya dengan mengqiyâskannya kepada penulisan perkataan Allah pada binatang zakat. Pandangan ini telah diperakui oleh sesetengah ulama, di mana disebutkan “dituntut melakukannya kerana tujuan yang betul dan dikehendaki, oleh itu ia diharuskan”. Tetapi jika diketahui ia akan terkena najis, ia perlu dipertimbangkan. Ibnu Shalah telah memfatwakan bahawa tidak boleh ditulis surah Yâsîn, surah al-Kahf dan yang seumpama keduanya pada kain kafan kerana dikhuatiri terkena danur mayat (air yang keluar daripada mayat yang telah busuk) dan air yang mengalir padanya. Adapun mengqiyâskan perkara tersebut kepada apa yang berlaku pada binatang zakat adalah ditegah kerana penulisan pada binatang ini ada tujuan, iaitu untuk membezakannya daripada binatang lain yang bukan zakat, bukannya untuk tujuan tabarruk, sedangkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan adalah bagi tujuan tabarruk. Dalam pada itu nama-nama yang diagungkan yang terdapat dalam do‘a tersebut akan tetap dalam keadaannya, jadi ia tidak boleh didedahkan kepada najis. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa “dituntut melakukannya kerana tujuan yang betul dan dikehendaki, oleh itu ia diharuskan”, adalah pendapat yang ditolak sama sekali kerana alasan yang sedemikian tidak boleh dijadikan hujjah. Hujjah hanya akan nampak jelas sekiranya shahîh riwayat daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menuntut melakukannya, sedangkan perkara tersebut tidak demikian. (As-Sayyid al-Bakri, I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/115)

Itulah jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh sebagaimana yang dinukilkan oleh pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn. Walaupun Ibnu ‘Ujail Rahimahullâh memfatwakan boleh menuliskan do‘a ini dan diperakui oleh sesetengah ulama lain, tetapi berdasarkan mafhûm jawapan yang di atas, kita mendapati Ibnu Hajar Rahimahullâh cenderung kepada pendapat yang tidak membolehkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan. Mafhûm ini secara khusus dapat dirujukkan kepada pendapatnya yang menyebutkan do‘a ini akan terdedah kepada najis dan menuliskannya pula pada kain kafan tidak ada riwayat daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyuruh berbuat demikian.

Mafhûm ini selari dengan mafhûm pendapat ulama yang datang selepas Ibnu Hajar Rahimahullâh tentang wajibnya menghormati al-Qur’an dan nama-nama yang diagungkan. Pendapat mereka dapat dirujuk dalam kitab seperti Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah dan Fath al-Mu‘în.

Di dalam kitab Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah disebutkan:

Ertinya: Mereka (ulama) berkata: “Haram menuliskan sesuatu daripada ayat al-Qur’an atau nama yang diagungkan pada sesuatu objek yang berkaitan dengan mayat kerana ia akan bernajis dengan shadîd (nanah bercampur darah).” (Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah: 1/384)

Di dalam kitab Fath al-Mu‘în pula disebutkan:

Ertinya: Dan haram menuliskan sesuatu daripada ayat al-Qur’an dan nama-nama Allah Ta‘ala pada kain kafan. (Al-Malibari, Fath al-Mu‘in: 47)

Nash yang terdapat dalam kitab-kitab yang tersebut di atas jelas menyatakan bahawa mana-mana ayat al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan, seperti nama-nama Allah Ta‘ala dan RasulNya, adalah haram dituliskan pada kain kafan mayat dengan alasan ia terdedah kepada kotoran yang menyebabkan kehormatannya tercemar.

Kemudian dengan mengambil kira pendapat sesetengah ulama yang mengharuskan penulisannya pada kain kafan yang menyebutkan “Tetapi jika diketahui ia akan terkena najis, dalam hal ini ada perbincangan” sebagaimana yang dinukilkan dalam nash jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh terdahulu di mana pada umumnya mayat akan mengeluarkan cecair dan akan busuk, seterusnya cecair ini akan terkena kepada tulisan zikir dan do‘a yang ditulis pada kain kafannya. Jika ini yang berlaku dan berdasarkan pendapat ini, bermakna mereka juga tidak membenarkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan.

Maka berdasarkan mafhûm jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh, nash-nash pendapat ulama dan hasil perbincangan ini, maka kita pun cenderung mengatakan penulisan do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan pada kain kafan adalah tidak sesuai dengan kemuliaan zikir dan do‘a-do‘a itu, terlebih-lebih lagi ayat-ayat al-Qur’an.

Ayat Atau Do‘a Pada Kain Penutup Keranda

Adapun persoalan tentang ayat, do‘a atau zikir yang dituliskan pada kain penutup keranda pula tidak banyak berbeza dengan persoalan penulisannya pada kain kafan, terutama daripada sudut tujuan penulisan untuk tabarruk dan daripada sudut keterdedahannya kepada najis dan sentuhan orang yang tidak berwudhu.

Jika kain atau mana-mana objek yang ditulis padanya ayat-ayat suci al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan dijadikan penutup keranda kerana tujuan tabarruk, sedangkan kehormatan apa yang ditulis itu tercemar atau terabai, seperti terkena najis atau ayat-ayat al- Qur’an itu disentuh oleh orang yang tidak berwudhu, maka yang demikian tentulah tujuan untuk tabarruk ini tidak akan tercapai, lebih-lebih lagi tidak ada suruhan menuliskannya yang sharîh daripada syara‘. Tujuan tabarruk hanya akan tercapai jika tidak timbul apa-apa perkara yang boleh membatalkan tujuan itu, misalnya membawa ayat-ayat al-Qur’an dalam saku baju dengan tujuan tabarruk, tetapi tujuan tabarruk ini tidak akan tercapai apabila terdedah kepada pencemaran kehormatannya, seperti orang yang memakai baju itu dalam keadaan berhadas besar atau membawanya ke tempat-tempat bernajis.

Maka berkaitan dengan penulisan ayat-ayat al-Qur’an pada kain atau objek yang dijadikan penutup keranda, daripada satu sudut ia adalah sama dengan penulisan do‘a-do‘a tersebut pada kain kafan, iaitu daripada sudut keterdedahannya kepada kotoran dan tidak adanya nash syara‘ yang sharîh yang menyuruh menuliskannya. Daripada sudut lain pula ialah menghormati al-Qur’an itu. Menghormati ayat-ayat al-Qur’an adalah wajib diutamakan sehingga ulama dengan tegas menghukumkan haram meletakkannya pada tempat yang kotor atau najis atau yang terdedah kepada kotoran atau najis, atau pada tempat yang hina atau terdedah kepada penghinaan, seperti membawanya ke negeri musuh yang dikhuatiri akan menyebabkannya mendapat penghinaan, haram menjualnya kepada orang yang bukan Islam dan menyentuhnya tanpa ada wudhu dan lain-lain adab menghormati al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab mereka. (Az-Zurqani, Manâhil al-‘Irfan: 1/410)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Hukum ini berlaku dalam keadaan biasa dan hukum menyentuhnya lebih ringan berbanding membawa atau menanggungnya. Adapun dalam keadaan dharurat, ia boleh disentuh dan ditanggung seperti apabila dikhuatiri ia akan tenggelam, terbakar, terkena najis atau jatuh ke tangan orang kafir. Dalam keadaan seperti ini wajib disentuh atau ditanggung untuk menyelamatkannya, sama ada ketika itu ada wudhu atau tidak. (Asy-Syarbini, Mughnî al- Muhtâj: 1/56)

Hukum ini juga berlaku sama ada untuk Mushhaf yang lengkap atau untuk sebahagian ayat sahaja kerana yang dinamakan al-Qur’an itu ialah sama ada untuk semua atau sebahagiannya, semuanya itu tetap dinamakan al-Qur’an. (Az-Zurqani, Manâhil al-‘Irfan: 1/24)

Itulah sebabnya ulama menyebutkan bahawa kehormatan dan keagungan begitu tinggi yang diberikan kepada al-Qur’an al-Karim tidak pernah diberikan kepada mana-mana kitab. (Az- Zurqani, Manâhil al-‘Irfan: 1/408)

Alasan Yang Rapuh

Mungkin ada yang berkata bahawa kehormatan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a yang ditulis pada kain keranda boleh dijaga. Namun hujjah atau kata-kata ini masih dipertikai kerana tulisan ayat al-Qur’an pada kain keranda boleh sahaja mengundang beberapa persoalan yang akan mencemari kemuliaannya, seperti terdedah kepada sentuhan orang ramai yang tidak berwudhu dan kepada pengabaian setelah ianya selesai digunakan dan lain-lain.

Mungkin orang beranggapan atau mengandaikan bahawa tulisan itu dapat memberi manfaat kepada jenazah dan kepada orang yang masih hidup. Jenazah mendapat berkat dan rahmat atau dengan adanya tulisan ayat-ayat itu, orang yang hidup juga akan berpeluang mendapat pahala dengan membacanya. Orang juga boleh memberi alasan bahawa kain yang bertulis ayat-ayat itu boleh dijaga agar tidak disentuh oleh orang yang tidak berwudhu atau dijaga daripada terhina.

Semua anggapan dan andaian ini tidaklah boleh dijadikan dalil syara‘. Perkara rahmat, pahala dan dosa hanya Allah Ta‘ala jua yang mengetahuinya. Adapun kita tidak dapat mengetahuinya kecuali jika ia disebutkan oleh nash-nash syara‘ yang shahîh. Pencemaran oleh sentuhan orang ramai yang tidak berwudhu pengabaian atau terkena najis dan kotoran adalah lebih perlu dijaga berbanding andaian-andaian ini.

Jadi penulisannya pada kain yang sentiasa terdedah kepada pengabaian dan kepada sentuhan orang awam itu adalah lebih baik ditiadakan demi menjaga kehormatannya.

Penutup Keranda

Penutup keranda sama ada ia daripada kain atau kertas atau tikar atau objek-objek lain yang sesuai. Asal penutup itu tidak mengandungi apa-apa tulisan ayat al-Qur’an atau do‘a kerana kegunaan asalnya ialah bagi tujuan menutup dan melindungi jenazah daripada pandangan orang ramai ketika hendak dimasukkan ke dalam kubur, dan bagi tujuan sekatan atau penghadang antara orang yang masuk ke dalam kubur dengan tanah yang dijadikan penimbus kubur supaya tanah tidak terkena badan atau kain orang yang masih berada di dalamnya. Kedua-dua tujuan ini masih berlaku di beberapa tempat di luar negara.

Sementara sebelum ia digunakan untuk tujuan tersebut, ia diletakkan di atas keranda sebagai penutup sejak daripada mula jenazah dimasukkan ke dalamnya sehinggalah sampai di kawasan kubur. Apabila jenazah hendak dimasukkan ke liang lahad dan seterusnya masa menimbus kuburan dengan tanah, maka ketika itulah kain keranda atau objek berkenaan digunakan.

Seterusnya dalam kaitan penggunaan penutup keranda ini dengan amali penguburan jenazah, ulama menyebutkannya sunat menutupi jenazah ketika memasukkannya ke dalam kuburan dengan sesuatu yang boleh menutupinya. Walaupun setengah mereka menyebutkan kain sebagai penutup, tetapi hukum sunat ini boleh berlaku dengan mana-mana sahaja objek yang dikira dapat menutup daripada pandangan.

Tentang hukum sunat ini ada disebutkan dalam kitab-kitab mazhab. Kitab Mughnî al-Muhtâj menyebutkan:

Ertinya: (Disunatkan menutup kubur dengan kain) semasa memasukkan mayat ke dalamnya, (walaupun) mayat (lelaki), kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menutupi kubur Sa‘ad bin Mu‘adz (semasa menguburkannya), dan kerana ia lebih baik untuk menutup sebarang kemungkinan tersingkap mana-mana bahagian mayat yang wajib ditutup. Hukum ini lebih kuat kepada perempuan berbanding yang lain. Ada juga yang menyebutkan hukum ini khusus kepada perempuan sebagaimana zahir nash. Bagi khuntsâ juga hukum ini lebih kuat berbanding lelaki sebagaimana halnya semasa hidup. (Asy-Syarbini, Mughnî al-Muhtâj: 1/362)

Di dalam kitab al-Umm juga disebutkan perkara ini:

Ertinya: Dan hendaklah ditutup (daripada pandangan) kubur dengan kain yang bersih sehinggalah liang lahad jenazah sempurna ditimbus. Dan menutup mayat perempuan semasa memasukkannya ke dalam kuburnya adalah lebih dituntut berbanding menutup mayat lelaki. (Asy-Syafi‘e, al-Umm: 1/276)

Adapun meletakkan mana-mana objek di atas keranda dan dijadikan sebagai penutupnya, kemudian akan diguna bagi maksud penutup semasa memasukkan jenazah ke dalam kubur dan bagi maksud menghadang tanah jangan terkena orang yang menimbusnya yang masih di dalam kubur, tidaklah bertentangan dengan hukum kerana cara itu hanya salah satu cara membawanya sebelum digunakan, bahkan boleh jadi cara itu semakna dengan maksud menutup jenazah ketika hendak memindahkannya ke dalam kubur sebagaimana yang disebutkan oleh kitab Mughnî al-Muhtâj dan kitab al-Umm yang di atas.

Keranda

Untuk melengkapi persoalan ini perlu disebutkan sedikit tentang keranda. Mengikut keterangan ulama, keranda pada mulanya digunakan oleh orang-orang Habsyah. Kemudian barulah digunakan oleh orang-orang Islam. Orang yang mula-mula sekali menggunakannya dalam Islam ialah Asma’ binti ‘Umais Radhiallâhu ‘anha untuk suaminya. Dia berbuat demikian setelah melihat di Habsyah keranda digunakan untuk membawa jenazah. Setelah itu, jenazah perempuan Islam yang mula-mula sekali dibawa dalam keranda ialah Zainab Ummul Mukminin Radhiallâhu ‘anhâ. (Al-Abadi, ‘Aun al-Ma‘bûd, 6:132 dan an-Nawawi, al-Majmu‘,5:234)

Dalam penggunaan keranda dan menutupnya, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Ulama kita berkata: “Disunatkan membuat keranda untuk jenazah perempuan. Nashr al-Maqdisiy berkata: “ َُ َّعْش الن (keranda) ialah َُ حب َّةالْمِك penutup yang diletakkan di atas jenazah perempuan yang ada di atas usungan, dan ditutup pula dengan kain untuk menutupnya daripada pandangan orang ramai.” Begitu jugalah pendapat pengarang kitab al-Hâwi yang berkata: “Elok dipilih keranda yang baik untuk jenazah perempuan, seperti kubah di atas usungan kerana ini lebih menjaga kehormatannya.” Pengarang kitab al-Bayân menamakan kubah ini dengan khemah. Kata pengarang al-Bayan: “Jika jenazah perempuan, elok dilengkapi dengan khemah sebagai penutup jenazah itu.” Ulama yang berpendapat demikian berdalilkan kepada kisah jenazah Zainab Ummul Mukminin Radhiallâhu ‘anhâ. Dikatakan bahawa beliaulah wanita yang mula-mula sekali diusung di atas keranda. (An-Nawawi, al-Majmu‘: 5/234)

Berdasarkan keterangan ini adalah boleh menggunakan keranda dan sunat menutupnya dengan mana-mana objek yang boleh menjaga kehormatan jenazah daripada pandangan orang ramai.

Kesimpulan

Daripada huraian di atas disimpulkan bahawa penulisan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a-do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan pada kain kafan adalah ia terdedah kepada pencemaran kehormatannya, seperti terkena shadîd jenazah. Mendedahkan apa yang wajib dimuliakan dan dihormati kepada perkara-perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan dan kehormatannya adalah haram. Kemudian penulisan pada objek yang dijadikan penutup keranda adalah sama tujuannya dengan penulisannya pada kain kafan walaupun mungkin keterdedahannya kurang, namun daripada sudut tujuan maksud tabarruk, ia dianggap telah mencemari tujuan tabarruk itu sendiri.

Oleh sebab itu kita lebih cenderung kepada pendapat bahawa meletakkan kain yang bertulis dengan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan sebagai penutup keranda yang membawa jenazah lebih baik ditiadakan.

Adapun meletakkan mana-mana objek yang tidak mengandungi perkara-perkara yang dipersoalkan di atas keranda dengan tujuan untuk digunakan sebagai penutup jenazah ketika proses memindahkannya ke dalam kubur hukumnya adalah sunat, dan juga sebagai penghadang tanah daripada terkena orang yang sedang menimbus kubur di dalam kubur.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11408