Zakat Harta Perniagaan Badan Tanmiah
Soalan: Setiap tahun Badan Tanmiah diberi peruntukan daripada harta Baitul-Mal (Kumpulan Wang Pentadbiran Am) oleh Majlis Ugama Islam untuk urusan-urusan pentadbiran dan perbelanjaan bagi projek-projek sedia ada yang dijalankan oleh Badan Tanmiah yang terdiri daripada beberapa buah bangunan perumahan, perniagaan dan stesen minyak yang mendatangkan hasil daripada penyewaan dan perniagaan. Adakah Badan Tanmiah yang menjalankan kegiatan pelaburan dan perniagaan yang bersumber daripada harta Baitul-Mal diwajibkan mengeluarkan zakatnya?
Jawapan: Menunaikan zakat harta itu adalah wajib apabila telah cukup syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syara‘. Antara syarat wajib menunaikan zakat harta itu ialah hendaklah harta itu tentu pemiliknya. (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 3/127)
Harta Baitul-Mal pada dasarnya tidak dimiliki oleh sesiapapun atau tidak mempunyai tuan yang tertentu, ia hanya di bawah penguasaan orang Islam untuk disalurkan bagi kemashlahatan awam orang Islam itu sendiri. Oleh itu ia tidak wajib dikeluarkan zakat, kerana antara syarat harta yang wajib dikeluarkan zakat ialah harta itu mestilah dipunyai oleh pemilik yang tertentu.
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Tidak wajib zakat pada harta Baitul-Mal dan hasil sesuatu yang telah diwaqafkan, (misalnya) pohon kurma atau tanah yang diwaqafkan kepada pihak umum, para fakir, para ahli fiqh dan masjid-masjid, kerana tidak tentu siapa pemiliknya. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/363-364)
Adapun Badan Tanmiah itu sebagaimana yang difahami, adalah satu badan yang bertanggungjawab untuk mengurus, melaksana dan mengembang-majukan harta yang bersumber daripada Baitul-Mal supaya mendapat keuntungan dan supaya harta itu tidak beku.
Oleh yang demikian, Badan Tanmiah tidaklah wajib mengeluarkan zakat atas harta perniagaan atau pelaburan yang dijalankannya, kerana hasil dan keuntungan perniagaan yang diperolehi itu adalah tetap kepunyaan Baitul-Mal yang akan disalurkan untuk kepentingan dan mashlahat umat Islam atau kepentingan umum, termasuk fakir miskin.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11412
