Ajaran Ilmu Kebatinan Haji Kamaruddin/Bapak Bagindo Muchtar
Soalan: Bahagian Kawalan Aqidah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei telah menjalankan penyiasatan terhadap satu ajaran ilmu kebatinan yang dibawa masuk ke negara ini oleh seorang warganegara Malaysia bernama Kamaruddin Md Amin. Ajaran ilmu kebatinan itu diasaskan oleh Bapak Bagindo Muchtar, berasal dari Kampong Pariaman, Bukit Tinggi Padang, Minangkabau, Sumatera, Indonesia.
Ilmu kebatinan tersebut dinamakan ilmu mengawal dan mengenal diri sendiri atau ilmu mengenal diri mengenal Tuhan dengan mengamalkan dua kalimat syahadat dan berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, sehingga adanya kuasa ghaib yang akan dirasakan di hujung jari. Rasa tersebut seperti semut-semut/kebas, kemudian tangan akan bergerak sendiri.
Menurut pengasas, ilmu ini bukan ilmu agama. Ilmu ini adalah ilmu gerak iaitu gerak Allah semata-mata. Pengamalnya boleh mempunyai tenaga ghaib yang akan menjaganya sama ada dalam keadaan biasa mahupun dalam bahaya dan boleh menolong dalam kemajuan hidup sehingga turun-temurun.
Pengamal juga didakwa boleh mengubati berbagai jenis penyakit seperti kerasukan jin, sihir, tekanan perasaan, masalah rumahtangga dan sebagainya. Selain itu, pengamal juga boleh bergerak sendiri seperti bersilat mengikut apa sahaja bentuk persilatan yang dikehendaki tanpa perlu mempelajari silat tersebut, bertindak seperti pendekar, terawang, berupaya melakukan sesuatu perkara sekalipun tiada kemahiran mengenainya dan sebagainya.
Kamaruddin menghasilkan sebuah buku mengenai pengalaman hidup beliau sebagai pengamal ilmu kebatinan tersebut. Buku berkenaan bertajuk “Aku Dan Pengalamanku”. Beliau juga menghasilkan risalah sebanyak 19 muka surat berkenaan ilmu kebatinan ajaran daripada pengasas. Risalah tersebut mengandungi ilmu yang menyentuh rahsia-rahsia Allah, Nur Allah dan penyamaan sifat-sifat Allah dengan roh. (Risalah tersebut bersama ini disertakan)
Sehubungan dengan itu sukacita dipohonkan fatwa mengenainya.
Jawapan: Islam diasaskan atas tiga komponen iaitu aqidah, syari‘ah dan akhlak. Inilah yang menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam. Ketiga-tiga komponen tersebut adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah. Oleh itu, keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan oleh sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan al-Qur’an dan as-Sunnah. Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Malik Radiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu sekali-kali tidak akan tersesat selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah NabiNya. (Hadits riwayat Malik)
Setelah meneliti kandungan risalah yang disertakan, berkenaan dengan ilmu kebatinan yang dibawa masuk ke negara ini oleh seorang warganegara Malaysia bernama Kamaruddin Md Amin yang diasaskan oleh Bapak Bagindo Muchtar, berasal dari Kampong Pariaman, Bukit Tinggi Padang, Minangkabau, Sumatera, Indonesia, didapati fahaman yang diajarkan itu tidak bersumberkan kepada al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Didapati bahawa dalam risalah berkenaan, terdapat beberapa fakta yang salah dan sesat yang boleh merosakkan aqidah orang-orang Islam. Antaranya:
i. Menyamakan sifat roh dengan sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. ii. Mengakui kebenaran aqidah Kristian iaitu pengakuan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm sebagai anak Allah.
Sifat Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Salah satu sifat 20 bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah َ لَ لححَ وَ ادَ ث مَُ الَ فَ تُ ه ُت ََِعَالَى (menyalahi atau berlainan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu dengan suatu yang baharu atau tidak serupa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan segala ciptaanNya). Oleh itu adalah mustahil sifat Allah yang tiada bandinganNya itu menyamai sifat roh kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu tidak sama dengan segala apa yang diciptakanNya walaupun semuanya itu datang daripada hasil kehendakNya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tiada sesuatupun yang sebanding atau serupa denganNya (dengan zatNya, sifatNya dan pentadbiranNya); dan Dialah Yang Amat Mendengar, Lagi Amat Melihat. (Surah asy-Syûrâ: 11)
Oleh itu, bagaimana pula roh itu mempunyai sifat seperti sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sedangkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu tidak serupa dengan segala sesuatu yang diciptakanNya?
Roh Perkara Ghaib
Roh adalah urusan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan ia termasuk dalam salah satu perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, melainkan sebahagian sahaja kepada Rasul yang dikehendakiNya. Perkara ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian), maka sesungguhnya Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah al-Jinn: 26-27)
Pekara roh pula, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja!” (Surah al-Isrâ’: 85)
Ulama berbeza pendapat tentang apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan roh dalam ayat ini. Ada yang berpendapat bahawa roh yang dimaksudkan ialah roh yang ada dalam tubuh badan. Berdasarkan pendapat ini, maka ayat ini adalah bukti bahawa roh itu adalah urusan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Manusia tidak tahu menahu, kerana perkara roh adalah salah satu perkara yang dikhaskan Allah dengan ilmuNya dan ia tertutup daripada pengetahuan sekalian makhluk kecuali yang diredhaiNya sahaja.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah (Yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, - jiwa orang yang sampai ajalnya: semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Surah az-Zumar: 42)
Oleh kerana roh adalah perkara ghaib, maka tiada siapapun yang pernah melihat dan mengetahui roh itu. Setiap yang ghaib itu asasnya ialah keajaiban dan kehebatan seperti syurga, neraka, alam kubur, termasuklah roh sendiri dan lain-lain lagi. Jadi, roh itu tidak syak lagi adalah sesuatu yang hebat dan ajaib.
Apabila ada dakwaan bahawa roh itu mempunyai sifat seperti sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka di mana kebenarannya dakwaan tersebut sedangkan diketahui perkara roh ini adalah urusan Allah, hanya Allah sahaja yang mengetahui bagaimana sifat roh itu yang sebenar-benarnya.
Oleh itu, perkara yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib atau perkara-perkara aqidah adalah sama dengan perkara-perkara lain juga yang berkaitan dengan hukum syara‘ yang kesemuanya itu wajib dirujukkan kepada al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk mendapatkan penjelasan. Apabila ia ditsabitkan oleh kedua-duanya atau salah satu daripada keduanya, maka tsabitlah perkara itu, dan apabila ia dinafikan oleh kedua-duanya atau oleh salah satunya, maka ternafilah perkara itu.
Ajaran atau fahaman ilmu kebatinan ini walaupun dikatakan bukan ilmu agama oleh pengasasnya, namun keterangannya mengaitkan dengan roh, ketuhanan dan akhlak. Apa yang pasti, semua perkara tersebut adalah jelas berkaitan dengan ilmu agama dan beberapa keterangan yang diberikan dalam risalah yang disertakan adalah bersalahan dengan aqidah dan ajaran agama Islam dan ini boleh merosakkan dan menyesatkan orang-orang Islam. Yang paling ditakuti jika berpegang atau beramal dengan fahaman-fahaman seperti ini akan memesongkan aqidah dan seterusnya mengeluarkan pengamalnya daripada Islam (murtad).
Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut dengan sesuatu ajaran songsang seperti ini, sekalipun pengamalnya menunjukkan sesuatu yang luar biasa. Ini mungkin saja petanda berlaku istidrâj. Yang pasti, ia bukanlah keramat.
Oleh itu, peliharalah kesucian aqidah Islam dengan mengelakkan diri daripada terlibat dengan ajaran atau fahaman yang tidak bersumberkan al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11450
