Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Amalan Memakai Baju Kebal

Soalan: Bahagian Pendakwaan Syar‘ie telah menerima satu kes mengenai seorang suspek yang telah didapati cuba menjual beberapa helai baju bertulis kalimat yang dikatakan boleh menjadikan pemakainya kebal.

Dalam proses penjualan tersebut, suspek telah membuat tunjuk ajar dengan menggunakan jarum peniti yang dimasukkan ke dalam badan, dengan terlebih dahulu membaca niat:

“Ya Allah ya Tuhanku, aku masukkan jarum ini ke badanku dan tidak merasa sakit dan mengeluarkan darah.”

Seterusnya suspek berkata:

“Kalau belum izin Allah ada riak segala hati ada kuncinya, dan kalau terbuka tar di langit Bismillahirrahmanirrahim berhenti atau tutup, maka tutup sebagai Sunnatullah ikut darah.”

Apakah pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini dari sudut hukum syara‘ dan kesannya kepada aqidah umat Islam secara umumnya?

Jawapan: Tangkal Dan Azimat Menurut Syara‘

Persoalan berkenaan dengan kepercayaan bahawa baju yang bertulis kalimat tertentu itu boleh mendatangkan kebal adalah permasalahan yang sama atau boleh diqiyâskan dengan pemakaian tangkal dan azimat.

Tangkal atau dalam bahasa Arabnya tamîmah ialah penangkal yang berupa mantera atau jampi-jampi yang digantung pada badan seseorang. Pada zaman jahiliyah, biasanya tamîmah ini digantung pada badan anak-anak mereka. Para fuqahâ’ pula menta‘rîfkannya sebagai kertas yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Qur’an atau yang selainnya kemudian digantungkan pada badan seseorang. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 14/30)

Menurut Kamus Dewan, tangkal ialah penangkal sesuatu yang digunakan untuk menolak bala (penyakit, hantu, jin dan lain-lain). Azimat pula ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tubuh yang tertentu seperti di pinggang, yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya.

Kedua-dua benda ini biasanya dianggap dapat menyembuhkan penyakit atau melindungi daripada bahaya, seperti bahaya gangguan jin, sengatan kala jengking, kejahatan mata (‘ain), kedengkian orang dan sebagainya. Namun adakah ia diharuskan syara‘?

Tangkal Yang Diharuskan Syara‘

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tangkal yang diharuskan syara‘ ialah tangkal yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an dan nama-nama atau sifat-sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan syarat hendaklah beri‘tiqâd bahawa tangkal tersebut tidak memberikan apa-apa kesan dan perlindungan.

Menurut Imam al-Khaththabi Radhiallâhu ‘anhu pula, adalah sunat membuat dan menggunakan tangkal atau azimat bagi tujuan mengambil berkat jika ia menggunakan ayat al-Qur’an. Bahkan tangkal-tangkal itu mestilah diketahui akan erti dan maksudnya dan mengandungi dzikrullâh yang ma‘rûf. (Az-Zawâjir: 1/274)

Ibnu Wahb meriwayatkan daripada Malik bahawa adalah makruh menggunakan tangkal daripada besi atau garam dan beliau mengatakan bahawa itu bukanlah perkara yang dilakukan orang-orang dahulu. Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula menyatakan bahawa tangkal yang mengandungi nama-nama selain nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti nama-nama malaikat, orang-orang salih atau nama-nama daripada ciptaan Allah yang mua‘zhzham (yang diagungkan) seperti ‘Arasy adalah lebih baik ditinggalkan. (Fath al-Bâri: 11/353)

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ: “Para ulama telah ijmâ‘ bahawa keharusan menggunakan tangkal tergantung kepada tiga syarat:

1. Tangkal itu menggunakan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau nama-nama Allah dan sifat-sifatNya.

2. Tangkal itu dalam bahasa Arab atau bahasa lain yang difahami ertinya.

3. Orang yang membuat atau memakai tangkal itu tidak beri‘tiqâd bahawa tangkal itulah yang memberi kesan. Yang memberi kesan baik dan jahat ialah Allah jua. (Fath al-Bâri: 11/352)

Tangkal Dan Azimat Yang Diharamkan

Adapun tangkal dan azimat yang diharamkan ialah yang dibuat oleh orang-orang zaman jahiliyah seperti diikat tembaga di lengan sebagai azimat dan dikalungkan sesuatu di leher sebagai azimat atau sesuatu yang dibuat sebagai sihir, umpamanya supaya isteri cinta kepada suami atau sebaliknya atau tangkal dan azimat itu tidak difahami erti dan tujuannya, kerana tangkal dan azimat seperti ini boleh jadi mengandungi sihir atau mengandungi perkara-perkara yang membawa syirik.

Orang-orang jahiliyah beri‘tiqâd bahawa tangkal dan azimat itu menolak bencana dan kejahatan. I‘tiqâd seperti itu adalah dosa besar sekalipun kita tidak dapat mengatakan dia syirik, tetapi boleh membawa dan menarik ke dalam gawang syirik (menyekutukan Allah) dan menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah kafir atau menjadikan orang Islam murtad (keluar daripada agama Islam).

Selain daripada itu penggunaan tangkal dan azimat juga boleh menjadi haram apabila ia melanggar prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘, jika orang yang memakai tangkal atau azimat itu bukan setakat untuk mengambil berkat, bahkan beri‘tiqâd bahawa tangkal dan azimat yang dipakainya itu mempunyai kuasa ghaib atau kesaktian yang boleh menyampaikan hajat pemakainya dan boleh menolak bencana dan sebagainya, maka i‘tiqâd seumpama ini akan merosakkan prinsip aqidah Islam yang sebenar.

Larangan dan juga amaran mengenai perkara ini telah disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam antaranya, daripada ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa menggantung (memakai) azimat, maka Allah tidak akan sempurnakan baginya, dan sesiapa menggantung wada‘ah (suatu benda putih yang diambil dari laut bagi pelimun daripada mata orang) maka tidaklah Allah beri akan dia tenang dan selesa. (Hadits riwayat Ahmad)

Manakala hadits yang dikhabarkan oleh ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah terpandang suatu halqah (lingkaran) tembaga di lengan seorang lelaki, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Celakalah engkau! Apa ini? Berkata orang itu: “Ini daripada jenis wâhinah (azimat bagi penyakit di lengan atas).” Sabda Baginda: “Hanya wâhinah itu tidak menambahkanmu melainkan sakit lengan. Tanggalkanlah ia darimu, kerana kalau engkau mati, dan ia masih berada di badanmu, engkau tidak akan beruntung untuk selama-lamanya.” (Hadits riwayat Ahmad)

Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: Dan semua ini merupakan satu amaran terhadap amalan orang-orang jahiliyah yang menggantungkan tangkal-tangkal dan rantai-rantai (untuk dijadikan azimat). Mereka menyangka amalan itu dapat melindungi dan menghindarkan mereka daripada ditimpa bala. Dan ini (sebenarnya) tidak ada yang dapat menghindarkannya kecuali Allah ‘Azza wa Jalla. Dialah yang melindungi (daripada perkara-perkara yang tidak baik) dan Dialah yang menimpakan bala. Tidak ada sekutu bagiNya. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang mereka (para sahabat) daripada melakukan apa yang telah mereka lakukan pada zaman jahiliyah mereka. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur‘ân: 10/320)

Kemudian dalam riwayat lain pula menyebutkan memakai tangkal atau azimat itu adalah syirik ataupun boleh membawa kepada syirik. Telah tsabit bahawa Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu datang kepada isterinya sedang di leher isterinya itu ada sesuatu yang dibuatnya azimat, maka Ibnu Mas‘ud menarik dan memutuskan azimat itu. Kemudian dia berkata: “Demi sesungguhnya bahawa keluarga Abdullah bin Mas‘ud terjauh mereka itu dari menyekutukan Allah. Kemudian dia berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bahawa tangkal-tangkal, azimat-azimat dan tiwalah itu menyekutukan Allah. (Hadits riwayat Abu Daud)

Mereka berkata: “Wahai ‘Abdul Rahman (Ibnu Mas‘ud), ini tangkal-tangkal dan azimat-azimat sesungguhnya kami telah tahu akannya. Maka apa dia tiwalah itu?” Katanya: “Suatu benda yang dibuat oleh perempuan-perempuan kerana mereka dapat menzahirkan kasih kepada suami-suami mereka. Dan setengah ulama mentafsirkan erti tiwalah itu ialah suatu benda semacam sihir atau ia salah satu daripada jenis sihir yang dibuat oleh perempuan supaya dia dapat menzahirkan kasih cinta kepada suaminya.” (Az-Zawâjir: 1/274)

Dalam hadits yang lain, dengan periwayat-periwayat yang terdiri daripada orang-orang yang tsiqah (ثقة), bahawa satu kumpulan seramai sepuluh orang telah datang mengadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan sembilan daripada mereka telah mengikat ikatan setia. (Tetapi) Baginda enggan mengikat ikatan setia dengan yang seorang lagi. Lalu mereka bertanya apa sebabnya. Baginda bersabda: “Di lengan atasnya ada azimat.” Lalu orang itu pun menanggalkan azimat itu dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun mengikat ikatan setia dengannya kemudian Baginda bersabda:

Maksudnya: Barang siapa menggantung (memakai) azimat, maka dia telah menyekutukan Allah. (Hadits riwayat Ahmad) Menurut al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ tangkal dan azimat itu kedua-duanya termasuk di bawah erti kata dosa besar menurut amaran yang tersebut di dalam hadits-hadits di atas. Malah dinamakan ia syirik (menyekutukan Allah), tetapi katanya: “Saya tidak melihat seorang ulama pun yang berterus-terang menyebut begitu dengan khususnya sekalipun ulama telah menegaskan dengan cara yang tidak langsung. Mereka menyebutkan dengan ibarat yang boleh difahamkan bahawa kedua-duanya itu dosa besar.”

Katanya lagi: “Adapun tangkal-tangkal yang ditegah atau dikira suatu dosa besar itu, ialah apabila dii‘tiqâdkan pada azimat itu boleh menolak bencana. Padahal menolak bencana dan memberi untung itu hanyalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ jua, tiada yang lain. Ataupun tangkal-tangkal yang ditegah itu ialah tangkal yang bukan dalam bahasa Arab dan tidak pula diketahui ertinya. Maka tangkal-tangkal yang seperti ini adalah haram. (Az-Zawâjir: 1/274)

Dalam kitab Fatâwâ al-Hadîtsiyyah juga meyebutkan bahawa setiap azimat sama ada yang dibacakan atau dituliskan di dalamnya dengan nama-nama yang tidak diketahui maknanya maka ia diharamkan. (Fatâwâ al-Hadîtsiyyah: 88)

Larangan Menggunakan Jampi Atau Mantera Yang Diragui Maknanya

Dalam Islam, membaca jampi ataupun ruqyah adalah diharuskan apabila ia menepati ketetapan syara‘ sepertimana juga syarat-syarat penggunaan tangkal dan azimat yang telah disebutkan di atas.

Berkata Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa ruqyah itu terbahagi kepada tiga:

1. Ruqyah yang digunakan oleh orang-orang jahiliyah yang terdiri daripada perkara-perkara yang tidak difahami maknanya, maka ia wajib dijauhi supaya tidak berlaku syirik ataupun membawa kepada syirik.

2. Ruqyah yang terdiri daripada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau nama-namaNya, maka ruqyah seperti ini harus digunakan dan jika ia terdiri daripada perkara-perkara yang ma‘tsûr maka ia disunatkan.

3. Ruqyah yang menggunakan nama-nama selain daripada nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti nama-nama malaikat atau orang salih atau nama-nama yang mu‘azhzham daripada makhluk ciptaan Allah seperti ‘Arasy, maka perkara seperti ini lebih awlâ (lebih baik) ditinggalkan, supaya tidak mengandungi perkara yang menghormatkan atau mengagungkan ciptaan-ciptaan tersebut. (Fath al-Bâri: 11/353)

Kemudian berkata Ibnu at-Tin bahawa ruqyah yang digunakan dengan menyeru jin yang mendatangkan perkara-perkara syubhah dengan mencampur-adukkan yang hak dan bâthil, misalnya mencampurkan zikir-zikir, nama-nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan zikir-zikir yang menyebut nama-nama syaitan, meminta pertolongan dan perlindungan dengannya, maka ruqyah ini adalah dilarang. Perkara seumpama ini merupakan sihir dan haram hukumnya, bahkan ia adalah dosa besar dan boleh membawa kepada kafir. (Fath al-Bâri: 11/353 & Fatâwâ al-Hadîtsiyyah: 88)

Begitu juga halnya apabila ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa ini diselitkan perkataan-perkataan lain yang tidak diketahui maksud dan tujuannya, maka ia dilarang oleh syara‘ kerana ditakuti perkataan atau ayat-ayat yang tidak diketahui itu mengandungi unsur-unsur syirik.

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, para ulama menjelaskan bahawa menjampi menggunakan nama asing yang tidak diketahui maknanya adalah haram. (Kitab al-Fatâwâ al- Hadîtsiyyah: 88)

Maka berdasarkan penerangan di atas, ruqyah ataupun jampi yang membawa kepada syirik itu adalah dilarang dan haram hukumnya, manakala jampi yang tidak diketahui makna atau tujuannya juga dilarang sebagai langkah berhati-hati kerana ditakuti ia boleh membawa kepada syirik.

Penggunaan Tangkal Sebagai Pelindung

Menggunakan azimat atau tangkal dengan dii‘tiqâdkan ia boleh menolak bala bencana dan mendatangkan manfaat maka ia dilarang dalam Islam dan haram digunakan. Mempercayai adanya kuasa yang lain serta meminta pertolongan dan perlindungan kepada sesuatu selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah syirik. Ia bertentangan dengan syariat Islam dan wajib ditinggalkan. Perbuatan seperti ini membelakangi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menafikan kekuasaanNya, sedangkan hanya kepadaNyalah tempat meminta pertolongan serta perlindungan.

Ini kerana kekuasaan, kekuatan dan keberkesanan setiap sesuatu itu hakikatnya datang daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan daripada benda-benda seperti azimat, tangkal dan benda-benda lain yang seumpamanya melainkan dengan izin dan kehendakNya jua.

Larangan serta amaran yang disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam serta penjelasan para ulama di atas jelas menyatakan ia bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Ia adalah perkara yang boleh merosakkan aqidah melainkan penggunaan tangkal atau azimat itu menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘ sahaja.

Berdasarkan hadits-hadits dan juga penerangan yang telah dihuraikan terdahulu, bahawa penggunaan tangkal dan azimat itu adalah dilarang oleh Islam, malahan ia juga boleh membawa kepada syirik.

Oleh itu apabila pemakaian tangkal itu ada kaitan dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa atau kesan dalam mendapatkan kebaikan atau menolak kemudharatan, seperti halnya dengan penggunaan baju yang bertulis kalimat yang boleh memberikan kebal dan menyelamatkan pemakainya daripada bencana, maka perbuatan seperti ini adalah haram dan berdosa besar dan boleh membawa pengamalnya kepada syirik.

Manakala tangkal yang dibuat daripada ayat-ayat al-Qur’an atau zikir-zikir dan dii‘tiqâdkan bahawa ia tidak memberi apa-apa kesan melainkan dengan izin dan kehendak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka tangkal seperti ini diharuskan oleh syara‘. Begitu juga tangkal yang boleh difahami erti dan tujuannya dan tidak mengandungi sebarang unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam, maka ia juga diharuskan.

Ilmu Kebal Mempunyai Kaitan Dengan Ilmu Sihir

Mempercayai bahawa sehelai baju yang tertulis padanya kalimat yang boleh mendatangkan kebal adalah perkara yang tidak dapat diterima akal. Memakai sehelai baju tidak mungkin akan menjadikan pemakainya kebal dan membaca jampi atau mantera juga tidak akan menghasilkan kebal. Ini kerana kekebalan adalah sesuatu yang sememangnya tidak dimiliki oleh manusia melainkan jika ia melibatkan benda-benda lain seperti sihir atau adanya bantuan jin atau syaitan.

Perlu diingat, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan para sahabat, bukan sahaja mereka itu pernah luka atau cedera oleh senjata musuh, malahan juga ramai di antara para sahabat dan pejuang Islam yang mati syahîd di medan peperangan.

Kalaulah kekebalan itu sesuatu yang boleh dituntut atau harus dipelajari, sudah barang tentu pejuang-pejuang Islam sejak awal-awal Islam lagi sehingga sekarang telah pun mempelajarinya, dan mereka memang lebih afdhal mengamalkannya. Namun tidaklah demikian halnya. Nabi sendiri cedera dalam peperangan Uhud. Sayyidina Hamzah dan ramai lagi sahabat syahîd dalam peperangan ini.

Ilmu sihir, sama ada yang digunakan oleh bomoh, tukang tilik atau seumpamanya adalah perbuatan jin dan syaitan yang mengajarkannya kepada manusia. Perkara ini jelas dinyatakan dalam ayat al-Qur’an, firmanNya:

Tafsirnya: Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut di negeri Babil (Babylon). (Surah al-Baqarah: 102)

Di samping itu, untuk mendapatkan kuasa yang luar biasa, pengamal sihir akan mendekatkan diri dengan jin atau bersahabat dengannya. Untuk memanggil jin ini pula, pengamal sihir akan melakukan seruan atau pemujaan berupa mantera-mantera yang biasanya mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syara‘. Perbuatan seumpama ini dilarang dalam Islam dan boleh membawa kepada syirik. FirmanNya:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu. (Surah Yunus: 106)

Perbuatan seumpama ini juga adalah sama dengan perbuatan sesetengah orang yang meminta pertolongan atau perlindungan kepada jin, dan ia adalah perbuatan yang salah sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah amat salah perbuatan beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. ( Surah al-Jinn: 6 )

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, meminta perlindungan atau pertolongan kepada jin, dan bukan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah kafir dan syirik. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 19/10)

Jin dan syaitan pula tidak akan membantu manusia kecuali setelah manusia itu terlebih dahulu melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam, sepertimana dinyatakan oleh asy-Syeikh Wahid bin Abdul Salam Bali dalam buku ash-Shârim al-Battâr fi at-Tashaddi li as-Saharah al-Asyrâr (terjemahan) katanya:

“Dalam pandangan kami, jin tidak akan menolong atau membantu si tukang sihir melainkan tukang sihir itu mestilah terlebih dahulu melakukan perkara-perkara haram dan syirik, dalam makna, semakin jauh si tukang sihir melakukan kekufuran, maka semakin taatlah jin dan syaitan itu kepadanya dan akan lebih cepat lagi melaksanakan suruhan-suruhannya. Kalau tukang sihir tidak mahu lagi melaksanakan ataupun melambat-lambatkan kekufuran itu, maka jin dan syaitan akan menarik diri dan berhenti daripada memberikan bantuannya kepada si tukang sihir itu.” (Berubat Dengan Perubatan Bumi & Perubatan Langit: 6-7)

Oleh itu Islam melarang umatnya daripada melakukan sihir kerana ia bukan sahaja haram tetapi merupakan salah satu perkara yang mendatangkan kerosakan. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jauhi oleh kamu tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dia perkara-perkara itu?” Baginda bersabda: “(Perkara-perkara itu) ialah menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak (di jalan yang benar).” (Hadits riwayat Muslim)

Menurut pendapat jumhûr ulama, sihir adalah haram dan salah satu di antara dosa besar, sama ada yang melakukannya, yang mempelajarinya atau yang mengajarkannya. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam an-Nawawi: 1/733)

Ia juga boleh membawa kepada kerosakan aqidah jika pelakunya melakukan perkara syirik, dan orang-orang yang berlaku syirik (menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) tidak akan diampunkan dosa mereka. FirmanNya dalam surah an-Nisâ’:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua, dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya menurut aturan syariatNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar. (Surah an-Nisâ’: 48)

Amalan Pemakaian Baju Kebal Menurut Syara‘

Berdasarkan penerangan di atas, hukum memakai baju kebal ini adalah sama saja dengan hukum memakai dan mempercayai tangkal dan azimat. Apabila penggunaan tangkal dan azimat yang dipercayai boleh menolak bala dan mendatangkan manfaat itu dihukumkan haram, maka mempercayai baju yang tertulis kalimat yang dikatakan boleh mendatangkan kebal juga adalah haram dan pelakunya berdosa besar, bahkan boleh menjadi syirik sebagaimana yang disebutkan dalam hadits dan penerangan para ulama di atas.

Ini tidak syak lagi adalah sihir dengan bantuan jin, kerana semata-mata baju dengan jampi sahaja tidaklah akan menjadikan kebal. Malah lihat, dalam hal yang ditanyakan di sini, ritual memasukkan jarum tanpa mengeluarkan darah itu bukankah sama dengan susuk? Tidakkah susuk melibatkan sihir?

Selain itu bacaan do‘a atau jampi juga kurang jelas dan menimbulkan keraguan. Bahkan kalimat yang tertulis yang dikatakan boleh mendatangkan kebal itu juga meragukan dan boleh saja mengandungi sihir dan unsur-unsur syirik.

Kesan Amalan Memakai Baju Kebal Terhadap Aqidah

Berdasarkan huraian dan penerangan di atas, amalan-amalan yang dikatakan boleh mendatangkan kebal ini, sama ada dengan memakai baju atau tidak, merupakan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Apabila ia melibatkan sihir dan bantuan jin dan syaitan, ia bukan sahaja haram dan berdosa bahkan yang lebih dahsyat lagi ia boleh menjerumuskan pengamalnya dan orang yang mempercayainya ke jurang syirik.

Ia adalah amalan yang mendatangkan kemudharatan dan kerosakan kepada pengamalnya secara khusus dan kepada masyarakat amnya. Ia hanya akan merosakkan aqidah dan menyesatkan. Ia juga boleh menimbulkan kekacauan di kalangan orang awam terutama bagi mereka yang kurang pengetahuan agama, dan dikhuatiri ia dianggap tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Ajaran seumpama ini juga berisiko boleh menyebabkan timbulnya ajaran sesat. Orang awam akan cepat tertarik dan mengkagumi apabila mendengar atau melihat perkara yang ganjil dan ajaib seperti ini. Ia akan dianggap ajaran Islam, walhal hakikatnya menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ditegaskan, bahawa kebal tidak ada dalam Islam dan ia bukan ajaran Islam. Perkara ini juga telah pernah difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, katanya:

“...bahawa ilmu kebal itu tiada ada dalam Islam dan bid‘ah jua dan jahil dan sesat jua. Kiranya ada, tentu telah diterangkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada sahabat-sahabat Baginda dan telah diriwayatkan pula oleh ulama Islam kepada kita umat Islam....” (Rawatan & Kesihatan – Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Mengenai Amalan, Rawatan Dan Kesihatan 1962-2001: 223)

Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati apabila mendengar berita atau melihat sesuatu yang ganjil atau luar biasa, kerana ditakuti ia akan membawa kerosakan dan kekacauan di antara umat Islam. Hendaklah diselidiki sepenuhnya tentang keshahîhan dan kebenarannya agar tidak merugikan kelak, sebagaimana fiman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fâsiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya, sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurât: 6)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11455