Barang Waqaf Masjid Universiti Brunei Darussalam
Soalan: Masjid Universiti Brunei Darussalam adalah sebuah masjid waqaf. Pada masa ini pihak Universiti Brunei Darussalam sedang dalam urusan mengganti keseluruhan permaidani (carpet) dan alat hawa dingin masjid tersebut.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan Pehin Mufti bagaimanakah cara-cara penghapusan yang sesuai bagi barang-barang dan peralatan waqaf yang tersebut di atas?
Jawapan: Persoalan barang-barang waqaf yang tidak digunakan lagi oleh sesebuah masjid telah dibahas oleh para ulama. Dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan:
Ertinya: Tidak (boleh) dirobohkan (sesebuah masjid) kecuali jika ditakuti akan runtuhnya, maka ketika itu haruslah ia dirobohkan. Dan disimpan peralatan atau perkakas masjid tersebut atau dibangunkan dengannya sebuah masjid yang lain sekiranya hakim (pemerintah) berpendapat sedemikian. Dan masjid yang lebih dekat dengan masjid yang dirobohkan itu lebih utama (untuk digunakan peralatan masjid yang roboh itu padanya) dan tidak boleh digunakan peralatan itu untuk membuat telaga atau ribâth (asrama) dan yang seumpamanya. Dan berkata sekumpulan ulama: “Kecuali jika terdapat kesukaran atau keuzuran dalam memindahkan peralatan tersebut bagi (kegunaan) masjid yang lain, (maka bolehlah digunakan peralatan tersebut bagi kegunaan selain daripada masjid).” (Tuhfah al-Muhtâj: 6/346)
Al-Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya juga menyatakan perkara yang sama:
Ertinya: Tidak boleh dirobohkan sesebuah masjid kecuali jika ditakuti ia akan roboh, maka ketika itu haruslah ia dirobohkan dan disimpan peralatan atau perkakas masjid tersebut.
Atau ia digunakan untuk membangun masjid yang lain jika hakim (pemerintah) berpendapat sedemikian. Dan masjid yang lebih dekat dengan masjid yang roboh itu lebih utama (untuk digunakan peralatan masjid yang roboh itu padanya). Dan tidak boleh digunakan peralatan tersebut untuk membina bangunan selain jenis masjid seperti asrama dan telaga, begitu juga jika sebaliknya, kecuali apabila sukar untuk digunakan peralatan tersebut pada yang sejenisnya. (Fath al-Mu‘în: 3/293)
Kemudian beliau berkata lagi:
Ertinya: Dan ditanya guru kami (Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ) berkenaan apabila dibangunkan sebuah masjid dengan alat-alat perkakas yang baru, dan tinggal alat-alat perkakasnya yang lama: “Maka adakah harus di‘imârah masjid lain yang lama dengan alat-alat perkakas (yang lama) itu atau bolehkah dijual dan disimpan harganya (duitnya bagi kegunaan masjid yang empunya alat-alat itu)?” Maka dia menjawab: “Sesungguhnya harus digunakan alat-alat perkakas itu bagi meng‘imârah masjid yang lama atau yang baharu dengan sekira-kira telah putus (tetap bahawa masjid yang empunya alat-alat perkakas itu) tidak memerlukan kepada alat-alat perkakas itu sebelum ianya rosak, (dan) tidak harus dijual alat-alat perkakas itu dengan apa cara sekalipun.” (Fath al-Mu‘în: 3/294)
Begitu juga harus memindahkan barang-barang yang diwaqafkan kepada masjid seperti tikar, permaidani, lampu-lampu dan selainnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam as- Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mensyarahkan perkataan al-Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: (Dan memindahkan [barang-barang sesebuah masjid] seperti tikar masjid) iaitu seperti perabot-perabot masjid selain tikar (dan lampu-lampunya) (adalah sama sebagaimana cara memindahkan peralatan-peralatan masjid) iaitu jika masjid (yang empunya barang tersebut) tidak memerlukannya, maka haruslah memindahkan barang-barang tersebut ke masjid lain (yang terdekat dan memerlukannya), tetapi jika tidak (masjid yang empunya barang itu masih memerlukannya) maka tidak harus (dipindahkan ke masjid lain). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/294)
Adapun menjual barang-barang waqaf yang tidak diperlukan, tetapi masih boleh digunakan adalah tidak harus sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Ia hanya boleh dijual apabila barang-barang tersebut tidak dapat dimanfaatkan lagi. Misalnya tikar yang telah lusuh atau rosak dan selainnya. Al-Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan dalam kitabnya:
Ertinya: Dan harus dijual tikar-tikar masjid yang diwaqafkan kepadanya jika tikar tersebut telah lusuh atau buruk, iaitu kecantikannya dan manfaatnya telah hilang dan terdapat mashlahat pada menjual tikar tersebut. Begitu juga (menjual) kayu-kayunya yang telah pecah-pecah. (Pendapat ini) bercanggah dengan pendapat sekumpulan ulama dalam perkara menjual kedua-duanya. Maka dibelanjakan wang hasil jualan tersebut bagi keperluan-keperluan masjid, jika tidak dapat dibelikan tikar atau kayu dengan wang tersebut.” (Fath al- Mu‘în: 3/291)
Dalam menjual barang-barang waqaf ini, al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: (Dan qaul yang ashah ialah harus menjual tikar masjid jika ia telah buruk dan kayu-kayunya jika patah) atau hampir-hampir patah, (dan tiada layak melainkan untuk dibakar) supaya (manfaat) barang tersebut tidak hilang (begitu sahaja).”
Katanya lagi:
Ertinya: Maka perolehan yang sedikit daripada harga penjualannya, yang kembali untuk waqaf itu adalah lebih utama daripada hilangnya (kerana dibakar), dan ia dikecualikan daripada perkara penjualan waqaf kerana ia seolah-seolah sudah tidak ada. Dalam pada itu, wang penghasilan daripada penjualan berkenaan boleh disalurkan bagi tujuan kemaslahatan masjid jika tidak dapat dibelikan tikar atau kayu (yang baru) dengan wang tersebut.” (Tuhfah al-Muhtâj: 6/345)
Berdasarkan qaul para ulama di atas, kedudukan peralatan masjid atau barang-barang yang diwaqafkan kepada masjid, dan dalam kes ini Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang tidak digunakan lagi adalah seperti berikut berdasarkan urutan:
1. Peralatan masjid atau barang-barang yang diwaqafkan kepada masjid yang masih elok atau masih boleh digunakan, tidak boleh dijual sama sekali.
2. Peralatan masjid dan barang-barang waqaf yang masih elok atau masih boleh digunakan, tetapi pihak masjid tidak lagi memerlukannya, bolehlah peralatan atau barang-barang waqaf tersebut disalurkan kepada masjid lain dengan diberi keutamaan kepada masjid terdekat yang memerlukannya.
3. Jika tidak ada masjid yang memerlukannya, maka ia boleh disalurkan kepada tempat-tempat waqaf lain yang memerlukannya seperti sekolah waqaf, asrama waqaf atau yang seumpamanya.
4. Peralatan masjid atau barang-barang waqaf yang telah rosak dan tidak dapat dimanfaatkan lagi, harus dijual kiranya terdapat mashlahat pada menjualnya. Wang hasil daripada jualan tersebut hendaklah dibelanjakan semula kepada masjid berkenaan untuk membeli jenis peralatan atau barang-barang yang sama seperti barang-barang waqaf yang telah dijual itu.
5. Jika wang tersebut tidak dapat dibelanjakan untuk membeli peralatan atau barang yang sama sepertinya, misalnya kerana wang hasil jualan tersebut tidak mencukupi, bolehlah wang tersebut dibelanjakan untuk mashlahat masjid.
6. Jika barang-barang yang telah rosak itu tidak dapat dijual kerana tidak mungkin ia dapat dimanfaatkan lagi, dan menjadi kesukaran bagi pihak masjid untuk menyimpannya, maka dalam keadaan ini haruslah ia dibakar. Walaubagaimanapun menjualnya adalah lebih utama, kerana wang penghasilan daripada penjualannya walaupun sedikit, dapat disalurkan bagi kemashlahatan masjid berbanding jika ia dibakar akan hilang begitu sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11469
