Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Berwudhu Dengan Mesin Wudhu Automatik

Soalan: Bolehkah orang Islam mengambil air sembahyang dengan menggunakan mesin wudhu automatik?

Jawapan: Ulasan yang diberikan di bawah ini adalah berdasarkan fakta dan imej yang diperolehi mengenai mesin wudhu automatik berkenaan.

Pada asasnya, mesin wudhu automatik tersebut berfungsi sama seperti kepala paip air biasa dalam aspek membekalkan keperluan air kepada pengguna. Mesin tersebut, seperti yang terdapat pada sesetengah alat pembekal air yang lebih maju, dilengkapi dengan teknologi alat pengesan infra-merah (infra-red sensors) yang mana air akan tersembur hanya dengan kesan kehadiran sesuatu objek.

Apa yang membezakan mesin wudhu itu dengan alat pembekal air yang lain ialah ciri-ciri yang terdapat pada reka bentuknya yang membolehkan setiap anggota wudhu dibasuh dengan sendirinya atau secara automatik.

Menurut maklumat yang telah diperolehi, pihak pengeluarnya menjelaskan bahawa air akan tersembur keluar membasuh anggota-anggota wudhu tanpa perlu diratakan atau dibantu oleh tangan yang satu lagi. Anggota-anggota tersebut hanya perlu diletakkan pada bahagian-bahagian yang telah dikhususkan.

Oleh yang demikian, berdasarkan fakta di atas terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan apabila menggunakan mesin wudhu tersebut, iaitu:

1. Dalam perkara membasuh anggota-anggota wudhu, air wudhu hendaklah dipastikan benar-benar sampai ke seluruh bahagian anggota-anggota wudhu yang wajib dikenakan air. Ini termasuklah bahagian-bahagian yang sukar terkena air seperti celah-celah kuku yang panjang dan bahagian-bahagian yang diliputi janggut yang nipis. Penggunaan tangan atau jari dalam hal ini tetap penting bagi memastikan air sampai ke bahagian-bahagian yang sukar dikenakan air.

Dalam mazhab Syafi‘e, perbuatan melalukan tangan ke atas anggota-anggota wudhu iaitu dengan menggosoknya juga adalah termasuk dalam perkara-perkara yang disunatkan sebagai langkah berhati-hati serta bagi mencapai kebersihan anggota-anggota wudhu. (Fath al-Mu‘în dalam Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/125)

Dalam mazhab Maliki pula, perbuatan meratakan air dengan cara menggosok anggota-anggota wudhu menggunakan tangan adalah wajib. (Hâsyiah ad-Dusuqi ‘alâ Syarh al- Kabîr: 1/216)

Oleh itu, mustahak juga difikirkan bagaimanakah mesin tersebut dapat memenuhi tuntutan sunat dalam mazhab Syafi‘e dan wajib dalam mazhab Maliki dalam perkara menggosok anggota-anggota wudhu dengan menggunakan tangan sekiranya fungsi-fungsi automatik mesin wudhu itu dikekalkan.

2. Penggunaan mesin wudhu automatik ini akan membuka ruang untuk meninggalkan perkara-perkara sunat wudhu dalam mazhab kita. Ketika berwudhu, perkara-perkara sunat juga perlu diperhatikan dan dijaga. Sekalipun tidak wajib dilakukan, tetapi perkara-perkara tersebut tidak patut ditinggalkan kerana ia juga sebahagian daripada tuntutan agama. Antara perkara-perkara sunat yang wajar diperhatikan ialah:

i. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

ii. Menyelati janggut yang tebal dengan air.

iii. Menyelati celah-celah jari kedua belah tangan dan kaki dengan air.

iv. Menyapu keseluruhan bahagian kepala termasuklah bahagian dahi. Dalam mazhab Syafi‘e, perbuatan ini dilaksanakan dengan cara meletakkan perut-perut jari kedua-dua belah tangan di hadapan kepala sambil kedua-dua hujung jari telunjuk bertemu antara satu dengan yang lain. Kedua-dua ibu jari pula diletakkan pada dua bahagian pelipis kepala iaitu kawasan yang terletak di hujung kanan dan kiri dahi antara mata dengan telinga. Kedua-dua jari telunjuk itu digerakkan dari bahagian depan kepala ke belakang dan kemudian dikembalikan semula ke hadapan. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/84 & Kitab al-Majmû‘: 1/433-434)

Sebagai perhatian, perbuatan menyapu keseluruhan bahagian kepala adalah wajib menurut mazhab Maliki. Ia meliputi perbuatan menyapu keseluruhan bahagian kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga). (Hâsyiah ad-Dusuqi ‘alâ Syarh al-Kabir: 1/143)

v. Menyapu kedua-dua cuping telinga pada bahagian yang zahir dan batin.

Pada dasarnya, ciri-ciri yang terdapat pada mesin wudhu tersebut dapat memberikan kemudahan untuk berwudhu seperti juga kemudahan-kemudahan alat pembekal air yang lain. Bagaimanapun, beberapa perkara perlu diperhatikan dan dicari jalan agar kesempurnaan wudhu tidak terjejas, sekalipun sebahagian daripada ciri-ciri automatik mesin itu terpaksa dilupakan.

Perlu diingat bahawa berwudhu bukanlah satu cara untuk membersihkan anggota-anggota wudhu semata-mata, bahkan lebih daripada itu, merupakan satu ibadat yang sedia terdapat di dalamnya perkara-perkara wajib dan sunat untuk dilakukan.

Berdasarkan ini, mesin wudhu berkenaan belumlah dapat dianggap memberikan kemudahan yang sempurna di dalam berwudhu, berbanding dengan kemudahan biasa seperti paip, masih saja relevan dapat memenuhi semua tuntutan wajib dan sunat. Walaupun mesin ini juga didakwa boleh menjimatkan air, namun penggunaannya selaku alat berteknologi tinggi seumpama ini, tentulah memakan kos yang lebih tinggi, seperti bil elektrik dan kos pemeliharaan (maintenance). Di samping itu, harga satu unit mesin tersebut juga pastinya lebih mahal daripada harga kepala paip air biasa. Berwudhu dengan cara biasa juga masih boleh menjimatkan air, jika kita mahu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11474