Cara Memusnahkan Tulisan Ayat-Ayat al-Qur’an
Soalan: Pada masa ini telah menjadi suatu ‘kegemaran’ bagi sesetengah orang untuk menulis basmalah pada kepala persuratan dan kad-kad jemputan. Sejak akhir-akhir ini pula didapati ayat-ayat al-Qur’an juga ditulis pada kad-kad jemputan majlis perkahwinan. Tujuannya mungkin bagi mendapat tabarruk. Terdapat juga gambar individu tertentu yang dimuatkan di surat-surat khabar tanpa disedari berlatarbelakangkan ayat-ayat al-Qur’an yang kebetulan tergantung di dinding semasa gambar itu diambil. Biasanya surat-surat, kad-kad dan surat-surat khabar itu akan dibuang kerana ianya tidak perlu disimpan lagi dan jumlahnya semakin meningkat hari demi hari. Bagaimanakah cara melupuskan yang sebaik-baiknya, adakah memadai dicarik-carik sehingga ayat-ayat itu tidak lagi memberikan makna dalam keadaannya yang sudah terputus-putus itu?
Jawapan: Menulis Basmalah Dan Ayat-Ayat Al-Qur’an Dalam Persuratan
Memulakan sesuatu perkara dengan membaca basmalah iaitu "بسم هللا الرمحن الرحيم" adalah disunatkan, sebagai contoh ketika hendak makan, minum, memulakan perjalanan, pelayaran, penyembelihan binatang, bersuci dan sebagainya. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 1/97)
Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Setiap ucapan atau perkara penting yang tidak dimulai padanya dengan menyebut nama Allah maka perkara itu terputus (kurang keberkatan). (Hadits riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadits di atas, bererti penulisan basmalah dan ayat- ayat al-Qur’an di dalam buku-buku dan persuratan adalah termasuk dalam maksud hadits tersebut.
Dalam perkara ini Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan bahawa para ulama sepakat tentang harusnya menulis بسم هللا الرمحن الرحيم " " di awal buku-buku ilmu pengetahuan dan surat-surat. Mereka juga sepakat supaya ditulis basmalah itu di awal surat. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 1/97 dan 13/193)
Penulisan basmalah dan ayat-ayat al-Qur’an dalam persuratan ini pernah dibuat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika menyebarkan da‘wah Islam kepada ketua dan pembesar-pembesar asing. Sebagai contoh, Baginda telah menulis surat kepada Hiraql (Hercules) Pembesar Rome yang berbunyi:
Maksudnya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, daripada Muhammad bin ‘Abdullah, Rasulullah kepada Hiraql (Hercules), Pembesar Rome. Sejahteralah kepada sesiapa yang mengikut hidayah. Kemudian daripada itu: Maka sesungguhnya saya menyeru tuan dengan seruan Islam. Islamlah, tuan pasti selamat, Allah akan memberi ganjaran kepada tuan dua kali (ganda), akan tetapi jika tuan berpaling, maka tuan akan menanggung dosa-dosa orang-orang bawahan (para pengikut). (“Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimat yang bersamaan di antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun, dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain daripada Allah. Kemudian jika mereka (ahli kitab) berpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah oleh kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam).” [Surah Âli ‘Imran: 64] (Al-Bidâyah wa an-Nihâyah: 3/455)
Dalam surat tersebut telah ditulis ayat al-Qur’an daripada surah Ali ‘Imran, ayat 64, kecuali tidak termasuk lafaz )ح(قُل.
Maka berdasarkan keterangan di atas, menulis basmalah dan ayat-ayat al-Qur’an dalam persuratan adalah harus, tidak kira sama ada ia surat persendirian, surat rasmi atau seumpamanya. Persuratan seumpama ini, jika menurut kebiasaannya akan disimpan di tempat yang selamat dan terjaga, maka dengan sendirinya ayat-ayat al-Qur’an yang tertulis itu diharapkan akan terhindar daripada penghinaan.
Berlainan pula halnya dengan kad jemputan seperti jemputan kahwin atau seumpamanya. Kad-kad seperti ini mudah terkumpul dalam jumlah yang banyak dan ini boleh menyukarkan untuk menyimpannya di tempat yang selayaknya.
Oleh itu jika menulis basmalah atau ayat-ayat al-Qur’an pada kad jemputan itu dikhuatiri mendatangkan kesukaran untuk menjaganya dan ada zhann serta anggapan ianya akan terdedah kepada penghinaan, maka menulisnya wajar dielakkan demi menjaga kesucian dan kemuliaannya.
Cara Memusnahkan Tulisan Ayat-Ayat Al-Qur’an
Jika sekiranya surat, kad jemputan dan juga surat khabar yang tertulis padanya ayat-ayat al- Qur’an itu tidak digunakan lagi maka bolehlah ia dimusnahkan. Tetapi tidak boleh memusnahkan atau melupuskannya dengan mengoyak atau mencarikkannya, kerana cara tersebut bererti memutuskan huruf-huruf dan kalimatnya dan mempersia-siakan apa yang tertulis itu.
Antara cara memusnahkan kertas yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an sebagaimana yang disebut oleh para ulama ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi, membakar atau menanamnya.
Menurut pendapat Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tidak makruh membakar sesuatu yang tertulis padanya al-Qur‘an bagi tujuan menjaga kehormatannya. Akan tetapi membasuhnya adalah lebih awlâ (utama) daripada membakarnya. (Fath al-Mu‘în dalam I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/120)
Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ juga berpandangan yang sama sebagaimana dalam perkara membakar kayu yang terukir padanya basmalah atau yang seumpamanya, asalkan ia bertujuan menjaga kemuliaan serta kesuciannya. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/126-127)
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mengulas pendapat di atas, bahkan ia wajib dibakar jika tidak ada jalan lain bagi memelihara kehormatan ayat al-Qur’an yang terukir pada papan tersebut. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/127)
Ini kerana Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu pernah membakar beberapa Mushhaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Perkara ini ada disebutkan dalam riwayat-riwayat mengenai pembukuan al-Qur’an di zaman pemerintahan Baginda.
Oleh itu surat, kad jemputan dan surat khabar yang mengandungi basmalah atau ayat-ayat al- Qur’an yang tidak digunakan lagi dan jika sukar untuk menjaga atau memeliharanya daripada terdedah kepada apa jua bentuk penghinaan, maka harus dimusnahkan dengan cara membasuh atau membakarnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11480
