Hukum Berpuasa Sunat Dan Qadha’ Pada Hari Sabtu Dan Ahad
Soalan: Apakah hukum berpuasa qadha’ dan berpuasa sunat pada hari Sabtu dan Ahad? Mestikah puasa tersebut dilakukan kedua-dua hari berturut-turut pada hujung minggu?
Jawapan: Para ulama menjelaskan bahawa mengerjakan ibadat puasa sunat semata-mata pada hari Sabtu atau Ahad hukumnya adalah makruh. Begitu juga, mengerjakan puasa sunat pada hari Jumaat sahaja hukumnya adalah makruh. (Tuhfah al-Muhtâj dalam Hawâsyi asy-Syarwani: 3/458, Nihâyah al-Muhtâj: 3/209 dan Mughnî al-Muhtâj: 2/184-185)
Ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil daripada hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya bahawa sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu berpuasa (semata-mata) pada hari Sabtu melainkan apa yang telah Allah fardhukan ke atas kamu. Jika seorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu). (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula katanya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan sekali-kali salah seorang daripada kamu berpuasa sunat (semata-mata) pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun dihukumkan makruh mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Ahad pula berdasarkan qiyâs terhadap hukum makruh mengerjakan ibadat puasa pada hari Sabtu. Menurut ulama’, ‘illah atau sebab yang menjadikan perbuatan mengerjakan ibadat puasa semata-mata pada hari Sabtu itu makruh adalah kerana hari tersebut merupakan hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Orang Islam yang mengerjakan ibadat puasa semata-mata pada hari itu dia seolah-olah menyerupai kaum Yahudi dalam turut mengagungkan hari tersebut. Begitu juga, makruh berpuasa pada hari Ahad semata-mata kerana hari tersebut merupakan hari yang diagungkan oleh orang-orang Nashrani. (Hawâsyi asy-Syarwani: 3/458, Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah: 2/94 & Mughnî al-Muhtâj: 2/185)
Ini bermakna, jika ibadat puasa tidak dikerjakan pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad semata-mata, atau dalam kata lain ia dikerjakan secara bercantum dengan ibadat puasa pada hari sebelum atau selepas hari-hari tersebut, iaitu sekalipun hari yang dicantumkan itu ialah hari Sabtu dan Ahad, maka tidaklah makruh berpuasa sunat pada hari-hari tersebut lagi. Menurut ulama, perbuatan seumpama itu tidak menyerupai amalan yang dilakukan oleh mana-mana kaum. (Hawâsyi asy-Syarwani: 3/458 & Mughnî al-Muhtâj: 2/185)
Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ setelah menerangkan bahawa hari Sabtu dan Ahad merupakan hari-hari yang paling banyak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa, meriwayatkan bahawa Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kedua-duanya (Sabtu dan Ahad) adalah dua Hari Raya bagi orang-orang musyrik dan aku mahu (perbuatanku) berbeza dengan (perbuatan) mereka. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Namun demikian adalah tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut dianjurkan untuk berpuasa sunat seperti hari ‘Arafah atau hari ‘Âsyûrâ’ yang jatuh bertepatan pada hari-hari berkenaan. Begitu juga, tidak makruh berpuasa pada hari-hari itu semata-mata ke atas seseorang yang mengamalkan puasa sunat Nabi Daud (iaitu puasa berselang-seli di antara mengerjakan ibadat puasa sehari dan berbuka sehari) atau sekiranya puasa yang dikerjakan itu adalah puasa wajib seperti puasa qadha’ atau puasa nazar. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/209)
Daripada penjelasan ini dapat difahami bahawa puasa yang makruh itu ialah puasa sunat yang dikerjakan semata-mata pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad. Imam al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâh menjelaskan bahawa:
Ertinya: Kenyataan umum penyusun (kitab Minhâj ath-Thâlibîn) tentang hukum makruh mengerjakan ibadat puasa semata-mata pada hari-hari tersebut (Jumaat, Sabtu atau Ahad) adalah untuk puasa sunat (sahaja). Maka tidak dihukumkan makruh mengerjakan puasa (pada hari-hari itu semata-mata) bagi sesiapa yang menjadikan ibadat puasa sunat sebagai satu kebiasaan bagi dirinya (seperti amalan puasa Nabi Daud ‘Alaihissalâm) dan juga puasa wajib (puasa qadha’ atau puasa nazar) sebagaimana ditunjukkan oleh hadits mengenainya. (Mughnî al-Muhtâj: 2/185)
Puasa qadha’ bulan Ramadhan harus dikerjakan pada bila-bila masa sahaja dan tiada hari yang menjadikannya makruh untuk dikerjakan. Waktu yang ditegah untuk mengerjakan puasa qadha’ hanyalah pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti pada bulan Ramadhan, dua hari Raya dan juga hari-hari tasyrîq.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa:
Ertinya: Harus mengerjakan puasa qadha’ Ramadhan menurut pendapat ulama-ulama kita (mazhab Syafi‘e) sepanjang tahun melainkan pada bulan Ramadhan yang seterusnya atau pada Hari-hari Raya dan tasyrîq, dan tidak makruh melakukan perbuatan itu. (Kitab al- Majmû‘: 6/413)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11484
