Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Lelaki Memakai Cincin Emas

Soalan: Apakah hukumnya seorang lelaki memakai cincin emas?

Jawapan: Cincin emas atau perhiasan-perhiasan emas yang lain adalah haram dipakai oleh kaum lelaki. Terdapat banyak dalil yang jelas tentang larangan ini. Antaranya ialah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-‘Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah menyatakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Diharamkan ke atas orang lelaki daripada umatku memakai sutera dan emas dan dihalalkan ke atas orang perempuan mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Dalam hadits yang lain, ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melarang aku daripada memakai cincin emas. (Hadits riwayat Muslim) Begitu juga, dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menyebutkan bahawa Rasulullah Shallalâhu ‘aliahi wasallam telah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda mencabutnya dan melontarkannya sambil bersabda:

Maksudnya: (Adakah) seseorang daripada kamu senghaja (mahu) mengambil bara api daripada neraka lalu meletakkannya (api itu) di tangannya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan keterangan dan dalil-dalil di atas, maka jelas bahawa adalah haram ke atas kaum lelaki memakai cincin emas.

Perlu difahami bahawa cincin atau perhiasan yang dimaksudkan dalam tegahan ini ialah cincin atau perhiasan yang mengandungi bahan emas sama ada sedikit ataupun banyak. Ini termasuklah jenis-jenis cincin atau perhiasan emas yang dihasilkan melalui pelbagai proses pembuatan atau penghasilan sebagaimana yang terdapat pada masa ini. Umpamanya cincin emas yang dihasilkan menerusi proses penyalutan (plating) bahan emas ke atas bahan logam yang lain. Cincin yang dihasilkan dengan cara ini biasa dikenali sebagai cincin gold plated. Begitu juga, cincin atau perhiasan emas yang dihasilkan menerusi proses pengaloian bahan emas bersama bahan yang lain. Cincin jenis ini dikenali sebagai cincin emas suasa. (Fatwa Mufti Kerajaan: 22/1992)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Para ulama telah berijmâ‘ tentang hukum haram ke atas lelaki memakai perhiasan emas bersandarkan kepada hadits-hadits shahîh yang telah disebutkan sebelum ini dan juga berdasarkan hadits-hadits yang lain. Ulama dalam mazhab kita (mazhab Syafi‘e) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syiradzi Rahimahullâh). Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun sebentuk cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan secara sepakat para ulama. (Kitab al-Majmû‘: 4/383)

Manakala cincin yang diperbuat daripada perak, tidaklah haram ke atas lelaki untuk memakainya. Sebaliknya ia sunat dipakai kerana perbuatan tersebut pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam sendiri. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Bagaimana Hukum Lelaki Memakai Emas Putih?

Emas putih ialah sejenis logam yang terhasil setelah emas tulen dialoi dengan logam berwarna putih seperti nikel, palladium dan sebagainya. Sebagaimana dengan emas yang berwarna kuning, emas putih juga mempunyai nilaian yang diukur menurut nisbah karat tertentu. Nisbah karat pada dasarnya menunjukkan sesuatu benda itu telah diperbuat daripada emas atau mengandungi kadar emas tertentu. Sebagai contoh, benda yang mempunyai nisbah 24 karat bererti ia adalah semata-mata emas tulen. 20 karat bererti ia terdiri daripada 20 bahagian emas tulen dan 4 bahagian logam-logam lain, 18 karat bererti ia mengandungi 75% emas tulen dan sebagainya. (Kamus Melayu Nusantara & Wikipedia.org)

Emas putih yang paling berkualiti biasanya mengandungi kandungan 18 karat emas yang dialoi dengan logam jenis palladium - ada kalanya dengan tembaga merah (copper), perak atau platinum. Emas yang telah dialoi dengan logam-logam tersebut akan berwarna putih kekuning-kuningan. Untuk memurnikan warna putih tersebut, perhiasan-perhiasan daripada emas putih biasanya akan dilapis atau disalut dengan bahan yang bernama rhodium. Rhodium ialah sejenis elemen logam berwarna metalik putih keperakan atau putih kelabu (abu-abu), bersifat mulur (tidak rapuh) dan termasuk dalam kumpulan platinum. Jika selalu dipakai, salutan rhodium akan menjadi nipis dan pudar, dan hasilnya warna logam yang diliputinya akan kelihatan. (Wikipedia.org, Kamus Melayu Nusantara & Oxford Advanced Learner’s Dictionary)

Daripada penjelasan ini, dapat difahami bahawa benda-benda yang diperbuat daripada emas putih secara asasinya mengandungi sejumlah kandungan emas tulen. Bagaimanapun, warna emas yang asal iaitu kuning berubah menjadi putih setelah emas tersebut dialoi dengan logam-logam yang lain. Di samping itu, emas putih juga selalunya dilapis atau disalut lagi dengan bahan rhodium untuk menyerlahkan lagi warna putihnya.

Dalam bab penggunaan barang-barang perhiasan, para ulama telah menerangkan bahawa terdapat dua ‘illah yang menjadikan bejana yang diperbuat daripada emas atau perak haram untuk digunakan, iaitu ‘ain (zat emas atau perak itu sendiri) dan juga sifat bermegah-megah (al-khuyala’). Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan ‘illah pengharamannya (penggunaan bejana emas dan perak) adalah ‘ain (zat emas atau perak) dan al-khuyalâ’ (sifat bermegah-megah dengannya).

Para ulama juga ada menerangkan bahawa apabila bejana yang diperbuat daripada emas atau perak diliputi keseluruhannya oleh tembaga atau logam yang lain, maka salah satu daripada ‘illah yang menyebabkannya haram untuk digunakan, iaitu sifat bermegah-megah dengan benda emas atau perak tersebut telah hilang. Perkara ini dapat difahami umpamanya menerusi penjelasan yang diberikan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh yang menyatakan bahawa:

Ertinya: Sehubungan dengan perkara ini (tentang ‘illah hukum haram menggunakan bejana emas dan perak), sekiranya bejana emas atau perak itu diliputi umpamanya dengan tembaga sehingga keseluruhan bejana itu dilapisi oleh lapisan tembaga tersebut, (maka) halallah ia untuk digunakan.

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh seterusnya menerangkan:

Ertinya: Sebagaimana (juga halnya seperti) bejana emas yang berkarat (tagar) dan karatnya itu meliputi keseluruhan bejana tersebut, maka sesungguhnya (dalam hal ini) halallah ia untuk digunakan kerana telah luput salah satu daripada dua bahagian ‘illah (sebab pengharamannya) iaitu ‘bermegah’, (maka dengan sebab itu juga) halal menggunakan bejana-bejana yang berharga lagi mahal seperti permata dan mutiara kerana tiada (‘illah) ‘ain (dalam hal ini), dan tidaklah kewujudan (‘illah) bermegah (semata-mata) diambil kira dalam hal ini, kerana adanya satu ‘illah sahaja tidak mencukupi (untuk menghukumkan penggunaan bejana yang seumpama itu sebagai haram). (Az-Zawâjir ‘an Iqtiraf al-Kabâ’ir: 1/198)

Kitab-kitab fiqh mazhab Syafi‘e ada menerangkan tentang syarat bahan yang menjadi pelapis (saduran) kepada barang-barang emas atau perak. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, sebagai contoh, telah menyebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bahawa:

Ertinya: Sekiranya seseorang itu menyadur atau mencelup benda-benda bukan emas dan perak seperti bejana, cincin dan alat perang yang diperbuat daripada tembaga dengan emas atau perak, sedangkan saduran (emas dan perak) itu tidak akan menghasilkan apa-apa jika ia dilebur dengan api, atau sekiranya seseorang itu menyadur benda-benda yang diperbuat daripada emas atau perak dengan bahan-bahan yang lain, atau (sekiranya) bejana tersebut menjadi berkarat (tagar), sedangkan saduran atau karat tersebut akan menghasilkan sesuatu (apabila ia dilebur dengan api), (maka) halallah penggunaan benda-benda seumpama itu kerana dalam hal yang pertama kadar saduran (yang terdiri daripada emas atau perak) itu (amat) sedikit, maka ia seolah-olah tidak wujud, dan kerana dalam hal yang kedua ‘illah bermegah-megah itu telah hilang. Maka jika (terjadi sebaliknya pula iaitu) terhasil sesuatu (daripada bahan saduran emas atau perak) dalam hal yang pertama kerana ada kadar saduran yang banyak, atau tidak terhasil sesuatu daripada saduran (bahan-bahan selain emas atau perak) disebabkan kadarnya yang sedikit, (maka) haramlah menggunakannya. Begitu juga haram mengambilnya menurut qaul yang ashah. (Tuhfah al-Muhtâj dalam Hâwasyi asy-Syarwani: 1/122)

Dalam kitab Hâsyiah al-Baijuri ada menjelaskan bahawa maksud ‘sesuatu’ dalam hal di atas ialah sesuatu yang berharga (mutamawwil). Sesuatu yang berharga itu pula boleh dianggarkan sebagai apa-apa yang boleh dikira sebagai harta mengikut ‘urf (kebiasaan). (Hâsyiah al- Baijuri ‘alâ Ibn Qasim: 1/59 & al-Qâmûs al-Fiqhî Lughatan wa Ishthilâhan: 344)

Oleh itu, dapat difahami daripada keterangan di atas bahawa sekiranya terdapat bahan-bahan lain yang melapisi atau menyaluti benda-benda yang diperbuat daripada emas dalam kadar banyak, maka haruslah benda atau perhiasan seumpama itu dipakai oleh kaum lelaki. Anggaran kadar lapisan atau salutan yang dimaksudkan ialah sekurang-kurangnya apabila bahan yang melapis itu (seperti tembaga dan sebagainya) dilebur dengan api, ia boleh menghasilkan sesuatu yang bernilai atau mempunyai harga menurut ‘urf. Sebaliknya jika bahan lapisan tersebut hanya sedikit sekira-kira apabila dilebur dengan api ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang berharga, maka hukum menggunakan benda-benda seperti itu tetaplah haram.

Begitulah halnya dengan setiap cincin yang diperbuat daripada unsur emas seperti cincin emas putih; sekiranya dapat diketahui ia telah dilapis atau disalut dengan bahan-bahan yang lain umumnya dalam kadar lapisan yang banyak, maka tidaklah haram ke atas lelaki untuk memakai cincin seumpama itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11488